Home Novel Cinta Cinta Copy Paste
Cinta Copy Paste
7/1/2015 22:48:13
135,315
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 14

"DRAMA dah habis, Datuk!" Hilang sahaja bayang Qayyum dan Miza, Anom terus memusingkan badan menghadap Habib. Tangan Habib di bahu kanannya ditenung dengan mata mencerlung. Pak cik ni tak reti-reti nak alihkan tangan ke? Amboi! Mengambil kesempatan nampak? Anom naik geram. Pantas ditolaknya tangan Habib kasar.

"Oh...dah habis ke? Tak perasan pulak. Ingatkan ada sambung scene lain tadi," seloroh Habib dengan sengih lebarnya.

Anom membuat muka mendengar lawak tidak lucu Habib. Lelaki baginya semua sama. Nampak sahaja macam alim tetapi apabila ada kesempatan langsung tidak melepaskan peluang. Hmm....alim alim kucing rupa-rupanya ustaz seorang ni.

"Ann! Kau nak balik tak?"

Baru Anom Sufi hendak membuka mulut menyanggah cakap Habib, kedengaran suara Emily menjerit dari perut Mazda 3nya. Kepala Emily terjengul dari tingkap yang terbuka luas.

Anom memalingkan muka memandang Emily. Begitu juga dengan Habib.

"You balik dulu. Sufi balik dengan I nanti," jawab Habib seperti menggesa Emily supaya cepat-cepat pergi dari situ. Matanya macam mata burung helang memanah permukaan wajah Emily. Entah mengapa hatinya tidak senang dengan Emily yang sentiasa ada di samping Anom. Apa yang dapat disimpulkan mindanya, Emily itu membawa pengaruh buruk dari segi pergaulan, pakaian dan percakapan kepada Anom Sufinya. Tetapi nahaslah jika dia sebutkan tentang semua itu kepada Anom. Akibatnya nanti, dia sudah tahu. Pastinya berbulan-bulan Anom akan berpantang bercakap dengannya.

Tanpa menoleh ke arah Anom yang tercengang-cengang, Emily hidupkan enjin kereta dan seminit kemudian keretanya menghilang daripada pandangan.

"Eh...eh...pandai-pandai aje Datuk ni. Siapa cakap saya nak balik dengan Datuk?" omel Anom tidak puas hati. Suka-suka hati Habib membuat keputusan bagi pihaknya. Tidak suka dengan sikap Habib yang ada kalanya suka mengongkong pergerakannya.

"Abanglah yang cakap." Habib terus menarik lengan Anom yang dibaluti T-shirt ketat berlengan panjang menuju ke keretanya.

Kali ini Habib pandu BMW X5 pula ke mari. Dia memang banyak koleksi kereta mewah di rumah. Dekat enam buah. Namun, bukan semua kepunyaannya. Sebahagiannya milik abi. Dia selalu tukar-tukar pakai keretanya dengan abi. Bukan untuk menunjuk-nunjuk tetapi lebih kepada mahu merasai kenikmatan memandu kereta mewah buatan luar negara. Dan tentu sahaja keretanya yang besar menjalar itu menarik perhatian warga kampus Anom Sufi ini.

Pintu kereta mewahnya dibuka. "Masuklah, Cik Sufi," pelawa Habib, merenung lembut wajah Anom.

Malas mahu bertekak dengan Habib, Anom masuk. Tenggelam punggungnya di sofa kulit kereta mahal Habib. Pintu ditutup.

"Kita singgah masjid. Kita solat asar dulu lepas tu baru makan. Lepas makan, baru abang hantar Sufi balik." Habib melahirkan agenda di kepalanya. Apabila tidak mendengar mulut comel itu mengomel, dia terus buat kesimpulan Anom bersetuju dengan perancangannya.

"Macam mana Datuk boleh tahu saya jumpa Qayyum tadi?" tanya Anom dengan kening bertaup. Pelik juga dia bila mana Habib tiba-tiba muncul di hadapannya sebagai penyelamat. Jika tidak, memang sah-sah dia terus jadi mangsa 'buli' Qayyum.

"Eh...mestilah abang tahu. Abang kan ada magis? Sufi pergi mana pun abang boleh tahu tau!" Habib tergelak-gelak mengusik Anom. Gelaknya semakin panjang melihat muncung Anom sudah bertukar jadi muncung burung enggang.

Sebenarnya tadi, Habib sengaja datang menjemput Anom balik. Kematu jugalah punggungnya duduk di bangku perhentian bas di hadapan fakulti Anom. Habis semua siswi yang lalu di hadapannya ditemu ramah untuk mencari Anom. Mereka semua kata Anom sudah pulang bersama teman rapatnya yang memandu kereta Mazda 3. Siapa lagi kalau bukan Emily?

Mujur ada yang melihat kereta Emily di hadapan Fakulti Kejuruteraan. Habib pun apa lagi teruslah ke sana. Dia datang tepat pada waktu Anom sedang 'diserang' Qayyum. Nasib baik ketika itu mata Anom belum sempat banjir. Terlewat seminit tadi mesti sudah berladung kolam mata Anom dikerjakan Qayyum.

Pedih hati Habib melihat gadis yang tidak berdosa ini diperlakukan Qayyum begitu rupa. Sudahlah hati Anom disakiti, Qayyum hina lagi dengan mengatakan Anom macam sampah. Siapa yang tidak bengang? Kalau sudah tidak suka, tidak perlu Qayyum kutuk Anom macam-macam. Hisy! Marahnya naik ke kepala melihat perangai budak tidak cukup umur itu. Hendak sahaja dia hempuk kepala Qayyum biar budak itu serik.

Tetapi melihat muka Qayyum yang merah padam tadi Habib berasa puas. Walaupun tanpa dijentik sedikit pun dia berjaya juga buat budak kepala tiga suku itu rasa marah dan cemburu. Hah...padan muka!

"Apa pun terima kasihlah sebab tolong saya tadi," luah Anom malu-malu. Wajah lelaki di sampingnya yang selalu tenang itu dikerling dengan ekor mata. Memang hatinya ikhlas mengucapkan terima kasih kepada Habib. Kalau Habib tidak datang tepat pada waktunya tadi, entah apa akan jadi kepadanya. Mesti dia masih berdiri terpacak di situ macam orang bodoh dibuli bekas kekasih.

"Kasihmu diterima," balas Habib sambil tersenyum-senyum. "Lepas ni kalau putus cinta dan ditinggalkan kekasih, jangan rendahkan maruah diri sendiri dengan merayu-rayu orang tu supaya terima Sufi balik. Tu namanya kerja bodoh. Menangis pun tak perlu. Putus cinta tu tandanya dah tak ada jodoh. Kan abang dah cakap dulu? Jalan penyelesaiannya senang aje. Hah...cari aje orang lain." Habib mengutarakan pendapatnya. Dilayangkan senyuman semanis madunya kepada gadis di sebelahnya ini.

Terkebil-kebil mata Anom menelan nasihat Habib. Bisa telinga mendengarnya! Setakat bercakap dan memberi pendapat memanglah mudah bagi Habib. Dia ini yang memikul beban kesakitan itu. Dia ini yang masih muda remaja dan tidak pernah ada pengalaman bercinta sementelah Qayyum adalah cinta pertamanya. Jadi, tentulah sukar baginya mengawal emosi dan perasaan kecewa.

'Habib suruh dia cari lain?' Ada ke lelaki yang mahukan dia? Kalau ada pun mungkin yang spesisnya serupa Qayyum. Huh! Tidak mahulah dia lelaki bermulut manis begitu. Kalau ada rezekinya untuk bercinta lagi, biarlah dengan lelaki yang dapat menerima diri dia seadanya. Bukan berpura-pura menerima segala kekurangannya untuk dihina dan dicaci maki.

"Apa tujuan Datuk kata macam tu tadi?" Anom menyerbu Habib dengan soalan yang berlegar-legar di kepalanya sejak meninggalkan kawasan kampus tadi.

"Kata apa?" Habib buat-buat tidak faham. Keningnya sudah terangkat sebelah. Mata pula mengecil merenung muka Anom.

"Datuk jangan buat-buat tak faham pulak eh?" Anom naikkan jari telunjuk ke muka Habib. "Tadi tu yang Datuk cakap nak bertunang dengan saya tu, apa halnya?" Anom mengetap gigi sampai berkeriut melihat lagak Habib yang bersahaja. Bengangnya dia dengan sikap Habib yang suka mempermainkan kata-katanya.

Habib ketawa. "Abang saja cakap macam tu untuk buat budak tiga suku tu sakit hati."

Besar mata Anom Sufi mendengar Habib memanggil Qayyum dengan panggilan budak tiga suku. Rasa hendak ketawa pun ada tetapi ditahannya sedaya upaya. "Hmm...kenapa Datuk tak cakap nak kahwin terus dengan saya? Kan senang?" Dia mula buat loyar buruk dengan Habib. Sehabis bercakap baru dia terasa malu sendiri. Gatalnya dia kerana berani-berani bercakap gaya begitu dengan Habib. Buatnya pak cik seorang ini anggap serius kata-katanya, tidak ke haru?

"Betul ke? Boleh ke macam tu?" tanya Habib. Suara Habib sudah mula serius. Tidak main-main macam tadi.

"Boleh apanya?" Anom hairan. Dia pandang muka Habib yang beriak terkejut itu tepat-tepat. Habib ambil serius ke kata-katanya tadi? Ah, sudah! Ini memang betul-betul haru!

"Boleh ke kalau kita macam ni?" Habib merapatkan kedua-dua jari telunjuk kanan dan kirinya. Kemudian dia tersenyum lebar mengerling Anom.

Merah padam muka Anom dengan bahasa isyarat yang ditunjukkan Habib. Dia faham maksudnya. Hendak mengajak kahwinlah tu. Aduhai...pak cik seorang ni. Orang bergurau dianggapnya betul-betul! Anom menepuk dahi.

"Saya main-main ajelah tadi," jelas Anom perlahan. Tidak sanggup dia menentang anak mata Habib. Bertepek-tepek malu di muka dia ni!

"Tapi abang serius," balas Habib selamba bersahaja.

"Hah?" Suara Anom sudah naik satu oktaf. Terkejut! Dia mula memegang-pegang cuping telinganya. Takut tersilap dengar.

"Apa hah? Pekak eh? Balik nanti pergi korek telinga tu," seloroh Habib. Dia ketawa sambil mengerling manja muka Anom.

Anom memuncung mendengar Habib mengatanya pekak. Bibirnya sudah serupa muncung burung enggang. Dia bukannya tidak mendengar tetapi reaksinya tadi lebih kepada rasa tidak percaya. Ya ke Habib hendak kahwin dengan dia? Macam tidak logik! Pantas Anom menggeleng-gelengkan kepala.

Ketawa Habib melihat reaksi Anom yang sekejap memuncung sekejap menggeleng. Gelisah semacam nampaknya gadis itu. Muka bulat Anom pula tidak usah cakap, merah macam buah strawberi. Comel sahaja dia menengok tingkah Anom yang begitu. Alahai...geramnya dia. Kalau Anom itu isterinyanya, sudah lama pipi gebu itu dicubit-cubitnya.

"Kenapa Sufi nampak terkejut?Tak boleh ke abang kahwin dengan Sufi?" tanya Habib, mahu mengorek isi hati Anom.

"Memang tak boleh!" jawab Anom kasar.

"Kenapa pulak tak boleh?"

"Sebab...sebab...alah...banyak sebabnyalah!"

"Banyak sebabnya? Okey...abang tak nak banyak-banyak. Cukup kalau Sufi beri abang tiga sebab kenapa abang tak boleh kahwin dengan Sufi." Habib menyakat Anom lagi. Terasa seronok pula berbual dengan Anom kisah kahwin-kahwin macam ini. Seronok melihat muka Anom merah padam menahan malu.

Mengeluh Anom Sufi. Habib ni tidak sudah-sudah dengan tiga sebabnya. Pantang cakapnya dibantah, mulalah Habib menyuruh dia beri alasan macam-macam. Sudah macam berbahas di Dewan Parlimen pula. Pun begitu, mindanya ligat mencari jawapan kepada pertanyaan Habib.

Mengapa Habib tidak boleh berkahwin dengan dia? Sebab paling utama ialah mereka langsung tidak sepadan. Habib sudah lanjut usia sedangkan dia masih muda belia. Perbezaan umur mereka hampir 15 tahun. Bahagia ke perkahwinan mereka nanti?

Sekarang pun mereka saling berbeza pendapat dalam banyak hal. Apatah lagi jika sudah hidup bersama kelak pastinya ada sahaja perkara yang mereka perdebatkan. Sebab yang kedua pula ialah...apa ya? Hisy! Malaslah dia hendak fikir. Dia pun bukannya benar-benar hendak berkahwin dengan Habib.

"Yang Datuk tu pulak kenapa nak sangat kahwin dengan saya? Ada ramai lagi perempuan yang menunggu Datuk kat luar tu." Bagi mengelak dia disakat Habib lagi, Anom Sufi pusingkan pokok persoalan kepada diri Habib pula.

Habib berjeda seketika mendengar pertanyaan Anom. Mengapa dia mahu berkahwin dengan Anom? Bukan dia tidak tahu begitu besar jurang antara dia dengan Anom Sufi. Namun, entah mengapa hanya dengan Anom hatinya melekat macam kena gam. Apabila berada dekat Anom, hatinya sentiasa berbunga-bunga seperti berada dalam taman. Berada di samping Anom, hatinya terasa muda remaja bagaikan insan baru belajar bercinta. Dan sebab yang paling penting, mengenali Anom membuatkan dia sering terkenangkan Yana.

Yanakah penyebab dia mahu hidup bersama Anom? Habib tidak pandai menganalisa hatinya sendiri. Bila bersama Anom, dia selalu merasakan Yana ada dalam diri gadis itu. Mungkin sebab wajah mereka yang seiras bagaikan adik-beradik kembar. Macam copydan paste pun ya juga. Justeru, dia menganggap Anom Sufi itu adalah bayang-bayang Yana. Tetapi, betulkah niatnya berkahwin dengan Anom hanya kerana Anom Sufi itu mirip Yana?

Pasti umi dan abi terkejut besar apabila berita ini sampai di telinga mereka. Bukan umi dan abi sahaja, adik-adiknya, Hawa dan Husna juga tentu melopong mulut tidak percaya. Entah-entah mereka akan kata dia hilang akal kerana mengambil Anom Sufi jadi isterinya. Yalah, Anom itu kan masih 'berhingus'? Entah pandai entah tidak memasak. Entah-entah goreng telur pun hangus. Hmm....hendak buat macam mana? Hanya dengan budak 'berhingus' inilah hatinya terbuka untuk berumahtangga.

Ah! Tidak dapat tidak, Anom Sufi mesti jadi isteri Datuk Habib Iqmal!

"Sebab abang rasa abang dah jumpa jodoh abang. Sufilah orangnya yang bakal jadi tulang rusuk kiri abang. Kita kahwin ya, Sufi?" Habib memandang lagi wajah gadis di sebelahnya. Pandangannya lembut. Merayu. Memohon.

Anom tidak terkata. Tubuhnya terasa keras kejung di atas kerusi. Mulutnya bagaikan terkunci. Muka pucat tidak berdarah. Kepala tidak semena-mena terasa hendak pitam. Habib melamarnya? Oh...dia terasa mahu pengsan!

"Hujung minggu ni abang akan datang rumah Sufi sampaikan hajat abang pada papa dan mama. Lepas tu hujung minggu depan abang bawa Sufi jumpa umi dan abi abang pulak. Kita dapatkan restu mereka semua, ya Sufi?"

Suara Habib beralun lagi. Lembut dan lebih romantis daripada tadi. Namun, Anom Sufi sudah tidak begitu mendengarnya. Kata-kata papa kembali terngiang-ngiang di telinganya.

"Papa senang aje. Kalau Datuk Habib dah berkenan dengan anak dara papa ni, papa terima aje. Suka papa dapat menantu jutawan macam dia. Papa pun boleh tumpang senang."

Itu kata-kata papa yang Anom Sufi masih ingat sampai sekarang. Sekarang sudah terbukti mulut papa memang 'masin'. Jadi sekarang, belum pun Habib meminta restu, Anom sudah tahu jawapan papa. Tentulah papa bersetuju dengan hasrat Habib. Dan bila papa sudah bersetuju, mama sudah pastilah mengikut sahaja. Abang Syahid pula Anom sudah boleh membayangkan reaksinya. Tentu terlompat-lompat suka macam terjumpa harta karun Kesultanan Melaka.

Namun, masalahnya sekarang sudikah dia menjadi isteri Datuk Habib Iqmal dan menjadi Datin Anom Sufi? Entah! Mindanya seperti gagal berfungsi. Sudah tidak boleh berfikir apa-apa lagi.


Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.