"TERIMA
KASIH kerana sudi datang ke rumah kami, Datuk," ucap Datuk Adman sebaik
sahaja Datuk Habib Iqmal menjatuhkan punggung di atas sofa. Ceria sungguh
wajahnya malam ini menerima kunjungan seorang jutawan. Terujanya dia
mengalahkan menerima kunjungan menteri.
Tergelak
Habib mendengarnya. "Tak perlulah ucap terima kasih, uncle. Saya memang
ada banyak masa malam ni. Tu sebab saya datang. Kalau sibuk, memang tak
sampailah saya rumah uncle ni," balas Habib sopan. Dia mula memanggil
Datuk Adman, uncle kerana didesak oleh papa Anom itu.
"Yalah...orang
macam Datuk, memang selalu sibuk. Tu belum jadi wakil rakyat. Kalau jadi wakil
rakyat agaknya, memang tak lekat di rumahlah jawabnya." Syahid pula
tumpang sekaki membodek jutawan muda itu.
Semakin
galak derai tawa Habib menerima usikan abang Anom itu. "Tak terlintas
langsung di fikiran saya nak jadi wakil rakyat."
"Eh...manalah
tahu ada rezeki Datuk dapat jadi YB suatu hari nanti. Kalau Datuk tercalon jadi
wakil rakyat, memang saya sokong seratus peratus." Giliran Datuk Adman
pula 'mengipas' Habib.
"Hmm...tak
payahlah, uncle. Saya tak minat dengan politik. Lebih-lebih lagi nak
rebut-rebut jawatan dalam politik tu. Memang saya tak mampu buat. Biarlah saya
terus macam ni. Kepala tak berserabut." Habib merendah diri.
"Betul
tu, Datuk. Jadi wakil rakyat bukannya senang. Besar tanggungjawabnya. Kalau
rasa-rasa tak mampu jalankan tanggungjawab, baik jangan jadi wakil rakyat. Buat
dimaki orang aje," seloroh Syahid.
Habib
ketawa. Dia gembira dapat bersembang santai dengan ayah dan abang Anom ini. Peramah
bukan main. Memang boleh masuk dengan jiwa dia. "Tak payahlah panggil saya
Datuk. Panggil saya Habib aje pun dah cukup," pinta Habib. Kurang selesa
mendengar orang memanggilnya Datuk. Formal sangat rasanya. Lebih-lebih lagi
jika panggilan itu datangnya daripada keluarga Anom yang sudah dianggapnya
macam adik sendiri. Itu bermakna keluarga Anom juga sudah jadi sebahagian
daripada keluarganya.
"Tak
eloklah panggil nama aje, Datuk. Macam tak hormat pulak kat Datuk," bantah
Syahid dalam hormat.
"Eh..apa
salahnya. Saya sebenarnya tak kisah dengan gelaran Datuk tu. Orang dah beri,
saya terima. Tapi dalam kalangan orang-orang yang rapat dengan saya, saya lebih
suka mereka panggil nama aje. Lebih mesra." Habib mengutarakan
pendapatnya.
Syahid
tersengih lebar. Senang hati dianggap sebahagian daripada orang-orang yang
rapat dengan Habib. Bangga! Sudah terbayang pelbagai projek usahasama yang akan
dicadangkannya kepada syarikat gergasi milik Datuk Habib Iqmal. Siapa yang
tidak teruja?
Sambil
berbual, Habib melemparkan pandangan ke seluruh ruang tamu rumah banglo dua
tingkat milik Datuk Adman. Mewah hiasan dalamannya. Perabot-perabotnya semua
buatan luar negara. Itu tidak menghairankan kerana dia tahu Datuk Adman seorang
ahli perniagaan yang berjaya. Lebih-lebih lagi apabila dibantu oleh Syahid,
abang Anom yang juga bijak berurus niaga. Maju perniagaan mereka.
Dalam
melilau itu, mata Habib mencari-cari wajah Anom. Tidak kelihatan pula kelibat
gadis itu sejak tadi. Di mana agaknya dia? Sedang bertungkus lumus di dapur ke?
Jangan Anom keluar merayap ke kelab malam, sudah! Entah-entah, orang sibuk di
ruang tamu, Anom pula senyap-senyap cabut lari ikut pintu belakang. Maklumlah,
gadis itu bukan boleh diagak tindakannya.
Tetapi,
wajah Datin Raihana pun Habib belum nampak sedari tadi. Ini bermakna Anom pun
pasti ada bersama-sama mamanya. Mungkin sedang sibuk menyiapkan juadah makan
malam nanti, Habib meneka dalam hati.
"PERGI
angkat pinggan-pinggan tu dan bawa ke meja makan," arah Datin Raihana
kepada anak daranya.
Mencerut
muka Anom diarah-arah begitu. Dia bukannya suka melakukan tugas-tugas di dapur.
Kerja-kerja keperempuanan begitu tidak masuk langsung dengan jiwa remajanya.
Sebab itu, dalam usia yang mencecah 19 tahun, dia langsung tidak pandai memasak
walaupun masakan yang mudah-mudah. Kerja-kerja mengemas bilik tidur pun dia
serahkan tendernya kepada Bibik Arti. Benci hendak melakukan kerja-kerja remeh
macam itu.
Tetapi,
malam ini kena juga dia mencemar duli ke dapur kerana kata mama, ada tetamu
istimewa mahu bertandang ke rumah. Huh! Istimewa apa bendanya? Kalau setakat
orang macam Habib, dia langsung tidak pandang. Lainlah kalau mama jemput Justin
Bieber datang ke rumah. Pasti dia akan terloncat-loncat suka. Bukan dia sahaja
yang akan menolong, habis semua kawan-kawan di kampus akan diajaknya turun
padang membantu mama.
Ketika
papa menyampaikan berita yang Habib akan berkunjung ke rumah malam ini, Anom
sudah panas punggung. Awal-awal lagi dia meminta kebenaran papa untuk keluar
dengan Emily. Tetapi papa naik angin. Justeru, papa sejak awal petang tadi
sudah jadi pak jaga di depan pintu kerana takut dia keluar senyap-senyap. Argh!
Ikutkan kepala batunya hendak saja dia langgar arahan papa. Namun, takut pula papa
potong elaun bulanannya. Semakin nipislah poketnya jika papa memotong elaun
bulanannya. Pendek pula langkahnya nanti.
Dalam
merungut-rungut begitu, Anom patuh juga suruhan mama. Dulang berisi minuman
panas dan sejuk diangkat ke meja makan. Kemudian, dia angkat pula pinggan
mangkuk berisi lauk-pauk yang sudah siap dimasak. Malam ini terpaksalah dia
tunjuk rajin di hadapan tetamu istimewa mama dan papa. Rajin dalam paksa.
Sedang
membantu Bibik Arti menyusun pinggan mangkuk, sempat juga Anom menjeling ke
ruang tamu. Secara kebetulan, Habib juga sedang memandang ke arahnya. Maka
berlakulah adegan pandang memandang. Jeling menjeling. Habib sedekahkan
senyuman semanis kurma kepadanya tetapi dia pula buat muka bodoh dan tidak
ambil peduli. Malaslah dia mahu berdrama dengan Habib dengan mempamerkan senyuman
tanpa gulanya. Nampak sangat tidak ikhlas.
"Jemput
makan, Datuk," panggil Datin Raihana yang baru menunjukkan muka di hadapan
Habib. Tersenyum dia menatap wajah Habib yang kelihatan tampan dengan pakaian
ringkasnya. Malam ini Habib mengenakan jeans dengan T-shirt Polo berwarna merah
hati. Nampak sangat santai.
"Tolong
jangan panggil saya Datuk, auntie. Saya rasa macam dah bertongkat aje ni."
Boleh pula Habib buat lawak malam ini.
Ketawa
besar Datin Raihana mendengarnya. Bukan saja Datin Raihana, Datuk Adman dan
Syahid pun turut tumpang sekaki tergelak sama.
Anom
pula mencemik muka. Cakap macam itu pun papa, mama dan Abang Syahid tergelak
macam hendak tergolek. Macamlah lucu sangat. Nampak sangat hendak membodek.
Huh!
Pun
begitu, gelak-gelak jahat rasa mahu terloncat dari mulut Anom mendengar Habib
memanggil papa dan mama dengan panggilan uncle
dan auntie. Huh...macam tidak layak
papa dan mama dipanggil begitu kerana umur mereka yang tidak jauh beza.
Lebih-lebih lagi mama. Beza umur mama dengan Habib lebih kurang sepuluh tahun
saja. Habib ni perasan dia masih muda belia ke?
"Jemput
makan, Habib." Datin Raihana mengubah nama panggilan Habib kepada yang
lebih mesra.
"Nantilah
dulu, auntie. Saya nak tumpang bersolat isyak dulu. Saya rasa waktu isyak dah
masuk ni," kata Habib sambil memandang jam besar di dinding ruang tamu.
Pukul 8.45 malam. Memang sudah masuk waktu isyak.
Datin
Raihana dan Datuk Adman saling berbalas pandang. Syahid pun nampak menggelabah.
Tidak menyangka tetamu mereka ini mahu tumpang bersolat di rumah mereka. Rumah
mereka mana ada ruang khas untuk bersolat macam di rumah orang lain. Selalunya
masing-masing bersolat di dalam bilik. Itu pun kalau mereka rajin.
Anom
menahan senyum melihat papa, mama dan Abang Syahid kelam kabut. Baru mereka kenal
siapa tetamu istimewa mereka malam ini. Tetamu istimewa ini bukan sahaja jutawan
ternama tetapi merangkap lebai muda. Ada kemungkinan majlis makan malam ini
akan bertukar kepada majlis ceramah agama. Hendak buat macam mana, tadah sahajalah
telinga!
"Uncle,
auntie dan Syahid pun belum solat isyak kan? Sufi pun sama. Jomlah bersolat
sama. Solat jemaah tu 27 kali darjatnya daripada bersolat bersendirian. Rugi
kalau kita lewat-lewatkan." Habib mulakan agendanya. Sebenarnya, sengaja
dia buka topik bersolat untuk melihat reaksi keluarga Anom. Mahu melihat sejauh
mana keprihatinan mereka terhadap amalan wajib itu.
Sejak
mengetahui Anom hidup lepas bebas tanpa kawalan, Habib jadi terpanggil untuk
mengupas persoalan dan puncanya mengapa kehidupan Anom jadi begitu. Tentu ianya
berakar umbi daripada didikan agama. Itulah firasat yang berlegar-legar dalam
kepala Habib.
Tetapi
dia tidak boleh menuduh tanpa melihat dengan mata kepala sendiri. Untuk itu,
dia memerlukan bukti. Apabila Datuk Adman menjemputnya makan malam di rumah,
Habib rasakan ianya bagaikan pucuk dicita ulam mendatang. Bila lagi hendak jadi
mata-mata gelap kalau bukan sekarang? Peluang baik bukannya datang selalu. Rugi
kalau dilepaskan.
"Err...."
Suara Datuk Adman sudah terketar-ketar.
Datin
Raihana menggeletar.
Syahid
menggelepar.
Anom
Sufi pula berlagak tenang walaupun hati terasa kalut juga. Mana dia tidak kalut?
Habib mengajak semua ahli keluarganya berjemaah bersama-sama. Solat berjemaah
pastilah berimam dan bermakmum. Siapa yang bakal jadi imamnya? Jangan Habib
menyuruh papa jadi imam, sudah! Mahu pengsan papa nanti!
"Jomlah
kita bersolat dulu. Tak baik melambat-lambatkan solat. Lagi pun senang bila dah
solat. Makan nanti pun berselera sebab tanggungjawab kita yang paling utama dah
kita tunaikan." Habib ketawa kecil. Hairan juga dia dengan perangai diri
sendiri. Berani betul dia mengajar tuan rumah itu dan ini. Tetapi, berani dia
berani yang punya visi. Niatnya suci. Bukannya dia mahu tunjuk pandai dalam
hal-hal agama. Cuma rasa terpanggil untuk berkongsi sedikit kelebihan yang ada
ini dengan keluarga Anom Sufi.
"Kalau
macam tu, jomlah kita ke tingkat atas. Solat di bilik. Rumah kami ni tak ada
bilik khas untuk solat. Biasanya kami bersolat di bilik masing-masing aje,"
kata Datuk Adman. Tersenyum pahit. Mengakui kesilapan dan kekurangan diri yang
tidak begitu peka dalam hal-hal sebegitu.
"Tak
payahlah sampai naik ke bilik. Solat di ruang tamu ni pun boleh. Luas juga
tempatnya ni. Muat untuk kita berlima. Asalkan tempatnya bersih, cukup."
Habib mengutarakan pendapat. Tidak selesa sebenarnya hendak bersolat di bilik
tidur rumah orang.
"Okey
juga kalau macam tu," balas Datuk Adman.
Datin
Raihana dan Syahid mengangguk bersetuju.
Selepas
itu Datuk Adman mengarahkan Anom naik ke tingkat atas untuk mengambil sejadah
sementara dia, Habib dan Syahid bergerak ke bilik air untuk mengambil wuduk. Datin
Raihana juga ke biliknya untuk mengambil telekung.
"Tak
sangka pulak Datuk Habib tu alim. Nampak orangnya biasa-biasa aje," kata Datin
Raihana perlahan bagaikan bercakap dengan diri sendiri. Sekali dengar, nadanya
berbau rungutan.
Anom
Sufi menyembunyikan senyum yang mahu mencelah di bibir. Baru mama tahu Datuk
Habib itu sebenarnya 'penceramah bebas'. Dia ini sudah puas kena ceramah, mama sahaja
yang tidak tahu. Anom rasa selepas ini tentu mama serik hendak mengajak Habib
datang ke rumah. Baguslah jika mama berfikir begitu. Dia pun akan sokong
tindakan mama seratus peratus.
Selepas
mengambil wuduk di bilik air tingkat atas, Anom dan Datin Raihana turun ke
ruang tamu. Telekung sudah tersarung di tubuh masing-masing.
Datuk
Adman membentang sejadah mengikut arah kiblat, dibantu oleh Syahid dan Habib.
Habib
sempat menjeling ke arah Anom ketika gadis itu turun dari tingkat atas. Sejuk
mata memandang seluruh tubuh Anom sudah berbalut telekung. Wajah yang putih
melepak itu nampak begitu mulus tanpa sebarang alat solek. 'Cantiknya dia',
hatinya berbisik. Entah mengapa Habib rasa jantungnya sudah tidak pandai duduk
diam. Bergegar-gegar seperti dilanda gempa bumi.
"Uncle
jadi imam ya?" pinta Habib setelah pandangan dikalihkan dari muka Anom ke
muka Datuk Adman.
"Hah?"
Datuk Adman melopong mulut. Wajah serta-merta bertukar pucat lesi. Tubuh tidak
semena-mena menggeletar macam duduk di dalam peti ais. Seumur hidup tidak
pernah dia jadi imam bersolat hatta kepada keluarga sendiri. Mampukah dia
menjadi imam dengan bacaan-bacaan dalam solat yang tunggang langgang?
"Err....."
Datuk Adman ingin menolak tetapi alasan apa yang harus diberi? Muka yang pucat
lesi berubah jadi merah padam. Malunya dia tidak terperi. Rasa-rasanya, malam
ini maruahnya sebagai ketua keluarga jatuh di hujung kaki Habib.
Terdiam
Habib melihat reaksi Datuk Adman yang kelihatan menggelabah dengan dahi
merenik-renik dengan peluh. Bapa Anom itu nampak dalam keresahan. Apa yang
ditakutkannya? Takkanlah baru disuruh jadi imam, Datuk Adman sudah menggeletar
ketakutan? Mustahil selama hidup berkeluarga, bapa Anom itu tidak pernah menjadi
imam kepada keluarga sendiri? Habib sudah beristighfar dalam hati. Terkedu.
Habib
mengalihkan pandangan ke muka Syahid. Melihat abang Anom itu
menggeleng-gelengkan kepala dengan wajah yang tidak kurang pucatnya, dia
menarik nafas. Hidup keluarga ini memang sudah parah. Dan dia tidak menyalahkan
Anom jika gadis itu hilang pedoman hidup sementelah kehidupan keluarganya juga
terumbang ambing bagaikan kapal kehilangan kompas.
Singgah
sebentar dalam kehidupan keluarga Anom, Habib jadi sedar akan satu hakikat.
Iman memang tidak boleh diwarisi daripada ibu bapa tetapi adalah menjadi
tanggungjawab ibu bapa untuk 'mewariskan' iman itu kepada anak-anak. Baru kini
dia berasa betapa bersyukurnya dia dilahirkan sebagai anak umi dan abinya yang
amat mementingkan nilai-nilai agama dalam kehidupan duniawi.
"Tak
mengapalah. Biarlah saya aje yang jadi imam," putus Habib, kemudian
menarik nafas. Dia lalu bergerak mengambil tempat di hadapan. Beberapa detik
kemudian, alunan suara garaunya kedengaran merdu mengalunkan bacaan ayat-ayat
suci di rumah Datuk Adman.