Home Novel Cinta Hai Handsome! (Musuhku, Encik Pilot)
Hai Handsome! (Musuhku, Encik Pilot)
Dea Zoraya
10/2/2015 22:31:17
1,030,739
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
-Sedutan Bab 46 - Peluang buat Izzaz

Aku duduk di atas bangku kosong di luar bangunan hospital itu. Merenung ke arah langit hitam tanpa sebutir bintang pun malam itu . Aku masih menangis di atas hinaan Kak Long dan Mama terhadapku sebentar tadi. Aku tiba-tiba jadi rindu pada arwah Adam. Aku mengesat airmata di pipiku dengan belakang tangan.

“Adam...ibu rindu. Ibu rindu sangat pada Adam. Ibu sunyi hidup sorang-sorang macam ni.” Aku semakin teresak-esak apabila kembali terkenangkan anak yang pernah aku lahirkan suatu ketika dulu yang hadirnya di dalam hidupku cuma seketika.

“Sampai bila ibu kena hadapi hinaan Mama dan Kak Long? Kenapa mereka tak pernah terima ibu, sedangkan ibu sayang sangat pada mereka berdua.” Aku merintih.

Aku terus mengesat airmata di pipi apabila terlihat kelibat Izzaz mendekatiku. Aku berpura-pura memandang ke arah lain ketika Izzaz duduk di sebelahku. Aku masih terasa malu dengan hinaan yang Kak Long lontarkan kepadaku sebentar tadi di hadapan Izzaz.

“Awak buat apa dekat sini? Awak ikut saya kan?” Soalku mencurigai dirinya yang tiba-tiba boleh muncul ketika Kak Long memukulku tadi.

“Umi pengsan kat rumah tadi. Sebab tu aku ada kat sini. Aku nampak kau kena pukul dengan Kak Long dan Mama kau. Aku dah tak boleh tahan hanya tengok sebab tu aku masuk campur. Aku harap kau tak bertambah marah dengan aku Maya.” Jawab Izzaz perlahan.

Aku menoleh memandang wajahnya. Jelas Izzaz kelihatan tidak bersemangat. “Umi awak macam mana? Kenapa Umi boleh pengsan?” Aku resah apabila memikirkan kemungkinan Uminya pengsan adalah kerana hal yang berlaku di antara kami berdua.

“Ada orang beritahu pada Umi apa yang jadi kat ofis tadi. Tekanan darah Umi naik mendadak bila dapat tahu yang kita tak jadi nikah minggu depan.” Jelas Izzaz yang membuatkan aku bertambah bersalah.

Aku tidak sangka keputusan yang telah aku buat telah memberi kesan buruk terhadap orang lain. Terhadap Abah, Umi Izzaz dan juga keluargaku. Adakah kali ini aku telah mementingkan diriku sendiri tanpa berfikir akan akibatnya?

“Kenapa jadi macam ni Iz? Kenapa hidup saya jadi bertambah porak peranda kerana hal yang saya sendiri tidak mahukan. Kenapa saya perlu terlibat dalam rancangan awak? Kenapa Iz?” Bertalu-talu soalan keluar dari mulutku.

“Maya aku nak minta satu benda saja dari kau, boleh? Maya pandang aku please.” Pinta Izzaz yang juga nampak sugul sepertiku ketika aku kembali memandang wajahnya.

“Apa dia Iz?” Aku cuba bertoleransi dan juga cuba untuk membuka hati dan mindaku untuk memberinya ruang.

“Beri aku satu peluang. Aku janji akan tebus balik semua kesalahan aku pada kau dan aku janji akan selesaikan semua masalah dan kemelut hidup kau selagi aku mampu.” Izzaz berjanji.

“Apa yang boleh awak janjikan buat saya?” Soalku.

“Aku boleh janjikan yang hidup kau takkan seperti sekarang lagi. Aku akan pastikan yang kau tak akan dilayan seperti tadi lagi.” Izzaz nampak yakin dengan kata-katanya.

Aku kembali terbayang bagaimana Izzaz membela dan melindungi aku apabila Kak Long cuba mencederakan aku tadi. Ketika makan malam di hotel beberapa hari yang lalu juga dia buat perkara yang sama. Dalam hati sebenarnya aku rasa terharu dan menghargai dirinya yang sanggup menyebelahi aku walau pun rasa marahku kepadanya masih menggunung.

“Awak ikhlas terima saya?” Kali ini aku benar-benar ingin tahu isi hati lelaki di hadapanku.

Izzaz mengangguk. “Aku sedar aku pernah buat silap masa awal-awal aku kenal kau dulu. Tapi tak lama lepas tu aku sedar aku tak patut mempermainkan gadis sebaik kau.”

Aku mengesat sisa air mata di pipiku. “Sejak bila awak rasa ikhlas pada saya sedangkan awak tak pernah cintakan saya pun Iz?”

Aku tahu kata-kataku pasti menyakitkan untuk Izzaz telan. Tapi ianya benar kerana bagaimana untuk aku terima dirinya sedangkan aku tahu yang dia tidak menyintaiku. Bagaimana Izzaz boleh katakan padaku yang dia ikhlas untuk memperisterikan aku? Atas dasar apa dia berani mengambil keputusan besar seperti itu kalau bukan kerana dendam.

“Siapa kata aku tak cintakan kau?” Ujar lelaki itu serius.

“Kalau betul sejak bila? Dan sebab apa?” Soalku berani kerana aku menganggap Izzaz sedang mempermainkan perasaanku ketika itu.

“Aku cintakan kau sejak aku nampak kau sanggup berkorban untuk orang lain. Sebab aku nampak kasih sayang dalam diri kau. Dan banyak sebab lagi sebenarnya.” Jawab lelaki itu.

Aku tersenyum sinis mendengarnya kerana apa yang keluar dari mulut lelaki itu sangat kedengaran tidak logik di telingaku. Iyalah kami baru kenal lebih kurang dua bulan yang lalu dan pertemuan demi pertemuan selalu akan berakhir dengan pertengkaran. Malahan aku tidak pernah suka kepadanya, aku geram dengan sikap dan karakternya yang selalu menyakitkan hatiku.  Dan hari ini aku bertambah benci terhadapnya seletah mengetahui agenda sebenarnya mendekatiku.

“Kenapa kau senyum?” Soal Izzaz pelik.

“Sebab saya rasa kelakar dengar awak mengarut.” Jawabku.

“Aku tak mengarut Maya. Apa yang aku katakan tadi semuanya ikhlas datang dari hati aku. Aku tahu kita berdua kenal bukan dengan cara yang baik, aku sedar aku pernah buat salah pada kau. Tapi kalau dengan kesalahan itu membuatkan aku dapat kenal dengan kau, aku tak menyesal dengan tindakan aku tu.” Izzaz bercakap bagaikan dia yakin benar yang aku akan mempercayai dirinya semula. Tidak semudah itu aku akan memberikan kepercayaanku semula kepadanya.

“Saya menyesal. Kesal sangat Iz.” Kataku.

“Aku tahu aku salah, aku tahu aku buat dosa dengan kau. Tapi tolonglah Maya aku mohon kali ni kau beri aku satu lagi peluang untuk aku baiki semula segala-galanya. Aku sanggup buat apa saja asalkan majlis pernikahan kita berjalan minggu depan. Kasihan pada Umi aku dan Abah kau Maya, kerana hal ini mereka berdua jatuh sakit.” Kata-kata Izzaz kali ini membuatkan aku terfikir akan kebenaran yang sedang berlangsung di hadapan mata.

Abah jatuh sakit kerana aku katakan kepadanya yang aku dan Izzaz tidak jadi bernikah. Begitu juga dengan Uminya. Rupanya hal pernikahan kami telah menjadi isu yang besar buat dua buah keluarga. Aku khuatir kalau-kalau selepas ini kesihatan Abah dan Umi akan terus terjejas kerana masih tidak dapat menerima kenyataan yang kami berdua telah membatalkan pernikahan dan juga terpaksa menanggung malu kerana ada rakan-rakan dan saudara mara yang telah dikhabarkan tentangnya. Aku berfikir sejenak sebelum menyoal beberapa soalan kepada Izzaz.

“Awak sanggup buat apa saja?” Soalku semula.

“Apa saja.” Balasnya.

“Walaupun saya tak cintakan awak dan hati saya masih ada pada orang lain?” Aku cuba bermain psikologi dengannya.

Izzaz terdiam sejenak sebelum mengangguk. “Aku sanggup.”

Aku terketawa mendengarnya. “Jadi bila saya dah jadi isteri awak nanti tak salah lah kalau hati saya ada pada lelaki lain dan bukan ada pada awak? Baiknya awak Iz.” Aku bagaikan mengejeknya.

Izzaz mengetap bibirnya. Aku pasti ketika itu dia sedang menyusun strategi di dalam kepalanya bagaimana untuk menjawab soalanku itu. Mustahil dia rasa tidak tercabar apabila aku berkata seperti itu. Aku memang sengaja mahu menguji kesabarannya. Aku pelik apabila melihat sebuah senyuman terbit di bibirnya.

“Aku sanggup sebab aku tahu dalam hati kau tu tak ada sesiapa pun. Tak ada Firqin atau mana-mana lelaki pun.” Balasnya yang membuatkan aku tertanya-tanya.

“Kenapa awak yakin sangat yang dalam hati saya tak ada sesiapa? Saya pernah sukakan sepupu awak tau Iz.” Kataku mahu membuatkan dia sedar dengan kenyataan yang sebenar

“Cuba kau tanya hati kau sekarang, ada Firqin tak dalam tu?” Ujar Izzaz. Aku terdiam.

“Tak ada bukan? Sebab sejak dari awal perasaan yang kau rasa tu sebenarnya bukan cinta, hanya perasaan mengagumi. Kagum sebab dia baik dan kelakar mungkin dan dia muncul dalam hidup kau tepat pada masa yang kau rasa sunyi. Betul tak?” Aku pelik mengapa Izzaz nampak yakin dengan kata-katanya.

“Awak jangan yakin sangat Iz. Awak tak nampak hati saya. Sebab apa awak yakin sangat cakap macam tu?” Aku menidakkan kata-katanya walaupun aku mengakui separuh dari kata-katanya itu benar.

“Sebab cara kau pandang Firqin tak sama macam orang yang sedang dilamun cinta. Cara kau pandang dia sama macam kau sedang pandang aku sekarang ni. Tak ada apa-apa yang istimewa pun kan. Tapi aku tahu yang sepupu aku tu memang betul-betul sayang pada kau. Tapi... itu tak bermakna aku akan mengaku kalah.” Izzaz senyum.

Aku menoleh memandang ke arah lain. Aku akui sebenarnya keinginan aku untuk bercinta tidak teruja seperti gadis lain sejak aku kehilangan Adam. Kesedihan kerana kehilangan seseorang yang sangat disayangi membuatkan hati aku terasa tawar untuk mencari cinta. Entah aku sendiri tidak pasti apa yang hati aku mahukan sebenarnya.

“Walau pun awak dah tahu yang saya ni pernah rampas suami orang dan buat Kak Long bercerai? Saya ni perempuan jahat yang menggoda lelaki. Awak nak ke jadikan saya isteri?” Cabarku. Aku mahu melihat sejauh mana keikhlasannya apabila aku mengungkit kata-kata Kak Long.

“Dengan aku pun kau takut nak dekat apatah lagi kau nak menggoda lelaki kan. Aku tak percaya semua tu.” Ujarnya yang membuatkan aku kalah.

“Awak memang tak akan putus asa kan?” Aku menjelingnya.

“Bagus sebab kau dah kenal satu dari perangai-perangai aku. Jadi Maya boleh ke aku dapat satu peluang lagi?”

Agak lama aku berfikir. Di dalam fikiranku ketika itu hanya ada Abah dan Umi. Lalu sebuah keputusan bulat telah aku buat di saat itu juga.

“Boleh tapi dengan satu syarat.” Kataku sambil aku memandang tepat ke arah matanya.

Izzaz mula senyum. “Boleh. Apa saja syarat tu aku sanggup ikut.”

“Kita kahwin hanya setahun dan awak perlu ikut syarat-syarat yang pernah saya katakan pada malam awak melamar saya. Kalau awak setuju dengan apa yang pernah saya cakap malam tu, anggap saja yang pernikahan kita minggu depan tu akan berjalan seperti yang dirancang.” Jelasku tanpa perasaan di dalam hati untuknya.

Mati terus senyuman di wajah lelaki itu.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.