Aku tersedar ketika
terdengar tangisan anak kecil yang kedengaran begitu dekat di telingaku.
Perlahan-lahan aku cuba membuka mataku. Denyutan di kepala masih terasa. Aku
tiba-tiba teringat akan sesuatu. Akmal! Laju aku bangkit dari pembaringan. Aku memegang
kepalaku yang terasa semakin berdenyut kerana bangun terlalu laju. Aku
memandang ke sisi katil. Norzie, Dania dan Adib setia menungguku.
Perlahan-lahan aku turun dari katil dan terus memeluk rakanku itu.
“Jie...maafkan aku! Maafkan aku sebab terlambat jumpa kau. Aku tak sengaja Jie. Aku rayu pada kau tolong
maafkan aku. Aku tak langgar pun janji aku untuk tolong kau. Aku hanya terlewat
Jie.” Aku menangis semahunya. Aku tidak mahu Norzie membenciku dan menganggap
aku mempermainkannya dengan janji yang aku sendiri ikrarkan.
Norzie meleraikan
pelukan kami. Dia juga turut teresak-esak menangis. “Kau tak salah Maya.
Maafkan aku sebab tuduh kau yang bukan-bukan tadi.”
“Tolong jangan benci
aku Jie. Aku ada kau sorang aje sekarang ni. Akmal macam mana sekarang? Dia selamat
kan?” Tersedu-sedu aku merayu.
“Dia dah tak ada.
Sekarang kes ni polis tengah uruskan.” Norzie tersedu-sedu menangis sebelum
menyambung.
“Aku tak sangka Akmal
akan bertindak macam tu Maya. Aku terkejut. Aku masih tak percaya yang dia dah
tak ada.” Rintihan Norzie itu semakin membuatkan rasa bersalahku bertambah.
Aku sendiri masih
tidak percaya yang Akmal beritndak sebegitu. Aku tidak percaya Akmal bunuh diri
kerana dia bukan seperti Akmal yang pernah aku kenal. “Jie apa yang dah jadi
sebenarnya ni? Kenapa Akmal buat macam tu? Aku masih tak percaya dengan semua
ni Jie.”
“Kami tunggu kau
sejak pagi Maya. Akmal mula resah bila dah masuk tengah hari kau masih tak
sampai. Lepas dia jawab satu call,
dia mula berubah. Meracau dan menangis. Dia kata dia sayangkan aku dan
anak-anak dan tak nak susahkan hidup kami lagi. Dia juga minta maaf pada kau
sebab dah banyak susahkan kau. Pagi tu dia ada mengadu pada aku yang dia sakit
belakang. Aku nak bawa dia hospital tapi dia tak nak sebab nak tunggu kau dan
kawan kau tu. Aku beri dia makan ubat aje dulu. Masa kejadian aku turun ke
bawah beli makanan untuk budak-budak. Aku dengar kecoh-kecoh kat bawah. Rupanya
ini yang jadi.”
Aku yang mendengar pun
tidak sanggup untuk membayangkan kejadian sebenar. Apatah lagi Norzie yang
terpaksa menghadapi kejadian ini di hadapan matanya. Aku langsung tidak berniat
untuk datang lewat. Aku menunggu Firqin sejak pagi untuk ke rumah mereka tapi
lelaki itu tidak dapat menunaikan janjinya.
Aku mencapai bagasi
di sisi katil dan meletakkannya di hadapan Norzie. “Dalam ni ada dua puluh ribu
Jie. Baki tiga puluh ribu selebihnya aku akan beri esok. Aku janji akan
langsaikan hutang untuk Akmal, jadi aku akan tunaikan juga. Kau jangan risau.”
“Tapi Akmal dah tak
ada. Aku rasa duit ni dah tak ada nilainya lagi Maya.”
“Kita buat ni demi
Dania dan Adib. Jangan biarkan anak-anak ni hidup sengsara lagi Jie. Aku akan
jumpa Along tu nanti dan minta tempoh dua tiga hari lagi untuk aku jelaskan
hutang tu.” Jelasku.
Norzie mengesat
airmata di pipinya sebelum dia bercerita kepadaku tentang apa yang telah
berlaku kepada Akmal. “Dalam pukul sebelas tadi Along tu datang rumah untuk
tuntut hutang. Tapi kami tak ada duit. Mereka ugut untuk ambil Dania sebagai
ganti. Aku takut sangat Maya dan tak tahu nak buat apa masa tu. Dania dah ada
di tangan mereka Maya. Kasar mereka perlakukan anak aku.”
Aku memegang lengan
Dania yang jelas nampak lebam.
“Along tu kata kalau
nak Dania selamat, duit tu mesti ada pada mereka dalam masa 24 jam. Kalau tak
mereka akan ambil Dania. Atau pilihan kedua kata mereka Akmal tak dapat bayar,
kena ganti dengan nyawa.”
Aku faham apa yang
dikatakan Norzie tu. Maknanya Akmal memilih pilihan kedua gara-gara aku lambat
membawa wang kepadanya. “Akmal.....maafkan aku. Aku yang salah. Aku gagal
tunaikan janji aku pada kau. Tapi kenapa kau pilih jalan ni Akmal.” Aku
merintih sedih.
Airmata bersalah terus mengalir laju. Aku memandang Dania dan
Adib silih berganti. Aku bersalah kerana telah buat Dania dan Adib menjadi anak
yatim dalam sekelip mata. Aku bersalah kerana telah membuatkan Akmal terdesak
dan memilih jalan membunuh diri untuk menyelamatkan anaknya.
“Kata pihak polis,
arwah Akmal berada bawah pengaruh alkohol ketika dia terjun dari bangunan.”
Tambahnya.
Aku tiba-tiba
teringat pada lelaki itu. Sebenarnya lelaki itu lah yang paling bersalah dan
perlu bertanggungjawab ke atas kejadian ini. Dia tidak dapat melunaskan
janjinya untuk membantu kawan-kawanku. Oleh sebab dia memungkiri janjinya,
Akmal menjadi mangsa keaadan! Lelaki itu yang harus dipersalahkan!
Saat itu juga aku
rasakan dalam hatiku sudah penuh rasa benci dan dendam terhadapnya. Aku benci
dia! Hilang terus rasa cinta dan sayangku terhadapnya. Kerana dia yang tidak
tepati janjinya, Akmal pergi dari hidup
kami. Norzie dan anak-anak kecil ini hilang tempat bergantung. Kalau dia tidak
dapat menunaikan janjinya untuk membantu kami, mengapa sejak dari awal dia perlu
berjanji dan memberi harapan kepada kami yang dia ikhlas untuk membantu Akmal
keluar dari belenggu kesusahan dan kesengsaraan.
Gara-gara lelaki itu
menaruh dendam terhadapku dan cuba mengenakan aku dengan memainkan hati dan
perasaan aku, kawan baikku menjadi mangsa. Banyak ujian yang terpaksa aku
hadapi hari ini dan jikalau aku tidak kuat, aku pasti akan hilang akal untuk
menghadapi semua itu. Ya Allah.....sakitnya aku rasa.
“Firqin tak dapat
bantu kita Jie. Dia tak tepati janjinya pada kau dan Akmal. Dia tipu aku Jie.”
Aku mengesat airmataku dengan kain selimut. Aku tidak pernah sesedih ini
sepanjang hidupku. Ini buat kali pertamanya. Hatiku rasa begitu pedih. Rasa
dikhianati oleh orang yang dipercayai dan dicintai rupa-rupanya begitu
menyakitkan.
Norzie mencapai
tanganku. “Aku tak harapkan dia untuk bantu kami Maya. Jangan salah kan dia.
Mungkin dia ada sebab tak dapat tunaikan janjinya untuk bantu kami. Jumlah wang
tu terlalu banyak Maya. Aku faham.”
“Dia nikah dengan
perempuan lain Jie. Aku sendiri nampak depan mata aku, dia dan rombongan
keluarga ke rumah perempuan tu tengah hari tadi. Aku tunggu dia dan call berpuluh-puluh kali langsung tak
berangkat. Akhirnya aku dapat tahu dia pilih orang lain jadi isteri. Dia
permainkan aku selama ni Jie. Dia dekat dengan aku sebab nak balas dendam aje.
Tolong aku Jie....sakitnya dalam hati aku ni. Aku tak kuat nak hadapi sema
dugaan ni.” Aku memeluk erat kawanku itu.
Dia menepuk-nepuk
bahuku dan membisikkan kata-kata semangat kepadaku.
“Kenapa dia buat aku
macam ni Jie? Aku benci dia! Aku benci! Sampai bila-bila pun aku tak akan
maafkan dia. Kerana dia dan dendamnya, kita semua jadi mangsa. Aku tak akan
maafkan lelaki itu.” Luahku penuh dendam.
Wajah Norzie nampak
terkejut ketika dia memandang wajahku. “Maya...jangan berdendam. Aku tak
salahkan kawan kau kerana tak dapat tolong kami. Tentang kau kata dia tipu dan
mempermainkan kau, aku harap kau dapat bersabar dan akan maafkan dia. Ingat
Maya dendam akan makan diri. Jangan sekali-kali cuba menanam dendam dalam hati,
nanti jadi duri.”
Aku mengesat airmata
di pipi. Aku berhenti menangis. “Dah terlambat untuk aku maafkan dia. Dalam
hati aku penuh rasa benci kat dia. Aku harap dia akan terima balasan yang
setimpal dan akan rasa kesakitan yang sama seperti yang aku rasakan sekarang
ni! Mulai saat ini dia bukan sesiapa di dalam hidup aku dan aku dah buang dia
jauh dari hati aku. Lelaki itu kini musuh aku! Musuh yang paling aku benci.”
Norzie berisgtifar
panjang. “Maya aku tak pernah nampak kau marah macam ni. Ini bukan diri kau
Maya. Kau bukan pedendam. Jangan berubah jadi pendendam gara-gara kami Maya.
Aku pun sedih kerana hilang suami dalam keadaan tragis macam ni. Aku kesian
pada anak-anak aku tapi aku tak berdendam pada sesiapa pun Maya. Pada kau atau
pun Firqin.”
Aku mengetap bibirku.
Menahan geram dan amarah yang menggunung di dalam hati terhadap lelaki itu. “Dia
kini umpama racun di dalam hidup aku.”
Norzie memegang
kedua-dua belah bahuku. “Maya kau dengar betul-betul apa yang aku nak katakan
ni. Akmal buat pilihan tu kerana dia
sendiri yang buat pilihan. Walau pun dia suami aku dan aku sedih dengan
pemergiannya, aku tetap akui yang pilihannya itu salah. Bunuh diri tu berdosa.
Berdosa pada Allah. Akmal bertindak begitu atas kehendaknya sendiri. Dia mabuk
Maya. Akalnya cetek untuk buat keputusan. Jadi jangan salahkan orang lain Maya.
Akmal yang cari masalah dengan berhutang dan bila tak dapat selesaikan masalah
ini dia jadi buntu. Bukan salah orang lain Maya. Jangan kau letak kesalahan
kematian Akmal atas bahu Encik Firqin. Aku mohon pada kau jangan bertindak yang
bukan-bukan pada dia. Apa yang paling
baik kita boleh buat sekarang ialah berdoa. Berdoa untuk arwah suami
aku. Dan juga berdoa agar kawan kau tu berubah dan sedar pada kesilapannya.”
“Jadi macam mana dengan
urusan pengkebumiaan arwah Akmal?” Soalku. Kata-kata Norzie tadi tentang Firqin
langsung tidak masuk ke dalam kepalaku. Persepsiku terhadap lelaki itu tetap
sama.
“Insya Allah aku dah
minta ahli surau kawasan flat untuk uruskan. Aku berdoa agar semuanya berjalan
lancar. Kata doktor mungkin pagi esok boleh bawa jenazah untuk urusan pengkebumian.”
Aku bangun dan
mencapai barang-barangku. “Jom aku hantar kau balik untuk uruskan apa yang
perlu. Kau bagi aku nombor telefon Along tu. Aku akan uruskan.” Kataku.
Aku tidak mahu Norzie
rasa terbeban dengan hutang arwah suaminya. Kesedihannya kerana kehilangan Akmal masih belum hilang dan jika
ditambah dengan masalah hutang suaminya, aku tahu pasti Norzie tidak mampu
untuk menghadapinya. Kasihan kawanku itu nanti. Jadi aku ambil keputusan untuk mengalas
tanggungjawab menanggung hutang tersebut. Ketika itu juga terdetik di hatiku
jika aku tidak dapat mencari wang selebihnya dalam masa 24 jam, aku nekad untuk
menjadi pengganti Akmal dan membayar secara ansuran.
Ketika kami bertanyakan
tentang perkembangan kes Akmal, pihak polis memberitahuku yang mereka akan
menjalankan proses bedah siasat terlebih dahulu dan ianya mungkin akan memakan
masa. Aku mahu menghantar Norzie pulang ke rumah tapi dia enggan. Katanya dia
mahu tunggu di hospital sampai segala urusan suaminya selesai. Norzie minta aku
titipkan anak-anaknya ke rumah kawannya yang terletak di Subang. Dia berikan
alamat kawannya itu kepadaku dan memohon kepadaku untuk menghantar anak-anaknya
ke sana dengan selamat dan kawannya itu akan menjaga anak-anaknya dalam waktu
kritikal ini.
“Aku tak nak
anak-anak aku terlibat lagi dalam masalah ini. Aku trauma Maya. Aku tak boleh bayangkan apa yang akan jadi pada aku kalau lintah darat tu mengapa-apakan
anak-anak aku. Jadi aku minta kawan aku jagakan mereka buat sementara waktu ni.
Mujur dia baik dan memahami masalah aku.” Adunya kepadaku.
“Kau jangan risau
Jie. Aku akan buat apa saja untuk kau dan anak-anak. Aku tak akan tinggalkan
kau seorang hadapi semua ni. Kau ada aku.” Aku menyakinkannya. Kami berpelukan
seketika. Menyuntik semangat dan kekuatan buat diri masing-masing bagi
menghadapi dugaan yang diberikan Allah kepada kami.
Aku membawa Dania dan
Adib ke rumah kawan Norzie berpandukan alamat yang diberikan kepadaku. Aku
disambut mesra ketika sampai di rumahnya. Puan Aziah adalah kawan baik Norzie
ketika mereka bekerja di tempat yang sama dua tahun yang lalu. Selepas
berkahwin dia mengambil keputusan untuk berhenti dan menolong perniagan suaminya. Boleh tahan juga rumah dan keadaan kehidupannya dan aku
rasakan anak-anak ini akan selesa tinggal di
sini buat sementara waktu.
“Saya kasihan tengok
Norzie. Jadi saya tolong apa yang saya mampu. Insya Allah kalau setakat menjaga
dan memberi anak-anak ini makan, tak ada masalah buat saya. Lagipun suami saya
dah beri kebenaran. Meriah sikit rumah ni dengan adanya budak-budak ni. Rezeki
kami untuk ada anak sendiri belum ada lagi.” Lembut wanita bertudung itu
berkata-kata.
Melihat kepada
personaliti wanita itu aku yakin yang dia boleh membantu menjaga anak-anak ini
dengan baik. Aku akan cuba cari jalan penyelesaian secepat mungkin. Tapi dalam
masa 24 jam ini di mana harus aku dapatkan wang sebanyak tiga puluh ribu
ringgit? Dari Firqin? Ah! Tidak mungkin kerana lelaki itu lah punca tragedi ini
berlaku. Kerana janjinya yang tidak ditepati itulah yang membuatkan kehidupan
keluarga ini semakin sengsara. Aku tidak marah jika sejak dari awal dia tidak
berjanji untuk membantu membayar hutang-hutang Akmal, kerana aku masih ada masa
untuk mencari jalan atau minta bantuan orang lain untuk membantuku. Tetapi
apabila Firqin telah menyakinkan aku yang dia sudi membantu, aku memberikan
seluruh kepercayaanku kepadanya lalu aku tidak mencari jalan penyelesaian lain.
Bila sudah jadi begini, siapa lagi yang harus aku percayakan lagi?
Setelah meminta izin
pulang dari Puan Aziah aku sempat mencium Dania dan Adib. Aku berpesan mereka
menjadi anak yang baik dan dengar kata. Aku menghulurkan sedikit wang kepada
Puan Aziah tetapi dia enggan menerimanya. Katanya dia ikhlas membantu menjaga
anak-anak ini. Syukurkah kerana masih ada lagi orang lain yang prihatin dengan
nasib Norzie dan anak-anaknya.