"Dah lama
akak menyusahkan Eja. Setiah hari terpaksa ambil dan hantar akak." Anisah
memulakan perbualan ketika Proton Saga hitam itu meluncur senja itu.
"Apa ni
kak? Eja tak kisah pun. Akak aje yang fikir bukan-bukan."
"Yalah. Eja
dah banyak berkorban untuk akak. Takkan sampai bila-bila macam ni."
"Jangan
fikir semua tu kak. Saya ikhlas."
"Kalau ada
kereta sendiri kan senang. Tak payah menyusahkan orang. Nak bawa anak-anak ke mana-mana pun mudah."
"Bagus juga
idea akak tu. Cari kereta second hand pun okey."
"Tapi akak
nak kena belajar kereta dulu lah."
"Akak belum
ada lesen memandu?"
"Ada."
"Buat apa
nak belajar lagi?"
"Akak tak
yakin. Dah lama tak pegang stereng. Cuaklah rasanya."
"Oh, kalau
macam tu saya boleh tolong. Nanti akak beritahu saya bila akak lapang. Saya
bawa akak pergi kelas memandu. Lepas tu kita ke JPJ perbaharui lesen memandu
akak. Kat pejabat pos pun boleh. Ada masa lagi nanti kita cari kereta yang
sesuai. Yang penting tak membebankan bayar bulan-bulan. Saya ada kawan yang boleh
rekomen kereta yang tak banyak maintenance."
"Okey,
terima kasih Eja." Anisah tersenyum simpul.
***
Anisah menunggu
masa yang sesuai untuk menghampiri Dato' Shah. Apabila lelaki itu berseorangan
di kerusi hujung, Anisah duduk di sebelahnya.
"Kenapa
duduk sini? Tak puas lagi kena dengan aku?" Dato' Shah berkata-kata tanpa
mengendahkan Anisah yang ada di sebelah.
"Rasa tak
puas lagi dengar apa yang Dato' dah cakap hari tu." Anisah sekadar
mengusik.
"Wah, kau
betul-betul tahan telinga ya? Jarang aku jumpa perempuan macam kau."
"Dato' pun
apa kurangnya. Licik mengalahkan belut."
"Aku tak
pasti sama ada itu satu pujian atau penghinaan." Dato’ Shah tersenyum
sinis.
Anisah ketawa
kecil.
"Apalah
Dato' ni. Bukan sebab itu saya ke sini."
"Habis
sebab apa? Sebab kau nak suruh aku hentikan semua kegiatan aku? Supaya aku serah
diri dan mengaku segala yang aku pernah buat. Macam tu?"
"Dato',
Dato'... makin lama makin geli hati saya dengan perangai Dato'."
"Kalau
macam tu, kau beritahu apa yang kau nak sebenarnya?" Dahi Dato' Shah mula
berkerut.
"Sebenarnya
saya datang sini sebab ada sesuatu yang saya nak beritahu."
"Apa
dia?"
"Saya dah
fikirkan apa yang Dato' katakan."
"Dan,"
Dato' Shah kelihatan tidak sabar menunggu.
"Dan saya
rasa ada benarnya kata-kata Dato'. Saya selama ni telah menyia-nyiakan apa yang
saya ada. Saya terima tawaran Dato'." Kata Anisah sambil memandang tepat
ke wajah Dato' Shah.
Senyuman lebar
mewarnai wajah lelaki yang biasanya serius itu. Dia lantas menarik lembut bahu
Anisah hingga rebah di bahu jantannya.
Sedikit pun
Dato' Shah tidak tahu bahawa Anisah sudah mengatur rancangan yang istimewa
untuk dirinya.
***
Dato' Shah
kelihatan begitu ceria malam itu.
"Anise,
order lagi air untuk semua. Malam ni saya belanja." Suara Dato' Shah
begitu beria-ia.
"Wah, Shah.
Kau betul-betul jolly sakan malam ni."
Usik Dato' Hazman.
"Kau ni
macam tak fahamlah Man. Buaya dah dapat habuan besar punya. Pucuk dicita ulam
mendatang." Suara Mat Dan disambut gamat tawa mereka. Anisah sudah ke bar
untuk membuat pesanan.
"Aku jealous dengan kau Shah. Aku aim dulu, kau pulak yang dapat."
Usik Dato' Hazman sambil menjeling Maya.
Maya segera
menampar manja bahu Dato' Hazman.
"I gurau
sayang. You're still my number one."
Dato' Hazman mengenyit mata kepada Maya. Bahu jantannya lantas dipaut manja.
"Kau pakai
ilmu apa Shah? Selama ni dia jual mahal dengan kau?" Khai mencelah.
"Hehe...
itu rahsia. Orang dah berumur macam aku aje yang tahu."
"Oh, sedar
jugak kau diri tu dah tua ya? Tapi menggatal bukan main lagi. Pantang nampak
dahi licin sikit." Roy mengutuk dengan selamba.
"Tak
payahlah kau nak mengata aku macam-macam. Aku tahu kau jealous kan?"
"Huh, tak
ada maknanya nak jealous dengan
kau." Roy menjawab.
Ketika itu
Anisah tiba bersama hidangan air mereka.
"Untuk
Shah. Semoga panjang umur dan bertambah muda remaja." Yus mengangkat gelas
dan diikuti oleh yang lain.
Dato' Shah
memaut bahu Anisah sambil tersengih.
***
Tengah hari itu
Dato' Shah datang menjemput Anisah. Kereta Mercedes-Benz hitam menjalar di
pekarangan rumah.
"Siapa tu
Anisah?" Zaiton melihat dengan wajah terkejut. Tadi dia terkejut setelah
melihat cara Anisah berpakaian. Jauh berbeza berbanding penampilan bertudung
semasa mula pindah ke rumah itu semula. Sekarang dia begitu berani mengenakan
baju pendek sebegitu.
"Ada klien
syarikat. Dia ajak makan tengah hari sambil bincang urusan kerja." Anisah
berdalih.
"Biar betul
kau." Zaiton mula curiga.
"Okeylah
Kak Eton. Saya pergi dulu. Nanti kalau Marissa dah balik, biar dia tolong
jagakan Suraya." Anisah malas melayan Zaiton.
"Mama pergi
dulu sayang," Anisah memagut ciuman ke dahi Suraya.
Zaiton hanya
memerhatikan Anisah bersama seribu satu soalan menujah benaknya. Tentang Anisah
dan kerjayanya.
***
Anisah dan Dato'
Shah seperti pasangan yang dilamun cinta. Puas mereka memanjat pelbagai kedai
di KLCC sehingga tangan Anisah sudah tidak mampu menjinjing semua beg dari
gedung yang mereka kunjungi. Pelbagai jenis pakaian dan aksesori dari pelbagai
butik. Ada juga pakaian atau mainan untuk anak-anak Anisah.
"Susah-susah
aje Dato' belikan semua ni untuk Anise." Suara manja Anisah sambil memaut
lengan mantap Dato' Shah yang memegang pelbagai beg dengan pelbagai nama gedung
di KLCC.
"Tak payah
berdato' dengan saya. Panggil abang aje. Untuk Anise sayang, apa-apa pun abang
sanggup." Senyuman Dato' Shah menampakkan barisan gigi yang berseri.
Anisah
merebahkan pipinya ke bahu lelaki itu dengan manja.
***
"Bila kita
dapat bersama, Anise?" Dato' Shah memecahkan kesunyian mereka dalam
perjalanan pulang dari KLCC.
"Eh, kita
kan dah bersama ni?" Usikan nakal Anisah.
"Hai, buat
tak faham pulak sayang ni." Keluh Dato' Shah.
"Sayang
fahamlah. Saja nak usik abang." Anisah mengusap manja bahu Dato' Shah.
Terus berderau darah lelaki itu.
"Sabarlah
bang. Abang kena buktikan cinta abang dulu. Janganlah gelojoh bang...,"
Suara Anisah persis seorang penggoda.
"Wah, challenging betul ni. Macam adventure pulak." Sindir Dato'
Shah.
"Mestilah.
Barang baik..." Kata-kata Anisah menyebabkan mereka berdua berderai dengan
tawa.
***
Ketika Anisah
pulang, anak-anaknya sedang menunggunya dengan wajah yang muram dan masam.
"Hai
anak-anak mama. Tengok mama bawakan macam-macam hadiah untuk semua. Yang ni
untuk Marissa. Ini untuk Ben. Untuk Umai... Firdaus... Dan yang ini untuk
Yaya."
Anisah
mengagih-agihkan hadiah yang mahal itu tetapi tiada reaksi teruja daripada
anak-anaknya. Padahal telah lama mereka tidak menerima hadiah sebegitu.
Semenjak hidup mereka berubah dengan pemergian Jalaludin.
"Kenapa
semua ni? Tak suka ke?" Anisah kehairanan.
"Mama, ada
kawan kat sekolah kata mama kerja GRO. Betul ke?" Berderau darah Anisah
dengan soalan panas Benjamin.
Anisah tergamam.
"Betul ke
mama?" Wajah Marissa begitu serius dengan soalan itu.
Anisah rasa
dirinya seperti suspek yang sedang disoal siasat.
"Mari sini
semua." Anisah memberi isyarat supaya anak-anaknya duduk hampir dengannya.
"Mama
lakukan semua ini kerana kamu. Mama tak sanggup kamu semua dalam keadaan susah.
Biarlah apa orang kata sekalipun, mama cari rezeki hasil titik peluh mama
sendiri."
"Tapi
kenapa GRO mama? Tak ada kerja lain ke? Kerja yang tak jijik macam tu?"
Selar Benjamin.
"Jijik?
Mama cuma kerja sebagai pelayan kelab. Tak lebih dari itu Ben." Anisah
cuba membela diri.
"Habis
siapa lelaki yang hantar mama dengan kereta Mercedes tadi? Takkan siang pun
mama kerja lagi."
Anisah
serba-salah dengan soalan Marissa. Dia tidak sangka terpaksa menerangkan kepada
mereka dalam keadaan seperti itu.
"Mama tak
dapat nak terangkan kepada kamu semua sekarang. Tapi mama nak kamu semua
percayakan mama. Mama tak buat kerja-kerja yang tak elok macam yang kamu
dengar. Buat apa nak layan kata-kata orang lain. Masa kita susah ada orang yang
datang nak tolong kita? Kita yang kena tolong diri kita sendiri. Kita yang kena
ubah nasib kita sendiri." Anisah cuba menerangkan.
"Tapi tak
boleh ke mama cari kerja lain? Kenapa kerja di kelab? Kami malu kena kata kat
sekolah. Tolonglah mama." Marissa merungut.
"Mama
memang akan cari kerja lain. Tapi buat masa ni, inilah yang mama termampu.
Sekurang-kurangnya mama ada bersama kamu semua masa siang. Tolonglah faham
keadaan mama. Mama merayu."
Anak-anaknya
terdiam. Seolah-olah sedang cuba memahami dilema yang dihadapi oleh Anisah.
"Mari sini
semua. Peluk mama."
Anisah rasa lega
kerana dia dapat menenangkan anak-anaknya ketika ini. Tubuh mereka dipeluknya
erat.