9
CINCIN tanda dirinya sudah diikat sudah lama
ditanggalkan. Namun malam itu, dia terpanggil juga untuk melihat bentuk cincin
itu dengan lebih dekat. Kalau emak tahu yang dia telah menanggalkan cincin itu
dari jarinya, pasti sudah lama dirinya dicuci dengan bersih, namun hal itu
tidak perlu diceritakan kepada emak. Bukan emak tidak tahu yang dia tidak
sukakan ikatan itu namun emak berkeras juga. Jadi, bukan salahnya jika dia
membuang ikatan itu dalam senyap.
Tempoh enam bulan yang diberi oleh keluarga lelaki akan
digunakan sebaiknya untuk 'meleraikan' ikatan itu. Tambahan pula, jarak mereka
sangat jauh. Inilah masa buat dirinya bertindak menyelamatkan diri sebelum
menjadi mangsa dan menurut perintah orang yang tidak dikenali dalam sebuah
ikatan perkahwinan. Dia sedar, ada hikmah yang terlindung di sebalik
penempatannya di Labuan.
"Terima kasih, Ya
Allah!"
Lafaznya, perlahan lantas
meletakkan cincin itu kembali ke dalam bekasnya. Biarpun Mak Su Dianah, emak
dan Afiqah memuji pilihan cincin yang cantik, namun itu belum cukup untuk
melembutkan hatinya. Dan, walaupun tunangnya seorang lelaki budiman yang kacak
lagi bergaya, itu juga belum mampu menambat hatinya.
Lantas, apa yang
dicari pada seorang lelaki? Romantik? Oh, ngerinya! Dia tidak suka lelaki
romantik. Dia sukakan seorang lelaki bersahaja, yang boleh membuatkan dirinya
ketawa dan berada di sampingnya ketika dia berduka. Pendengar yang setia serta
menyayangi dia seadanya.
"Su, dah tidur ke?"
Terdengar suara di luar
menyapanya. Iris Suhayla cepat-cepat bangun lalu membuka daun pintu.
"Belum, kenapa?"
"Tak ada apa-apa. Nak
bersembang aje, tapi kalau kau nak tidur, tak apalah!"
"Eleh, drama
pulak!Masuklah!"
Pelawa Iris mendahului Siti
Hajar menuju ke kamarnya. Dia berbaring, Siti Hajar juga begitu. Tiada cerita
atau suara. Yang kedengaran cuma bunyi bilah-bilah kipas yang berputar,
menyebar angin di seluruh pelusuk bilik.
"Aku perasan ke, memang
perasaan aku? Kau tidur malam memang tak tutup tingkap, ya?"
"Emm, dah terbiasalah
Siti! Selalunya kat kampung ayah aku yang ingatkan tiap-tiap malam. Tutup
tingkap tu! Nyamuk banyak tengah malam ni,"
Jelasnya sambil mengajuk pesan
ayah, membuat suara garau. Siti Hajar ketawa kecil. Mungkin begitu asal sikap Iris Suhayla, degil
dan nakal.
"Selalu aku tutup tingkap
bila kena marah. Kat sini tak ada orang nak marah pulak, sudahnya sampai ke
pagilah tingkap ni terbuka,"
Tambah Iris Suhayla lagi.
"Aku bukan nak menakutkan
kau, Su! Tapi kita ni perempuan. Berhati-hatilah!Kat kampung mungkin tempat
kita membesar, dah faham dengan selok-belok kampung, tapi sini bukan tempat
kita. Kita singgah aje! Siapa orang di sekeliling kita, apa mereka buat? Semua
tu bukan dalam pengetahuan kita,"
"Isy kau ni,
menakutkanlah pulak!"
Tingkah Iris Suhayla, dengan dahi berkerut-kerut. Dia bingkas bangun dan berjalan ke arah tingkap. Seperti mana yang sering dipesan oleh Siti Hajar, dia akur, lantas daun tingkap itu ditarik dengan segala kudrat.
IRIS Suhayla tiba awal di sekolah pagi itu. Dia tiba
bersama Siti Hajar. Ketika dia tiba di sekolah, hanya beberapa orang murid yang
tiba dengan pakaian baru. Teringat zaman sekolah rendahnya dahulu. Ayahlah
orang yang menghantar dan menjemputnya setiap hari sedangkan Riyad dan Hafiy
balik dan pulang dari sekolah hanya berbasikal. Kadangkala terdengar juga
keluhan abang yang berdua itu namun apalah ertinya rungutan itu kepada seorang
anak kecil.
"Assalammualaikum,
cikgu!"
Sapa dua orang murid, hampir
serentak ketika mereka berjalan di tepi koridor menuju ke pejabat. Iris Suhayla
tersenyum sambil menjawab salam itu. Kali pertama diberi salam seperti itu,
terasa nikmat menjadi guru.
"Panjang senyum!"
Usik Siti Hajar di sebelah.
Iris Suhayla senyum sahaja, tidak membalas senda teman serumahnya.
"Tahun pertama seorang
guru baru!"
Tambahnya lagi. Kali ini
pantas Iris Suhayla bertindak dengan menepuk lengannya. Mereka sama-sama
ketawa. Mungkin apa yang pernah berlaku kepada Iris Suhayla pernah terjadi
kepada Siti Hajar ketika tahun pertamanya bergelar seorang guru. Salam yang
diberi anak murid bagai azimat berduri. Iris Suhayla dan Siti Hajar mendaki
anak tangga ke laluan pejabat dengan berhati-hati.
"Assalammualaikum!"
Ucap Siti Hajar ketika mereka
tiba di pejabat.
"Selamat kembali
bertugas, Cikgu Siti dan Cikgu Iris!"
Ucap guru besar yang menyambut
ketibaan mereka pagi itu. Terkejut Iris Suhayla melihat sikap guru besar yang
ceria menyambut kedatangan mereka pada hari pertama itu.
"Kami ingat kami awal,
rupanya guru besar awal lagi!"
Kata Siti Hajar kepada Puan
Hajjah Aminah. Tersenyum guru besar dengan pujian Siti Hajar.
"Bukan senang nak jadi
ketua ni, Siti! Lebih susah nak memberi pimpinan melalui teladan. Inilah yang
sedang saya praktikkan,"
"Betul tu, puan! Teladan
tulah yang kita nak contohi,"
Jawab Iris Suhayla menambah
apabila dirasakan perlu. Lagipun apa yang dilakukan oleh guru besar memang
tepat. Tidaklah ibarat ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus.
"Iya. Untuk Cikgu Iris,
selamat menempuh alam pendidikan! Kalau ada yang hendak ditanya, rujuklah
mana-mana guru yang lebih berpengalaman,"
Pesan guru besar sebelum
mereka berdua meninggalkan pejabat. Ketika melepasi pintu pejabat, Iris Suhayla
terlanggar seseorang yang kebetulan hendak masuk ke dalam pejabat.
"Maaf!"
Ucap Iris Suhayla sambil
menundukkan kepala tanda maaf. Semalam dia dirempuh orang, hari ini tiba
giliran dia pula merempuh bahu orang. Ketika dia mengangkat wajah, lelaki
semalam tersenyum kepadanya.
"Su!"
Katanya sepatah. Iris Suhayla
tidak menjawab sebaliknya dia memberi laluan kepada lelaki itu untuk masuk ke
dalam pejabat sebelum dia melepasi pintu utama itu. Siti Hajar yang menunggu di
luar, mengangkat keningnya, bertanya tentang lelaki itu.
"Entah!"
IZZUL Haq masuk ke dalam bilik mesyuarat dengan beberapa
buah fail di tangan. Seperti yang dijanjikan, tepat pukul sembilan pagi,
mesyuarat pegurusan kali pertama dimulakan dengan ucapan alu-aluan dari dirinya
yang juga merangkap pengerusi majlis. Kemudian, dia meminta seorang pegawai
yang sangat dikenali dengan kepetahannya membaca doa.
"Amin, amin Ya Rabbal
Alamin. Alhamdulillah, pagi ini merupakan kali pertama kita berkumpul setelah
tahun 2013 melabuhkan tirainya. Banyak agenda yang telah dirancang dan bakal
dilaksanakan tahun ini untuk mengukuhkan lagi prestasi syarikat di pasaran
automobil, khususnya untuk pasaran Malaysia. Berita baik untuk semua, saya
telah berbincang dengan lembaga pengarah untuk mendaftarkan syarikat kita di
pasaran saham. InsyaAllah, mulai pertengahan tahun 2014, orang awam sudah boleh
membeli saham dan melabur terus kepada syarikat kita, iaitu The Speeds
Sendirian Berhad."
Ujar Izzul Haq, sebagai
mukadimah pada pagi itu. Sorakan dan tepukan gemuruh diterima selepas dia
mengumumkan berita baik itu.
"Ini bermakna, syarikat
kita sudah mendaki selangkah lagi tangga ke atas untuk mara sebagai peneraju
kereta mewah terbesar di Malaysia."
Tambahnya lagi, terus mencuri
tumpuan warga mesyuarat itu. Izzul Haq ikut tersenyum. Tidak dapat dinafikan
usaha kerasnya selama ini mula membuahkan hasil, lantas perasaan gembira memang
tidak dapat dilindungi lagi.
"Saya dan lembaga
pengarah telah bersetuju untuk memberi bonus satu bulan gaji kepada semua
pegawai dan kakitangan The Speeds sebagai penghargaan di atas usaha kalian
semua. Alhamdulillah, berkat kerjasama semua, kita mampu berdiri megah seperti
ini."
Ucapnya, disambut dengan tepukan dan sorakan
yang semakin rancak.
"Cayalah bos! Terima
kasih, bos! Bonus satu bulan gaji. Yeehaaa!!!"
Kedengaran suara pegawainya
bersorak, cukup bergembira di atas pengumuman yang disampaikan oleh Izzul Haq.
"Itu sahaja sebenarnya
untuk hari ini. Oh, sebelum saya terlupa, malam ni, semua staf bersama keluarga
di jemput ke Hotel Vistana. Kita dinner
di sana. Jangan lupa bagi jumlah ahli yang nak dibawa untuk tempahan kepada
Aina."
"Alhamdulillah, bos
belanja kita makan. Rezeki, rezeki! Pukul berapa tu bos?"
"Lepas Maghriblah.
Sembahyang jemaah dulu dengan ahli keluarga, lepas tu baru enjoy the dines."
"Walla, cantik sekali
masa yang bos pilih!"
Sahut Shafee dari hujung.
Izzul Haq ketawa kecil. Jika dia di tempat mereka, dia juga inginkan
penghargaan sebagai pekerja.
"Pukul lapan malam kita
jumpa. Kalau tak ada apa-apa, Assalammualaikum warahmatullahita'alawabarakatuh.
Mesyuarat kita pada hari ini ditangguhkan!"
kata Izzul Haq sebelum berdiri. Suasana di bilik mesyuarat itu masih meriah dengan suara-suara kakitangannya. Barangkali mereka sangat gembira dengan perkhabaran itu.
JAM di dinding hampir menunjukkan angka lapan pagi. Akan
bermula waktu pengajarannya yang pertama untuk hari itu. Walaupun dimaklumkan
dia masih keseorangan pada hari ini, kemunculan pembantu yang tidak
disangka-sangka melegakan perasaannya. Sekurang-kurangnya, dia tidak perlu
memikirkan soal makanan murid pada pagi itu.
"Cikgu Osman kata Kak Nisa
alahan teruk. Dah okey ke sekarang?"
Tanya Iris Suhayla, ketika
menunggu murid-murid beratur. Nisa yang berdiri di sebelahnya tidak terus
menjawab, sebaliknya dia membantu beberapa orang kanak-kanak yang masih
terkial-kial, tidak tahu apa yang harus dilakukan apabila guru memberi arahan
supaya beratur.
"Masih alahan lagi, Iris!
Sia hilang selera makan, hidu bau
makanan pun ndaboleh."
"Oh, habis tu macam mana
Kak Nisa nak masak nanti?"
"Nak buat macam mana? Ini
juga kerja sia memasak ni. Kalau rasa
mo muntah, sia muntah saja. Apa susah."
Jawab Nisa, lemah. Terpandang
akannya seorang kanak-kanak perempuan yang sedang menggigit jari. Kanak-kanak
itu kelihatan seperti hendak menangis, lantas dipanggil kanak-kanak itu supaya
dekat dengannya.
"Baiklah murid-murid,
seperti semalam, sebentar lagi kita akan bersarapan. Sebelum bersarapan, apa
yang perlu kita buat?"
"Baca doa makan!"
Sebut Syahmi, berani seperti
sebelumnya. Iris Suhayla senyum sahaja.
"Bukan, sebelum baca doa
makan, kita cuci ta-?"
"Tangan!"
Jawab mereka serentak. Iris
Suhayla membimbing murid-murid untuk mencuci tangan di luar kelas. Seorang demi
seorang, hingga tiba giliran Saufi. Lama murid itu merenungnya, seolah-olah ada
sesuatu yang ingin disampaikan kepada Iris Suhayla.
"Kenapa?"
"Kita dah cuci tangan
tadi,"
"Tadi? Bila?"
Tanya Iris Suhayla pula,
kehairanan.
"Tadi, kat rumah!"
"Oh, itu tadi. Sekarang
kena cuci lagi. Setiap kali nak makan, Saufi kena cuci tangan tau!"
Ujar Iris Suhayla, membetulkan
tanggapan anak kecil itu. Dia memaut bahu Saufi, membongkokkan sedikit badan
anak itu supaya mudah buatnya mencuci tangan.
"HAI, Su!
Sapa seseorang di belakang.
Iris Suhayla menoleh namun tidak gembira melihat wajah Zakwan di belakangnya.
Semalam, Siti Hajar sempat berbisik bahawa lelaki itu merupakan guru baru yang
menggantikan tempat seorang guru kaunseling yang memohon untuk bertukar ke
Sabah.
"Emm,"
Jawab Iris Suhayla, ringkas
sebelum bergegas masuk ke perpustakaan. Dia mencari kelibat Siti Hajar yang
memang ditugaskan sebagai guru media di Sekolah Kebangsaan Seri Layang bermula
tahun 2014.
"Su, kenapalah sombong
sangat Su yang seorang ni? Kita kan seangkatan, mana boleh
sombong-sombong!"
Tegur Zakwan, agak kuat sedang
Iris Suhayla pura-pura tidak mendengar. Tidak nampak kelibat Siti Hajar, dia
menunggu rakannya di atas sofa. Sebuah akhbar tempatan diambil lalu diselak
satu halaman demi satu halaman.
"Iris Suhayla, Iris
Suhayla, Iris Suhayla! Takkan marah lagi pasal terlanggar air awak tu
kot,"
"Tak marah pun!"
Jawabnya ringkas. Zakwan mula
mengambil tempat, duduk berhadapan dengannya. Akhbar yang sedang dibacanya
ditarik perlahan oleh Zakwan, hingga tiada lagi sempadan antara mereka berdua.
Geram akan sikap yang ditonjolkan Zakwan, dia bangun lalu meletakkan akhbar itu
di sebelah Zakwan.
"Habis tu? Asal tegur
aje, menyombong, tegur aje, menyombong! Besar sangat ke salah saya pada
awak?"
"Nama pun TERlanggar,
buat apa nak marah?"
Soalnya pula, menegaskan bunyi
terlanggar itu. Kali ini giliran Zakwan pula bangun, meletakkan kembali akhbar
yang diusik dari Iris Suhayla, kembali kepada tuan yang membacanya. Iris
Suhayla membuat mimik tidak senangnya akan Zakwan. Jika bukan kerana Siti
Hajar, sudah lama ditinggalkan Zakwan di situ.
"Ehemmm!"
Tertangkap dek telinganya
deheman seseorang lantas Iris Suhayla mencari datangnya bunyi dengan ekor
matanya. Siti Hajar melambai dari muka pintu dengan senyuman. Zakwan juga
menoleh ke arah Siti Hajar.
"Ada tetamu rupanya.
Kalau tahu meriah begini, dah lama aku order pizza buat jamu kau orang
berdua,"
"Eh, tak apa! Esok ada
lagi. Esok aku datang lagi, ya?"
"Datanglah kalau rajin
nak memanjat tingkat tiga ni,"
Pelawa Siti Hajar, bersama
peringatan. Kedudukan pusat sumber yang jauh di atas, membuatkan tidak ramai
guru mengunjunginya. Sesekali sahaja mereka menerima kunjungan dari guru yang
membawa murid membaca di perpustakaan. Selebihnya, ia dikunjungi oleh pengawas
perpustakaan yang bertugas mengikut jadual.
"Kau buat apa dengan
perpustakaan ni, Siti?"
Tanya Zakwan, seolah-olah
sedang membaca fikirannya ketika itu.
"Kenapa dengan aku?"
"Lengang aje. Budak tak
berminat nak membaca di perpustakaan ke?"
"Aku baru ambil alih aje
pusat sumber ni. Tahun lepas orang lain yang pegang. Lagipun baru tiga hari
sekolah buka, tak sempat lagi nak buat promosi,"
"Aku tolong kau, nak?
Kita buat promosi Jom Pusat Sumber!"
"Betul kau nak
tolong?"
"Iyalah! Tapi satu
syarat, pesan kat Iris, jangan sombong sangat dengan aku! Tak baik!"
"Oh, itu masalah
kecil!"
Jawab Siti Hajar sambil
melirik ke arah Iris Suhayla. Dia ketawa apabila Iris Suhayla menjegilkan
matanya.
KUMPULAN promosi dan jualan sudah mengambil tempat
masing-masing di dalam bilik mesyuarat itu. masing-masing sudah bersedia dengan
pen dan kertas sebagai catatan.
"Barangkali sebahagian
dari kamu sudah sedia maklum namun ingin saya maklumkan sekali lagi bahawa kita
akan adakan pelancaran model baru Porsche
pada hujung bulan depan. Sebagai persiapan awal, saya mahukan idea kreatif
sebagai gimik pelancaran. Model bersama kereta sudah kerap sangat kita
persembahkan sebagai gimik. Apa selainnya?"
Ujarnya, terus kepada pokok
perbincangan mereka pada hari itu. Dari suasana sepi, bilik mesyuarat itu mula
hangat dengan pelbagai suara. Ada yang berbincang dengan rakan di sebelah, ada
yang sedang berbisik. Izzul Haq sebagai ketua hanya melihat reaksi mereka dari
meja yang paling hujung.
"Bos, apa kata kita buat
siaran langsung perlumbaan kereta model Porsche baru dengan kereta lain. At least two other cars in the game. Apa
cara sekali pun, Porsche mesti menang dan garisan penamatnya adalah di bilik
showroom nanti, terus naik ke kotak parking,"
Cadang Kevin, rancak bercerita
tentang ideanya. Terdengar suara yang bersetuju, tidak kurang dengan
suara-suara sumbang yang mentertawakan idea itu.
"Tapi ini bukan kereta
lumba. Sesuai ke? Tak mengganggu audiens ke?"
"Bos kata nak kelainan.
Cubalah."
"Saya rasa kan, idea
Kevin tu kita boleh cuba, lagi pun kita nak mengetengahkan jenama syarikat, The Speeds. Kita pakai konsep Kevin tapi
dengan sedikit penambahan, misalnya pelancaran dibuat di atas litar. Banyak
aspek yang perlu difikir kalau nak buat penamat perlumbaan di showroom. Paling penting keselesaan
audiens. Alah, bos kan minat lumba kereta, bos jadilah pelakon utama. Kemudian,
berganding aje dengan mana-mana selebriti. Comfirm
mendapat sambutan!"
Sambut Shahrul dengan
penambahan ideanya. Kali ini, suasana sesi brain
storming lebih hangat. Izzul Haq yang mendengar cadangan Shahrul berkerut
kening. Pada mulanya dia bersetuju juga dengan konsep pelancaran di atas litar,
namun apabila dirinya dikaitkan, seratus kali pula dia berfikir.
"Kenapa saya pulak yang
nak kena berlakon? Kalau betul nak buat gimik begitu, saya rasa baik panggil
pelumba profesional terus."
"Marketing strategy lah, bos! Mesti ramai yang teruja nak tengok bos
beraksi di atas litar. Bos gunalah Audi R8 tu. The Targa will be drove by a woman celebrity,"
"Aku suka idea tu,
Shahrul!"
Sahut kevin pula. Kemudian
terdengar suara yang hampir semuanya bersetuju dengan cadangan yang
diketengahkan oleh Shahrul.
"Zulaika dan Sheena
uruskan bahagian PC!"
Sampuk Fazli yang duduk di
tengah-tengah Kevin.
"Saya setuju dengan gimik
yang kamu pilih, tapi dengan syarat, Audi
R8 will be drove by orang lain."
"Tak setuju tu, bos! Apa
yang kita nak tonjolkan ialah kemewahan dan gaya, bukan sahaja dari aspek
kereta, tapi dari sudut pemandunya juga. Ini yang saya maksudkan bos! Sebab tu
saya cadangkan supaya bos yang menjadi another
man in the race. Aura yang ada pada bos tu yang kita nak tampilkan,"
"Setuju semua?"
Tanya Shahrul lagi kepada rakan-rakannya.
Hampir semua mengangkat tangan tanda bersetuju hingga Izzul Haq menepuk dahinya
kerana menjadi 'mangsa' tiba-tiba.
"Menyesal saya mintak
buat gimik!"