“Hello Encik Pilot awak ingat kerja nikah dengan kahwin tu
setakat pergi fitting baju aje ke?" MAYA
Aku
memandang cincin yang tersarung di jaris manisku. Sesekali aku mengerling ke
arah Izzaz yang sedang fokus memandu.
Aku seakan masih tidak percaya dengan apa yang telah berlaku kepadaku
sebentar tadi iaitu ketika Izzaz melamarku di hadapan Abah dan Abang Bukhary.
Aku ingin bertanya tentang itu kepada Izzaz sejak kami mula masuk ke dalam
kereta tapi aku tidak berani. Namun atas
desakan hati yang terlalu ingin mengetahui mengapa lelaki itu begitu berani
melamarku dan menetapkan tarikh pernikahan dengan begitu cepat sekali, akhirnya
aku beranikan diri juga untuk membuka mulut. Aku menelan liur sebelum bertanya.
“Iz
saya tengah mimpi ke sekarang ni?” Ujarku.
“Mimpi?”
Izzaz nampak bingung.
“Iyalah
saya mimpi ke bila awak melamar saya tadi. Betul ke tak lama lagi kita akan
bernikah. Rasa macam tak percaya pulak.” Tambahku.
Dengan
wajah yang serius Izzaz tiba-tiba mencubit lenganku yang terus membuatkan aku
menjerit kesakitan.
“Sakitlah.”
Aku mengusap lenganku. Satu jelingan aku hadiahkan kepadanya.
Izzaz
tergelak. “Sakitkan? Maksudnya sekarang ni kau tak bermimpi Cik Maya oii.”
“Dah
tu kenapa awak tu pandai-pandai tetapkan tarikh nikah kita? Saya tak buat
persiapan apa-apa lagi lah.” Aku rasa bengang pula dengan rancangannya yang bagiku terlalu drastik itu.
“Kau
tak payah risau lah. Yang itu aku dah uruskan dah. Sepupu aku ada butik
pengantin, esok kita pergi pilih baju.” Selamba Izzaz berkata seperti itu.
Aku
tergelak sinis. “Hello Encik Pilot awak ingat nikah dengan kahwin tu setakat
pergi fitting baju aje ke? Banyak
lagi benda wajib yang kena buat. Awak dah pergi kursus kahwin ke?” Soalku.
“Dah.
Kau?” Soalnya pula.
“Saya
sudah.” Balasku ringkas.
“Dah
tu nak tunggu apa lagi, senang aje lepas ni pergi daftar dekat jabatan agama,
panggil tok kadi dan nikah.” Wajah Izzaz yang nampak selamba itu semakin
membuatkan hatiku bertambah gusar dengan pilihan yang telah aku lakukan.
Aku
jadi tidak senang duduk apabila memikirkan yang tidak lama lagi aku bakal menjadi
isteri kepada Izzaz, seorang lelaki yang baru aku kenali dan yang paling
penting dia juga merupakan sepupu Firqin. Itu bermakna yang aku sebenarnya
tidak lari pun dari hidup Firqin kerana selepas ini mustahil kami tidak akan
bertembung bila aku bakal menjadi sebahagian daripada keluarganya.
Aku sempat menelan
liur tatkala membayangkan bagaimana penerimaan Firqin nanti bila dia mengetahui yang aku
berkahwin dengan sepupunya sendiri
walhal kami pernah berkawan rapat sebelum ini. Macam mana pula nanti kalau aku
masih ada perasaan cinta terhadapnya apabila kami berdepan semula? Aku harap
tidak. Oh! Betapa rumitnya keadaan yang harus aku hadapi nanti.
Tetapi apabila
aku fikirkan semula, entah-entah Firqin sendiri tidak ambil kisah langsung
tentang hal itu dan aku seorang saja yang terlalu risau. 'Kalau aku terlalu
ikutkan perasaan, nanti aku sendiri juga yang semakin sakit jiwa.' Sudahnya aku
cuba abaikan perkara itu dari terus berlegar-legar di dalam kepalaku.
‘Mungkin
lelaki di sebelah aku ni sudah ditakdirkan untuk aku agaknya.’ Kataku di dalam
hati sambil wajah Izzaz aku pandang lama.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
“Abang Izzaz...saya minta maaf. Saya tak akan melawan, menjeling
dan mengutuk abang yang hensem, baik hati dan budiman ini lagi.” IZZAZ
“Aku
pernah cakap ke yang aku benci kau? Jadi kau nak buat apa sekarang ni?” Soal
Izzaz pula.Aku
berpusing menghadapnya. Kali ini aku mahu kata-kata yang bakal keluar dari
mulutku akan terus meresap masuk ke dalam kepala dan jiwanya. Biar dia faham
dan rasa perasaan aku ketika itu.
“Kalau
masa setahun tu telah berlalu dan masih tiada perasaan istimewa antara kita,
saya rela awak lepaskan saya kerana awak berhak untuk hidup dengan orang yang
awak cintai. Saya pasti gosip tentang awak pasti dah reda masa tu.”
“Macam
mana pula dengan kau? Habis tadi bukan ke kau kata yang kau setuju kahwin
dengan aku tanpa sebarang syarat ke?” Soal Izzaz.
Aku
mengangguk. “Saya tak letakkan sebarang syarat pun Iz. Saya cuma kata kalau
dalam tempoh masa yang awak tetapkan tu kita masih tak serasi, tak sehaluan dan
masih saling membenci, kita berhak untuk mencari kebahagiaan masing-masing.”
Tambahku lagi walau pun aku sendiri tidak tahu dan tidak faham apa sebenarnya
yang sedang aku katakan.
“Merepek
lah alasan yang kau bagi tu. Aku tak nak ikut. Sekarang ni aku yang Bos, kau
kena ikut cakap aku, bukan aku yang kena ikut cakap kau.” Izzaz bagaikan tidak
ambil berat langsung tentang apa yang sedang aku katakan ketika itu.
“Tapi
ada kemungkinan yang awak akan jumpa dengan orang lain kan? Begitu juga saya.
Satu hari nanti mungkin awak harus lepaskan saya bukan, siapa tahu? Awak tak ada
jaminan untuk itu pun kan? Saya sendiri tak rasa selamat dan tidak mempercayai
yang awak boleh hidup dengan saya sampai bila-bila.” Balasku yang jujur aku
luah dari hatiku terhadapnya.
“Kalau
aku kata aku tak nak lepaskan kau macam mana? Aku nak simpan kau dalam rumah
aku tu macam Rapunzel.” Izzaz sengaja mendugaku.
“Saya
akan sebarkan gosip satu Malaysia ni yang awak tak suka perempuan!” Ugutku.
Izzaz
terus mencapai dan menarik telinga kananku. “Aduh sakitlah Iz. Lepaslah!” Aku
mengaduh kesakitan.
“Aku
tak nak lepas sebelum kau minta maaf.” Izzaz masih memegang telingaku.
“Tak
nak!” Bentakku geram.
“Oh
melawan ya! Belum jadi isteri aku dah suka melawan, nanti bila dah jadi isteri
aku dan kau suka melawan lagi, aku tarik telinga kau macam ni lagi.” Ujar Izzaz
yang berperangai seperti kanak-kanak.
“Saya
minta maaf.” Ucapku.
“Tak
dengar, pendek sangat. Lagipun tak ikhlas aku dengar.” Izzaz juga tidak mahu
mengalah.
“Awak
nak apa?” Aku cuba melepaskan diri namun gagal.
“Aku
nak kau ulang balik ayat aku ni sebijik-sebijik, faham.”
“Izzaz
macam budak darjah satu!” Aku kembali melawan. Melepaskan geramku kepadanya
yang tiba-tiba berperangai macam budak-budak kecil.
“Faham
tak?” Izzaz memegang telingaku yang sebelah lagi.
“Faham!”
Aku memandangnya tajam.
“Abang
Izzaz...saya minta maaf. Saya tak akan melawan, menjeling dan mengutuk abang
yang hensem, baik hati dan budiman ini lagi.” Ujar Izzaz.
“Saya
tak nak ulang kata-kata awak ni. Rasa nak muntah pulak rasanya. Perasan!” Aku
juga tidak mahu mengalah.
Izzaz
menarik telingaku sekali lagi. “Kau ulang apa yang aku cakap tadi cepat, kalau
tak nak, aku tak akan lepas telinga kau ni. Biar sampai pagi esok pun tak apa, aku
sanggup. Karang kau tak jadi Rapunzel
tapi jadi Chimpanzee yang ada telinga
lebar.” Izzaz semakin galak mengusikku.
Mahu
tidak mahu dengan rasa geram dan menyampah, aku ulangi satu-persatu ayat yang
Mr. Lion King katakan tadi. Izzaz ketawa puas hati mendengarnya. Terpamer riak
bangga di wajahnya kerana dia rasa dia telah menang ‘perlawanan perang mulut’
di antara aku dengannya malam ini. Tapi tidak semudah itu aku akan beri piala
kemenangan kepadanya. Sebaik saja dia melepaskan tangannya dari telingaku, aku
terus mencapai tangan kanannya dan aku gigit sekuat hatiku.
“Maya
sakit!” Teriak Izzaz. Dia akhirnya yang mengaku kalah dan meminta maaf semula
kepadaku. ‘Padan muka! Baru kau kenal perangai sebenar bakal isteri kau ni.’
Ujarku puas di dalam hati sebelum aku keluar dari keretanya dan terus lari
masuk ke dalam rumahku.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
Dengan
sekali lafaz aku sah bergelar isteri kepada Izzaz Rayqal. Selesai saja lafaz,
lelaki itu tersenyum memandang wajahku. Aku membalas pandangannya, di dalam
hati turut merasa kesyahduan tatkala lelaki itu melafazkan akad nikah sebagai tanda menjadikan aku sebagai isterinya yang sah. Aku
ditemani Umi, Farhin dan Amani di kiri dan kananku yang nampak gembira dengan
pernikahanku ini.
Aku
beralih pula memandang ke arah Abah dan Abang Bukhary yang duduk di sebelah
Izzaz. Aku berasa gembira kerana ahli keluargaku turut hadir memberi sokongan dan
semangat kepadaku walau pun Mama dan Kak Long tidak aku nampak sejak tadi. Aku
tersenyum apabila teringat pada pesanan Abah sebelum akad nikah berlangsung
tadi di mana Abah kata yang dia sudah mengupah beberapa orang pengawal
keselamatan di luar sebagai langkah berjaga-jaga kalau-kalau aku bakal
melarikan diri seperti yang pernah aku lakukan sebelum ini.
Selesai
bacaan doa dan mengerjakan solat sunat nikah, Izzaz mula mendekatiku untuk
upacara menyerahkan mas kahwin dan membatalkan air sembahyang. Debaran di dalam
dadaku ketika itu sudah tidak dapat aku gambarkan melalui kata-kata lagi.
Tatkala Izzaz duduk bersila betul-betul di hadapanku, aku seakan-akan kaku.
Wajahnya aku tatap lama sambil di dalam hati terus menahan gelodak debaran yang
tidak pernah aku rasakan seumur hidupku.
Usikan
dari teman-teman dan saudara maranya yang lain membuatkan wajahku semakin merona
kemerahan menahan malu. Izzaz pula nampak berseri-seri sambil senyuman tidak
lekang dari mulutnya.
“Sudahlah
bajunya sedondon, sama cantik dan sama padan pulak tu. Kita yang tengok ni pun rasa
teruja lebih. Cepatlah sarungkan cincin tu, kamera sana sini dah bersedia nak
tangkap gambar pengantin baru ni.” Usikan dari salah seorang mak ciknya
membuatkan aku tersipu-sipu malu. Ditambah pula dengan gelak tawa tetamu-tetamu lain yang
menyambut usikan itu.
“Maya...”
Lembut Izzaz memanggil namaku.
“Hmmm...”
Aku mendongak mencari wajahnya. Aku akui hari ini lelaki itu nampak sangat
segak di mataku. Sempat aku memuji di dalam hati untunglah siapa yang jadi
isterinya, eh kejap aku lah orangnya. Aku sudah sah menjadi miliknya!
“Abang
janji akan buat yang terbaik untuk kita berdua.” Ujarnya lalu sebentuk cincin
disarungkan ke jari manisku. Spontan tangan kanannya terus aku capai lalu aku
cium. Agak lama tangan suamiku itu aku cium kerana ketika itu ada
berpuluh-puluh wartawan tidak berdaftar asyik kata ‘lama sikit cium tu’ sebab
mereka mahu merakam detik-detik indah
kami.
Selesai
aku mencuim tangannya, Izzaz semakin merapatiku. Debaran di dalam dada tatkala
itu aku rasakan sudah tidak keruan lagi. Izzaz senyum memandang wajahku sebelum
tangan kanannya memegang bahuku dan sebelah lagi memegang daguku agar aku
sedikit mendongak memandang wajahnya. Tidak lama selepas itu terasa satu
kucupan hinggap di dahiku. Bagaikan terkena renjatan elektrik, tiba-tiba aku
rasakan sesuatu sedang mengalir masuk ke dalam salur darahku dan terus ke hati.
Kami saling berbalas pandangan membawa bersama perasaan aneh yang mula membenih
di dalam hati. Namun aku tidak pasti apakah perasaan yang sedang aku rasakan
ketika itu, mungkin ianya berlaku kerana aku terlalu terkejut agaknya. Aku cuba
menyedapkan hati.
Perasaanku
itu dibawa pergi oleh suara-suara yang mengusik meminta Izzaz mencium dahiku
sekali lagi dan lebih lama dari tadi. Izzaz menggaru-garu kepalanya. Dia juga
nampak segan dan tersipu-sipu sama sepertiku apabila rakan-rakan dan
saudara-maranya tidak putus-putus mengusik kami sejak tadi. Aku dapat merasakan
kemeriahan berada di kalangan saudara-maranya yang suka mengusik. Rasa seperti
selebriti pula hari ini apabila aku rasa lebih dari lima puluh kamera dari pelbagai
jenama telefon bimbit yang canggih,
kamera digital dan macam-macam lagi yang fokus ke arah kami berdua.
“Iz
apa yang nak dimalukan tu. Lama sikit cium dahi isteri kau tu.” Usikan dari
salah seorang rakannya membuatkan aku
bertambah malu. Namun aku akui dalam masa yang sama aku dapat merasakan
kebahagiaan dan kegembiraan apabila diraikan oleh berpuluh-puluh orang yang
mengerumuni kami petang itu.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
“You all berdua ni siapa ya?” Soalku
masih bertoleransi.
Mereka
tersenyum sinis. Kemudian seorang daripada mereka yang berbaju merah itu
mendekatiku. “Kami berdua ni girlfriends Izzaz.
Kitorang terkejut jugak bila dapat tahu Iz tiba-tiba kahwin dengan perempuan
yang dia baru kenal. I cuma nak ingatkan
you yang you tu cuma kena game aje
dengan dia.”
“Girlfriends? Kena game?
Apa maksud kamu berdua ni?” Aku menyoal pula.
“Betul
tu. Kami berdua ni teman wanita dia dan kami tak tahu entah berapa banyak lagi
dia ada. Entah-entah you hanya salah seorang dari koleksi dia agaknya.”
Perempuan berselendang hitam itu ketawa sinis.
“Izzaz
mainkan I?” Soalku lagi seakan tidak percaya.
“Maya!”
Izzaz memanggilku. Ketika Izzaz sedang melangkah mendekatiku, kedua-dua orang
perempuan tadi segera masuk ke dalam kereta mereka dan terus beredar. Aku hanya
menjadi pemerhati apabila wajah Izzaz jelas nampak terkejut apabila menyedari
dua orang wanita itu adalah teman-teman wanitanya. Izzaz kembali memandangku. “Maya...dengar
apa yang aku nak cakap ni.” Izzaz nampak resah.
“Iz
saya tak nak dengar apa-apa penjelasan pun dari awak.” Aku menjelingnya sebelum
aku masuk ke dalam keretanya.