Aku kembali meneruskan
kerja-kerja di studio yang tergendala tadi. Selepas saja kejadian tengah hari tadi
aku terus kembali ke pejabat. Deringan telefon yang bertalu-talu juga aku
biarkan menjerit. Aku hanya fokus kepada kerjaku dengan harapan aku dapat
melupakan apa yang telah Taufiq lakukan terhadapku tadi. Tapi gagal. Aku tetap
tidak boleh melupakan bagaimana aku dimalukan tadi di hadapan orang ramai,
terutama di hadapan Firqin.
Aku membuka faceshield dan meletakkan alat-alat
tukangan dari tanganku. Aku mencapai telefon bimbitku. Enam belas missed call dari nombor Farhin dan juga
satu nombor asing. Tanpa dapat aku kawal, aku kembali mengingati pada kejadian
tadi.
Amar Taufiq. Nama itu
memang tidak dapat aku lupakan. Aku masih ingat setiap perkara yang dilakukannya
terhadapku. Dia adalah Si Pembuli sejak dari sekolah menengah lagi. Di sekolah
dia adalah ketua kepada pelajar bermasalah yang sering terlibat dalam kes
pergaduhan, membuli dan macam-macam kes lagi.
Aku masih ingat dia
sering menggangguku semenjak aku mula pindah ke sekolah menegah itu. Aku bersekolah
di sekolah berasrama penuh sebelum aku meminta Abah membenarkanku bersekolah di
sekolah harian biasa ketika aku di tingkatan empat.
Taufiq sering
mengganguku ketika setiap kali aku balik
dari sekolah. Dia dan kawan-kawannya akan berkerumun di sekelilingku. Dia
mengajak aku untuk keluar bersama dan memaksa aku memberi nombor telefonku
kepadanya. Dia juga sering kali memandu keretanya dan berhenti di hadapan
rumahku dan menungguku berjam-jam lamanya berharap aku akan keluar dengannya.
Kadang-kadang aku tidak faham kenapa dia berperangai seperti itu sedangkan dia
ada kehidupan yang mewah. Keluarganya sangat kaya. Perniagaan sana sini. Takkan
dia tidak mendapat didikan yang baik sedangkan dia datang dari keluarga
terhormat.
Apabila aku menolak
pelawaannya dan menceritakan perbuatannya yang suka menggangguku itu kepada
Abang Bukhary, Taufiq mula bertindak lebih kasar. Taufiq menyangka yang aku dan
Abang Bukhary sedang bercinta. Kerana itu dia sanggup putus kawan dengan Abang
Bukhary setelah mereka berdua saling tumbuk-menumbuk di kantin. Punca pergaduhan
itu bermula ketika Taufiq merampas
makanan aku dan memaksa aku duduk makan bersamanya. Aku memarahinya kerana aku
tidak suka dipaksa-paksa. Apabila aku mula bangun meninggalkan meja, Taufiq
bertindak menyadung kakiku dan membuatkan aku jatuh tersungkur ke lantai.
Abang Bukhary yang
turut menyaksikan kejadian itu terus merentap kolar baju Taufiq. Mereka mula
bertengkar dan saling tumbuk-menumbuk sebelum pelajar-pelajar lain yang juga
kawan-kawan Taufiq turut masuk campur.
Aku cuba meleraikan
mereka tapi apa daya aku ketika itu. Teruk juga kecederaan mereka berdua. Abang
Bukhary terpaksa menerima jahitan di dahi akibat pergaduhan itu dan Taufiq pula
lebam-lebam di bahagian mukanya. Aku ingatkan selepas kejadian itu Taufiq sudah
insaf dan tidak akan mengganguku lagi. Ternyata aku silap, malahan dia semakin
menjadi-jadi mengganguku.
Ketika trip yang
dianjurkan pihak sekolah ke Melaka, Taufiq mengambil kesempatan untuk terus
memaksaku menerima cintanya. Tiada Abang Bukhary bersamaku ketika itu. Aku masih
ingat pada satu malam ketika dinner
sedang berlangsung di ballroom hotel
tempat penginapan kami Taufiq menarikku ke bahagian depan dewan itu. Dia merayu
kepadaku supaya menerima dirinya. Katanya dia amat sayangkanku.
“Saya tak suka pada
awak Taufiq. Saya harap awak faham. Sekarang ni saya masih belajar. Kita
sama-sama masih belajar. Saya tak nak bercinta. Saya nak fokus pada pelajaran.
Dan...saya anggap awak macam kawan saja tak lebih pun.” Luahku padanya.
Taufiq tidak mahu
melepaskan tanganku. Dia melutut sambil mengeluarkan sebentuk cincin dari
poketnya. Aku tergamam.
“Apa ni Taufiq?
Bangun. Malu lah saya kawan-kawan kita tengok tu.”Aku memandang ke arah rakan
sebaya kami yang ketika itu sedang bertepuk tangan bersorak dengan tindakan
berani Taufiq.
“Tak nak. Saya buat
macam ni sebab saya sayangkan awak Maya. Biarlah kawan-kawan kita tengok sekali
pun.” Taufiq tersenyum lebar. Malahan dia siap melambai-lambai ke arah
kawan-kawan lain.
“Sudi tak awak terima
saya Maya?” Teriaknya.
Sorakan dari
teman-teman semakin membuatkan jantungku berdegup kencang. Aku keliru. Jika aku
menolak permintaannya sekarang dan beredar begitu saja, aku pasti akan
memalukannya. Memanglah Taufiq sering mengganguku tapi tidaklah sehingga aku
terlalu bencinya. Salahnya hanyalah dia terlalu suka padaku.
“Taufiq!” Aku
menyebut namanya.
Wajah Taufiq
mencerminkan harapan. Dia terlalu berharap aku akan menerimanya.
“Saya nak awak janji
beberapa perkara dulu boleh? Saya janji lepas awak tunaikan semua janji-janji
tu saya akan terima permintaan awak tu, kita keluar bersama. Saya akan cuba
berkawan dengan awak.” Kataku.
Dia bangun. Tersenyum
lebar. “Saya setuju apa saja syarat awak.”
“Pertama...awak kena
janji pada saya yang awak akan berubah. Awak tinggalkan perangai suka membuli
pelajar lain, suka ponteng kelas dan semua perbuatan-perbuatan yang tak elok tu. Kedua, tahun ni kan awak
akan ambil SPM, jadi saya nak awak fokus pada pelajaran dan cuba dapatkan 9A.
Ketiga awak janganlah setiap hari berpuluh-puluh kali lalu depan kelas saya dan
buat poster besar-besar tulis ‘I LOVE MAYA’. Saya malu lah depan kawan-kawan
yang lain.”
Dia ketawa. “Itu aje?
Kalau yang semua tu saya janji yang saya akan tunaikan demi awak Maya.” Taufiq
betul-betul angau cinta padaku.
“Awak janji akan
terima saya lepas saya buat semua tu?”
Aku mengangguk. Cuba
memberi peluang kepadanya. “Saya janji...lepas saja kita dapat keputusan SPM
saya akan terima awak. Lapan bulan saja lagi. Tak lama tempoh tu untuk awak
tunaikan semua tadi.”
Aku akui sepanjang
lapan bulan aku cuba mengenali Taufiq, aku dapati sebenarnya dia seorang yang
baik. Cuma dia berperangai suka menggangu orang lain disebabkan hidupnya yang
sunyi. Sebagai anak tunggal yang sering ditinggal oleh ibu dan ayahnya yang
sibuk berniaga dan ke luar negara Taufiq selalu terabai.
Dia pernah bercerita
kepadaku yang dia hanya dapat berjumpa ibu dan ayahnya hanya sebulan sekali.
Itu pun kalau sempat dan kalau mereka tidak sibuk. Di rumah dia hanya tinggal
bersama orang gaji.
Aku berpendapat dia
sunyi. Kerana kesunyian itu dia cuba meraih perhatian orang lain dengan
menggangu, membuat hal-hal yang tidak disukai supaya orang lain sedar akan
kehadirannya.
Aku akui aku tidak
pernah bercinta. Namun sejak kehadiran Taufiq dalam hidupku, aku dapat rasakan
sesuatu di dalam hati. Kenakalannya, senyumannya dan gurauannya membuatkan
hari-hari aku sentiasa ceria. Aku dapat lihat akan perubahannya dari hari ke
hari. Dia semakin rajin mengulang kaji pelajaran malahan kami sering belajar
bersama, dia melayani rakan-rakan dan guru di sekolah dengan baik, dan mula
mengikuti aktiviti amal dan kebajikan bersama yang lain-lain.
Taufiq penuh dengan
kejutan. Dia suka meluahkan cintanya terhadapku. Melalui surat, bunga, hadiah,
poster dan macam-macam yang dilakukannya. Yang pasti katanya, dia mahu aku tahu
yang dia benar-benar suka dan sayang padaku. Perbuatannya itu sering membuatkan
aku sering tersenyum sendiri. Kini aku akui yang aku sudah jatuh cinta padanya.
Apabila aku ceritakan
perasaanku itu pada Abang Bukhary, aku pula yang dmarahinya. Kata Abang Bukhary
dia tidak suka aku dekat dengan Taufiq. Dia takut aku akan diapa-apakan oleh
Taufiq nanti. Dia kenal sangat rakannya. Itu kata Abang Bukhary. Tapi
sebenarnya aku tahu itu bukan satu-satunya sebab Abang Bukhary menghalang aku
terus berkawan dengan Taufiq. Sebab yang lain adalah aku tahu yang dia juga
menaruh perasaan terhadapku. Aku tahu tentang itu kerana Abah juga pernah
bersuara yang kami berdua akan dijodohkan kelak. Namun aku tetap dengan
keputusanku. Aku sudah berjanji dengan Taufiq dan aku tak boleh berhenti
separuh jalan dari membantu Taufiq dari terus leka.
Dia pintar. Tapi
kepintarannya itu tidak dipamerkan dengan betul. Aku sudah lihat perubahan pada
dirinya. Aku tak nak lah dia kecewa kelak dan dia akan tinggalkan usahanya
selama ini begitu saja.
Selepas keputusan
peperiksaan diumumkan, Taufiq begitu gembira kerana akhirnya janji yang dia
tuntut selama ini akan aku tunaikan. Kegembiraannya itu melebihi keterujaan
mendapat keputusan cemerlang 9A.
Namun harapannya itu
punah. Musnah kerana aku memungkiri janji.
Aku menolak cintanya dengan alasan aku akan menerima Abang Bukhary. Aku
tidak tahu untuk lakukan apa ketika itu. Mahu aku katakan padanya yang aku
sangat suka akan dirinya. Aku sayang padanya. Aku mahu terima dirinya. Aku akan
tunaikan janji kami dulu. Namun aku tidak berdaya. Aku tidak mahu dia kecewa
bila mendapati yang aku sudah sudah dikotori lelaki lain dan sedang mengandung.
Jadi aku terpaksa
ambil keputusan sebegitu walau pun hatiku rasa begitu remuk. Aku katakan pada
Taufiq yang aku akan berkahwin dengan Abang Bukhary. Taufiq tidak dapat
menerima keputusanku itu. Dia bagaikan hilang akal. Dia tidak percaya yang
selama ini aku mempermainkannya.
“Awak dah janji pada
saya Maya. Jangan buat saya macam ni.” Taufiq merayu padaku.
Aku bertemu dengannya
malam itu. Aku bawa Abang Bukhary bersama. Aku minta Abang Bukhary membantuku
menyakinkan Taufiq yang sebenarnya kami berdua ada hubungan istimewa iaitu kami
bercinta selama ini tanpa pengetahuannya.
“Saya tak sukakan
awak. Saya tak pernah rasa perasaan istimewa pada awak Taufiq.” Aku terpaksa
meluahkannya walau aku sendiri tidak rela.
Taufiq merapatiku.
Dia cuba meraih tanganku. Aku mengelak.
“Kami akan bertunang
tak lama lagi. Aku minta kau jangan ganggu Maya lagi.” Kata Abang Bukhary pula.
Aku nampak mata
Taufiq berair. Dia mengepal penumpuknya. Merah wajahnya menahan amarah.
“Saya tak akan
mengalah. Awak milik saya Maya. Awak bagi harapan pada saya selama ni dan
sekarang ni senang saja awak kata nak tinggalkan saya dan bertunang dengan
orang lain macam tu saja. No way Maya!.
Saya tak akan benarkan.” Taufiq meninggikan suaranya.
Aku mengetap bibir.
Menahan emosi. “Saya benci pada awak sejak dulu. Awak suka ganggu saya. Jadi
macam tu saja cara saya supaya awak berhenti ganggu saya.” Aku terpaksa
menipunya.
Taufiq merentap
tanganku untuk mengekorinya. Abang Bukhary lebih pantas menghalang. Dia menolak
tubuh Taufiq.
Wajah Taufiq nampak
tidak tenang. Aku nampak jelas dia mengalirkan airmata. “Salahkan saya sayangkan
awak Maya? Kenapa awak buat macam ni pada saya? Kenapa awak mainkan perasaan
saya? Saya sayang pada awak sepenuh hati Maya. Saya merayu pada awak jangan
buat saya macam ni. Saya janji yang saya akan berubah. Saya akan jadi apa saja
yang awak mahukan tapi tolong jangan tinggalkan saya.” Taufiq terus merayu yang
membuatkan aku mengalirkan airmata.
Aku
membelakangkannya. Aku tidak sanggup memandang wajah kecewanya itu. “Awak cakap
lah apa pun Taufiq. Yang pasti saya tak akan pernah terima awak. Kita tak
sesuai bersama. Saya tak pernah suka awak. Faham tak!” Aku meninggi suara
memarahinya.
Taufiq meluru ke
arahku. Namun Abang Bukhary menghalang. Mereka bergelut. Aku panik. Aku takut
berlaku sesuatu kepada mereka berdua. Taufiq menumbuk Abang Bukhary
bertubi-tubi. Kemudian dia terus meluru ke arahku dan mencengkam kuat tanganku.
Aku meronta minta di
lepaskan. “Lepas Taufiq. Saya tak suka awak faham tak. Nak saya cakap macam
mana lagi baru awak faham. Awak tak ada harga diri ke!”
Dia berhenti dari terus
mengheretku. Aku lihat nafasnya turun naik menahan marah. Tajam matanya
menikamku. Matanya penuh rasa benci. “Saya akan benci pada awak sampai saya
mati!” Dia terus menolak tubuhku ke dalam kolam renang.
Aku tergapai-gapai di
dalam air. Dia tahu aku tidak boleh berenang. Taufiq hanya memandangku
tenggelam timbul di dalam air. Aku dapat lihat ketika itu dia sedang menangis.
Bahunya terenjut-enjut. Aku tahu yang dia benar-benar kecewa denganku.
Abang Bukhary terjun
ke dalam kolam dan membantuku keluar dari kolam itu. Aku sempat melihat
belakang Taufiq pergi dari situ. Dia tidak lagi menoleh memandangku. Saat itu
aku sedar, tiada lagi kisah cinta yang bakal tercipta di antara kami.
“Maafkan saya Taufiq.
Saya terpaksa. Maafkan saya.” Aku meraung menangis saat itu.
Itulah kali terakhir
aku melihatnya sehinggalah selepas beberapa tahun. Kami bertemu di United
Kingdom di dalam satu acara yang dihadiri kebanyakkan orang Malaysia. Dia yang
hanya mulanya memerhatiku dari jauh mula mendekati untuk berbual-bual apabila ada
di antara rakanku yang rupa-rupanya adalah rakannya juga.
Dia tidak lepas
memandangku bersama Fakhrul ketika itu. Aku tahu banyak persoalan di benaknya
ketika itu terutamanya tentang mengapa aku bersama lelaki lain bukan rakannya,
Bukhary?
Ketika Fakhrul
berbual bersama rakannya di meja lain, Taufiq duduk di sebelahku.
“Hai Maya...how are you?”Dia
memandangku tepat.
Aku sudah tentu masih
lagi diselubungi tasa bersalah padanya.
Dia memandang ke arah
Fakhrul. “I tengah tengok apa istimewanya lelaki tu pada you? Nak kata dia
sesuai dengan you, I dont think so.
Dia budak kampung, ayahnya hanya pekebun. Rasanya level I jauh lebih tinggi dari
dia. Emmm....I sebenarnya kan masih curious
kenapa you tinggalkan Bukhary ya? Adakah kerana sebab yang sama you beri pada
I?” Dia ketawa mengejek.
Aku diam. Cuba tidak
memandang wajahnya. “I baik-baik saja.”
“Maya...apa jadi
dengan anak you ya? I dengar you mengandung anak Bukhary. Apa ni? Teruk juga
you ya. Ada anak dengan lelaki lain tapi sekarang dating dengan lelaki lain.
Perempuan jenis apa ya you ni?”
Kata-katanya itu
membuatkan telingaku terasa berdesing. “Itu bukan masalah you.” Aku menjelingnya.
“Oh bukan masalah I
ya...tapi masalahnya sekarang I jadi
mangsa penipuan you. You tak rasa I berdendam pada you. Dengan perbuatan you
yang mainkan perasaan I?”
Aku memandangnya. “I am sorry taufiq.”Ucapku ilkhlas. Bersungguh.
Dia ketawa. “Woo!
Senangnya cara you minta maaf.”
Dia mendekatkan
wajahnya denganku. “Dont you think I can
forgive you. Never ever. Ingat tu.” Dia tersenyum sinis sebelum dia
beredar.
Aku tersedar dari
terus menggelamun bila lampu bengkel tiba-tiba terpasang. Aku memandang ke arah
pintu.
“Maya you tak balik
lagi ke?” Sarah mencapai pelan rekaan di atas rak di sebelahku.
Aku tersenyum. “I nak
balik dah ni. You jalan dulu lah.”
“Okay Maya. Nanti you
tutup lampu dan kunci pintu depan ya. Aaron dah balik awal tadi.” Pesannya
sebelum dia hilang di sebalik pintu.
Aku mengemas
barang-barangku peribadiku ke dalam beg galas. Aku terus menutup lampu dan
mengunci pintu. Aku memandang jam di pergelangan tangan yang menunjukkan angka
lapan.
Aku terus menuju ke
tempat letak motorsikal. Aku terkejut bila tiba-tiba bahuku disentuh dari
belakang. Aku menepis tangan itu sebelum menoleh.
“Awak!” Aku sedikit
terjerit.
Firqin senyum
kepadaku. Dia berdiri sambil kedua-dua belah tangannya diletakkan di atas,
seperti ditahan pihak polis lagaknya.
“Sorry. Saya tak sengaja sergah
awak macam tu.” Katanya.
Aku melepaskan
keluhan. Aku memang sangat terkejut ketika itu. Mahu tidaknya apabila tiba-tiba
saja aku disergah dari belakang malam-malam begini.
“Awak buat apa kat
sini? Terkejut betul saya tahu tak. Bahaya malam-malam macam ni awak sergah
dari belakang macam tadi.” Aku memarahinya.
“Sorry Maya. Saya tak sengaja. Tapi awak janganlah marah saya. Lama
tau saya tunggu awak kat luar ni. Dah lah sejuk.” Dia tersengih-sengih.
“Kenapa pulak awak
nak tunggu saya? Saya tak mintak pun.” Kataku sambil aku menuju ke arah
motorsikalku dan membuka safety lock di bahagian tayar hadapan.
Dia mendekatiku.
“Lagi bahaya awak tunggang motorsikal sorang-sorang malam-malam macam ni. Ingat
awak tu perempuan.” Dia mula membebel.
“Awak jangan jadi mak
nenek boleh tak. Menyibuk aje.” Geram aku dengannya yang tiba-tiba saja muncul
itu.
“Siapa mak nenek?
Betul lah cakap saya. Oh kena sergah dari belakang takut, tapi naik motor
malam-malam macam ni tak pulak takut.” Omelnya.
Berkerut dahiku
berfikir. Apa yang lelaki ini mengarut. Tiba-tiba datang depan aku lepas tu
bagi ceramah tentang keselamatan pulak.
“Encik Firqin....saya
dah naik motor ni bertahun tau. Tak ada apa pun. Awak nak sibuk tu kenapa?” Aku
menjelingnya geram.
“Itu dulu...sekarang
dah tak selamat. Dah...dah dengar cakap saya. Mulai esok naik kereta aje.”
Selamba saja dia mengambil kunci motorku dan dimasukkan ke dalam poket
seluarnya.
Bulat mataku
memandang tindakan spontannya itu. “Hei awak ni dah kenapa? Suka hati aje ambik
kunci saja. Bagi balik!”
“Tak nak.” Balasnya
yang membuatkan aku terus hilang sabar.
“Awak nak saya ketuk helmet ni kat awak ke baru awak nak bagi
kunci tu?”
Dia senyum. "Amboi
garangnya cik adik ni. Saya bukan apa..saya cuma nak pastikan keselamatan awak
terjamin. Itu saja. Kot-kot lelaki siang tadi tu ganggu awak lagi ke...siapa
tahu. Agaknya dia ada di sini ke, tu kat celah-celah lorong tu atau dia ada kat
dalam kereta tepi-tepi tu ke...yang bila –bila masa aje tarik awak masuk kereta.
Siapa tahu.”
Aku memegang dahiku.
“Eh apa awak membebel ni? Apa yang awak mengarutkan ni? Awak ni gila ya? Paranoid tak tentu pasal.”
Dia buat-buat
terkejut. “Kalau saya gila tak lah saya jadi pilot. Tak dapat lah saya borak dengan awak macam ni. Saya normal.
Saya waras. Awak tak perlu risau.” Dia ketawa.
Aku merengus. Tapi aku
pelik. Personaliti lelaki berbeza dengan Firqin yang aku jumpa di Auckland
dulu. Macam orang yang berbeza. Yang di hadapanku ini seorang yang ceria di
mataku. “Whatever. Bagi balik kunci saya.”
“Tak boleh...kan saya
dah kata tadi. Bahaya. Nanti Taufiq cari awak.”
“Eh awak ni siapa nak
campur hal saya!” Aku menengkingnya.
“Apa sebabnya? Saya
tak mintak lah awak lindungi saya. Saya tak susahkan awak pun. Tentang siapa
lelaki tadi tak ada kaitan dengan awak pun.” Tambahku.
Agak lama dia diam. Namun
matanya masih lagi memandangku. Bibirnya masih tersenyum sebelum dia
mengeluarkan kata-kata yang membuatkan aku terpaku.
“Ada. Saya risaukan
awak sebab saya rasa saya dah mula jatuh cinta pada awak.”
Dia senyum. Nampak ikhlas
di mataku. “Saya ulang sekali lagi Maya....saya cari awak sampai jumpa
sebenarnya adalah kerana saya rasa saya sukakan awak.”
Aku memandangnya. Aku
rasa pelik dengan situasi ini. “Gila.” Itu saja yang terkeluar dari mulutku
sebelum aku beredar menuju ke perhentian teksi berdekatan.
“Maya...Ariana...Maya
Ariana.” Firqin memangil-manggil namaku.
“Maya saya hantar awak
balik. Tu kereta saya.” Kata lelaki itu yang sudah berjalan seiring denganku.
Aku menoleh ke
arahnya. “Awak memang gila kan Encik Firqin. Datang sini tiba-tiba lepas tu
terus kata jatuh cinta pada saya. Sangat tak logik.”
Aku berhenti dari
terus berjalan. Aku memandang ke arah sekelilingku.
“Awak tengok apa tu? Cari
apa?” Dia menyoal.
“Saya cari hidden camera. Awak tengah berlakon kan?
Oh....atau pun ada Amera kat sini?” Bertubi-tubi persepsi di dalam kepala aku
luahkan.
Dia berhenti di
hadapanku. Dekat betul denganku. Aku berundur setapak ke belakang.
“Tak ada. Saya tak
berlakon ke...apa ke. Betul lah apa yang saya cakap tadi.” Kata lelaki itu.
Aku memejam kedua
belah mata. Cuba mengenal pasti realiti ini. Tiba-tiba aku teringat akan
sesuatu. Moga-moga Firqin sedar pada realiti itu.
“Awak dengar kan apa
yang Taufiq cakap siang tadi. Saya ni ada anak. Anak luar nikah lagi kata dia. Awak
tak takut ke? Boleh senang-senang awak kata awak suka pada saya.”
Dia memandang
wajahku. Riak wajahnya kini serius. “Sebab saya tahu semua itu bohong. Lelaki itu
tipu dan mereka cerita untuk malukan awak. Farhin dah ceritakan semuanya pada
saya tadi. Taufiq tu berdendam sebab awak tolak cinta dia. Sebab tu dia buat
macam tu tadi.”
“Awak rasa apa yang
Taufiq kata semua tu bohong?” Soalku serius.
Dia mengangguk. “Sebab
saya rasa awak bukan macam tu.”
Dia tersenyum lagi. Aku
hanya mampu terdiam.