Home Novel Cinta Hai Handsome! (Musuhku, Encik Pilot)
Hai Handsome! (Musuhku, Encik Pilot)
Dea Zoraya
10/2/2015 22:31:17
1,079,264
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 21 - Sampai hati dia ;(

Azam memberhentikan keretanya berhampiran sebuah banglo yang agak besar. Aku yang mengekorinya dari belakang turut berbuat begitu. Ketika kami sampai kebetulan kumpulan rombongan sampai bersama-sama dulang-dulang hantaran di tangan masing-masing. Aku sudah rasakan apa yang dikatakan Azam tadi bukan lagi satu gurauan. Aku mematikan enjin kereta dan perlahan-lahan melangkah keluar. Debar di dalam hatiku bukan main hebat ketika itu. Aku berharap Firqin bukanlah lelaki yang bakal bernikah dengan Amera. Aku masih tidak boleh percaya selagi aku tidak melihat sendiri Firqin di hadapan mataku.

Sesaat selepas hatiku berkata begitu, aku ternampak kelibat Firqin di celah-celah rombongan tersebut. Aku cuba menghampiri tetapi dihalang Farhin. Dia memelukku erat. Firqin memusingkan badannya dan bersedia untuk masuk ke dalam banglo itu. Aku nampak dengan jelas dirinya yang lengkap berbaju melayu putih dan bersongkok. Aku cuba memanggil namanya tapi suaraku bagaikan tersekat. Aku cuba melepaskan diri dari Farhin dan mahu mendekatinya.

Aku cuba menahan tangis tapi aku tak mampu untuk mengawalnya. Aku tidak sedar aku sudah teresak-esak menangis sambil cuba untuk melepaskan diri dari pelukan Farhin.

“Lepaskan aku Ein. Aku nak jumpa dia.” Rayuku.

“Maya kau tak boleh buat macam ni. Kau nampak tu ramai saudara-mara dia. Jangan malukan diri sendiri Maya.” Pujuknya lembut.

“Dia tipu aku Ein.” Rintihku namun mataku masih ke arahnya berharap dia menoleh memandangku.

“Abang Kin!” Laung Azam tiba-tiba.

Firqin berhenti melangkah dan menoleh ke arah kami. Mata kami bertembung. Wajahnya nampak pucat apabila terkesan kehadiranku di sana. Agak lama dia memandangku dan kami berbalas pandangan. Aku nampak matanya seakan berkaca dan mulutnya seakan mahu meluah sesuatu.  Tetapi  kakinya masih tetap terpaku di sana!

Dia langsung tidak berganjak untuk mendekatiku. Tiba-tiba dia dihampiri oleh seorang wanita dan aku nampak wanita itu menarik lengannya untuk masuk ke dalm rumah itu. Beberapa orang saudara-maranya mungkin telah terkesan akan kehadiranku dan memandang pelik ke arah kami. Aku nampak Firqin berbual sesuatu dengan wanita yang mungkin ibunya itu dan mengangguk beberapa kali.

“Jangan pergi awak. Saya sayangkan awak. Saya perlukan awak. Tolong jangan buat saya macam ni.” Ujarku berbisik perlahan.

Sekali lagi Firqin menoleh ke arahku. Merenungku beberapa saat sebelum dia melangkah masuk ke dalam pintu pagar banglo itu. Aku cuba untuk mengejar dan mendapatkannya dan memintanya memberi penjelasan tentang apa yang sedang berlaku, namun Farhin dan Azam menghalangku.

“Awak...awak...” Aku memanggilnya perlahan. Betapa sakitnya hatiku ketika itu yang tidak tergambar peritnya. Hatiku hancur, punah dan berkecai. Baru saja aku ingin meluah rasa cinta terhadapnya dia melangkah pergi dengan mengambil keputusan sebegini. Meninggalkan aku yang baru mula belajar mencintainya dan memilih Amera yang pernah menyakitinya.

Aku menangis teresak-esak di dalam pelukan Farhin. Aku tidak tahu mengapa aku boleh jadi selemah ini. Aku bagaikan hilang semangat tatkala Firqin masuk saja ke dalam pintu pagar rumah itu tadi.

“Sakitnya Ein....tolong aku. Azam tolong I panggil Firqin kat dalam tu.” Rayuku kepada mereka berdua.

“Maya...Kin dah buat keputusan macam ni. Ini pilihan dia. Kau perlu banyak bersabar, Kuat Maya! Jangan lemah macam ni. Tapi apa pun dia tak patut dia buat kau macam ni.” Farhin cuba menenangkan aku.

“Apa salah aku pada dia Ein? Aku ingat dia ikhlas berkawan dengan aku. Dia yang datang dalam hidup aku dan terus terang dengan aku yang dia sukakan aku. Tapi kenapa dia buat macam ni hari ni? Selama ni dia cuma mempermainkan aku aje Ein!” Rasa marah mula menjalar di dalam hatiku.

Aku masih tidak boleh menerima lagi kenyataan yang Firqin sanggup mempermainkan aku sebegini kejam. Kemana perginya kata-kata cinta dan rindu yang diungkapkan kepadaku? Kalau begini pilihannya iaitu memilih wanita lain di dalam hidupnya, kenapa sejak dari awal dia perlu mendekatiku dan membuatkan aku mula menaruh harapan terhadap dirinya! Mengapa dia perlu membuatkan aku sayang kepadanya dan kini dengan mudah dia pergi begitu saja?

“Maya jangan jump into conclusion. Mungkin Abang Kin tak ada niat nak mainkan you.” Azam cuba mengubah persepsiku.

Tiba-tiba aku teringat pada Norzie. Aku tidak boleh berlengah-lengah di sini sementara kawan-kawanku mungkin sedang menanti aku dengan harapan. Aku tidak boleh menghampakan mereka walau pun Firqin telah memungkiri janjinya. Aku akan berusaha mencari jalan untuk mendapatkan wang yang selebihnya itu.

Perlahan-lahan aku meleraikan pelukan Farhin. Aku mengesat airmataku. Sekilas aku memandang ke arah banglo itu sebelum menuju ke arah kereta.

“Aku ke rumah Norzie dulu.” Ujarku kepada Farhin.

“Maya jangan buat benda bukan-bukan. Jumpa nanti kat rumah. Banyak sabar Maya.” Farhin sempat memberi pesanan kepadaku namun sedikit pun tidak masuk ke dalam kepalaku.

Sepanjang memandu ke rumah Norzie aku masih lagi menangis. Aku tidak boleh menerima kenyataan yang Firqin telah menjadi milik orang lain. “Kenapa aku tak boleh berhenti menangis ni? Kau kuat Maya. Jangan lemah!.” Aku memotivasikan diri namun tetap gagal.

Akhirnya aku memberhentikan kereta di bahu jalan dan melepaskan kesakitan di dalam jiwa yang aku tidak mampu tahan lagi. Aku menangis semahunya. Kenapa di saat aku mula rasakan cinta, ini akibat yang terpaksa aku tanggung? Apa salahku sehingga Firqin melayaniku sebegini? Adakah dia hanya berpura-pura baik denganku selama ini kerana mahu membalas dendam terhadapku kerana pernah mempermainkannya ketika di Auckland dulu? Atau ini balasan untukku kerana pernah menyakiti Abang Bukhary dan Taufiq?

“Lelaki tu buat macam ni pada aku sebab dia dah rancang. Dia berdendam sebenarnya dan selama ni dia hanya berpura-pura baik saja dengan aku. Malah dia besungguh-sungguh berjanji untuk membantu kawan-kawanku tapi ternyata itu semua bohong belaka! Aku benci dia! Benci! benci!” Aku melepaskan geram terhadap stereng kereta.

Apa salahku? Dan kalau benar aku bersalah pun, besar sangatkah kesalahan yang telah aku lakukan itu sehingga dia sampai hati buat aku begini. Mempermainkan perasaan aku dengan ungkapan cinta dan rindu. Aku benar-benar kecewa. Kini aku benar-benar tawar hati untuk membuka hati kepada mana-mana lelaki lagi kerana mereka semua sama saja di mataku. Hanya tahu menyakiti!

Aku cuba tidak memikirkan apa yang telah Firqin lakukan kepadaku . Apa lebih penting yang harus aku fikirkan ketika itu ialah bagaimana untuk aku mencari jalan membantu Akmal. Wang yang ada padaku masih tidak mencukupi untuk menjelaskan kesemua hutangnya. Aku semakin buntu memikirkan di mana harus aku dapatkan wang sebanyak tiga puluh ribu ringgit pada hari ini juga. Tidak mungkin untuk aku kembali berjumpa dengan Firqin dan menuntut janji darinya sedangkan panggilan telefonku pun tidak dijawabnya. Pasti dia sedang berbahagia dengan Amera. Semakin sakit hatiku apabila bayangan dirinya dan Amera bermesra tiba-tiba terbit di mindaku. Aku membayangkan perkara-perkara yang hanya menyakiti hatiku sendiri.

“Stop it Maya!” Aku memarahi diri sendiri.

Aku cuba fokus memikirkan cara bagaimana untuk aku dapatkan wang yang selebihnya lagi. Abang Bukhary! Aku segera mendail nombor telefon bimbitnya namun hanya peti suara yang menjawab. Oh ya! Minggu ni Abang Bukhary dan yang lain-lain ke Melbourne kerana Abang Bukhary akan bernikah di sana yang mungkin berlangsung pada minggu ini. Aku jadi serba salah untuk meminta bantuan darinya kerana aku mungkin menganggu hari bahagianya pula. Tapi ini soal hidup dan mati kawanku. Akhirnya satu pesanan Whatapps  aku hantarkan kepada Abang Bukhary. Kataku kepadanya, aku memerlukan bantuan darinya dan ianya penting. Aku minta Abang Bukhary supaya menghubungiku segera. Aku juga minta maaf kerana aku mungkin menganggu hari bahagianya di sana.

Aku menunggu seketika. Satu pesanan masuk ke dalam telefon bimbitku. Aku segera membuka pesanan tersebut. Dari Abang Bukhary! Aku jadi bersemangat kerana Abang Bukhary pasti akan membantu aku kali ini. Hanya pada dia tempat aku berharap kali ini.

Namun pesanan itu tidak seperti yang aku harapkan. Hatiku luluh tatkala membaca pesanan yang dikirim Abang Bukhary itu. ‘Kau memang sengaja nak hancurkan keluarga aku kan. Kau tahu hari ni Bukh berkahwin, tapi kau masih nak kacau dia! Perempuan tak tahu malu, jangan sesekali masuk campur dan dekat lagi dengan anak aku. Jangan berani ganggu kebahagiaan dia, kalau tidak kau kena hadap dengan aku. Ingat tu!’ Ini yang dikirim dari nama Abang Bukhary tetapi yang jelas aku tahu mama yang menulis pesanan tersebut.

Aku rasa terluka membaca pesanan itu. Mengapa hari ini ramai yang menyakiti aku? Apakah kesalahan yang pernah aku lakukan sehingga seperti ini layanan mereka terhadapku. Aku sedar diriku ini siapa. Hanya seorang yang sebatang kara yang menumpang kasih orang lain. Tidak punyai keluarga. Yang ada hanya kawan-kawan tempat aku mengadu yang telah aku anggap seperti keluarga kandung. Tentang Mama dan Abah aku akui aku pernah melakukan kesalahan terhadap mereka dan aku terima andai balasan yang telah dan bakal aku terima akibat dari perbuatanku terhadap orang tua angkatku. Tetapi bukan dari Firqin! Lelaki itu tidak layak menghukumku.

Sampai saja di perkarangan tempat kereta kawasan rumah Norzie, setelah mematikan enjin aku terus mengangkat keluar bagasi dari tempat duduk belakang untuk ke rumah Norzie. Mereka telah menunggu aku dan Firqin terlalu lama. Aku menoleh ke arah jam di tangan. Sudah empat petang rupanya. Maknanya kawan-kawanku telah menanti kami sudah terlalu lama. Aku berdoa moga tiada perkara buruk berlaku kepada mereka sekeluarga dan lintah darat tersebut boleh bersabar seketika.

Bila saja aku melalui laluan pejalan kaki di bawah bangunan rumah Norzie untuk ke lif di tengah bangunan itu, aku terdengar ada kekecohan berlaku di kawasan berhampiran taman permainan kanak-kanak yang terletak di bahagian kananku. Aku lihat ramai orang berkerumun di sana. Malahan ada beberapa orang anggota polis turut berada di sana. Ada apa agaknya sampai kecoh-kecoh begini. Soalku sendiri. Aku menahan seorang remaja lelaki yang kebetulan melintasiku dan aku tergerak untuk bertanya.

“Adik tumpang tanya, ada apa ya kecoh-kecoh kat sana tu?” Tanyaku.

“Ada orang bunuh diri kak. Terjun dari tingkat 13. Dia tu OKU tak ada kaki. Baru je jadi tadi.” Jawab remaja itu.

Tingkat 13? Tak ada kaki? Tubuhku tiba-tiba terasa menggigil. Betulkah apa yang aku dengar? Aku harap-harap orang yang terjun dari bangunan ini yang dimaksudkan budak itu bukan Akmal.

“Lelaki ke perempuan dik?” tergagap-gagap aku bertanya. Aku mahu penjelasan lanjut. Aku mengharapkan jawapan yang berbeza dari andaianku.

“Lelaki. Abang Akmal nama dia. Tu isteri dia ada kat sana.” Aku bagaikan terkena kejutan elektrik apabila nama kawanku disebut.

Aku melangkah perlahan menghampiri kawasan itu. Aku menyelit di celah-celah orang ramai di sana untuk melihat dengan mataku sendiri. Aku pasti apa yang dikatakan budak itu tidak benar langsung. Tidak mungkin Akmal akan bertindak sebegitu. Bagasi di tanganku terlepas tatkala aku terpandang sekujur tubuh kaku terbaring di tanah. Darah merah tidak berhenti mengalir dari kepalanya. Aku masih dapat melihat walau pun jasad itu sudah ditutup dengan plastik hitam.

Mindaku terasa kosong. Aku rasakan yang bumi bagaikan bergoyang ketika itu. Mataku mula kabur. Aku menggosok-gosok mataku beberapa kali dan tubuh itu tetap kaku di sana. Aku mengalih pandangan ke arah suara seorang wanita yang sedang meraung menangis di hadapan. Norzie.

Aku menerkup mulutku. Airmataku mula mengalir laju. Aku melutut di sebelah jasad kaku itu. Aku memberanikan diri untuk lebih dekat tetapi dihalang oleh anggota polis dan beberapa orang ramai. Aku meraung memanggil nama Akmal.

“Akmal bangun! Akmal aku datang nak tolong kau ni. Akmal bangun dan pandang aku!”

“Cik tolong beri kerjasama. Saya minta Cik jangan sentuh mangsa. Kita akan bawa mangsa ke hospital untuk bedah siasat.” Ujar salah seorang dari petugas.

“Tak perlu bedah siasat Encik. Saya minta bawa kawan saya ke hospital untuk rawatan. Saya rayu Encik bantu kawan saya, selamatkan dia. Saya yakin dia masih hidup.” Aku merayu kepada salah seorang petugas itu. Aku percaya yang Akmal masih boleh diselamatkan.

“Mangsa telah meninggal dunia. Saya sudah pastikan Cik. Saya mohon keluarga dan kenalan mangsa bersabar. Beri ruang kepada kami untuk membawa mangsa.”

“Ya Allah....Ya Allah....tabahkan aku. Kuatkan aku.” Aku memohon kekuatan.

Aku mendekati Norzie dan cuba memeluknya. Aku terkejut apabila Norzie menolak tubuhku menjauhinya. “Kau mungkir janji Maya! Kau tipu kami. Aku dan Akmal tunggu kau dan Firqin tapi kau berdua tak datang pun. Sebab kau Akmal mati Maya...”Norzie   memarahiku. Dia bagaikan sudah hilang akal.

Semakin kuat esakanku apabila dituduh menjadi penyebab kematian Akmal. “Aku tak sengaja Jie. Aku ingat janji aku nak tolong kau dan Akmal. Aku lambat  tapi aku datang juga dan bawa apa yang aku janjikan. Tapi aku lewat Jie....aku terlewat. Maafkan aku. Maafkan aku Jie.” Aku memegang tangannya. Itu saja yang aku ingat sebelum pandanganku kabur, semuanya nampak berpusing dan akhirnya segalanya menjadi gelap.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.