Home Novel Cinta Cinta Copy Paste
Cinta Copy Paste
7/1/2015 22:48:13
137,082
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 13

HARI ini Qayyum sepatutnya memberi kata putus tentang siapa yang dipilihnya. Anom Sufi atau Miza? Sejak pagi tadi sampai ke petang hari, Anom tertunggu-tunggu panggilan daripada Qayyum. Namun, Qayyum tetap menyepi tanpa khabar berita. Qayyum buat dia ternanti-nanti seperti menanti buah yang tidak luruh-luruh.

Mizakah pilihan Qayyum? Andaian yang melintas di benaknya membuatkan hati Anom merintih hiba. Dia belum sah kalah tetapi firasat itu menjadikannya pejuang yang telah rebah. Lelah ditikam Qayyum dari belakang.

"Dah-dahlah tenung handphone tu. Dia takkan call kau lagi. Tu tandanya dia dah buat pilihan."

Kata-kata Emily menampan telinga Anom. Pedih cuping telinga mendengarnya bagaikan ditampar berulang kali. Perit dan sakitnya bagaikan berjangkit ke ulu hati. Jika tahu sakitnya putus cinta akan jadi sepedih ini, tidak mahu Anom bercinta dengan Qayyum. Biarlah Qayyum rayu dia sejuta kali pun, dia akan tetap tulikan telinga dan butakan hatinya daripada menerima cinta pemuda itu.

"Kau nak ke mana tu?" tanya Emily. Resah melihat Anom bingkas berdiri dan berjalan tanpa menoleh kiri kanan macam orang kena sampuk.

"Aku nak pergi jumpa dia," jawab Anom. Dia sudah membuat keputusan hendak bersemuka dan bertanya tentang pilihan Qayyum. Jika tekad Qayyum belum bulat untuk menerima Miza, dia akan pujuk Qayyum memilihnya. Itulah niat yang terbenam di lubuk hatinya.

"Sudahlah tu, Ann. Qay tak ada call tandanya dia dah pilih budak Miza tu. Tak payahlah kau rayu-rayu dia supaya pilih kau. Buat malu aje. Naik tocang Qay kalau kau buat macam tu." Emily merengus tidak setuju dengan tindakan teman baiknya ini.

"Aku nak tanya Qay sendiri kenapa tak pilih aku? Kenapa dia pilih budak tu? Apa lebihnya budak tu? Apa kurangnya aku? Sedangkan dulu aku ni yang dia puja-puja. Sampai hati dia buat aku macam ni." Sambil berjalan, tangan Anom bergerak menyapu air mata yang meleleh di pipi. Sekeras-keras hatinya, lebur juga bila dilanyak-lanyak Qayyum.

"Sudah-sudahlah tu, Ann. Janganlah buat diri kau macam ni. Tak guna menangis kerana jantan tak guna macam Qay tu. Cari lain aje, Ann. Cari yang lebih bagus daripada Qay. Tunjukkan kat Qay yang kau boleh dapat yang lebih baik daripada dia." Emily main belasah sahaja memujuk Anom. Tidak pasti samada kata-katanya itu relevan atau tidak untuk mengubati hati Anom yang tersiat pedih dikerjakan Qayyum.

Anom tidak membalas kata-kata Emily. Langkahnya terhenti apabila tiba di kereta Emily. Tangan kanannya pantas memegang pintu kereta. "Hantarkan aku jumpa Qay." Tegas suara Anom dengan mata tunak memandang muka temannya.

Tergeleng kepala Emily melihat kedegilan Anom yang tidak bertempat. Serba-salah dia mahu menuruti kemahuan Anom. Jika tidak dituruti, ditakuti Anom akan menangis mengongoi-ngongoi macam budak kecil. Silap-silap mereka akan putus kawan. Jika diikut pula, berkemungkinan Anom akan memalukan diri sendiri dengan merayu-rayu cinta Qayyum. Aduhai....susahnya menjadi teman baik insan bernama Anom Sufi ini.

Sudahnya, Emily tekan alarm untuk membuka pintu kereta. Biarlah hari ini dia turuti kemahuan Anom untuk bersemuka dengan Qayyum. Dia pun ingin tahu mengapa Qayyum sampai hati buat Anom macam itu. Dahulu semasa tengah sayang, Anomlah yang Qayyum puja-puja. Apabila sudah muak, Qayyum campak sahaja Anom macam barang tiada harga. Ingat kawan baiknya ini karung sampah ke? Jika alasan yang diberi Qayyum ternyata tidak munasabah, nahaslah Qayyum!

MEREKA tiba di Fakulti Kejuruteraan tepat pukul 5.00 petang. Siswa-siswi yang sudah tamat kuliah berduyun-duyun keluar dari bangunan yang menempatkan dewan dan bilik-bilik kuliah itu.

Emily memberhentikan keretanya di kawasan parkir bersebelahan ruang parkir motosikal. Matanya melilau mencari motosikal Ducati 848 berwarna kuning pekat kepunyaan Qayyum. Melihat motosikal Qayyum masih berada di tempat biasanya, Emily menarik nafas lega. Tandanya, adalah rezeki Anom hari ini untuk bersemuka dengan Qayyum.

"Kau dah bersedia ke nak hadapi kenyataan?" Emily menambah kegelisahan Anom dengan memuntahkan pertanyaan yang lama terkumpul dalam dadanya. Baginya, jika Anom tidak bersedia, ada masa lagi untuk Anom pergi.

Anom mematungkan diri. Mengangguk tidak. Menggeleng tidak. Tunak matanya memandang ke hadapan. Agaknya kalau dia ada kuasa ajaib macam Ultraman, sudah lama cermin kereta Emily ini pecah dipanah matanya.

Bersediakah dia menerima kenyataan yang berkemungkinan pahit bagaikan hempedu? Anom tidak pasti hatinya sendiri. Secara jujurnya, dia tidak punya persediaan langsung dari segi mental dan fizikal untuk bertemu Qayyum petang ini. Dia sebenarnya main redah sahaja kerana menuruti kata hati. Harap-harap, janganlah air matanya tumpah menangisi detik-detik perpisahan dengan Qayyum. Tidak rela dia diketawakan Qayyum dan Miza apabila dia yang kasar tiba-tiba jadi perempuan 'jiwang' hari ini.

"Walau apa pun yang Qay cakap nanti, aku harap kau tabah, Ann. Kuatkan semangat kau dan jangan menangis. Tunjukkan pada Qay yang kau sebenarnya tak kisah pun putus dengan dia. Jangan sesekali bagi dia nampak muka monyok kau tu. Kalau kau menangis depan Qay, kita putus kawan!" nasihat Emily separuh mengugut.

Tajam mata Emily menjeling Anom. Lantaklah jika Anom naik angin mendengar kata-katanya. Dia tidak peduli. Namun, apabila melihat mata Anom meredup dan kemudian mengangguk tanda bersetuju, Emily menarik nafas lega.

"Dia dah keluar," kata Anom kemudian dengan sepasang mata terarah ke pintu bangunan Fakulti Kejuruteraan.

Melihat Qayyum berjalan beriringan dengan seorang gadis berbaju kurung dan bertudung, hati Anom terasa macam dipukul ribut taufan. Bergoncang-goncang bagaikan mahu rebah. Awan hitam mula berkumpul di tubir mata membuatkan matanya memberat dengan air jernih. Bila-bila sahaja musim tengkujuh yang tidak diundang akan datang menyerang kolam matanya. 'Bertabahlah Anom Sufi', hatinya berbisik sendu. Tidak akan sesekali dibiarkan air matanya tumpah di hadapan lelaki yang telah melukai hatinya. Itu janji Anom kepada diri sendiri.

"Be strong, Ann. Tahan air mata tu," pujuk Emily apabila melihat mata Anom terkelip-kelip menahan air mata yang mahu berderai di pipi.

Anom mengangguk. Setelah mampu mengawal rentak emosi, dia keluar dari perut kereta. "Hai...Qay!" sapanya, buat-buat ramah. Mukanya sengaja dimaniskan. Kalau madu itu manis, manis lagi senyuman palsu di bibirnya.

Terkejut Qayyum melihat Anom terpacul di hadapannya. Keningnya berkerut-kerut menghantar tanda tidak suka dengan kemunculan Anom yang tiba-tiba. Kedua belah tangan Qayyum pula sudah bergerak mengepung gadis yang berdiri di sebelahnya seolah-olah mahu melindungi insan kesayangan daripada digempur makhluk paling ganas. Dan Anom Sufilah makhluk paling ganas itu!

Sayunya hati Anom memandang semua itu. Tanpa bertanya pun dia sudah tahu jawapan Qayyum. Justeru, perlukah dia menyoal lagi dan biarkan hatinya dirobek-robek bicara Qayyum yang tajam bagaikan belati? Atau perlukah dia tinggalkan sahaja Qayyum dan biarkan percintaan mereka lenyap tanpa kata penyudah? Dalam hati berbalut resah, Anom cuba mencari kekuatan untuk pasrah.

"Hai, Ann! Dah lama kita tak jumpa ya?" Qayyum juga buat-buat mesra menatap wajah Anom. Wajah yang dulunya menjadi penghias hati tetapi kini terasa membosankan apabila sudah punya lain pengganti.

'Dah lama tak jumpa?' Mengetap bibir Anom mendengar kata-kata Qayyum yang diucapkan cukup bersahaja. Macam tiada apa-apa yang terjadi antara mereka. Dada terasa mahu pecah menampung pilu yang berkumpul menyesak sanubari. Oh TUHAN! Jika ini balasan untuk ketulusan cintanya kepada Qayyum, dia lebih rela untuk tidak pernah mengenali Qayyum sebelum ini. Biarlah dia dan Qayyum jadi orang asing dan terpisah jauh beribu batu. Dia lebih rela begitu.

"Qay sihat?" Sedaya upaya Anom cuba menguatkan hati dan bersikap setenang yang mampu.

"Sihat aje. Ann?" Qayyum menanya Anom balik.

Anom menganggukkan kepala. "Macam yang Qay nampak nilah." Dia menghadiahkan senyuman tanpa gulanya kepada Qayyum.

"So...apa hal Ann jumpa Qay ni?" soal Qayyum, acuh tidak acuh. Sesekali matanya melirik kepada gadis kesayangan yang berdiri kaku di sampingnya. Mahu memastikan kekasih barunya tenang dan tidak menggelabah berhadapan dengan kekasih lamanya.

"Ann nak tahu apa keputusan Qay." Pendek sahaja jawapan Anom. Singkat tetapi padat.

Sepi berjeda.

Sambil menunduk Qayyum menarik nafas panjang-panjang. Wajah tampannya dengan rambut agak panjang mencecah tengkuk itu nampak berserabut. Seketika kemudian, dia mengangkat kepala. Wajah Anom direnung lama. Keningnya berkerut. "Kenapa Ann tanya Qay lagi? Ann dah tahukan apa keputusan Qay?" tanyanya bosan.

"Ann tak tahu. Selagi Qay tak terus terang, Ann akan anggap kita masih ada hubungan. Ann masih sayangkan Qay," ucap Anom lirih. Pada waktu itu dia sudah hilang rasa malu. Biarlah Qayyum dengar ucapan cinta berkali-kali dari bibirnya sampai jemu. Mudah-mudahan hati Qayyum tersentuh mendengarnya dan seterusnya menarik balik keputusan untuk meninggalkannya.

"Ann nak Qay terus-terang?" Qayyum merengus. "Baik. Qay terus terang pada Ann. Qay pilih Miza. Qay sayangkan Miza sangat-sangat dan Qay harap Ann takkan ganggu hubungan kami," sambung Qayyum dengan muka tiada perasaan. Dia memang bosan hendak bersembang lama-lama dengan Anom Sufi. Banyak kerja lain yang hendak dibuatnya daripada membuang masa menghadap muka Anom yang kian hari kian memualkan perasaannya.

"Kenapa Qay buat Ann macam ni? Kenapa Qay sanggup hancurkan perasaan Ann? Apa silap Ann pada Qay? Cakap Qay!" Anom tolak-tolak bahu Qayyum dengan kudratnya yang sudah tersisa. Lemah dengan segala perbuatan Qayyum yang dirasakan amat tidak bertimbang rasa.

"Sebab Ann tak layak untuk Qay. Cuba tengok diri Ann tu kat cermin. Tak menarik langsung. Dengan penampilan yang macam ni, ada ke lelaki yang berselera tengok Ann? Lelaki yang minat kat Ann ni memang bodoh." Qayyum tergelak-gelak jahat menyindir Anom. Biarpun tiada secuil pun kesilapan Anom terhadapnya, hatinya puas dapat menyakiti hati Anom. Selepas ini tentu Anom serik dan berfikir dua tiga kali untuk mengganggu hubungannya dengan Miza. Begitu pendapatnya.

Tersentap Anom mendengar kata-kata Qayyum yang diucapkan tanpa langsung perasaan bersalah. Hati terasa seperti dicucuk-cucuk duri. Kepalanya memberat menahan rasa marah yang meluap-luap. Ingin rasanya dia menjerit memaki hamun Qayyum namun rengkungnya terasa perit bagaikan dibakar api.

Anom mengalihkan pandangan ke wajah Miza yang berdiri di sebelah Qayyum. Melihat gadis itu tersenyum kemenangan, hatinya terasa mahu memekik-mekik! "Tapi dulu Qay yang pikat Ann kan? Qay kata Ann lain dari perempuan lain. Qay kata Ann unik dan tersendiri sebab tu Qay sukakan Ann.."

"Uniklah sangat." Qayyum mencebik bibir. "Dulu Qay bodoh tak kenal mana kaca dan mana permata. Sekarang Qay dah buka mata luas-luas. Dan Qay sekarang dah kenal yang mana benda berharga dan yang mana sampah."

Anom mengetap bibir menahan air mata yang mahu tumpah. Sampainya hati Qayyum mengibaratkan dirinya macam sampah! Hatinya yang terluka terasa ingin meraung-raung!

"Dan untuk pengetahuan Ann, Qay dan Miza nak bertunang tak lama lagi. So...Qay harap Ann lupakanlah Qay."

'Bertunang?' Kenyataan baru itu membuatkan Anom hampir pengsan! Tanah yang dipijak tiba-tiba sahaja terasa lembik di hujung kaki. Sebelum tubuhnya jatuh menyembah bumi, tidak semena-mena ada sepasang tangan kekar memaut bahunya. Tangan siapa agaknya? Dengan tubuh yang lemah dan minda yang bercelaru, Anom berpusing untuk melihat sang penyelamatnya. Habib!

"Oh...kamu berdua nak bertunang? Tahniah! Saya dan Sufi pun tak lama lagi nak bertunang juga. Betul tak, sayang?" Habib memaut bahu Anom sedikit dengan mata merenung lembut ke dalam anak mata gadis itu.

Anom Sufi terkedu. Diri serasa tenggelam dalam sinar mata Habib yang tajam memikat. Senyuman Habib yang sentiasa manis dengan lesung pipit dikedua belah pipi membuatkan dirinya terawang-awang. Oh! Dirinya sudah terasa lain macam. Apa kena dengan dirinya ini? Sungguh dia tidak tahu.

"Nak bertunang juga?" tanya Qayyum yang kelihatan sungguh keliru. Tidak pernah-pernah Anom ceritakan kepadanya tentang lelaki ini. Melihat mukanya pun tidak pernah, tiba-tiba sahaja terbongkar kisah Anom mahu bertunang. Apakah selama ini Anom curang di belakangnya? Qayyum mengetap gigi. Membahang hatinya pabila menyedari dia ditipu Anom hidup-hidup.

"Hmm...tak lama lagi. Kan, sayang?" Habib buat lagi gaya romantiknya dengan tersenyum manis merenung muka Anom. Memang sengaja dia buat begitu untuk membuat Qayyum cemburu. Jika Anom cair dengan sikap romantiknya dia lagi suka. Itu satu bonus untuknya.

Memang pun hati Anom sudah mencair macam salji dipanah sang mentari. Mengapa Habib bertindak begitu? Sungguh dia tidak tahu. Dan...dia keliru.

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.