"KENAPA
tiba-tiba aje abang nak kahwin dengan Sufi? Abang kenal dia belum sampai
sebulan kan?"
Sebaik
sahaja Habib majukan niat mahu menjadikan Anom Sufi suri hidupnya, dia terus
diterpa soalan umi. Soalan yang sudah dijangka. Oleh itu, jawapannya pun sudah dia
sediakan di kepalanya.
"Ya,
umi. Memang abang baru aje kenal Sufi, tapi abang rasa macam dah lama kenal
dia. Bagi abang dialah gadis terbaik untuk abang." Habib menjawab soalan
umi dengan cukup berhemah.
"Hmm...yalah
tu. Entah-entah ada sebab lain abang nak jadikan dia isteri abang," perli
Hawa sambil mencemik muka.
Syed
Aidil yang duduk di sebelah Hawa sudah memandang Habib lain macam. Tentu sahaja
dia berkomplotdengan isterinya dengan
menganggap Habib punya muslihat tersendiri untuk berkahwin dengan Anom Sufi.
Bukan dia tidak kenal Habib.
Sejak
bersekolah rendah mereka sudah berteman rapat sampaikan kisah luar dan dalam
Habib, dia tahu. Sejarah percintaan Habib dan Yana yang terputus di tengah
jalan 12 tahun lalu, sudah termasuk dalam diari kehidupannya. Dalam masa 12
tahun itu, dialah tempat Habib meluahkan segala rasa yang terpendam di jiwa.
Agaknya kalau dia berbakat menulis, sudah lama dia bukukan kisah cinta Habib
yang pilu meruntun jiwa itu.
Habib
tetap tenang di kerusinya. Memang sudah diduga sejak awal, itulah tentangan
yang bakal dihadapi daripada ahli keluarganya. Justeru, dia tidak boleh cepat
melatah. Dia sedar mengahwini Anom Sufi bukanlah sesuatu yang mudah. Ianya
berkait rapat dengan sejarah pahit masa lalunya. Berkait rapat dengan Yana. Respon
negatif yang ditunjukkan ahli keluarganya pastilah berpunca daripada percintaannya
dengan Yana yang tidak kesampaian.
"Abang
ikhlas nak jadikan dia isteri abang..."
"Bukan
sebab abang nak kahwin dengan dia sebab muka dia seiras Kak Yana ke?" Hawa
memintas jawapan Habib dengan muka berkerut seribu.
Habib
diam. Ulasan Hawa itu memang tidak boleh disanggahnya. Dia tidak boleh menipu
orang lain apa lagi diri sendiri. Secara jujurnya, memang itu tujuan dia ingin
berkahwin dengan Anom Sufi. Tetapi, apa salahnya? Berdosakah dia berkahwin
dengan Anom kerana Anom itu seiras Yana? Rasanya, tidak termaktub dalam
mana-mana ayat Al-Quran atau Hadis yang mengatakan perkara itu haram hukumnya.
Jadi, dia sememangnya tidak bersalah dalam hal ini.
"Kalau
abang nak kahwin dengan Sufi sebab teringatkan Yana, umi tak izinkan,"
bantah Puan Sri Sarah. Dia memang tiada kompromi dalam hal ini. Melainkan jika
Habib sudah berbincang tentang itu terlebih dahulu dengan Anom Sufi.
Namun,
sudah ke Habib ceritakan pasal Yana kepada Anom? Rasa-rasanya belum. Melihat
muka Habib yang nampak keliru, dia sudah tahu itulah yang berlaku.
"Abi
tak melarang abang. Yang nak kahwin sekarang ni abang, bukan orang lain. Tapi abang
dah habis fikir ke? Dah buat solat istikharah?" tanya Tan Sri Bakri
lembut. Dia memang selalu tenang dan lembut dalam tutur kata. Perwatakannya itu
menurun kepada Habib dan anak bungsunya, Husna manakala Hawa lebih banyak
mewarisi sikap isterinya yang agak keras.
"Dah,
abi." jawab Habib.
"Buat
berapa kali?" Puan Sri Sarah pula bertanya.
"Baru
dua kali."
"Baru
dua kali, abang?" Puan Sri Sarah sudah membesarkan mata.
Habib
diam. Memang baru dua malam dia bersolat istikharah. Macam mana hendak buat
banyak-banyak kali? Baru dua hari dia memasang niat hendak menjadikan Anom
isterinya. Jadi, logiklah jika dia hanya dapat buat dua kali.
"Ada
apa-apa petunjuk?" soal Tan Sri Bakri.
"Err...belum
lagi," kata Habib semacam mengeluh. Dia belum menerima apa-apa alamat dan
petunjuk daripada ALLAH. Dia ada bermimpi tetapi tidak pernah mimpikan Anom. Tetapi
sejak berniat ingin mengahwini Anom, hatinya lebih cenderung ke arah itu. Malah
rontaan hatinya kian hari kian kuat sehinggakan ketika makan dia ingat Anom, hendak
tidur pun dia ingat Anom. Sepanjang saat dan ketika dia ingat Anom. Hidupnya
memang sudah parah sejak mengenali Anom. Memang kuat pengaruh Anom Sufi ke atas
dirinya sekarang ini.
Setahunya,
petunjuk yang diberi ALLAH bukan setakat dalam mimpi sahaja tetapi juga
daripada gerak hati. ALLAH telah menggerakkan hatinya untuk memikirkan Anom,
maka Anomlah yang bakal jadi suri di hatinya. Itulah tekadnya.
"Baru dua kali abang beristikharah. Dah
tu tak dapat apa-apa petunjuk. Macam mana abang boleh kata Anom yang terbaik
untuk abang?" tanya Puan Sri Sarah tidak puas hati.
"Petunjuk
tu boleh juga datang daripada gerak hati, umi. Hati abang berat mahukan
dia."
Puan
Sri Sarah mengeluh. "Umi tak mahu abang buat keputusan tergesa-gesa. Umi
nak abang terus buat solat istikharah. Selagi tak ada apa-apa petunjuk, umi tak
benarkan abang kahwin dengan Sufi. Buka mulut kata nak masuk meminang pun tak
boleh." Dia meninggikan suara sedikit hanya bertujuan untuk menggertak
Habib.
Sebenarnya
dia bukan tidak sukakan Anom cuma tujuan Habib hendak berkahwin dengan anak
dara Datin Raihana itu yang membuatkan dia pening kepala. Namun, jika sudah
jodoh Habib dengan Anom Sufi, dia reda.
"Abang
dah pun jumpa papa Sufi tadi. Abang dah sampaikan niat abang pada dia,"
beritahu Habib tanpa rasa bersalah. Lebih baik dia berterus-terang sekarang
daripada terus berselindung. Tidak mahu kecoh-kecoh belakang hari.
"Abang
dah jumpa papa dia?" Mata Puan Sri Sarah terbelalak. Besar macam mata ikan
jerung.
Habib
terdiam. Terkedu melihat reaksi umi. Malah bukan sahaja umi yang terkejut. Abi,
Hawa, Syed Aidil dan Husna juga sudah memandang dia lain macam. Muka
masing-masing berkerut macam muka orang tua berumur 100 tahun. Keliru dia
dibuatnya. Apakah dia terlalu cepat membuat keputusan?
"Apa
kata Datuk Adman?" Tan Sri Bakri mengambil
alih sesi menyoal daripada isterinya.
"Mulanya
susah juga papa Sufi nak beri keizinan. Tapi akhirnya dia setuju bila abang
yakinkan dia sungguh-sungguh," jawab Habib jujur.
"Mestilah
dia setuju. Bodohlah kalau dia menolak abang. Dia pun tentu suka kalau anak dia
dapat kahwin dengan abang. Dapat si Anom Sufi tu pangkat Datin. Huh! Dengan
budak tak cukup umur tu pun abang nak kahwin. Macam tak ada orang lain."
Hawa bertingkah separuh mendengus.
"Hawa!"
Pic suara Tan Sri Bakri naik tiba-tiba. Mata sudah terjegil merenung muka Hawa.
Dia memang jarang-jarang memarahi anak-anaknya tetapi sikap Hawa yang sering kali
mempunyai pandangan negatif terhadap orang lain betul-betul membuatkan hatinya
tersentap.
Hawa
mati kata. Muka sudah berubah. Malu apabila ditegur abi di hadapan ahli
keluarga lebih-lebih lagi suaminya. Akhirnya dia mendiamkan diri dengan muka
mencuka macam asam kelubi.
"Hmm...kalau
macam tu kenalah kita buat secara beradat. Bila abang bercadang nak masuk
meminang Sufi?" tanya Tan Sri Bakri sekali gus membuat keputusan untuk
Habib.
Kata-kata
abi membuatkan hati Habib berdebar-debar. "Abang tak fikir lagi pasal tu. Err....abi setuju
ke?" Habib menguatkan hati untuk bertanya. Perkara besar macam ini elok
dapat pengesahan betul-betul. Buatnya abi hanya bergurau, meranalah dia.
"Perkara
elok takkanlah abi nak halang. Mungkin dah sampai jodoh abang. Cuma abi nak
nasihatkan abang, bila dah jadi suami nanti, jaga Sufi elok-elok. Muda lagi si Sufi
tu. Orang muda ni banyak kekurangannya. Tak berapa matang. Jadi, tanggungjawab
abang nanti untuk membimbing Sufi supaya menjadi isteri yang baik. Jangan
biarkan dia sendiri bawa haluan hidup dia. Berdosa abang nanti." Panjang
lebar nasihat Tan Sri Bakri buat anak sulungnya.
"Abang
faham, abi." Habib menganggukkan kepala macam burung belatuk. Dia memahami
pesanan abi yang mahukan dia mendidik Anom agar menjadi wanita solehah. Mungkin
abi pun tahu Anom Sufi itu jenis perempuan macam mana. Tidak mengapalah. Dia
akan jadikan pesanan abi sebagai satu cabaran. Nasihat abi akan tersemat di
kepalanya sampai bila-bila.
"Insya-ALLAH
nanti kita bincangkan tentang hal peminangan ni. Tak boleh buat suka-suka hati.
Kena juga ajak saudara-mara untuk bincang sama," putus Tan Sri Bakri
sambil menarik nafas.
Terdiam
umi, Hawa dan Syed Aidil mendengar ujaran abi. Husna yang sedari tadi mendiamkan
diri terus mengunci mulut. Apabila abi sudah guna kuasa vetonya, yang lain
seeloknya usah menyanggah. Keputusan abi melambangkan suara semua kerana abi
adalah ketua keluarga.