Home Novel Cinta Cinta Copy Paste
Cinta Copy Paste
7/1/2015 22:48:13
135,366
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 12

"TERIMA KASIH kerana sudi datang ke rumah kami, Datuk," ucap Datuk Adman sebaik sahaja Datuk Habib Iqmal menjatuhkan punggung di atas sofa. Ceria sungguh wajahnya malam ini menerima kunjungan seorang jutawan. Terujanya dia mengalahkan menerima kunjungan menteri.

Tergelak Habib mendengarnya. "Tak perlulah ucap terima kasih, uncle. Saya memang ada banyak masa malam ni. Tu sebab saya datang. Kalau sibuk, memang tak sampailah saya rumah uncle ni," balas Habib sopan. Dia mula memanggil Datuk Adman, uncle kerana didesak oleh papa Anom itu.

"Yalah...orang macam Datuk, memang selalu sibuk. Tu belum jadi wakil rakyat. Kalau jadi wakil rakyat agaknya, memang tak lekat di rumahlah jawabnya." Syahid pula tumpang sekaki membodek jutawan muda itu.

Semakin galak derai tawa Habib menerima usikan abang Anom itu. "Tak terlintas langsung di fikiran saya nak jadi wakil rakyat."

"Eh...manalah tahu ada rezeki Datuk dapat jadi YB suatu hari nanti. Kalau Datuk tercalon jadi wakil rakyat, memang saya sokong seratus peratus." Giliran Datuk Adman pula 'mengipas' Habib.

"Hmm...tak payahlah, uncle. Saya tak minat dengan politik. Lebih-lebih lagi nak rebut-rebut jawatan dalam politik tu. Memang saya tak mampu buat. Biarlah saya terus macam ni. Kepala tak berserabut." Habib merendah diri.

"Betul tu, Datuk. Jadi wakil rakyat bukannya senang. Besar tanggungjawabnya. Kalau rasa-rasa tak mampu jalankan tanggungjawab, baik jangan jadi wakil rakyat. Buat dimaki orang aje," seloroh Syahid.

Habib ketawa. Dia gembira dapat bersembang santai dengan ayah dan abang Anom ini. Peramah bukan main. Memang boleh masuk dengan jiwa dia. "Tak payahlah panggil saya Datuk. Panggil saya Habib aje pun dah cukup," pinta Habib. Kurang selesa mendengar orang memanggilnya Datuk. Formal sangat rasanya. Lebih-lebih lagi jika panggilan itu datangnya daripada keluarga Anom yang sudah dianggapnya macam adik sendiri. Itu bermakna keluarga Anom juga sudah jadi sebahagian daripada keluarganya.

"Tak eloklah panggil nama aje, Datuk. Macam tak hormat pulak kat Datuk," bantah Syahid dalam hormat.

"Eh..apa salahnya. Saya sebenarnya tak kisah dengan gelaran Datuk tu. Orang dah beri, saya terima. Tapi dalam kalangan orang-orang yang rapat dengan saya, saya lebih suka mereka panggil nama aje. Lebih mesra." Habib mengutarakan pendapatnya.

Syahid tersengih lebar. Senang hati dianggap sebahagian daripada orang-orang yang rapat dengan Habib. Bangga! Sudah terbayang pelbagai projek usahasama yang akan dicadangkannya kepada syarikat gergasi milik Datuk Habib Iqmal. Siapa yang tidak teruja?

Sambil berbual, Habib melemparkan pandangan ke seluruh ruang tamu rumah banglo dua tingkat milik Datuk Adman. Mewah hiasan dalamannya. Perabot-perabotnya semua buatan luar negara. Itu tidak menghairankan kerana dia tahu Datuk Adman seorang ahli perniagaan yang berjaya. Lebih-lebih lagi apabila dibantu oleh Syahid, abang Anom yang juga bijak berurus niaga. Maju perniagaan mereka.

Dalam melilau itu, mata Habib mencari-cari wajah Anom. Tidak kelihatan pula kelibat gadis itu sejak tadi. Di mana agaknya dia? Sedang bertungkus lumus di dapur ke? Jangan Anom keluar merayap ke kelab malam, sudah! Entah-entah, orang sibuk di ruang tamu, Anom pula senyap-senyap cabut lari ikut pintu belakang. Maklumlah, gadis itu bukan boleh diagak tindakannya.

Tetapi, wajah Datin Raihana pun Habib belum nampak sedari tadi. Ini bermakna Anom pun pasti ada bersama-sama mamanya. Mungkin sedang sibuk menyiapkan juadah makan malam nanti, Habib meneka dalam hati.

"PERGI angkat pinggan-pinggan tu dan bawa ke meja makan," arah Datin Raihana kepada anak daranya.

Mencerut muka Anom diarah-arah begitu. Dia bukannya suka melakukan tugas-tugas di dapur. Kerja-kerja keperempuanan begitu tidak masuk langsung dengan jiwa remajanya. Sebab itu, dalam usia yang mencecah 19 tahun, dia langsung tidak pandai memasak walaupun masakan yang mudah-mudah. Kerja-kerja mengemas bilik tidur pun dia serahkan tendernya kepada Bibik Arti. Benci hendak melakukan kerja-kerja remeh macam itu.

Tetapi, malam ini kena juga dia mencemar duli ke dapur kerana kata mama, ada tetamu istimewa mahu bertandang ke rumah. Huh! Istimewa apa bendanya? Kalau setakat orang macam Habib, dia langsung tidak pandang. Lainlah kalau mama jemput Justin Bieber datang ke rumah. Pasti dia akan terloncat-loncat suka. Bukan dia sahaja yang akan menolong, habis semua kawan-kawan di kampus akan diajaknya turun padang membantu mama.

Ketika papa menyampaikan berita yang Habib akan berkunjung ke rumah malam ini, Anom sudah panas punggung. Awal-awal lagi dia meminta kebenaran papa untuk keluar dengan Emily. Tetapi papa naik angin. Justeru, papa sejak awal petang tadi sudah jadi pak jaga di depan pintu kerana takut dia keluar senyap-senyap. Argh! Ikutkan kepala batunya hendak saja dia langgar arahan papa. Namun, takut pula papa potong elaun bulanannya. Semakin nipislah poketnya jika papa memotong elaun bulanannya. Pendek pula langkahnya nanti.

Dalam merungut-rungut begitu, Anom patuh juga suruhan mama. Dulang berisi minuman panas dan sejuk diangkat ke meja makan. Kemudian, dia angkat pula pinggan mangkuk berisi lauk-pauk yang sudah siap dimasak. Malam ini terpaksalah dia tunjuk rajin di hadapan tetamu istimewa mama dan papa. Rajin dalam paksa.

Sedang membantu Bibik Arti menyusun pinggan mangkuk, sempat juga Anom menjeling ke ruang tamu. Secara kebetulan, Habib juga sedang memandang ke arahnya. Maka berlakulah adegan pandang memandang. Jeling menjeling. Habib sedekahkan senyuman semanis kurma kepadanya tetapi dia pula buat muka bodoh dan tidak ambil peduli. Malaslah dia mahu berdrama dengan Habib dengan mempamerkan senyuman tanpa gulanya. Nampak sangat tidak ikhlas.

"Jemput makan, Datuk," panggil Datin Raihana yang baru menunjukkan muka di hadapan Habib. Tersenyum dia menatap wajah Habib yang kelihatan tampan dengan pakaian ringkasnya. Malam ini Habib mengenakan jeans dengan T-shirt Polo berwarna merah hati. Nampak sangat santai.

"Tolong jangan panggil saya Datuk, auntie. Saya rasa macam dah bertongkat aje ni." Boleh pula Habib buat lawak malam ini.

Ketawa besar Datin Raihana mendengarnya. Bukan saja Datin Raihana, Datuk Adman dan Syahid pun turut tumpang sekaki tergelak sama.

Anom pula mencemik muka. Cakap macam itu pun papa, mama dan Abang Syahid tergelak macam hendak tergolek. Macamlah lucu sangat. Nampak sangat hendak membodek. Huh!

Pun begitu, gelak-gelak jahat rasa mahu terloncat dari mulut Anom mendengar Habib memanggil papa dan mama dengan panggilan uncle dan auntie. Huh...macam tidak layak papa dan mama dipanggil begitu kerana umur mereka yang tidak jauh beza. Lebih-lebih lagi mama. Beza umur mama dengan Habib lebih kurang sepuluh tahun saja. Habib ni perasan dia masih muda belia ke?

"Jemput makan, Habib." Datin Raihana mengubah nama panggilan Habib kepada yang lebih mesra.

"Nantilah dulu, auntie. Saya nak tumpang bersolat isyak dulu. Saya rasa waktu isyak dah masuk ni," kata Habib sambil memandang jam besar di dinding ruang tamu. Pukul 8.45 malam. Memang sudah masuk waktu isyak.

Datin Raihana dan Datuk Adman saling berbalas pandang. Syahid pun nampak menggelabah. Tidak menyangka tetamu mereka ini mahu tumpang bersolat di rumah mereka. Rumah mereka mana ada ruang khas untuk bersolat macam di rumah orang lain. Selalunya masing-masing bersolat di dalam bilik. Itu pun kalau mereka rajin.

Anom menahan senyum melihat papa, mama dan Abang Syahid kelam kabut. Baru mereka kenal siapa tetamu istimewa mereka malam ini. Tetamu istimewa ini bukan sahaja jutawan ternama tetapi merangkap lebai muda. Ada kemungkinan majlis makan malam ini akan bertukar kepada majlis ceramah agama. Hendak buat macam mana, tadah sahajalah telinga!

"Uncle, auntie dan Syahid pun belum solat isyak kan? Sufi pun sama. Jomlah bersolat sama. Solat jemaah tu 27 kali darjatnya daripada bersolat bersendirian. Rugi kalau kita lewat-lewatkan." Habib mulakan agendanya. Sebenarnya, sengaja dia buka topik bersolat untuk melihat reaksi keluarga Anom. Mahu melihat sejauh mana keprihatinan mereka terhadap amalan wajib itu.

Sejak mengetahui Anom hidup lepas bebas tanpa kawalan, Habib jadi terpanggil untuk mengupas persoalan dan puncanya mengapa kehidupan Anom jadi begitu. Tentu ianya berakar umbi daripada didikan agama. Itulah firasat yang berlegar-legar dalam kepala Habib.

Tetapi dia tidak boleh menuduh tanpa melihat dengan mata kepala sendiri. Untuk itu, dia memerlukan bukti. Apabila Datuk Adman menjemputnya makan malam di rumah, Habib rasakan ianya bagaikan pucuk dicita ulam mendatang. Bila lagi hendak jadi mata-mata gelap kalau bukan sekarang? Peluang baik bukannya datang selalu. Rugi kalau dilepaskan.

"Err...." Suara Datuk Adman sudah terketar-ketar.

Datin Raihana menggeletar.

Syahid menggelepar.

Anom Sufi pula berlagak tenang walaupun hati terasa kalut juga. Mana dia tidak kalut? Habib mengajak semua ahli keluarganya berjemaah bersama-sama. Solat berjemaah pastilah berimam dan bermakmum. Siapa yang bakal jadi imamnya? Jangan Habib menyuruh papa jadi imam, sudah! Mahu pengsan papa nanti!

"Jomlah kita bersolat dulu. Tak baik melambat-lambatkan solat. Lagi pun senang bila dah solat. Makan nanti pun berselera sebab tanggungjawab kita yang paling utama dah kita tunaikan." Habib ketawa kecil. Hairan juga dia dengan perangai diri sendiri. Berani betul dia mengajar tuan rumah itu dan ini. Tetapi, berani dia berani yang punya visi. Niatnya suci. Bukannya dia mahu tunjuk pandai dalam hal-hal agama. Cuma rasa terpanggil untuk berkongsi sedikit kelebihan yang ada ini dengan keluarga Anom Sufi.

"Kalau macam tu, jomlah kita ke tingkat atas. Solat di bilik. Rumah kami ni tak ada bilik khas untuk solat. Biasanya kami bersolat di bilik masing-masing aje," kata Datuk Adman. Tersenyum pahit. Mengakui kesilapan dan kekurangan diri yang tidak begitu peka dalam hal-hal sebegitu.

"Tak payahlah sampai naik ke bilik. Solat di ruang tamu ni pun boleh. Luas juga tempatnya ni. Muat untuk kita berlima. Asalkan tempatnya bersih, cukup." Habib mengutarakan pendapat. Tidak selesa sebenarnya hendak bersolat di bilik tidur rumah orang.

"Okey juga kalau macam tu," balas Datuk Adman.

Datin Raihana dan Syahid mengangguk bersetuju.

Selepas itu Datuk Adman mengarahkan Anom naik ke tingkat atas untuk mengambil sejadah sementara dia, Habib dan Syahid bergerak ke bilik air untuk mengambil wuduk. Datin Raihana juga ke biliknya untuk mengambil telekung.

"Tak sangka pulak Datuk Habib tu alim. Nampak orangnya biasa-biasa aje," kata Datin Raihana perlahan bagaikan bercakap dengan diri sendiri. Sekali dengar, nadanya berbau rungutan.

Anom Sufi menyembunyikan senyum yang mahu mencelah di bibir. Baru mama tahu Datuk Habib itu sebenarnya 'penceramah bebas'. Dia ini sudah puas kena ceramah, mama sahaja yang tidak tahu. Anom rasa selepas ini tentu mama serik hendak mengajak Habib datang ke rumah. Baguslah jika mama berfikir begitu. Dia pun akan sokong tindakan mama seratus peratus.

Selepas mengambil wuduk di bilik air tingkat atas, Anom dan Datin Raihana turun ke ruang tamu. Telekung sudah tersarung di tubuh masing-masing.

Datuk Adman membentang sejadah mengikut arah kiblat, dibantu oleh Syahid dan Habib.

Habib sempat menjeling ke arah Anom ketika gadis itu turun dari tingkat atas. Sejuk mata memandang seluruh tubuh Anom sudah berbalut telekung. Wajah yang putih melepak itu nampak begitu mulus tanpa sebarang alat solek. 'Cantiknya dia', hatinya berbisik. Entah mengapa Habib rasa jantungnya sudah tidak pandai duduk diam. Bergegar-gegar seperti dilanda gempa bumi.

"Uncle jadi imam ya?" pinta Habib setelah pandangan dikalihkan dari muka Anom ke muka Datuk Adman.

"Hah?" Datuk Adman melopong mulut. Wajah serta-merta bertukar pucat lesi. Tubuh tidak semena-mena menggeletar macam duduk di dalam peti ais. Seumur hidup tidak pernah dia jadi imam bersolat hatta kepada keluarga sendiri. Mampukah dia menjadi imam dengan bacaan-bacaan dalam solat yang tunggang langgang?

"Err....." Datuk Adman ingin menolak tetapi alasan apa yang harus diberi? Muka yang pucat lesi berubah jadi merah padam. Malunya dia tidak terperi. Rasa-rasanya, malam ini maruahnya sebagai ketua keluarga jatuh di hujung kaki Habib.

Terdiam Habib melihat reaksi Datuk Adman yang kelihatan menggelabah dengan dahi merenik-renik dengan peluh. Bapa Anom itu nampak dalam keresahan. Apa yang ditakutkannya? Takkanlah baru disuruh jadi imam, Datuk Adman sudah menggeletar ketakutan? Mustahil selama hidup berkeluarga, bapa Anom itu tidak pernah menjadi imam kepada keluarga sendiri? Habib sudah beristighfar dalam hati. Terkedu.

Habib mengalihkan pandangan ke muka Syahid. Melihat abang Anom itu menggeleng-gelengkan kepala dengan wajah yang tidak kurang pucatnya, dia menarik nafas. Hidup keluarga ini memang sudah parah. Dan dia tidak menyalahkan Anom jika gadis itu hilang pedoman hidup sementelah kehidupan keluarganya juga terumbang ambing bagaikan kapal kehilangan kompas.

Singgah sebentar dalam kehidupan keluarga Anom, Habib jadi sedar akan satu hakikat. Iman memang tidak boleh diwarisi daripada ibu bapa tetapi adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk 'mewariskan' iman itu kepada anak-anak. Baru kini dia berasa betapa bersyukurnya dia dilahirkan sebagai anak umi dan abinya yang amat mementingkan nilai-nilai agama dalam kehidupan duniawi.

"Tak mengapalah. Biarlah saya aje yang jadi imam," putus Habib, kemudian menarik nafas. Dia lalu bergerak mengambil tempat di hadapan. Beberapa detik kemudian, alunan suara garaunya kedengaran merdu mengalunkan bacaan ayat-ayat suci di rumah Datuk Adman.


Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.