Home Novel Cinta Hai Handsome! (Musuhku, Encik Pilot)
Hai Handsome! (Musuhku, Encik Pilot)
Dea Zoraya
10/2/2015 22:31:17
1,081,750
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 28 - Cinta telah berakhir

Aku berjalan semula untuk ke rumah Norzie. Ketika aku sedang menunggu lif di bawah, aku perasan seseorang sedang menghampiriku. Aku menoleh. Aku terkejut kerana lelaki itu tiba-tiba muncul di hadapan mataku. Firqin! Tanpa ada sebarang berita, kini dia muncul di depanku begitu saja. Perasaan marah, benci dan kecewa mula menjalar di dalam hati. Aku benci melihat wajah lelaki itu.

“Maya...” Panggilnya.

“Jangan you berani dekat dengan I.” Kataku tegas.

Namun dia masih lagi mahu menghampiriku. “No! Stop. Just go!” Tengkingku. Aku memang sudah hilang kesabaran tatkala itu. Tiada maaf buat lelaki itu kali ini.

Maya please. I am so sorry. Saya tak tahu nak cakap apa. Tapi apa yang saya boleh cakap, saya tak sengaja buat semua ni. Saya terlupa janji pada awak untuk bantu kawan awak tu.” Penjelasan Firqin itu langsung tidak membuatkan hatiku terpujuk.

“Tak sengaja? Itu aje ke alasan yang awak ada. Dah lah. Baliklah Firqin. Saya dah tak perlukan awak.” Ujarku sinis.

Dia melepaskan keluhan. Tanganku cuba diraih. Pantas aku tepis. “Jangan sentuh I!” Aku beri amaran.

“Saya tahu saya salah. Saya datang ni nak bantu awak. Nak tebus kesalahan saya dan juga untuk tunaikan janji saya pada awak tu.” Jelasnya lagi. Ah! Alasan saja tu.

“Tak payah! Nak buat apa? Kawan aku dah mati dah pun. Dah mati! Kau faham tak? Ini semua salah kau tahu tak. Aku dah tak boleh sabar, nak cakap baik-baik dengan orang yang mungkir janji macam kau ni. Kan senang dari awal lagi kau tak payah nak janji tolong kawan aku tu, aku boleh cari jalan lain. Sebab kau dan janji kau tu, Akmal mati.” Aku memarahinya. 

Aku tidak pernah seberani ini memaki seseorang. Airmataku mula menitis tanpa aku pinta. Rasa sakit yang aku rasa dalam hati ketika itu tiada tolok bandingnya. Sakit sangat  rasanya apabila disakiti oleh orang yang kita paling percayai dan yang juga orang yang paling disayangi.

Firqin terdiam. Lama dia memandangku. Nafasnya turun naik. Mungkin rasa bersalah mula dirasainya. “Sabar Maya. Saya tahu saya salah kerana dah mungkir janji saya. Tapi percayalah, saya tak sengaja. Saya ada alasan kenapa saya tak datang pada hari yang dijanjikan semalam. Ini saya ada bawa cek yang saya janjikan tu.” Bersungguh-sungguh dia cuba menyakinkan aku untuk mempercayainya.

“Simpan aje lah cek tu. Bagi kat isteri kau lagi bagus. Dah lah, aku tak nak dengar apa-apa langsung pun dari mulut kau. Aku tak boleh nak hadam pun walau sepatah apa yang keluar dari mulut kau. Sekarang ni perasaan dalam hati aku pada kau hanya lah benci. Benci! Benci sangat.”

“Tapi besar sangat ke salah saya tu Maya?”

Aku mendengus. Tahan geram. “Tak besar? Kerana kau mungkir janji tu satu nyawa melayang. Aku tak kisah kalau dari mula kau kata tidak. Kau tak dapat tolong sekurang-kurangnya aku boleh mintak tolong orang lain. Tapi masa tu kau bukan main baik, pujuk aku, yakinkan aku tak perlu risau sebab kau ikhlas nak bantu. Tapi akhirnya kau entah ke mana? Bernikah dengan perempuan lain? Hei! Apa benda ni? Kalau kau nak balas dendam dengan aku sekali pun, jangan libatkan orang lain. Jangan libatkan orang yang aku sayang pulak!” Tengkingku.

“Cukup Maya!” Suaranya pula yang meninggi. “Apa yang awak marahkan sangat ni? Balas dendam? Bila masa pulak saya berdendam dengan awak. Tak pernah Maya. Tentang awak nampak saya hari tu, sebenarnya saya tak jadi bernikah. Pernikahan tu dibatalkan.”

Aku ketawa. Rasa macam lepas baru dengar satu cerita yang sangat kelakar. Firqin memandangku pelik. “Tak jadi nikah? Kesiannya pada kau. Oh...bila tak jadi baru datang cari aku kat sini. Tak apa lah, kau boleh balik saja. Silakan.” Sinis aku balas.

Firqin mememang lenganku. “Kenapa awak berubah macam ni Maya? Ini bukan diri awak. Awak bukan macam ni orangnya. Saya mengaku saya salah kerana tak tepati janji. Tapi seharusnya kesalahan sebab kawan awak mati bunuh diri tidak boleh awak letakkan di atas bahu saya kerana dia sendiri yang buat pilihan begitu. Itu pilihan dia untuk selesaikan masalahnya. Jadi Maya, saya mintak tolonglah jangan salahkan saya. Saya pun sedih dan simpati atas apa yang dah terjadi.”

Aku diam. Airmata terus mengalir dari tubir mata. Mulutku diam tapi di dalam dada, rasanya hatiku bagai dihiris-hiris. Senang saja dia cakap, tapi dia tahu ke apa yang aku hadapi? Aku marah, aku sedih, aku kecewa kerana dia tidak tepati janji dan juga kerana dia mempermainkan perasaan aku dengan memilih orang lain, padahal dia sendiri kata dari mulutnya yang dia sukakan aku. Aku marah kerana dia bagaikan bermain dengan harga diri aku, campak aku ke tepi macam aku ni tak berharga.

Aku akui sebenarnya aku tidak salahkannya atas apa yang terjadi pada Akmal. Akmal buat begitu atas pilihannya sendiri. Aku sedang marah, jadi semua di dalam hati aku luahkan walaupun aku tidak bermaksud untuk menyalahkannya.

“Kenapa kau perlu datang jumpa aku? Antara kita dah selesai. Aku tak perlukan pertolongan kau dah.” Kataku.

“Sebab saya nak beri juga wang ni pada kawan awak.” Balas Firqin.

Aku memandang cek di tangannya dan wajahnya silih berganti. Bagiku cek itu hanya sekeping kertas kosong yang tak ada nilainya dah. “Tak perlu. Aku dah bayar semua hutang tu. Kau simpan ajelah.”

Berkerut wajah lelaki itu. “Eh mana boleh. Awak memang perlukan duit ni bukan? Masih sempat lagi ni belum 24 jam. Jom saya teman awak jumpa Along tu.”

“Kan aku dah kata tak perlu.” Kataku malas.

“Tapi susah kawan awak dengan anak-anaknya nanti. Lagi cepat selesai lagi elok.” Kata lelaki itu pula. Menyampah aku. Cuba buat baik pula.

Aku menggeleng sinis. “Kau ni tak faham ke, kan aku dah kata aku dah bayar hutang tu semua. Dah bayar!”

“Tapi awak bayar dengan apa?” Soalnya. Tapi aku buat tak tahu saja.

“Bayar dengan apa Maya?” Desaknya. Suaranya sedikit tegas. Lenganku diraih lagi. Dia mungkin sudah hilang sabar dengan aku agaknya. Kata-kata pedasku mungkin telah membuatkannya marah.

“Dengan jual diri aku! Aku bayar dengan jual diri aku!” Balasku. Hilang sabar.

“Awak jangan main-main Maya. Saya serius ni.” Lenganku perlahan-lahan dilepaskannya.

“Aku tak main-main. Aku serius. Aku jual diri aku dengan harga tiga puluh ribu ringgit pada lelaki yang aku tak kenal!” Tajam mataku menikam wajahnya.

“Err...err sebab apa Maya awak buat macam tu?” Aku nampak matanya berair.

“Sebab kau. Sebab kau tak datang semalam. Aku tak ada pilihan.” Airmataku menitis. Segera aku menyeka dengan belakang tanganku. Rasa marah dan dendam semakin membuak-buak apabila memikirkan yang aku terpaksa mengikat perjanjian dengan lelaki yang tidak aku kenali, berikutan penyebabnya adalah lelaki di hadapanku itu.

“Awak..awak jual diri? Saya tak percaya awak akan buat macam tu? Siapa lelaki tu? Saya nak jumpa dia dan bagi balik duit dia. Saya nak awak putuskan apa saja yang awak dah janjikan dengan lelaki tu.” Firqin sudah hilang sabar.

“Apa yang aku buat dan akan buat dah tak ada kena-mengena dengan kau.” Aku tidak memandang wajahnya.

Terasa tangan kiriku disambarnya. Firqin memaksaku untuk mengikutinya. “Lepaslah!” Aku meronta.

“Ikut saya. Saya nak berbincang dengan awak. Saya mahukan penjelasan tentang apa yang awak mengarut kan tadi tu.”

“Penjelasan apa? Ini realiti. Kau dengan aku dah tak ada apa. Dah berakhir!” Teriakku.

Wajahnya bertukar bengis. Dia mengetap giginya menahan marah. Ini kali pertama aku melihat lelaki itu dalam keadaan seperti ini.

“Bila masa pula antara kita dah berakhir? Saya tak tahu pun.” Katanya.

“Sejak kau nikah dengan Amera semalam! Sejak aku nampak kau masuk dalam rumah tu, perasaan aku terkubur untuk kau. Aku benci kau. Aku tak suka. Aku menyampah nak tengok muka kau lagi. Faham tak. Dah lah, jangan tanya macam-macam lagi. Jangan muncul depan aku lagi. Aku tak nak jumpa kau lagi sampai bila-bila.” Aku berpusing untuk beredar.

Namun tanganku diraihnya semula. Dipegangnya erat. “Saya tak nak kehilangan awak. Antara kita belum berakhir Maya. Saya tak pilih Amera atas kehendak saya. Saya tak ada pilihan. Saya terpaksa buat macam tu sebab nak tolong dia. Amera...” Firqin merayuku.

“Aku tak ada masa nak dengar kisah cinta kau dengan Amera dekat sini. Aku tak berminat. Tolonglah pergi. Aku tak nak tengok muka kau lagi. Kau dah hancurkan hidup aku. Kau tak puas lagi ke? Apa yang kau nak dari aku lagi? Tolonglah pergi.” Aku pula yang merayu kepadanya.

Dia masih lagi tidak mahu melepaskan tanganku.

“Saya dah letih Firqin. Saya dah penat dengan semua ni. Saya rayu awak tolonglah lepaskan saya. Jangan ganggu saya lagi. Antara kita dah berakhir.” Kataku hiba.

“Saya tak akan Maya! Saya sayangkan awak. Saya tak nak kehilangan awak.” Firqin masih lagi tidak berputus asa.

“Firqin...kau nak aku maki kau lagi ke baru kau boleh faham keadaan sekarang ni?” Soalku. Aku mahu dia putus asa.

“Saya tak faham dan saya tak nak faham pun. Yang saya nak buat awak faham sekarang ni ialah awak pulangkan balik duit lelaki yang awak pinjam tu. Saya bagi awak duit tu, awak bagi pada dia.” Satu arahan dikeluarkan lelaki itu.

“Aku tak boleh. Aku dah janji. Aku dah tak boleh berpatah balik walau apa jadi sekali pun. Aku dah berjanji untuk kahwin dengan lelaki tu. Aku akan jadi isteri orang lain. Orang yang dah bantu aku bila aku dalam kesusahan. Jangan cari aku lagi." Bohongku dengan harapan lelaki di hadapanku  itu bakal pergi dari hidupku buat selamanya.

“Saya tetap tak percaya apa yang awak cakapkan ni Maya. Awak seorang pelakon yang bagus tapi saya tahu dan saya dapat rasa yang awak tengah bohong dengan saya sekarang ni.” Firqin masih lagi tidak berputus asa.

Aku merentap tanganku dari tangannya. “Terpulanglah kau nak percaya atau tidak. Aku cuma minta kau jangan jumpa aku atau cari aku lagi selepas ni.”

Firqin meraup wajahnya beberapa kali. “Maya awak jangan kusutkan fikiran saya boleh tak dengan lakonan awak tu? Awak cakap lah apa sekali pun, saya tak akan percaya.”

“Buat apa aku nak susah-susahkan kau, nak serabutkan fikiran kau? Aku banyak benda lagi nak fikir daripada nak berlakon. Tolonglah sedar Firqin, aku bakal jadi milik orang lain. Jadi hak milik lelaki lain.” Ayat yang terakhir saja aku tekankan supaya dia faham yang aku ni bukan sesiapa untuknya.

Wajahnya nampak kusut ketika itu. Dia berlegar mundar-mandir di hadapanku sambil berfikir sesuatu. Tidak lama selepas itu, dia kembali memandang aku. Lama. Namun mulutnya terkunci. Lidahnya terkelu mungkin untuk mencari patah perkataan lagi.

“Sakitkan? Hati kau sakit kan bila dengar aku cakap macam ni? Macam ini lah aku rasa bila kau pilih Amera semalam. Sekarang kau boleh faham kan perasaan aku, apa yang aku rasa bila diri rasa dikhianati?” Soalku dalam esakan.

Lelaki itu diam, tapi matanya nampak layu. “Saya tak sangka...tak sangka yang benda ni nak jadi pada kita. Masalah ni buat awak terikat dengan lelaki lain. Saya minta awak fikir balik Maya, fikir masak-masak sebelum buat keputusan terima siapa pun lelaki itu. Awak tak kenal siapa dia kan? Macam mana awak nak terima dia jadi suami awak? Kalau-kalau dia apa-apakan awak dan sakiti awak nanti. Bahaya Maya. Awak jangan buat keputusan terburu-buru boleh.”

Aku pandang ke arah lain. Tidak mahu bertembung mata dengannya. “Tak ada bezanya pun. Aku kenal kau tapi kau dah sakiti aku jugak.”

“Awak tak sayangkan saya ke Maya? Awak tahu kan saya sukakan awak. Saya cintakan awak.”

Aku masih lagi berpaling muka. Namun airmata masih jua tidak mampu berhenti mengalir. Sebab apa? Adakah kerana aku sayangkannya? Sebab tu aku rasa sakit macam ni sekali. Tapi dia tak menghargai aku. Tindakannya menyakiti aku.

“Aku tak pernah cakap kat kau pun yang aku suka kat kau. Kan? Hanya kau seorang aje yang bertepuk sebelah tangan. Aku tak rasa apa-apa pun pada kau.” Bohongku.

“Kalau awak tak rasa apa-apa terhadap saya, kenapa awak menangis macam ni depan saya? Awak jangan tipu perasaan awak lagi Maya. Saya mintak awak jangan menangis lagi. Saya tak nak tengok airmata awak. Saya akan rasa makin bersalah. Tolonglah terima saya Maya.” Rayunya lagi.

“Dahlah Kin. Aku tak nak dengar apa-apa lagi. Cukuplah!” Balasku.

“Tapi Maya....”

“Just go!” Arahku.

“Maya.” Namaku disebut lagi.

I said go. Tak faham ke? Now!” Aku menuding jari menyuruh dia beredar.

“Betul ke ini yang you mahukan Maya?” Soalnya perlahan. Macam hilang semangat.

Aku mengangguk. Tidak terkeluar kata-kata yang bukan datang dari hati. Aku buat keputusan ini dalam keadaan marah, kerana aku terpaksa dan juga kerana aku kecewa. Tapi macam mana pula dengan apa yang ada dalam hati? Perasaan itu boleh aku tipu ke? Tidak.

“Baiklah, kalau itu yang awak nak.” Lelaki itu perlahan-lahan berundur pergi.

Sejurus saja lelaki itu beredar, aku kembali lemah. Aku cuba setabah dan sekuat mungkin berlagak di hadapannya tadi yang aku tidak perlukan dia di dalam hidupku. Tapi sebenarnya tidak. Sejujurnya aku akui yang hati aku rapuh, aku lemah dan aku tak kuat untuk berhadapan dengannya. Aku sedih dan kecewa dengan tindakannya yang mungkir janji dan memilih wanita lain sebagai isteri tanpa pengetahuanku walau pun katanya tadi pernikahan itu tak jadi. Aku rasa tertipu selama kami berkawan. Hakikatnya, aku kini sedar yang hatinya masih lagi ada pada Amera, bukan aku. Iya, itulah jawapannya yang sebenarnya.

Selamat tinggal selamanya. Kini antara kita dah tiada apa-apa. Kisah kita yang baru sahaja nak bermula, tamat di sini. Cinta telah berakhir. Aku cuba menerima hakikat itu. Aku harap dia juga begitu.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.