Anisah tidak tentu arah ketika menuju ke wad Ustaz Hairi.
Hatinya berkecamuk. Fikirannya bercelaru. Sukar untuk dia pastikan punca perasaan
ini.
'Kenapa aku rasa macam ni? Adakah disebabkan apa yang aku
dengar semasa Farizah di telefon? Atau kerana keadaan Ustaz Hairi semakin
tenat?'
Ustaz Hairi kelihatan begitu tenang menunggu Anisah. Wajahnya
berseri-seri.
"Dah lama abang bangun?"
"Lama juga. Tapi bila nampak Anisah, tak rasa pun masa
berlalu."
Anisah tidak pasti sama ada keadaan Ustaz Hairi sepatutnya
membuatkan dia rasa lega atau semakin risau.
"Anisah boleh tolong potongkan buah pir? Teringin abang
nak makan."
Tanpa membantah atau berlengah Anisah memotong dan
menyuapkan buah seperti yang Ustaz Hairi inginkan. Lelaki itu makan dengan begitu
berselera sekali. Hati Anisah semakin berdebar-debar.
"Syukur rasanya bila Anisah tengok abang semakin sihat.
Mudah-mudahan abang cepat sembuh."
"Insya-Allah, abang akan pulang tak lama lagi.
Anak-anak semua apa khabar?"
"Alhamdulillah. Mereka semua tak sabar tunggu
kepulangan abang."
"Anisah jagalah mereka semua baik-baik. Abang kagum
dengan ketabahan Anisah hadapi semuanya seorang diri dulu. Anisah adalah contoh
kepada ibu-ibu tunggal bahawa kepayahan bukan penghalang. Dalam apa juga
kesusahan, jangan lupa Tuhan. Semuanya datang dari Dia dan semuanya berlaku
bukan dengan sia-sia."
"Insya-Allah Anisah akan ingat pesanan abang tu."
"Abang minta maaf pada Anisah atas segala kekurangan
abang sepanjang menjadi suami Anisah."
Anisah mula rasa serba salah dengan kata-kata lelaki itu.
"Anisah pun sama bang. Banyak kekurangan Anisah dalam
menjalankan tanggungjawab sebagai isteri. Segala makan minum Anisah minta
halalkan ya bang?"
Ustaz Hairi mengangguk.
"Kirim salam pada Farizah. Pesan pada dia abang minta
maaf atas segala salah dan silap abang pada dia. Segala kesalahan dia pada
abang dah pun abang maafkan."
Air mata Anisah mula tiris.
"Abang harap dia akan cepat sedar sebelum masa menjadi
penghalang kepada segalanya. Abang doakan semoga dia tak jadi mangsa kepada
dunia yang terlalu pandai menipu manusia seperti kita."
Air mata Anisah semakin deras turun.
"Masa abang sudah semakin hampir. Abang tahu. Abang
dapat rasakannya. Anisah jagalah diri baik-baik."
"Anisah akan terus berada di sini bersama abang.
Biarlah sehingga saat-saat akhir kita akan bersama."
"Tak perlu Anisah. Perjalanan Anisah masih jauh bersama
anak-anak. Begitu juga Farizah. Buatlah keputusan yang betul. Jangan biarkan
nafsu dan iblis mempengaruhi setiap keputusan yang dibuat."
Anisah menyeka air mata yang semakin galak tumpah. Dia tidak
bisa membendungnya lagi.
"Perjalanan seterusnya perlu abang lalui seorang diri.
Selepas ini abang akan keseorangan menghadapi setiap perhentian yang ada. Pesan
pada anak-anak supaya menghantar bingkisan buat abang dalam doa dan amalan.
Abang tak ada zuriat sendiri yang dapat mendoakan abang di sana nanti. Mereka
sajalah harapan abang."
Dada Anisah sudah berombak-ombak menahan hiba. Suraya hanya
memerhatikan ibunya dengan wajah yang terpinga-pinga.
"Jagalah Suraya baik-baik. Sekurang-kurangnya sudah ada
dalam keluarga kita seorang ahli syurga."
"Insya-Allah bang." Mata Anisah sudah bengkak
merah.
Anisah tidak dapat menahan perasaan yang bergelora di dada.
Dia memberikan lelaki itu satu pelukan erat. Tubuh yang dahulunya berisi dan
tegap, kini hanya umpama rangka yang dibaluti kulit. Lesu dan lemah.
"Jika diizinkan-Nya, kita akan bersama lagi di sana
kelak." Pesan Ustaz Hairi.
***
Ustaz Hairi selamat menghembuskan nafas terakhir pada jam
3.12 pagi. Dia mengalami sesak nafas. Pihak hospital cuba mengembalikan keadaannya seperti biasa, tetapi rohnya telah dipanggil
untuk pergi buat selama-lamanya.
Jenazahnya selamat dikebumikan sebelum Zohor. Punca
kematiannya masih kekal misteri walaupun tanda-tanda sakit jantung begitu
ketara sekali.
Anisah dan anak-anaknya berada di pusara buat kali kedua
selepas pemergian Jalaludin dahulu. Kesedihan lama seperti dijemput kembali
lantaran pemergian Ustaz Hairi.
Farizah juga ada di situ. Raungan tangisannya begitu hiba
dan sayu, seperti sebuah babak dalam drama televisyen. Hanya Anisah sahaja yang
tahu drama yang dilakonkan oleh perempuan itu. Hanya dia sahaja yang tahu
hakikat sebenar perempuan yang tidak pernah menjenguk muka walaupun sekali
untuk bertemu arwah suaminya di hospital.
Kata-kata Ustaz Hairi semasa kali terakhir mereka bertemu di
hospital bermain di fikiran Anisah.
"Insya-Allah bang. Anisah akan cuba laksanakan semua
pesanan dan permintaan abang. Anisah balik dulu." Kata-katanya lirih
sebelum dia meninggalkan pusara Ustaz Hairi yang masih basah dengan siraman air
mawar.
Suasana di dalam kereta Proton Wira putih sunyi sepi
sepanjang perjalanan pulang ke rumah.
***
Petang itu seorang peguam tiba ke rumah untuk pembacaan
wasiat.
"Saya Feroz, wakil arwah yang ditugaskan membaca
wasiat." Kata-kata lelaki itu sambil mengeluarkan dokumen dari dalam beg
bimbitnya.
Anisah dan anak-anaknya ada di situ bersama Farizah. Anisah
mendengar dengan teliti. Setiap harta peninggalan Ustaz Hairi disebutkan satu
persatu, tetapi keputusan yang dinyatakan dalam wasiat itu amat mengejutkannya.
Segala pembahagian hanya dibuat kepada Farizah.
"Mustahil. Takkan tak ada satupun yang diserahkan
kepada kami anak beranak?" Anisah bersuara setelah selesai majlis.
"Saya minta maaf puan. Saya hanya menjalankan tugas.
Apa yang tertulis di dalam wasiat ini, itulah yang saya bacakan." Jawab
lelaki itu. Farizah menjeling Anisah dengan wajah dan senyuman yang sinis.
"Saya dengar dari mulut arwah sendiri tentang hasrat
dia. Memang tak sama dengan isi wasiat ni!" Protes Anisah.
"Saya minta maaf puan. Dah tak ada yang boleh saya buat
sekarang. Segalanya dah termaktub dalam surat ni." Kata lelaki itu sambil
mengemas beg bimbitnya.
Anisah tidak berganjak dari tempat dia duduk selepas peguam
bernama Feroz itu meninggalkan rumah. Dari celah langsir dia memerhatikan
Farizah yang mengiringi lelaki itu ke kereta.
Apa yang dilihat cukup memeranjatkan. Walaupun tanpa suara
yang didengar dia dapat mengagak drama yang sedang berlangsung bukan di kaca
televisyen. Peguam itu cuba merangkul pinggang Farizah ,tetapi ditepis sambil
Farizah melihat ke rumah. Tepisan tangannya bukan dalam keadaan marah, tetapi
manja. Mereka kelihatan begitu intim bersama.
'Adakah lelaki ini yang aku dengar sedang berbual dengan
Farizah di telefon?'
Pelbagai telahan mula singgah di fikiran. Tentang Ustaz
Hairi. Tentang perbualan telefon Farizah dengan kekasihnya. Tentang wasiat yang
baru dibacakan tadi.
'Ya Allah! Benarkah apa yang aku fikirkan ini?' Anisah meletakkan
tangan ke dada, dalam kekeliruan dan kejutan yang amat tidak dijangka.
***
Lama Anisah hanyut dalam lamunannya. Dia menunggu-nunggu
masa yang sesuai untuk berbicara dengan Farizah. Sudah beberapa kali perempuan
itu mengelak daripada duduk bersama dengannya.
Anisah menunggu di ruang tamu. Peluang yang dinanti-nantikan
tiba semasa Farizah ingin meninggalkan rumah. Farizah seolah-olah bukan Farizah
yang dahulu. Dia sudah tidak bertudung lagi. Wajahnya sudah disolek indah,
walaupun hakikatnya kubur Ustaz Hairi masih merah lagi.
"Farizah, boleh akak bincang dengan kau sekejap?"
Kata-kata Anisah disambut dengan riak wajah yang penuh bosan oleh Farizah.
"Cakaplah cepat! Saya dah lambat ni!" Suaranya
dengan kasar.
"Ada beberapa perkara yang akak nak cakap dengan kau.
Duduklah dulu."
Farizah melabuhkan punggung dengan kasar.
"Arwah sempat kirim salam sebelum dia pergi. Dia minta
maaf atas segala kesalahan dia pada Farizah. Begitu juga kesalahan kau pada
dia."
"Baguslah kalau macam tu." Jawab Farizah selamba
sambil mengelus rambutnya yang dilihat melalui cermin alat mekap.
"Dia berharap supaya kau cepat berubah sebelum
terlambat. Dia doakan supaya kau tak terpedaya dengan dunia ni. Akak cuma
sampaikan apa yang dia cakap."
"Yalah tu... Entah-entah akak yang buat cerita..."
Sindiran sinis Farizah.
"Terpulanglah pada kau nak percaya atau tidak. Cuma...
ada beberapa perkara yang buat akak musykil." Anisah memulakan provokasi
kepada Farizah.
"Apa dia?"
"Akak hairanlah. Akak sempat jumpa doktor masa arwah
sakit dulu. Katanya arwah menunjukkan tanda sakit jantung, tapi badan dia sihat
walafiat."
"Alah... biasalah tu, sakit jantung ni menyerang bukan
kira faktor kesihatan atau usia."
"Betul juga kan? Tapi ada beberapa perkara lagi. Masa
akak jumpa dia di hospital, dia pesan supaya kita hidup bersama dengan harta
peninggalan yang diserahkan kepada kita berdua. Tapi yang akak hairan kenapa
surat wasiat tu lain isinya?"
Wajah Farizah mula berubah, tetapi Anisah tahu dia cuba
melindungi apa yang terdetik di fikirannya.
"Satu lagi yang buat akak pelik, peguam tu berani cuba
peluk pinggang kau kan? Tapi yang buat akak terkejut, kau macam tak kisah...
macam dah biasa dengan dia." Provokasi Anisah memuncak.
Farizah sudah tidak dapat membendung perasaan lagi. Anisah
tahu perempuan itu sedar tembelangnya sudah pecah.
"Kau memang hebat Anisah. Kau memang hebat! Hebat
mengalahkan detektif. Kau nak tahu apa yang berlaku sebenarnya?" Farizah
bangun sambil melemparkan pandangan ke luar tingkap. Kemudian dia berpaling ke
arah Anisah.
"Segala-galanya bukan rancangan aku, tetapi idea gila
Feroz. Untuk pengetahuan kau, Ferozlah bekas kekasih aku sebelum aku
dikahwinkan tanpa kerelaan aku dengan lelaki alim bernama Hairi. Aku menyesali
setiap detik berkahwin dengan dia. Aku cuba terima dia dalam hidup aku, tapi
hati ini seolah-olah tertutup rapat untuk dia. Sehinggalah dia buat keputusan
untuk berkahwin dengan kau. Pada mulanya aku nampak peluang untuk aku
tinggalkan dia, tapi rupa-rupanya dia masih menaruh harapan supaya aku
berubah."
Anisah hanya mendengar dengan teliti.
"Kerana tertekan, aku pergi berjumpa dengan Feroz. Aku
rasa bahagia bila bersama Feroz. Seolah-olah semua derita dalam hidup aku yang
terpenjara ini hilang bila aku bersama dia. Akhirnya dia memberi aku cadangan
yang akan melepaskan aku dari belenggu hidup ini. Kau tahu macam mana Hairi
boleh sakit?"
Anisah tidak menjawab. Sebaliknya dia merenung wajah Farizah
dengan tajam.
"Feroz yang suruh aku beri ubat kepada Hairi. Bahan itu
ada di pasaran gelap dan masih belum ditemui oleh pakar perubatan ketika ini.
Kau tahu bagaimana wasiat tu boleh berubah? Oh ya, aku terlupa nak beritahu
kau. Feroz memang seorang peguam dan ini semua adalah rancangan dia. Tak
payahlah kau fikir untuk bawa kes ini ke mahkamah. Feroz memang dah mahir
dengan semua selok-belok yang ada. Dia pasti menang."
"Tergamak kau buat semua ni Farizah?! Kau sanggup bunuh
suami kau sendiri, sedangkan dia sentiasa mengharapkan kau jadi seorang isteri
yang baik."
"Isteri yang baik? Bagaimana aku nak jadi isteri yang
baik kalau aku tak sukakan dia? Dan dia sanggup belenggu aku dengan ikatan
perkahwinan bukan seperti yang aku inginkan. Kau nak tahu tak? Masa Feroz
beri cadangan gila ni, aku takut. Aku takut dosa. Aku takut kena tangkap. Aku takut
macam-macam lagi. Tapi bila rancangan ni berjaya, aku dah tak rasa apa-apa
lagi. Sebaliknya aku rasa bebas. Aku rasa bahagia. Aku rasa tenang."
"Kau sedar tak apa yang kau cakap ni Farizah?! Bawa
mengucap! Bawa bertaubat!" Anisah seperti tidak percaya perempuan yang
melafazkan kata-kata itu adalah Farizah, bekas madunya sendiri.
"Untuk pengetahuan kau, aku sedikit pun tak rasa
kehilangan Hairi sekarang. Dan untuk pengetahuan kau juga, rumah ni sekarang
milik aku. Jadi aku harap kau janganlah fikir aku nak kongsi rumah ni dengan
anak-anak kau yang ramai dan menyusahkan tu. Aku minta kau berambuslah secepat
mungkin. Bila aku balik pagi esok, aku nak tengok rumah ni kosong. Dah tak ada
lagi muka-muka kau dan anak-anak kau yang menyemak dalam rumah ni. Bye Anisah!..."
"Kau akan menyesal atas segala perbuatan kau Farizah.
Aku bersumpah, kau tak akan hidup tenang dengan apa yang dah buat! Kau akan
terima balasannya nanti!" Anisah melepaskan perasaan yang berbuku di dada.
Farizah ketawa kecil sambil mengatur langkah ke pintu.
"Ada aku kisah?!"
Anisah dilanda kesedihan yang amat sangat selepas dia
kehilangan Ustaz Hairi. Tetapi itu tidaklah seteruk bala yang sedang melanda
Farizah. Perempuan itu telah kehilangan nalurinya sebagai seorang insan akibat
mengejar jelaan impian yang penuh pedaya. Dia sudah hilang dalam kekalutan
dirinya kerana menurut telunjuk hawa nafsu dan akhirnya tewas dek bujukan iblis
yang penuh kedurjanaan.