Pagi-pagi lagi Pak Majid sudah
tiba di rumah mewah di Dastar Perdana itu bersama hidangan sarapan yang dipesan
oleh Anisah.
“Pak Majid tak minum dulu. Nanti
saya ambilkan kopi.” Pelawa Anisah.
“Eh, tak payahlah puan. Lagipun
nak ke pejabat sebentar lagi. Peguam nak ke sini untuk bincangkan hal wasiat
arwah Encik Jalaludin.” Jawab Pak Majid.
“Janganlah macam tu Pak Majid.
Arwah suami dulu pun selalu ajak Pak Majid minum. Pak Majid tunggu di sini.
Nanti saya ambilkan kopi.” Anisah bersungguh-sungguh.
Tidak lama kemudian Anisah tiba
bersama kopi dan kuih di anjung yang dikhaskan untuk para tamu bersantai di
luar rumah.
“Saya segan betul dengan puan dan
arwah Encik Jalaludin. Saya ni pemandu saja, tapi dilayan macam kawan-kawan.”
Suara Pak Majid penuh rendah diri.
“Kenapa nak dibezakan? Arwah
selalu pesan dengan saya dulu. Hidup ni macam kitaran roda. Ada
masa kita naik, ada masa turun. Jangan masa kita turun baru nak buat baik
dengan semua orang. Saya akan ingat pesanan arwah sampai bila-bila.” Jawab
Anisah.
“Saya memang kagum dengan arwah.
Dengan puan pun sama. Jarang saya tengok isteri orang berada macam puan ni
ambil tahu urusan rumahtangga. Pembantu rumah pun datang beberapa kali seminggu
saja untuk bantu puan. Anak-anak semua makan masakan air tangan puan sendiri.”
“Entahlah. Saya sebenarnya rasa
bersalah kalau serahkan semuanya pada orang lain. Takut saya yang tak tahu nak buat
apa di rumah nanti.” Jawab Anisah beralas.
“Saya betul-betul rasa kehilangan
bila arwah dah tak ada.” Kata Pak Majid selepas menyisip kopi.
“Saya dah kenal dia semenjak dia
bujang lagi. Orangnya memang tak pernah berkira dengan saya. Dia ambil saya bekerja
masa saya tengah susah dulu. Tengah sesak. Masa tu saya dan orang rumah memang
tengah kesempitan sebab ekonomi gawat. Selepas bekerja dengan dia,
alhamdulillah rezeki murah.” Sambung Pak Majid lagi.
“Bermakna Pak Majid memang dah
lama kenal arwah suami saya.” Anisah sedar dia hanya mengetahui banyak perkara
selepas ketiadaan suaminya.
“Memang puan. Sebelum Syarikat
Ikatan Waja ditubuhkan lagi. Masa tu saya jadi pengawal sekuriti di syarikat
arwah bekerja. Kalau ada masalah memang dia selalu berkongsi dengan saya. Macam
kawan rapat.” Pak Majid bercerita sambil tersenyum, seolah-olah mengenang
detik-detik gembira bersama Jalaludin.
“Dia selalu bercerita dengan saya
tentang syarikat yang dia bina bersama Encik Rafiq. Encik Jalaludin
berkepakaran di bidang kejuruteraan. Encik Rafiq memang mahir bidang kewangan.
Dia financial controller di syarikat
yang sama dengan arwah suami puan. Gabungan mereka berdua memang mantap. Encik
Jalaludin dapatkan klien. Encik Rafiq rangka strategi untuk syarikat. Sampai mereka
berdua dapat Anugerah Enterprise 50.” Penerangan Pak Majid menyebabkan Anisah
teringat tentang Anugerah E50 yang disebut oleh arwah suaminya tempoh hari.
“Agaknya dah memang rezeki mereka
berdua. Syarikat makin maju dan terkenal.” Pak Majid berhenti lagi untuk
menyisip kopi.
“Pak Majid tau tentang masalah
arwah suami saya dengan rakan kongsi dia?” Anisah cuba
mengorek rahsia.
“Ada
juga dia bercerita dengan saya. Kadang-kadang melalui perbualan telefon arwah
dengan Encik Rafiq dan pekerja syarikat saya dapat baca apa yang sedang
berlaku.” Jawab Pak Majid.
“Apa sebenarnya yang dah
berlaku?” Tanya Anisah.
“Selepas syarikat jadi terkenal
dan maju, Encik Rafiq mula selesa dengan keadaan. Dia rasa berpuas hati dengan
kejayaan syarikat. Sedangkan dalam bisnes ada masa kita naik, ada masa kita
turun. Keselesaan itu yang menyebabkan dia mula mengabaikan syarikat. Tinggal
Encik Jalaludin seorang bertungkus-lumus mempertahan kredibiliti syarikat.” Pak
Majid menerangkan seperti seorang pemerhati yang mahir tentang perniagaan.
“Tapi semenjak beberapa bulan
lepas keadaan ekonomi mula goncang. Syarikat perlukan modal yang banyak untuk
terus bertahan. Rafiq mengabaikan tugas sampai syarikat tak cukup modal
pusingan. Bila terdesak dia nak dapatkan hasil segera dengan melabur dalam skim
haram. Encik Jalaludin tak setuju. Ini kes beberapa bulan lepas. Semenjak tu
saya dengar mereka berdua dah tak berapa ngam. Pekerja syarikat pun dah macam
ada dua puak. Satu bela Encik Jalaludin, satu lagi menyebelahi Encik Rafiq. Tapi
saya tak sangka sampai boleh jadi macam ni.” Suara Pak Majid dengan nada kesal.
“Pak Majid rasa ada kemungkinan
tak Rafiq terlibat dalam kes kemalangan maut suami saya?” Tanya Anisah.
“Itu saya tak berani tuduh. Tapi
daripada bukti yang ada, memang menuju ke arah itu.” Jawapan Pak Majid
menyebabkan Anisah termenung.
“Saya rasa tanggungjawab puan
besar kalau terpaksa ambil alih tugas arwah suami puan. Puan perlu
berhati-hati.” Jawapan Pak Majid seperti nasihat bercampur amaran kepada
Anisah.
“Eh, saya kena ke ofis. Nak
jemput peguam datang ke sini.” Kata-kata Pak Majid sebelum menghabiskan kopi di
cawan.
Usai Pak Majid meninggalkan
pekarangan rumah, Anisah terus duduk termenung di situ. Legasi yang
ditinggalkan oleh Jalaludin amat besar untuk dipikulnya.
‘Adakah mampu aku melalui semua
ini?’ Anisah tenggelam dalam refleksinya.
***
Pak Majid tiba di rumah dengan
Mercedez-Benz kelas R berwarna hitam. Seorang lelaki kelihatan segak dengan
kemeja lengan panjang putih bertali leher dan berkaca mata.
Anisah dan lelaki itu duduk di
ruang tamu. Anisah mengamati wajah lelaki itu yang kelihatan muram seperti ada
sesuatu yang tidak kena.
“Saya Adnan, peguam syarikat
Ikatan Waja. Saya ditugaskan ke sini untuk membacakan wasiat arwah Encik
Jalaludin kepada puan.” Lelaki itu memulakan bicara selepas mengeluarkan
dokumen dari dalam beg bimbitnya.
“Saya sebenarnya datang dengan
berita baik dan berita buruk. Tapi saya mulakan dengan berita baik dulu.” Suara
peguam itu menimbulkan kemusykilan di hati Anisah.
‘Tak ada berita buruk yang lebih
besar lagi daripada kematian suami aku.’ Bisik hati kecil Anisah.
Peguam itu mula membacakan surat
wasiat tentang pembahagian harta kepada Anisah dan anak-anaknya. Tentang rumah
dan segala aset yang ada.
‘Kenapa peguam ni baca sambil
lewa seperti terpaksa?’ Hati Anisah berteka-teki.
“Sekarang sampai kepada berita
buruk.” Kata-kata peguam itu yang menambah debar di dadanya.
‘Ya Allah. Berikan aku kekuatan
untuk hadapi semua ini.’ Anisah berdoa dalam diam.
“Ada
berlaku penyelewengan dalam syarikat. Antaranya pemindahan wang daripada akaun
Encik Jalaludin ke satu akaun lain dan pemindahan aset syarikat kepada nama
Encik Rafiq. Encik Rafiq sekarang telah hilang entah ke mana. Begitu juga orang
bawahan yang dipercayai bersekongkol dengan dia. Kali terakhir Encik Rafiq
dilihat adalah di lapangan terbang KLIA. Dia ke luar negara berdasarkan
maklumat yang saya dengar. Akaun atas namanya dalam negara juga sudah ditutup.
Begitu juga akaun-akaun yang digunakan untuk melobi harta syarikat.” Anisah
seperti bermimpi mendengar penerangan peguam itu.
“Syarikat sekarang dalam keadaan
gawat dan mungkin akan dibubarkan. Segala harta syarikat akan dibekukan dan
akan digunakan untuk menyelesaikan hutang-hutang yang ada.” Kata-kata peguam
bernama Adnan itu menyebabkan tubuh Anisah longlai. Dia tergamam seketika,
tidak mampu bersuara.
“Takkan tak ada satu sen pun
untuk kami sekeluarga? Bagaimana dengan tuntutan insurans?” Anisah bersuara
selepas semangatnya pulih kembali.
“Kes kemalangan sekarang sudah
jadi kes polis kerana dipercayai kemalangan ini disengajakan. Pihak insurans
memang akan berhati-hati sebelum memenuhi tuntutan seperti ini. Mungkin puan
akan dapat wang itu atau mungkin tidak. Kalau dapat pun mungkin lambat lagi.”
Kata-kata peguam itu seperti mahu menyedapkan hati Anisah.
‘Mungkin memang tipis harapan aku
untuk dapat wang insurans ini.’ Hati Anisah gelisah.
“Mustahil tak ada satupun yang
ditinggalkan untuk kami?” Tanya Anisah.
“Kalau melalui syarikat memang
tak ada. Kalau adapun mungkin akaun persendirian Encik Jalaludin.” Jawapan
peguam itu menambahkan kegusaran hati Anisah.
Ketika itu timbul rasa menyesal
kerana tidak mengendahkan hal ini semasa Jalaludin masih ada. Selama ini dia
menyerahkan urusan bulat-bulat kepada suaminya. Langsung dia tidak terfikir
perkara seperti mungkin akan berlaku.
“Rumah ni bagaimana?” Tanya Anisah
lagi.
“Saya khuatir tiada insurans yang
dibuat atas rumah ini jika berlaku perkara seperti ini. Jika rumah ini tak
mampu dibayar ansuran bulanannya, ia akan disita. Saya cadangkan puan
tinggalkan rumah ini sebelum terlambat.”
Rasa cemas menghurung Anisah.
Ketakutan dan kekalutan berbaur bersama tubuh yang menggigil. Air matanya hanya
menunggu masa untuk tumpah.
‘Apa yang sedang berlaku pada
hidup aku sekarang. Mula-mula aku kehilangan suami. Sekarang aku kehilangan
segala hasil pencarian arwah. Ya Allah, berat sungguh dugaanmu.’ Anisah
beremosi.
Anisah terlantar di sofa selepas
peguam meninggalkan rumah bersama berita yang amat getir untuk ditelan.
‘Bagaimana akan kusampaikan
berita ini kepada Marissa, Benjamin dan anak-anak aku yang lain? Mampukah
mereka menerima hakikat bahawa kehidupan kami sedang menempuh badai gelora yang
terlalu menggila? Mampukah kami melalui semua ini sehingga malapetaka ini reda?
Bilakah ia akan reda? Adakah ia akan reda?’ Hati Anisah diracun was-was bagai
lalat menghurung bangkai.
***
Setelah peguam Adnan beredar, Anisah
mengatur rancangan untuk dia dan anak-anak. Dia perlu mencari tempat lain
sebelum rumah ini disita oleh pihak bank.
Anisah sudah bernekad. Walau
apapun yang terjadi, dia tidak akan melibatkan ibu dan bapa mertuanya. Tindakan
melibatkan mereka hanya mengundang padah. Jika tersilap langkah, dia akan
hilang hak penjagaan ke atas anak-anaknya selama perkongsian hidup bersama
Jalaludin.
Anisah membuat keputusan
menelefon ibu tirinya.
“Assalamualaikum mak.” Ucap
Anisah.
“Waalaikumsalam. Ada
apa Anisah?” Suara lembut Salbiah, ibu tirinya di talian.
“Mak, Anisah ada masalah.
Syarikat arwah Abang Jalaludin kena seleweng. Habis wang dan harta dia kena
tipu.” Kata-kata Anisah penuh pengharapan.
“Kenapa sampai macam tu sekali?”
“Saya syak ini semua kerja rakan
kongsi dia, Si Rafiq. Duit dalam akaun bank semua dah lesap. Rumah ni pun
Anisah tak tahu macam mana nak bayar sekarang ni.” Suara Anisah sebak.
“Habis kau tak ada simpanan
kecemasan? Takkanlah tak ada.”
“Saya silap dulu mak. Semua saya
serah pada Abang Jalaludin. Menyesal saya tak ambil tahu hal ni semua.”
“Jadi apa kau nak buat sekarang?”
Tanya Salbiah.
“Anisah nak minta izin untuk kami
berenam tinggal dengan mak. Sambil tu saya akan usaha jualkan apa yang patut
untuk kegunaan kami.” Suara Anisah memohon belas simpati.
Salbiah berdiam diri. Kemudian
dia berkata, “Nanti mak bincang dengan kakak-kakak kau.”
Selang setengah jam kemudian
Anisah menerima panggilan daripada ibu tirinya. Apa yang didengar langsung
tidak pernah terjangkau oleh pemikirannya yang waras.
“Anisah, Anisah. Tak sangka nasib
kau jadi macam ni ya? Aku dah lama tunggu peluang nak cakap dengan kau macam
ni. Tapi kemewahan yang kau dapat lepas kahwin dengan Jalaludin dulu
menyebabkan aku tutup mulut. Untuk jaga kepentingan aku.” Kata-kata Salbiah
membuatkan Anisah terkedu.
“Kau tahu kenapa aku kahwin
dengan bapak kau? Apa lagi kalau bukan kerana harta dia. Bila dia dah mati
semua harta dia serahkan pada aku. Harta atas nama kau pun aku dah tukar pada
nama kami bertiga.” Kaki Anisah terasa lemah dengan perubahan mendadak pada ibu
tirinya.
“Selepas kau kahwin dengan lelaki
kaya macam Jalaludin, kau ingat kami senang hati. Kami sebenarnya mencari
peluang untuk tumpang senang dengan kekayaan yang kau ada. Tapi sekarang
semuanya sia-sia. Kau jangan haraplah aku akan serahkan sesenpun pada kau dan
anak-anak kau. Membazir harta aku saja.”
“Sampai hati mak cakap macam tu.”
Air mata sudah berjuraian di mata Anisah.
Tidak cukup dengan itu,
kakak-kakak tiri Anisah turut mengambil peluang berbicara dengannya.
“Kau nak tahu Anisah. Aku dulu
cemburu dengan kau. Aku hairan tengok perempuan macam kau boleh kahwin dengan
lelaki tampan dan kaya macam Jalaludin tu. Tapi sekarang aku puas hati dengan
nasib kau ni. Agaknya Tuhan makbulkan permintaan aku.” Sindir Orkid sambil
tertawa sinis. Selama ini dia begitu bermanis muka dengan Anisah.
“Aku minta maaf Anisah. Untuk aku
berkongsi rumah dengan kau dan anak-anak kau, memang jauh panggang dari api.
Terutamanya anak kau yang down syndrome
tu. Iiih, tak tergamak aku.” Tambah Dahlia.
Anisah tidak dapat menahan perasaan lagi. Usai meletakkan telefon ke gagang. Dia meraung dalan tangisan semahu
hatinya.
‘Sampai hati mak dan kakak cakap
macam tu dengan aku. Selama ni aku sangka benar-benarlah hati mereka tulus dan
mulia. Rupa-rupanya itu semua hanya lakonan sandiwara.’ Anisah terjelepuk di
lantai ketika itu bersama mata yang sudah merah dan bengkak.
***
Petang itu Pak Majid datang ke
rumah. Mata Anisah masih lagi bengkak kerana melayan tangisan yang terlalu
lama.
“Saya bersimpati atas nasib
puan.” Pak Majid memulakan bicara.
“Tak payah berpuan-puan lagi
dengan saya Pak Majid. Saya dah tak ada apa-apa lagi sekarang ni. Rumah ni pun
tak lama lagi akan kena tarik oleh pihak bank. Ke mana saya dan anak-anak nak
bawa diri pun saya tak tahu.” Suara Anisah sudah mula berubah akibat sebak yang
mencengkam dada. Air mata yang tiris diseka dalam esak.
Pak Majid menarik nafas dalam.
Mungkin dia dapat rasakan penderitaan yang sedang dialami oleh isteri bekas
majikannya.
“Walaupun arwah dah tak ada dan andai
kata saya tak bekerja dengan puan lagi, saya tetap akan ambil tanggungjawab
atas puan sekeluarga. Inilah saja cara untuk saya membalas jasa arwah kepada
saya dulu. Saya dapat rasa apa yang puan rasa sekarang. Dan saya tahu perasaan
bila orang lain tak ambil endah masalah saya. Pada masa tu dulu hanya Encik Jalaludin saja yang sanggup duduk
dan mendengar masalah saya. Sekarang giliran saya pula buat benda yang sama.
Walaupun bukan pada dia, tapi pada orang yang dia kasihi. Selagi mampu saya
akan cuba bantu
Puan Anisah.” Kata-kata Pak Majid membuatkan air mata Anisah mengalir makin
deras.
“Saya ingat macam nilah puan. Apa
kata puan selesaikan segala urusan yang ada dalam rumah ni. Bila dah sedia,
puan pindah saja ke rumah pusaka saya di kampung. Rumah tu harta peninggalan
arwah ibu dan ayah saya. Adik-beradik semua dah ada rumah sendiri, jadi rumah
tu terbiar kosong. Keadaannya agak uzur sikit. Tapi kalau dibersihkan, bolehlah
jadi tempat berteduh puan sekeluarga.”
“Eh, Pak Majid tak boleh buat
macam tu. Itu rumah pusaka, kena bincang dengan adik-beradik dulu.” Anisah
serba salah.
“Tentang itu puan jangan risau.
Saya tahu bagaimana nak ambil hati adik-beradik saya nanti.” Jawapan Pak Majid
penuh keyakinan.
Anisah dapat lihat ada sinar
mentari mengintai dari celah-celah awan gelap ketika badai sedang menggila ini.
***
Anisah duduk termenung sendirian
malam itu ketika anak-anaknya telah pun tidur. Dia duduk di tangga merenung
bulan bersama samar cahaya yang disimbah dalam kesunyian malam. Kesamaran
cahaya mencelah menerusi tingkap, sebagaimana samarnya masa depan yang sukar
dijangka ini. Detik-detik yang dilalui akhir-akhir ini rupa-rupanya adalah
peralihan besar dalam hidupnya. Perjalanan bersama lima
orang cahaya mata yang berada di sisinya.
Pelbagai peristiwa siang tadi
bermain di retina matanya seperti siaran televisyen yang datang dan pergi tanpa
perlu dia menukar siaran. Dia hanya membiarkan ia singgah dan berlalu bersama
dada yang sempit terhimpit dan air mata yang mengalir tanpa disedari
kehadirannya.
Kini tiada kepastian lagi dalam
hidup Anisah. Dia hanya berharap jiwanya benar-benar kuat untuk menghadapi
semua ini. Dia perlu tabah demi anak-anak yang terkapai-kapai mencari dahan
untuk berpaut di saat seperti ini.
“Ya Allah. Berilah aku ketabahan
menghadapi semua dugaan ini.” Suara lirih Anisah bersama mata yang masih merah
membengkak.