Home Novel Cinta Hai Handsome! (Musuhku, Encik Pilot)
Hai Handsome! (Musuhku, Encik Pilot)
Dea Zoraya
10/2/2015 22:31:17
1,079,160
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 27 - Kau cantik bertudung

Aku turun dari kereta sejurus saja Encik Izzaz memberhentikan keretanya berhampiran kawasan tempat tinggal Norzie. Sebak hatiku ketika itu tatkala mata terpandang akan orang ramai yang berpakaian baju kurung dan bertudung bagi perempuan dan bersongkok bagi lelaki. Aku menahan seorang wanita yang kebetulan melintasiku.

“Assalamualaikum, kak. Tumpang tanya akak dari mana ya?” Aku mahukan kepastian.

“Waalaikumsalam adik. Akak dari rumah arwah Akmal. Alhamdulillah semua dah selamat. Jenazah dah selamat dikebumikan sebentar tadi.”

Aku sebak. Bangkit Maya! Ini bukan mimpi. Akmal sudah benar-benar pergi meninggalkan dunia ini. Perlahan-lahan airmata jatuh di pipiku. Ini realiti Maya. Terima takdir dan hakikat yang telah ditentukan.

Deheman seorang lelaki di sebelahku membuatkan aku tersedar. Segera aku sapu sisa airmata di pipiku. “Banyakkan bersabar. Terima takdir yang ALLAH tetapkan.” Lembut suara lelaki itu bagaikan memujuk. Aku pelik. Mana pergi Encik Izzaz yang sinis dan tegas tadi. Baik pula dia memberi kata-kata semangat kepadaku. Aku sekadar mengangguk. Tidak mahu dia rasa tersinggung.

“Kita tunggu sekejap. Aku tunggu orang sekejap.” Ujarnya. Ketika itu juga sebuah kereta Proton Saga betul-betul berhenti di sebelah kami. Tiga orang lelaki keluar dari kereta itu dan salah seorang dari mereka menghulurkan sebuah beg kecil kepada Encik Izzaz.

“Maaf lambat Bos. Saya bawa apa yang bos pesan tadi.” Kata lelaki yang tinggi malah tegap itu. Aku perhati satu-persatu wajah di hadapanku ketika itu. Badan memang sasa, tegap dan muka serius. Sebijik macam Mr. Lion King ni. Bonzer dia kot. Aku sekadar meneka.

Aku sekadar memerhati salah seorang daripada mereka menghulurkan sehelai kemeja berwarna biru kepada Encik Izzaz. ‘Amboi siap ada orang tolong bawakkan baju dia bagai. Macam putera pulak.’ Aku berkata-kata sendiri.

“Ada apa yang aku suruh kau bawak tu? Mana bendanya?” Encik Izzaz selamba membuka kemejanya di hadapanku. Fuh nasib baik ada baju t-shirt putih kat dalam. Aku buat pandang-pandang tempat lain. Tak nak pulak nanti dia mengata aku ambil kesempatan pandang khazanah dia.

“Nah.” Lelaki itu menghulurkan satu beg plastik kecil kepadaku. Sempat aku memandang penampilannya yang sudah siap menukar kemeja baru, malah bersongkok.

“Apa ni?” Soalku pelik.

“Tengoklah sendiri.” Balasnya malas. Dia terus mengambil beberapa dokumen daripada pekerjanya yang tiga orang tadi tu dan berbincang tentang sesuatu. Ish, dingin betul.

Aku menjenguk apa yang ada di dalam plastik tersebut. Sehelai tudung berwarna putih. Aku memandang kembali Encik Izzaz yang sedang fokus meneliti dokumen di tangannya. Aku sedikit terharu dengan keprihatinan lelaki itu. Dia sempat menyediakan tudung untukku. Iyalah kan aku sendiri yang kata tadi yang aku nak ke majlis pengkebumian kawanku, tapi pakaianku tidak sopan pula. Malah terus-terang aku katakan, pakaian yang tersarung di tubuhku ini adalah baju semalam.

“Baik hati jugak dia ni dalam panas baran dan tegas. Mungkin betul kot kata Doktor Fairuz tentang lelaki itu yang nampak saja garang di luar tapi baik hati. Entah. Jangan terlalu awal buat penilaian Maya.” Ujarku sendiri.

Aku menyarungkan tudung itu di kepala. Sudah bersedia untuk ke rumah Norzie. Encik Izzaz menghampiriku. “Aku tak tahu baju kau saiz apa. Tudung ajelah yang sempat aku pesan untuk bawak kan untuk kau.” Katanya sambil matanya tidak lepas memandang wajahku.

“Kan elok kau pakai macam ni. Pakai sopan, tutup aurat paling penting. Barulah bertambah cantik dan manis.” Puji lelaki itu tiba-tiba.

Aku terkedu dengan pujian itu. Biar betul kata-kata pujian itu keluar dari mulut singa ni.

Don’t get me wrong. Aku hanya puji apa yang terlintas di hati. Aku puji sekali aje. Tak ada siaran ulangan.” Lelaki itu cepat memintas. Mungkin dia dapat membaca fikiranku agaknya melalui reaksiku tadi.

“Terima kasih.” Aku sekadar berbahasa.

“Perempuan kan wajib tutup aurat. Penting bagi wanita tu amalkan supaya dirinya terpelihara dari benda-benda tak elok.” Tambahnya yang aku tahu lebih kepada menasihati. Sweet jugak lelaki ni rupanya, dalam garang dia ada jugak baiknya. Pujiku di dalam hati.

Encik Izzaz kemudian menghulurkan sesuatu kepadaku. Beberapa helai kertas bertukar tangan.

“Apa ni?” Soalku pantas.

“Kontrak perjanjian. Aku kena berjaga-jaga jugak, takut kau lari nanti bila dah dapat duit.”

“Hah? Kontrak? Bila masa saya kata saya kena sain kontrak. Lagipun Encik sabar sikit boleh tak, saya nak jumpa kawan saya dulu boleh tak.” Balasku bernada tidak puas hati.

“Aku bos kat sini. Kau diupah, menyamar atau dalam perkataan lainnya bekerja untuk aku. Jadi kau kena ikut syarat aku, rancangan aku dan paling penting dengar cakap aku. Jangan melawan.”

Aku menjelingnya tidak puas hati kerana dia bagaikan berat sebelah. Dia pandai-pandai buat kontrak tanpa berbincang dengan aku. Cepat betul tindak-tanduknya.

“Melawan? Melawan? Tu jeling-jeling tu kenapa?”

“Mana ada saya melawan. Bagi pen tu.” Balasku.

Sebelum menurunkan tandatangan di atas kertas tersebut, aku berpaling kepadanya terlebih dulu. “Saya harap tak ada permintaan yang pelik-pelik dalam ni. Tak ada syarat-syarat yang mengarut. Dan lagi satu saya ada juga syarat-syarat yang perlu Encik Izzaz ikut nanti. Boleh?”

Tidak lama untuk lelaki itu berfikir. Beberapa saat kemudian dia mengangguk setuju. Aku terus menurunkan tandatangan di bahagian bawah kertas tersebut, bersebelahan dengan namanya. Mohd Izzaz Rayqal.

Dia ambil kembali kertas itu dariku. Dia mengeluarkan sesuatu dari beg sandang yang dibawa bonzer nya tadi. Buku cek dikeluarkan. Lelaki itu dengan pantas menulis sesuatu di atas buku cek tersebut.

“Yang ni untuk kau. Kan aku kata aku akan bayar terus. Pantas, cepat, berhasil. Kau kena ingat tiga perkataan tu selama kita bekerja nanti.”

Aku menyambut hulurannya. “Dua puluh ribu ringgit....tapi tapi Encik kata nak bayar saya tiga puluh ribu...” Aku panik. Jumlah yang tertulis di atas cek itu tidak sama seperti yang dijanjikan tadi.

“Sabarlah. Yang tu untuk kau. Yang kat tangan aku ni, cek berjumlah tiga puluh ribu ringgit untuk bayar hutang kawan kau tu.” Encik Izzaz menayangkan cek itu di hadapan mukaku.

Aku terkejut. Bulat mataku memandang amaun tersebut. “Habis yang kat tangan saya ni RM20 ribu ni siapa punya pulak.” Aku panik.

“Ish tak faham lagi ke. Yang tu untuk kau. Aku bagi duit tambahan. Kau anggap ajelah bonus.”

Aku menelan liur. “Encik Izzaz....jangan main-main boleh. Jumlah ni bukan kecil tau. Saya tak nak.”

“Ambik aje lah. Kau anggap ajelah aku bantu kawan kau tu.” Naik balik nada suaranya.

“Tapi...”

“Eh banyak pulak soal kau ni, nak ke tak nak? Karang aku ambil balik duit ni baru kau tahu.” Ugutnya yang lebih kepada untuk mengacahku saja.

Aku sekadar memuncungkan bibir. Matanya mula tajam memandangku. “Saya tak melawan lah.”

“Bagus. Kau dah boleh faham aku.” Dia tersenyum.

Apa? Aku mengerdipkan mataku beberapa kali. Biar betul lelaki ni senyum? Mataku salah tengok kot. “Mungkin sebab aku kurang tidur kot.”

Lelaki itu berjalan meninggalkan aku. “Cepatlah. Kata nak pergi jumpa kawan kau.”

Aku berjalan cepat-cepat mendapatkannya. “Lagi satu kau ada nombor telefon lintah darat tu?”

Aku mengangguk.

“Bagi aku sini. Biar orang-orang aku uruskan.” Selamba tapi yakin dia berkata begitu.

Aku terkebil-kebil. “Betul ke ni Encik? Saya tak nak menyusahkan Encik atau pekerja Encik. Tak apa, tak apa saya boleh jumpa mereka sendiri.”

Encik Izzaz mencekak pinggangnya. “Eh Eh dia ni, orang nak tolong banyak cakap lagi pulak. Kau tu perempuan, cantik pulak tu...karang tak pasal-pasal kena jual. Aku jugak susah nak kena cari adik lain. Bagi sini nombor tu.”

Aku segera mengeluarkan telefon bimbitku dan memberinya nombor telefon yang dikehendakinya itu. Aku cuba menahan senyuman dengan gelagat lelaki ini. Macam mana aku nak cakap ya, dia garang dan sinis tapi dalam masa yang sama kata-kata dan tingkah lakunya yang selamba itu mencuit hatiku. Tapi yang aku tak tahan mulutnya yang laser itu. Kalau aku nampak dia senyum atau sengih tu kira bonuslah untuk aku.

Dia berjalan mendahuluiku. “Macam mana lah hidup aku bila jadi adik dia nanti. Masak aku agaknya. Hari-hari kena marah, dengar dia membebel, mahu naik darah tinggi kot.”

“Apa kau membebel tu. Aku dengar kau kutuk aku. Cepat!” Mr. Lion King dengar pulak aku kutuk dia.

“Ya, datang lah ni.” Aku mencebik geram. Baru sehari dengan dia dah pening kepala, lepas ini hari-hari nak menghadap Tuan Putera Lion King bolehkah aku melakukannya? Itu soalan untuk diriku sendiri.

SEBAIK saja aku nampak Norzie, aku terus menerpa memeluknya. Tanpa suara hanya melalui perasaan kami berdua menangis berkongsi kedukaan dan emosi yang sama. Aku mengesat airmata di pipinya. Dia juga buat yang sama terhadapku.

“Dah...kau jangan nangis lagi Jie. Aku ada kat sini untuk kau. Jangan risau aku sentiasa ada di sisi kau.” Pujukku.

Norzie menggengam erat tanganku. “Terima kasih Maya. Aku bersyukur ada kau sebagai kawan paling rapat dalam hidup aku. Selain anak-anak, kau adalah kekuatan untuk aku. Insya Allah aku tabah hadapi dugaan ni.”

“Anak-anak kau selamat. Jangan risau. Lagi satu aku ada berita baik untuk kau. Aku dah dapatkan duit untuk kau.” Aku mula senyum.

Tapi tidak Norzie. “Mana kau dapatkan duit sebanyak tu Maya? Aku minta maaf aku susahkan kau lagi.” Ucap Norzie serba-salah.

“Jie aku dah janji kan nak bantu kau. Kau jangan rasa bersalah macam ni. Dah... dah sekarang ni kau tak payah risau sebabnya aku dah langsaikan hutang Along tu. Sekarang kau dengan anak-anak tak perlu hidup macam dulu lagi.” Ujarku.

“Tapi dari mana kau dapat duit tu Maya?” Desaknya lagi.

“Emm...dari bos aku. Kenalkan yang ni Encik Izzaz bos aku. Dia yang tolong kau bayarkan duit hutang tu. Aku tak hutang dari mana-mana pun. Encik Izzaz ni yang banyak bantu aku. Kau patut terima kasih pada dia, bukan aku.”

Encik Izzaz nampak terkejut dengan cerita rekaanku. Aku sudah rancang awal-awal di dalam benakku yang aku tak akan bagitahu Norzie tentang perjanjian aku dengan Encik Izzaz. Aku tak nak dia risau akan hal aku pula. Biarlah hidupnya dan anak-anak tenang. Tak mengapa bila aku sorang yang terpaksa tanggung beban ini.

“Terima kasih Encik kerana simpati dengan saya. Saya anggap ini rezeki anak-anak saya. Saya doakan Encik selalu bahagia, murah rezeki dan diberkati hidupnya. Amin. Alhamdulillah, syukur ada lagi orang yang baik dalam dunia ni rupanya. Kan Maya?”

Aku sekadar senyum sambil membalas pandangan mata dengan Encik Izzaz. Betul! Aku perasan kali ni mukanya jelas berubah. Nampak merah. Aku tak pasti sama ada dia tengah malu atau marah.

Aku tak berniat nak menipu, tapi aku ada sebab buat seperti ini. Aku harap Encik Izzaz tak mengamuk tak pasal-pasal pulak nanti. Aku akan jelaskan pada dia nanti akan sebabnya.

“Err...sama-sama. Saya buat apa yang saya mampu aje. Tapi Puan untung ada kawan macam Maya ni, yang ambil berat.” Balas Encik Izzaz penuh sopan.

Norzie mengangguk.

Setelah menziarahi pusara arwah Akmal, aku kembali semula ke rumah Norzie untuk membantu apa yang patut untuk kenduri malam nanti. Ketika aku sedang membantu membentang tikar mengkuang di ruang tamu, Encik Izzaz yang berdiri di luar melambai tangan memanggilku mendekatinya.

“Aku tunggu kat bawah. Ada hal nak cakap. Cepat sikit.” Arahan diberikannya.

Beberapa minit kemudian, aku turun menaiki lif. Aku nampak lelaki itu sedang memeriksa belakang keretanya. Aku telan liur. Perasan bersalah kembali menjalar di dalam diri.

“Berapa Encik nak ganti rugi kerosakan kereta ni?” Soalku ketika menghampirinya.

Dia yang sedang mencangkung memeriksa lampu belakang yang pecah terus mendongak memandangku. Namun matanya kembali memandang keretanya sambil tangannya membelek-belek lampu yang pecah itu.

“Nak bayar apa? Kau dah bayar ganti rugi tu kan.” Balasnya.

“Bila saya bayar? Encik yang bagi saya duit lagi adalah.”

“Tentang kereta aku ni kau tak payah risau lah. Pandai lah aku uruskan. Ni kunci kereta kau. Ada nombor mekanik sekali. Nanti kau call lah tanya bila kereta kau boleh siap.” Sepet matanya memandangku, terik panas matahari tengah hari itu boleh tahan bahangnya.

“Tapi tak adil lah Encik. Saya kena bayar jugak. Sebab saya yang salah.” Ujarku lembut. Satu senyuman aku berikan kepadanya atas kebaikannya kepadaku hari ini.

Agak lama dia memandangku. “Tak apa. Tak payah. Sekali lagi kau tanya soalan yang sama, aku marah.” Tapi nada suaranya masih elok.

Aku diam. Okay lah kalau dia dah cakap macam tu.

“Nanti aku akan call kau untuk bincang pasal tawaran aku tu. Banyak benda kau perlu tahu, belajar dan praktik sebelum datang ke rumah aku sebagai adik aku dan paling penting kat depan Umi aku. Hari ni kau pergi rehat dulu, muka kau nampak letih sangat tu aku tengok. Selalu tengok-tengokkan kawan kau tu.” Sempat dia menasihatiku. Nada yang sedap didengar keluar dari mulutnya.

Aku mengangguk. “Terima kasih untuk hari ni. Dan minta maaf juga tentang semalam.”

“Lagi satu pasal hutang Along tu dah settle. Aku dah uruskan semua. Kalau dia cari kau atau kawan kau lagi, bagitahu aku.” Tambahnya.

Tiba-tiba terbit di dalam mindaku tentang sesuatu. Akhirnya orang yang aku tidak kenali juga yang menghulurkan bantuan di saat sukar seperti ini. Sedangkan orang yang aku harapkan langsung tidak kunjung tiba di hadapan mata. Rasa kecewa, sebak, marah kini mula bercampur aduk di dalam hati.

“Kau dengar tak ni? Faham tak?” Soal Encik Izzaz lagi bila aku tidak memberi respon.

“Dengar. Saya faham Encik Izzaz.” Kataku.

“Tak faham aku, tengah hari buta terang macam ni pun kau boleh nak berangan.” Dia menggeleng.

“Lagi satu tak payah panggil aku encik, encik lagi. Penat dah dengar. Panggil aku Iz aje. Tapi bila depan umi aku nanti, kau kena panggil Abang Iz. Faham?”

“Abang? Perlu ke saya panggil macam tu?” Aku rasa geli pulak nak panggil pangkat manja-manja begitu. Kalau abang kandung atau abang angkat tu lain lah. Ini abang Lion King. Tak nak aku.

“Aku cepuk kau karang. Kenalah. Dah kau adik aku, nanti umi aku cakap apa pulak. Lagipun beza umur kau dengan aku banyak aku rasa. Kau ingat aku nak sangat ke kau panggil aku abang kalau tak ada sebab? Huh! Tak padan.” Lelaki itu nak menang juga.

“Yer Iz awak menang. Nanti saya panggil awak Abang Iz depan Umi awak okay. Puas hati?” Aku berpura-pura menggaris senyuman.

“Palsunya muka kau.” Komennya.

“Asalkan tak melawan kan.” Sinis aku balas.

Tajam matanya memandangku. “Kepala kau tu macam mana? Sakit lagi tak?”

Emm...ambil berat juga rupa-rupanya. Ingatkan dalam angkuh, sombong dan sinis tu dah tak ingat keadaan orang lain. Aku hargai jugalah dia punya prihatin tu. Dalam erti lain dia ni bertanggungjawab orangnya.

“Cuma berdenyut sikit. Nanti saya makanlah ubat bengkak dengan tahan sakit yang doktor bagi tadi tu. Insya Allah okay nanti.”

Dia mengangguk-angguk. "Lagi satu kenapa kau perlu menipu tadi depan kawan kau tu? Aku pantang orang menipu ni.” Encik Izzaz memeluk tubuhnya.

Aku mengetap bibir. Ingatkan dia tak akan tanya soalan ni tadi. Kuat pula daya ingatannya.

“Cepatlah jawab!” Naik satu anak tangga nada suaranya.

“Saya tak kawan saya rasa terbeban kalau dia tahu macam mana saya dapatkan duit ni. Takkan saya nak bagitahu dia yang saya terpaksa jadi adik awak sebagai tukaran, sistem barter dengan duit tiga puluh ribu tu. Saya tak sanggup, saya tak sampai hati nak buat kawan saya tu sedih lagi. Cukuplah masalah yang dia sedang hadapi sekarang ni. Saya nak dia dan anak-anak bahagia aje lepas ni. Yang lain-lain tu saya sanggup tanggung.” Jujur aku akui dari hati.

Wajah Encik Izzaz tidak seberang tadi. “Baguslah. Aku saja aje nak test kau ni macam mana orangnya. Personaliti kau. So far aku tengok kau penyabar orangnya, selalu dahulu kan orang lain tapi satu je kurangkan menjawab. You’re the perfect one to be my sister. Aku yakin kau boleh lakukan apa yang aku minta, asalkan kau dapat buat Umi aku bahagia, senyum semula dan gembira macam dulu.”

Sebelum Encik Izzaz beransur pulang, dia mengeluarkan beberapa not lima puluh ringgit kepadaku. “Beri pada kawan kau tu, gunakan untuk beli apa yang patut untuk kenduri malam ni. Aku ikhlas.”

Aku sambut huluran itu. 

“Aku balik dulu. Nanti aku call kau. Ingat jawab. Kau jangan biar aku tunggu bunyi tut tut tut tu lebih tiga kali baru kau nak jawab. Aku tak suka nak tunggu-tunggu. Telefon kau tu ikat kat leher, biar dengar sikit.” Katanya sebelum dia memboloskan diri ke dalam kereta. 

Terlepas ketawaku. Kelakar. Kali ni aku dah tak boleh simpan gelak lagi. Aku perasan lelaki itu juga turut tersenyum, namun segera disembunyikan. Tak faham aku, senyum ajelah atau kalau nak gelak pun gelak aje. Kenapa nak sembunyi pulak? Pelik. Kereta yang dipandu terus meluncur pergi.

Di dalam hati aku memuji sifat pemurahnya. Mungkin Encik Izzaz ni sebenarnya baik orangnya walau pun personalitinya sedikit menjengkelkanku. Aku pasti pasti ada sebab mengapa personalitinya dingin seperti itu. Sedangkan bila depan orang lain dia bukan main baik, sopan dan peramah. Depan aku aje dingin semacam. 

“Emm gaduh dengan isteri lah tu kot. Meroyan memanjang, nak kata datang bulan, memang tak mungkinlah.” Aku sekadar membuat andaian.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.