Home Novel Cinta Jodoh Yang Kucari
BAB 21

21

 

MERIAH menyelubungi suasana. Para tetamu yang hadir hampir kesemuanya tersenyum riang meraikan raja sehari. Namun di sebalik keriangan itu, terlihat seorang lelaki yang sudah memuncung bibirnya.

“Adik, janganlah buat perangai. Senyumlah sikit,” pujuk Suhailah kepada adik bongsunya.

Namun Aliif masih mencuka wajahnya, menunjukkan protes terhadap apa yang sedang berlaku di persekitarannya. Sedari pagi mereka menjejakkan kaki ke rumah Pak Alangnya ini, ada sahaja mulut-mulut jahat yang memperli akan status kakaknya itu. Terasa berdesing telinganya setiap kali istilah ‘andartu’ dilabelkan kepada kakak tunggalnya itu.

“Adik… tolonglah…”

“Akak ni memang tak ada perasaankan! Pak Alang dengan geng-geng celupar dia tu hina akak pun, akak boleh diamkan! Adik tak fahamlah.” Belum sempat Suhailah menghabiskan bicaranya, Aliif terlebih dahulu mencelah.

“Apa yang adik tak faham?” Seraya menuturkan persoalan itu, Suhailah menarik lengan Aliif menjauhi ibu, abah dan adik keduanya.

Haikal yang sedari tadi tahu akan bahang yang terperangkap di dada adik bongsunya itu akibat kata-kata perlian Pak Alang dan beberapa rakannya, hanya membiarkan sahaja kakak sulungnya itu membawa Aliif menjauhi mereka.

“Mana adik dengan kakak kamu?” Sedikit tegas pertanyaan Jaafar.

“Mungkin adik temankan akak pergi tandas kot.” Hanya alasan itu sahaja yang terlintas di fikiran Haikal, lantas diluahkan. Bukan niatnya untuk berdusta, tetapi pada pengiraannya alasan itulah yang terbaik bagi menyelamatkan suasana.

“Bagus juga budak tak guna tu tak ada,” sinis benar bicara Jaafar kali ini.

Berdesing telinga Asiah mendengarnya. Cepat sahaja mulutnya terbuka untuk menuturkan kata-kata.

“Siapa yang tak guna! Awak jangan sedap-sedap mulut je, nak hina anak saya!” amaran diselitkan di akhir bicara.

“Ibu, abah… dahlah tu. Seganlah orang tengok.” Segera Haikal menenangkan semula suasana saat dilihat abahnya itu bagaikan ingin membalas semula tuturan keras ibunya sebentar tadi.

Jaafar mendenguskan nafas berat sebelum mengatur langkah laju. Amarah yang sedang membuak-buak dikedapkan di dalam dadanya. Andai tidak diikutkan yang dia sedang berada di rumah adiknya tika ini, memang habis diganyang-ganyangnya mulut isterinya itu!

Air mata Asiah tumpah lagi. Segera dikesat agar tidak terkesan oleh orang sekeliling.

“Sabar ibu… sabar,” pujuk Haikal.

“Mana ada ibu yang sanggup mendengar anak kandungnya sendiri dihina dan dicaci oleh orang yang bergelar bapa… ibu boleh tahan lagi bila Pak Alang dengan Mak Alang kau tu perli-perli kakak kau tadi. Tapi… bila abah kau yang hina kakak kau, ibu dah tak boleh tahan.” Air mata Asiah terus juga mengalir lesu biarpun dihapuskan berkali-kali.

Haikal mengusap-usap perlahan bahu ibunya, “Sabar ya ibu… jom kita pergi minum. Biar tenang sikit hati ibu.”

“Ibu tak nak minum! Ibu nak balik.” Ternyata kali ini, hati Asiah sudah benar-benar terluka.

“Baiklah, kalau ibu nak balik. Kita minum dulu. Lepas tu kita cari akak dan kita balik ya.” Masih sabar Haikal memujuk ibunya itu.

Asiah masih mematungkan dirinya.

“Ibu… tak baik kita tidak menjamah sedikitpun makanan yang disediakan oleh tuan rumah. Islam tidak pernah mengajar kita untuk bersikap seperti ini.”

“Habis tu Islam ada ke mengajar ‘tuan rumah’ untuk menghina tetamu yang datang? Dahlah orang yang dihina itu anak buahnya sendiri! Ada ke Islam ajar tu semua? Ada?” Berombak dada Asiah melempiaskan amarahnya.

‘Astaghfirullahal azhim.’ Bergema istighfar di hati Haikal.

“Ibu… kita minumlah sikit. Lepas tu kita balik ya.” Haikal berharap kelembutan di dalam pujukan terakhirnya mampu mencairkan semula hati ibunya itu.

Diam. Tiada sepatah kata pun terlahir di bibir tua Asiah. Hanya kelenjar air matanya sahaja yang masih menggugurkan permata.

“Ibu…” Lembut benar panggilan itu Haikal tujukan buat ibunya dan bahu tua itu masih diusapnya. Tidak dihiraukan tetamu yang menjeling sekali-sekala ke arah mereka.

“Lepas minum kita terus balik!” Habis menuturkan kata-kata itu, Asiah mengatur langkahnya.

Syukur terluah di hati Haikal.

 

SUHAILAH membawa Aliif ke sebatang anak sungai yang berada di belakang rumah Pak Alangnya. Suasana di situ begitu sunyi dan mendamaikan.

Suhailah mengambil tempat di atas seketul batu hampar. Aliif turut melakukan perkara yang sama.

“Kenapa akak bawa adik dekat sini?” soal Aliif mendahului perbualan.

“Adik tak suka?” Perlahan suara Suhailah.

“Memang! Memang adik tak suka! Tak suka dengan sikap hipokrit Pak Alang sekeluarga. Adik benci! Benci setiap kali dia orang panggil akak andartu. Akak tak rasa sakit hati ke dengan kata-kata Pak Alang tadi?” Turun naik dada Aliif menghamburkan apa yang terbuku di hatinya.

Suhailah diam. Matanya masih terarah ke hadapan. Melihat aliran air yang lesu.

‘Mungkinkah hatiku selesu itu? Lesu untuk mempertahankan diri saat andartu dilabelkan kepadaku?’ Hati Suhailah sayu membisikkan kata-kata itu.

“Akak… adik minta maaf kalau kata-kata adik melampau.” Aliif menjadi takut saat melihatkan kebisuan kakaknya itu. Lantas ucapan maaf diluahkan dan tangannya cepat sahaja melingkari bahu kakaknya itu.

Dia terlalu sayangkan kakaknya itu. Sedari kecil dia bersikap melindungi. Andai ada sesiapa yang memerli atau berkata buruk tentang kakaknya itu, pasti akan ditentang habis-habisan!

“Adik… akak, akak dah penat sebenarnya. Penat untuk mempertahankan diri akak. Biarlah… Kalau Pak Alang rasa dengan cara menghina akak dia akan mendapat kepuasan, biarkanlah…” gugur jua permata yang cuba ditahan-ditahan.

Aliif menjadi sebak melihat keadaan kakaknya. Lantas dipeluknya tubuh kakak tunggalnya itu.

“Tapi adik takkan penat! Adik takkan pernah penat untuk mempertahankan akak. Kalau ada sesiapa yang menghina akak, adik tetap akan menentang mereka.” Kian kuat pelukan Aliif.

Kata-kata adiknya itu bagaikan aliran air sejuk yang menyamankan hatinya. Tetapi mengapa? Mengapa pujukan itu tidak mampu untuk menghentikan tangisannya tika ini? Mungkinkah kerana kata-kata penghinaan Pak Alangnya yang masih terngiang-ngiang di telinganya itu puncanya?

‘Anak buah aku ni anak dara tua. Sebab tulah, tak ada orang yang nakkan dia. Kan, Suhailah?’ Kian lebat air mata Suhailah berguguran apatah lagi gelak tawa rakan-rakan Pak Alangnya bagaikan sedang menghinanya.

“Adik sayangkan akak.” Biarpun perlahan, namun pujukan itu masih mampu didengari Suhailah. Sekurang-kurangnya saat ini dia tidak keseorangan!

Previous: BAB 20
Next: BAB 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.