Home Novel Cinta Cinta Copy Paste
Cinta Copy Paste
7/1/2015 22:48:13
137,091
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

ANOM SUFI sabar menanti kedatangan Habib di pergola. Tadi Habib menghilangkan diri sebentar kerana mahu mengambilkannya makanan. Bukan dia menyuruh tetapi Habib yang bersungguh. Ikutkan Anom, dia tidak larat hendak menelan walaupun sebutir nasi. Hilang selera sejak dipaksa mama ke sini.

Rasa terkejut Anom melihat Habib tadi masih belum hilang. Tidak sangka pula dia yang Habib ini anak Tan Sri Bakri. Ketika papa menyuruhnya menemani mama ke mari, tidak pula papa menyebut apa-apa pasal Habib. Mungkin papa bimbang dia membantah dengan alasan enggan bertemu pemuda itu.

"Jemput makan, Sufi," pelawa Habib Iqmal. Dihulur pinggan besar berisi nasi bukhari ayam kepada Anom. Selepas umi 'memperkenalkan'nya dengan Anom sebentar tadi, dia terus mengajak gadis itu duduk di pergola. Teruja sungguh dia bertemu Anom! Lalu dia sengaja bawa Anom 'lari' jauh-jauh untuk mendapatkan lebih privasi bersembang santai dengan gadis ini.

Sejak bertatapan mata dengan Anom Sufi petang tadi, perasaannya jadi teruja berlebih-lebihan. Hatinya kini menggelepar semacam. Seraut wajah lembut yang seiras Anom Sufi tiba-tiba sahaja mengapung di tirai matanya. Wajah Yana. Tiba-tiba sahaja dia jadi rindu dengan wajah itu. Terlalu rindu.

"Tolong panggil saya Ann." Mata Anom terjegil dan bibir memuncung memandang Habib. Geram! Apa tidaknya, sudah dipesan supaya memanggilnya Ann, Habib tetap memanggilnya Sufi. Namun, dalam geram-geram begitu, tangan kanannya tetap menyambut pinggan di tangan Habib.

Terbuntang mata Anom memandang pinggan yang penuh dengan nasi dan lauk pauk. Ini siapa yang nak makan? Dia atau hantu raya? "Banyaknya? Siapa yang nak makan ni?" Laju bibirnya meluahkan bicara hati kepada Habib.

Habib tersenyum memandang Anom. Memukau pandangan Anom dengan senyuman madu yang dihiasi lesung pipit di kedua belah pipinya. "Sufilah. Saya dah kenyang," katanya kemudian, sambil menoleh menatap wajah gadis di sebelahnya.

Cepat-cepat Anom melarikan pandangan ke pinggan nasi bukhari di tangannya. Hatinya bergetar tiba-tiba. Dia bukannya boleh memandang muka lelaki berlesung pipit. Pantang. Bukannya pantang sebab tidak suka tetapi teruja!

"Tapi nasi ni banyak sangat. Takut tak habis." Pintar otak Anom mencari alasan untuk tidak terus menatap senyuman berkilo gula di wajah Habib.

"Banyak ke? Sikit aje tu. Saya memang ambil cukup-cukup untuk Sufi. Kalau Sufi boleh habiskan, dah bagus sangat. Mudah-mudahan besar sikit badan Sufi yang macam papan sekeping tu," usik Habib dengan badan menyenget menjeling ke tubuh Anom.

'Amboi...sedapnya mengutuk badan aku macam papan sekeping?' Melampau betul! Anom naik bengang. "Datuk ingat perut saya ni tong sampah ke?" Mulalah angin kus-kus dia naik mencanak. Orang sudah kutuk dia depan-depan, takkan dia hendak duduk diam? Bukan Anom Sufi namanya tu.

Ketawa besar Habib mendengarnya. Bukan geli hati mendengar bicara Anom tetapi suka melihat gelagat Anom yang suka sangat membulatkan matanya apabila naik marah. Nampak sungguh lucu namun manis di matanya. "Kalau perut Sufi jadi tong dram pun apa salahnya? Comel apa." Habib belum mahu berhenti menyakat Anom.

Merengus Anom. Panjang muncungnya bertindak balas dengan lawak jenaka Habib. 'Orang tua ini kalau terus dilayan, memang boleh pitam', hati Anom mengomel. Sudahnya, dia mencapai sudu dan mula menyuap nasi ke mulut.

"Sufi dah kenal umi dan abi saya ya? Mereka ada cakap apa-apa tak?" tanya Habib tiba-tiba.

"Cakap apa?" Anom menoleh memandang Habib yang duduk di sebelahnya. Hairan mendengar rentak suara Habib yang kedengaran menggelabah. Wajah Habib pula nampak resah semacam. Ada apa sebenarnya ni?

Habib serba-salah mahu menjawab. "Cakap tentang diri Sufi. Ada ke?" tanyanya lagi, mahukan kepastian.

'Cakap tentang diri aku?' Anom mengerutkan dahi. Berfikir. Memanglah tadi Tan Sri Bakri ada menyebut tentang topik barang naik harga dan hantaran kahwin yang mahal. Tetapi itu termasuk dalam senarai perkara penting ke? Mungkin penting bagi orang lain tetapi tidak bagi dirinya. "Tan Sri cakap pasal perkara-perkara biasa aje. Tak adalah cakap perkara penting," jawab Anom malas.

"Kalau tak ada cakap apa-apa, tak apalah," sambut Habib dengan wajah berubah lega.

Mengapa ya? Pelik sungguh Anom melihatnya.

"Sufi dah kenal adik-adik saya?" tanya Habib lagi.

Anom menggeleng kepala. Siapa adik-beradik Habib? Dia tidak kenal. Mungkin gadis-gadis berpakaian anggun yang duduk berhampiran mereka tadi. Anom nampak juga mereka menjeling dan tersenyum-senyum ke arahnya namun belum sempat berkenalan, Habib sudah mengajaknya ke mari.

"Tak mengapalah. Nanti saya kenalkan Sufi pada adik-adik saya," janji Habib tersenyum manis memandang Anom.

Anom mengangguk. Lambat-lambat dia menyudu nasi ke mulut. Dalam hati, dia berasa pelik dengan reaksi Habib. Beria-ia Habib mahu dia mengenali ahli keluarganya. Mengapa? Untuk apa? Dia bukannya rapat sangat dengan Habib sehinggakan semua suku-sakat Habib patut dikenalinya.

"Saya nak minta tolong satu perkara daripada Sufi, boleh tak?" pohon Habib bila Anom tenang menikmati hidangan di hadapan mata.

"Apa dia?" Terteleng sedikit kepala Anom memandang Habib. Cuak juga hatinya mendengar permintaan Habib itu.

Habib diam sebentar kemudian tersenyum manis menjeling Anom. "Tolong jangan panggil saya Datuk. Tak selesalah saya bila Sufi panggil saya Datuk. Terasa macam dah tua berjanggut saya ni," luah Habib, mengeluh sedikit.

'Memang pun awak dah tua. Tak sedar dirilah tu', hati Anom berdetik mencemuh Habib. Dia letak pinggan di sebelahnya kemudian meneguk sedikit air oren dari gelas minuman yang turut dibawa Habib tadi. "Kalau tak nak saya panggil Datuk, berhenti panggil saya Sufi." Anom tawar-menawar dengan Habib.

Tanpa disangka-sangka, Habib mengeluh. "Yang tu susah sikit saya nak ikut," tolak Habib lembut.

"Kenapa pulak?" Anom naik hairan dengan alasan Habib. Jika diikutkan, syarat yang dia letak itu bukannya berbelit-belit. Tetapi, Habib yang membuatkannya jadi sukar.

"Nama Ann tu tak sesuai dengan awak. Saya lebih suka panggil Sufi. Manis nama tu dan padan dengan awak yang manis juga ni. Untung-untung bila selalu dipanggil Sufi, awak betul-betul akan jadi insan sufi. Betul tak?" Dalam diam-diam Habib menasihati Anom secara berlapik.

Tidak terkata Anom jadinya. Apa yang harus dijawabnya? Soalan Habib itu merupakan soalan perangkap maut. Kalau jawab betul, sudah pasti berjela-jela ceramah lain masuk ke lubang telinganya. Penat pula dia menadah telinga nanti. Kalau jawab tidak betul pula, lagi teruk dia diperli. Akhirnya dia diamkan sahaja soalan Habib tidak dijawab.

Tetapi, mendengar Habib memujinya manis tadi, hati Anom Sufi kembang kuncup. Alahai...seronoknya dia tidak terkata. Bukan selalu dia mendengar orang-orang sekeliling memujinya manis biarpun dia sememangnya gadis yang cantik manis. Hmm...sudah masuk bakul, angkat sendiri pula dia. Namun, jika bukan tuan punya badan yang puji diri sendiri, siapa lagi?

"Lagi pun kan dah elok papa dan mama bagi nama Anom Sufi tu? Maknanya pun bagus. Kenapa pulak nak ubah-ubah jadi nama lain? Kat akhirat nanti, nama Anom Sufi tulah yang akan dipanggil, bukannya nama Ann tu." Habib mula berceramah dengan Anom.

Aduh! Panas telinga Anom mendengar syarahan Habib. Ini kalau dibiarkan berlanjutan, pasti bernanah telinga dia menadahnya. Hari ini memang malang nasibnya terserempak dengan penceramah bebas tidak bertauliah. Nasib badan!

"Saya sebenarnya dah lama berkenan dengan gadis yang bernama Sufi. Saya selalu bayangkan orangnya cantik, lemah lembut, bersopan santun dan pakai tudung. Tak sangka pulak bila saya dah jumpa gadis yang bernama Sufi, orangnya berbeza betul dengan apa yang saya bayangkan," seloroh Habib, ketawa kecil memandang Anom.

Kali ini memang betul-betul bernanah telinga Anom. Muka pula berbahang dek perasaan malu yang meluap-luap. Apabila Habib mula membanding-bandingkan diri dan perangainya dengan gadis impiannya, baginya itu perbuatan melampau. "Jangan nak bandingkan saya dengan orang lain!" Keras suaranya memberi amaran kepada Habib.

Tercengang Habib melihat perubahan air muka Anom. "Laa...siapa pulak yang nak bandingkan Sufi dengan orang lain? Saya cuma beritahu apa yang saya bayangkan aje. Itu pun Sufi nak mengamuk?" Ketawa besar Habib dengan perangai Anom yang macam budak kecil.

"Tapi saya tak suka dengar, Datuk faham tak?"

"Sufi...saya tak bermaksud nak buat Sufi kecil hati."

"Yalah...okeylah...suka hati Datuklah nak kata apa. Nak panggil apa pun, saya terima aje." Mengalah Anom akhirnya. Malas dia mahu berdebat dengan Habib tentang itu. Lantaklah Habib hendak panggil dia apa. Jika mereka terus bertelingkah tentang topik nama, nanti sampai ke esok pagi tidak habis. Lagipun dia bukannya akan jadi bff Habib sehingga patut ambil kisah tentang nama panggilan itu. Entah-entah, malam ini pun malam terakhir mereka bertemu.

"So..macam mana dengan saya pulak? Sufi nak terus panggil saya Datuk ke?" Habib menggelabah bila Anom cepat ingin menamatkan perbualan walhal ada hal yang belum selesai.

"Dah tu nak panggil apa?" tanya Anom, tidak berminat.

"Yalah...nak panggil apa ya?" soal Habib semula dengan jari telunjuk mengetuk-ngetuk kepala. Macam sedang berfikir keras kononnya. Sedetik kemudian dia tersengih. "Panggil abang?" tanyanya dengan muka tidak malunya.

Abang? Macam bola mata Anom memaku muka Habib. Layakkah Habib dipanggil abang? Kalau panggilan pak cik, tidak perlu diperdebatkan, tentunya lebih sesuai.

"Saya dah ada abang, saya tak nak abang yang lain." Anom beralasan. Loya tekaknya mahu memanggil Habib, abang.

"Memanglah Sufi dah ada abang. Saya pun bukannya mahu jadi abang Sufi. Panggilan abang tu sekadar menghormati orang yang lebih tua dari Sufi. Dah tu takkan Sufi nak panggil saya Habib aje? Tak kurang sopan ke namanya tu? Ataupun Sufi nak panggil uncle? Rasa macam tua sangat saya ni." Panjang keluhan Habib. Mukanya monyok macam baru lepas tertelan asam jawa.

Anom tidak menyahut. Berfikir secara waras sebenarnya. Jika direnungkan, memang betul kata-kata Habib itu. Panggilan abang itu sekadar panggilan hormat untuk lelaki yang lebih tua daripada kita. Mengapalah dia cepat sangat tersalah anggap terhadap Habib? Siapa yang sebenarnya 'perasan'? Dia atau Habib? Begitu pun, hatinya tetap enggan memanggil Habib, abang.

"Nanti kalau kita jumpa lagi, Sufi panggil saya, abang ya?" desak Habib yang macam tidak sabar-sabar mahu mendengar jawapan Anom.

Anom berat mulut mahu menjawab. Lebih-lebih lagi apabila mengesan riak-riak gatal dalam nada suara Habib. Betul ke Habib ada maksud lain atau dia sahaja yang berprasangka begitu?

"Tak kuasalah saya nak berabang-abang ni." Anom bangun meninggalkan Habib sendirian di pergola. Daripada dia pening kepala melayan perangai gatal Habib, ada eloknya dia segera angkat kaki.

"Sufi nak ke mana tu?"

"Nak balik!"

"Eh! Nantilah. Saya belum kenalkan Sufi dengan adik-adik saya. Mari ikut saya. Mereka ada kat sana." Habib tegah Anom daripada meninggalkannya. Mulutnya memuncung ke arah kolam renang tempat adik-adiknya sedang duduk santai.

"Lain kalilah. Saya nak balik cepat ni. Banyak kerja." Cerdik betul otak Anom memberi alasan. Mama yang belum puas bersembang dengan rakan niaganya belum tentu mahu pulang awal. Silap-silap dia pula yang bakal terpacak macam patung menanti mama.

"Banyak sangatlah kerja Sufi tu. Macamlah saya percaya." Habib mencemik muka. Memerli. "Dah...jom ikut saya!" Habib main paksa sahaja. Dia menarik sedikit T-shirt Anom menuju ke kolam renang.

"Yalah...yalah." Akur Anom akhirnya. Tidak kuasa dia mahu terus berkeras dengan Habib. Lebih-lebih lagi apabila orang sudah sudah mula pandang serong ke arah mereka berdua. Huh! Ini Habib punya pasal. Suka sangat menarik perhatian orang! Hatinya membentak.

Anom pantas menarik hujung bajunya yang sedang dipegang Habib dan berjalan laju menuju ke kolam renang.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.