Mataku masih terpaku
memandang Mr. Lion King. Aku bagaikan tidak percaya dengan apa yang aku dengar
sebentar tadi. Jadi isteri dia? Aku salah dengar kot? Tapi bukan tadi dia suruh
aku menyamar jadi adik dia ke? Bukan- bukan lah dia ni. Malas aku nak layan. Kataku di dalam hati.
“Apa? Apa kau
pandang-pandang aku?” Soalnya.
“Hah?” Aku
terkebil-kebil.
Encik Izzaz tersenyum
senget. “Kau percaya ke apa aku cakap tu? Jangan perasan boleh? Kau jadi isteri aku tak pernah ada dalam fikiran pun. Tak pernah terfikir pun.” Dia bagaikan
mengejekku sinis.
Aku sekadar buat muka
toya. Aku ni hina sangat ke, buruk sangat ke sampai tak layak jadi isteri dia. Kalau ya! Aku pun tak ingin lah. Bongkak! Kutukku di dalam hati. “Saya tak cakap apa-apa pun.” Balasku perlahan. Tidak memandang wajahnya.
“Aku sekadar bagi kau
cadangan je. Bukan suruh kau ikut pun. Tadi kau kata nak kahwin dengan Datuk,
aku bagi cadangan tadi muka kau dah macam terkejut beruk. Apatah lagi nak
kahwin dengan Datuk.” Bukan main syok dia mempersendakan aku.
“Kalau iya pun saya
tak menyusahkan Encik.” Balasku malas.
“Suka hati kaulah. Aku
dah bagi tawaran baik kau jual mahal. Tapi untuk kali terakhir aku tanya kau
ni, kau nak terima tak tawaran aku tu..”
“Encik berapa kali
saya nak cakap yang saya...” Aku segera memotong percakapannya.
“Aku bagi kau tiga
puluh ribu sekarang!” Pintasnya pula.
Aku melopong. Adakah aku
tidak salah dengar?
Lelaki itu
mengangguk. “Yes. Aku bayar kau tiga puluh
ribu ringgit untuk kau terima tawaran aku iaitu jadi adik aku!” Jelasnya.
“Tapi ini bukan
perkara mudah.” Kataku.
“Aku dah mudahkan
untuk kau. Kau fikir boleh ke kau nak cari duit sebanyak tu hari ni. Kau sendiri
yang kata tadi kan yang kau perlu duit tu by today? Jadi buat apa fikir lagi. Aku
bukan jenis yang nak minta, merayu banyak kali tau. Dengan kau je aku berlembut
sikit itu pun sebab aku kasihan kat nasib kat kawan kau je. Kau tak kasihan?”
Aku terdiam. Ada benarnya
juga apa yang dikatakan Encik Izzaz itu. Aku sebenarnya sudah kesuntukan waktu
untuk mendapatkan wang bagi menjelaskan hutang arwah Akmal. Ketika itu hatiku
berbolak-balik sama ada untuk bersetuju menerima tawaran Encik Izzaz atau
tidak. Encik Izzaz bagaikan pula satu macam, sengaja saja mengambil kesempataan di atas kesempitan
yang sedang aku hadapi. Perlu ke aku terima tawaran tersebut?
‘Err...boleh Encik
bagi saya masa untuk berfikir?” Pintaku.
Dia mengangguk. “Boleh.
Seminit aje aku bagi.”
Aku mengetap bibir. Memang
lelaki ini pandai bermain dengan psikologi orang lain. Dia tahu aku sedang
dalam kesempitan dan mahu tidak mahu aku kena bersetuju dengan tawarannya. Dia tahu
itu, sebab itulah dia berani membuat tawaran seperti itu. Terbit satu persatu
wajah orang yang aku kasihi di hadapan mata ketika itu. Wajah Norzie yang
sedang menangis, Dania dan Adib yang masih kecil yang tidak berupaya untuk
melakukan apa-apa untuk meneruskan kehidupan. Aku tidak boleh pentingkan diri. Mungkin
ini adalah jalan terbaik. Siapa tahu? Hatiku cuba memujuk. Perlahan-lahan aku memejam
rapat kedua belah mataku. Mencari kekuatan
dan ketenangan sebelum satu keputusan bulat aku lakukan.
“Kau tak rasa
pertemuan kita ni ada maknanya?” Suara lelaki itu kembali mengganggu fikiranku
untuk membuat keputusan. Aku berkalih memandangnya.
“Ada sebab kau
langgar kereta aku dan kita jumpa macam ni. Kau tak rasa keadaan ini win-win situation untuk kau dan aku. Masing-masing
tak rugi apa-apa. Kau dapat tolong kawan kau bayar hutang lintah darat tu dan
aku dapat gembirakan hati Umi. Pasal menyamar jadi adik aku tu nanti aku
jelaskan dengan terang. Cuma kau fikir tujuan kita sama bukan, hanya satu iaitu
untuk bahagiakan orang yang kita sayang. Tak begitu Cik Maya Ariana?”
Agak lama aku diam. Berfikir.
Mungkin dia sudah hilang sabar agaknya menunggu jawapan dariku, beberapa kali
dia mendengus. “Kalau tak nak sudah, kau tak payah....”
“Saya setuju!”
Kataku. Satu kata putus yang aku tahu akan mengubah hidupku kelak.
“Apa?” Encik Izzaz
minta kepastian.
Aku menelan liur
sebelum mengulanginya sekali lagi. “Saya setuju. Saya setuju dengan tawaran
Encik tadi.” Dengan hati berat, rasa sedih dan terpaksa aku merelakan keputusan
itu.
Lelaki itu senyum lebar.
Puas hati. “Bagus.” Ujarnya. Wajahnya bangga, tanda dia menang.
Aku tidak kenal langsung siapa sebenarnya lelaki di sebelahku itu. Aku tak tahu apa yang ada di dalam fikiran lelaki itu. Aku tidak tahu apa rancangan lelaki itu sebenarnya. Harap-harap rancangan menyamar lelaki itu tidak memakan diriku kelak.