Home Novel Cinta Kasihku Sesuci Embun, Seteguh Gladioli
Bab 8 VIP

Sekadar makluman: Watak-watak yang dipaparkan adalah rekaan semata-mata dan tidak ada kaitan dengan yang hidup atau yang telah meninggal dunia.

Irama rancak muzik dance bergema dengan lagu "Suavemente" oleh Nayer dan Pitbull. Suasana suram hanya disinari oleh pancaran lampu pancarona menyilau dan berkemilau dari bebola disko di tengah-tengah ruang yang lapang. Ruang itu kini dipenuhi manusia yang beraksi ligat dengan tubuh yang meliuk lintuk mengikut rentak lagu yang berkumandang.

Anisah masih lagi kekok untuk melayan para pengunjung. Rakan-rakan yang lain kelihatan begitu mesra melayan pengunjung setia di tempat itu. Sesekali mereka berkumpul semula untuk berbual.

"Tempat macam ni tak kena serbu?" Tanya Anisah naif.

"Kenapa pula nak kena serbu?" Tanya Sofea.

"Yalah, manalah tahu kalau ada yang tak kena." Jawab Anisah.

"Yang kena serbu tu biasanya kalau tak ikut peraturan yang ditetapkan. Contohnya kalau ada pendatang tanpa izin. Atau tawarkan servis extra." Terang Rachel.

"Macam kedai CD," celah Cynthia.

"Kedai CD?" Anisah hairan dengan tamsilan wanita cina itu.

"Ya, macam kedai CD. Kalau jual CD atau DVD cetak rompak memang salah, tapi kalau jual yang original, tak ada siapa nak halang. Kecuali kalau kandungannya bahan yang diharamkan." Tambah Cynthia.

"Oh, macam tu." jawapan Anisah sambil tersenyum dengan perbandingan pelik Cynthia.

Anisah terasa janggal memakai pakaian sebegitu di tengah-tengah manusia yang mencari hiburan di tempat seperti itu. Dia memilih untuk berada jauh dari tumpuan orang ramai. Dia mahu menyesuaikan diri pada hari pertama bertugas.

Harapan Anisah hancur apabila Madam Vie datang mencarinya.

"Anise, come come. Mami nak perkenalkan you dengan klien penting kita. Mereka semua golongan datuk-datuk. Jaga dia orang baik-baik, and you're in good hands." Suara Madam Vie sambil memimpin tangan Anisah di celah-celah khalayak.

Anisah dibawa masuk menerusi pintu bertulis "VIP Only". Ada beberapa ruang berasingan di situ, dan Anisah dibawa berjumpa sekumpulan lelaki bersama teman masing-masing. Kelihatan Maya, Zetty dan Anne juga ada di situ.

"Gentlemen, mami nak introduce the latest blossom dalam taman nirwana mami. You all can call her Anise. Be nice to her, okay?"

Kelihatan wajah-wajah lelaki yang ada di situ berseri-seri apabila melihat Anisah. Hanya riak wajah Maya dan rakan-rakannya yang menunjukkan reaksi meluat dan cemburu.

Tumpuan kini sudah beralih pada Anisah. Masing-masing berebut untuk berkenalan dengan pelayan terbaru di Kelab Nirvana Night Life.

"Shh... Biar aku yang perkenalkan." Suara lelaki yang paling tampan di antara mereka semua. "Saya Hazman. Nak panggil Datuk Hazman boleh, Hazman pun boleh."

"Poyolah kau Man," sindir seorang rakannya.

"Yang ini namanya Khai. Kat rumah isteri dia yang berkuasa, jadi dia ke sini supaya dia dapat jadi raja." Dia memperkenalkan lelaki yang duduk di sebelahnya.

"Ewah ewah, sedapnya mulut kau. Memang tak ada insuran." Respons rakan yang diperkenalkan. Anne nampaknya begitu intim dengan lelaki itu.

"Yang ini Mat Dan. Bini dia sibuk dengan persatuan datin-datin di luar, sebab tu selalu 'tak dan' nak jumpa dia." Gurauan Hazman agak kasar tetapi boleh diterima oleh rakan-rakan yang lain.

"Yang ini Roy. Nasib dia dapat bini kaki bebel di rumah. Sebab tak tahan dia selalu lepak kelab dengan kami." Lelaki yang dimaksudkan oleh Hazman hanya menggeleng dengan ketawa kecil mendengar gurauan Hazman.

"Ini Yus, yang paling muda antara kami semua. Baru lepas berpisah dengan bini dia sebab kantoi clubbing. Sekarang dia dah tak payah berselindung atau buat alasan kalau nak join kami semua." Lelaki yang dimaksudkan oleh Hazman begitu mesra dengan Zetty yang memaut lengan lelaki itu dengan manja.

"Yang hujung tu nama dia Shah," Hazman memperkenalkan seorang lelaki yang kelihatan sudah agak berumur dengan kulit sawa matang dan bermisai. Lelaki itu tidak ceria seperti yang lain dan tidak mengendahkan rakan-rakan yang lain. "Dia moody sikit, sebab tu nampak macam buat hal sendiri saja." Bisik Hazman.

"Anise nak minum apa. Koktail? Jus?" Tanya Hazman.

"Tak apa." Anisah serba salah.

"Jangan macam tu. Kecil hati saya nanti. Saya belanja." Desak Hazman.

"Jus oren pun boleh." Jawab Anisah.

"Maya, tolong ambilkan jus oren untuk Anise." Arah Hazman.

Maya bangun dengan muka masam mencuka.

Apabila Maya sudah beredar, Hazman mengambil peluang memerhatikan kecantikan Anisah dengan mata yang rakus.

"I rasa beruntung dapat jumpa wanita secantik you," bisik Hazman di telinga Anisah. Anisah hanya tersenyum sambil Anne dan Zetty memerhatikan gelagat mereka berdua.

Setelah Maya kembali bersama jus oren untuk Anisah, Hazman kembali memberikan perhatian kepada perempuan berbaju merah itu.

***

Pengalaman pertama di Nirvana Night Life benar-benar membuka mata Anisah tentang satu sisi kehidupan yang belum pernah dia alami. Kehidupan itu begitu lompang dan sunyi di sebalik gema muzik yang menghentak gegendang telinga bersama riuh tawa manusia yang mencari kedamaian dalam kegilaan itu. Namun apa yang dicari terus hilang di dalam hiruk-pikuk yang tidak keruan. Hanya menambahkan lagi kekeliruan dan keresahan yang tidak kunjung padam.

Menjelang penghujung dinihari, ruang yang sesak di Nirvana Night Life sudah semakin susut. Para pengunjung telah ramai pulang untuk menganyam mimpi dari jaluran pelangi idaman masing-masing. Namun hakikatnya jaluran itu hanyalah mimpi ngeri dalam kabus hitam penuh duri dan toksik beracun.

Madam Vie memanggil Anisah untuk berjumpa di ruang eksklusifnya.

"Ada apa mami?" Tanya Anisah.

Tanpa membuang masa, wanita dengan penampilan ala Elizabeth Taylor itu menyerahkan sekeping sampul tebal berisi wang kertas.

"Apa ni mami?" Anisah keliru.

"Ganjaran kerana tugas yang bagus. Mami suka Anise ada di sini. Klien mami nampaknya happy dengan kehadiran Anise. Keep up the good work. Nanti lebih banyak yang mami boleh beri." Jawab Madam Vie.

Anisah rasa amat terharu. "Terima kasih mami."

***

Anisah berseorangan di bilik persalinan untuk menyalin pakaian.

Dengan tidak semena-mena pintu dibuka dan Maya masuk.

"So, apa pendapat kau tentang Datuk Hazman?" Suara Maya sambil berpeluk tubuh di hadapan Anisah.

"Kenapa kau tanya pendapat aku? Kau tentu lebih tahu pasal dia." Jawab Anisah.

"Kau jangan nak mengelak Anisah. Aku tahu kau pun ada hati dengan dia kan? Yalah, lelaki segak dan tampan macam dia. Anak Tan Sri pulak tu."

Anisah sudah mula nampak kebenaran kata-kata rakan yang lain tentang Maya.

"Kau jangan risaulah Maya. Aku layan dia sebagai klien Madam Vie saja. Tak lebih dari itu. Aku kerja di sini semata-mata untuk cari rezeki. Untuk anak-anak aku. Aku tak ada masa nak kejar benda-benda lain."

"Masa ni bolehlah kau cakap macam tu. Tapi kalau kau dah terlentuk dalam dakapan dia. Bila dia dah lafazkan madah cinta di telinga kau, dunia ni nampak penuh dengan flora yang berwarna-warni dan harum." Sindir Maya.

"Apa yang kau nak sampaikan sebenarnya Maya?"

"Kau tahu dah berapa ramai kerja di sini? Kau tahu kenapa mereka semua berhenti? Kau tahu apa yang dah jadi pada staf-staf mami yang lain? Kau tahu apa yang dah jadi pada pekerja mami yang terakhir sebelum kau?" Tanya Maya dengan raut wajah yang sungguh menjengkelkan.

Anisah tidak menjawab. Dia hanya menunggu kata-kata Maya yang seterusnya.

"Kau nak tahu tentang hidup aku? Aku dibesarkan dalam keluarga yang besar. Mak bapak aku lebih mementingkan adik-beradik aku yang lain. Dalam banyak hal aku terpaksa mengalah." Maya memulakan cerita. Anisah membersihkan mekap di wajah sambil memasang telinga.

"Kerana itu aku jadi seorang yang mementingkan diri sendiri. Dan sekarang aku bukan macam dulu lagi. Aku sudah bosan mengalah. Aku tak akan puas hati selagi apa yang aku hajatkan belum menjadi milik aku. Aku sanggup lakukan apa saja asalkan aku dapat apa yang aku nak, walaupun terpaksa melihat mangsa aku sengsara." Kata-kata Maya menyebabkan Anisah memalingkan wajah untuk melihat Maya.

"Dalam hidup aku sekarang ada satu motto saja. What Maya wants, Maya gets. Tak ada sesiapa yang dapat halang aku. Aku harap kau simpan baik-baik apa yang aku cakap dalam kepala kau. Jangan sampai menyesal." Suara Maya sebelum meninggalkan Anisah bersama berbagai perkara yang bermain di benaknya.

Sedang Anisah mengelamun mengenangkan apa yang sedang menimpa dirinya, pintu dibuka.

"Kak Anisah. Dah siap ke belum?"

"Sekejap, sekejap. Dah siap dah pun." Anisah tergesa-gesa mencapai beg untuk meninggalkan tempat itu.

***

Anisah menghulurkan beberapa keping kertas lima puluh ringgit kepada Zaiton.

"Eh, apa ni Anisah?" Zaiton memerhatikan wang yang dihulurkan.

"Ambil lah Kak Eton. Upah tolong jaga anak-anak saya."

"Apa banyak sangat. Kau tu nak pakai duit untuk anak-anak. Lagipun Kak Eton ikhlas jaga anak-anak kau."

"Masa ada ni saya berilah. Kalau dah tak ada nanti saya diam-diam aje." Anisah berkata dengan nada berseloroh.

Zaiton akhirnya menyambut wang yang dihulurkan. "Terima kasih Anisah. Dalam keadaan macam ni pun kau masih ingat pada orang lain."

Sejurus itu kedengaran bunyi hon di pekarangan rumah Anisah.

"Okeylah Kak Eton. Saya nak ke hospital dengan kawan. Nak pergi melawat."

"Yalah."

"Mama pergi dulu sayang," suara Anisah sambil mengucup ubun-ubun Suraya.

***

"Kita nak melawat siapa, Eja?" Tanya Anisah sambil mereka berdua menapak meninggalkan kawasan parkir di hospital.

"Kak Anisah ikut aje. Nanti semuanya akan terjawab."

Mereka menuju ke sebuah wad hospital yang dikhususkan untuk seorang pesakit. Kelihatan seorang wanita tua sedang terlantar bersama alat pernafasan dan saluran cecair yang disambungkan ke bahagian tubuhnya.

"Inilah mak Eja. Satu-satunya darah daging Eja yang masih hidup." Kata-kata gadis itu membuatkan Anisah terpaku.

"Macam mana boleh jadi macam ni?" Tanya Anisah.

Eja terdiam seketika sambil menghampiri tubuh ibunya.

"Lepas SPM Eja ke KL untuk sambung belajar. Satu hari tu keluarga Eja beria-ia nak jumpa Eja di kolej. Tapi hari tu Eja rasa macam tak sedap hati sambil menunggu dia orang sampai." Eja memulakan cerita sambil mengusap rambut ibunya yang terlantar.

"Eja tunggu dia orang tak sampai-sampai. Dah petang baru mak cik Eja telefon beritahu. Kereta yang ayah pandu terbabas masa berselisih dengan lori. Hanya mak Eja yang selamat. Itupun dia tak sedar daripada koma, sampai sekarang." Wajah Eja kelihatan mendung walaupun tiada air yang ditumpahkan.

"Satu hari pihak hospital buat keputusan untuk hentikan life support sebab tiada siapa nak biaya kos rawatan mak. Masa tu Eja terpaksa buat keputusan drastik dalam hidup. Eja berhenti belajar dan cari kerja untuk tanggung mak di hospital. Tapi walau macam mana kuat Eja kerja sekalipun, duit sentiasa tak cukup. Kemudian Eja jumpa seorang pekerja di Nirvana Night Life. Dia bawa Eja jumpa dengan Madam Vie. Semenjak itu Eja kerja dengan dia, dan wang untuk kos rawatan hospital sentiasa mencukupi."

"Kenapa Eja tak biarkan pihak hospital hentikan life support? Eja pernah terfikir tak kalau-kalau mak Eja setuju dengan keputusan pihak hospital."

"Entahlah kak. Saya tak tahu kenapa saya masih mahu mak ada di samping Eja. Eja rasa sejuk hati Eja bila setiap hari Eja ke sini untuk menatap wajah mak, walaupun Eja tak dapat bertentang mata dengan dia. Walaupun Eja tak dapat lihat senyum dia, atau berbual dengan dia. Eja rasa dalam keadaan ini dia masih ada bersama Eja dan mendoakan Eja, walaupun hakikatnya dia sedang koma."

Dalam pada itu Anisah sedar pengorbanan yang telah dibuat oleh Eja untuk seorang yang bergelar ibu.

'Hanya mereka yang tahu nilai kehadiran seorang ibu yang masih bernyawa sahaja yang dapat menghargai nikmat itu.' Hati Anisah membuat deduksi selepas apa yang dilihat.

***

Usai menziarahi ibu Eja di hospital, mereka berdua pergi ke sebuah restoran.

Trut! truuut!

Telefon bimbit Anisah berbunyi ketika mereka menunggu hidangan tiba. Anisah melihat nombor yang terpampang di skrin tanpa nama pemanggil.

"Siapa kak?"

"Entah. Tak pernah tengok pun nombor ni."

"Helo."

"Helo Anise. Ini Datuk Hazman. You sibuk ke hari ni?"

"Ada apa datuk?"

"Tak ada apa. Cuma kalau you free boleh I ajak you keluar petang ni. Semenjak kita jumpa semalam, I asyik ingat kat you. Rindu I semakin membara."

"Saya ada benda nak settle sekarang ni datuk. Nanti kalau dah selesai saya call datuk, okey?"

"Okey, bye Anise." Suara datuk hazman sebelum perbualan ditamatkan.

"Kenapa kak?" Tanya Eja.

"Bala." Jawab Anisah dengan selamba.

"Bala?"

"Datuk Hazman telefon akak. Macam mana dia dapat nombor telefon ni?"

"Biasalah tu. Mungkin Madam Vie yang bagi. Klien punya pasal. Dia nak apa?"

"Dia nak ajak akak keluar."

"Bahaya tu kak. Kalau Si Maya tahu boleh jadi perang dunia. Datuk Hazman memang macam tu. Playboy." Eja memberikan buah fikirannya.

"Tapi kenapa Si Maya terhegeh-hegeh dengan lelaki macam tu?" Tanya Anisah.

"Itulah masalahnya sekarang. Datuk Hazman memang pantang nampak daging baru di kelab. Maya pulak nak Datuk Hazman jadi milik dia sorang. Akibatnya orang baru macam kakak yang jadi mangsa. Dan entah berapa ramai lagi pekerja yang dah tinggalkan kelab. Itulah sebenarnya masalah di Nirvana Night Life ni kalau akak nak tahu." Terang Eja.

Anisah tenggelam dalam lamunan memikirkan pergolakan yang sedang dihadapi.

'Orang macam Maya kena diajar.' Minda Anisah cuba mempengaruhinya secara tiba-tiba.

Previous: Bab 7 Kelab

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.