Home Novel Cinta Asam Pedas Untuk Dia
Asam Pedas Untuk Dia
7/1/2015 15:43:21
601,341
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 23

Pulang dari pejabat petang itu, Ziyad lihat Ainin masih berada di dapur. Sedang sibuk memasak. Tangannya lincah menumbuk cili padi di dalam lesung batu. Entah lauk apa yang hendak dimasaknya.

“Awak tak balik lagi?” tegur Ziyad sambil melonggarkan ikatan tali lehernya.

“Belum lagi. Puan hajah minta saya balik lepas maghrib,” jawab Ainin. Memandang sekilas ke arah Ziyad, kemudian kembali fokus pada tugasnya.

“Kenapa?” tanya Ziyad hairan. Tidak pernah-pernah umi menyuruh Ainin balik lewat. Apa halnya? Ada apa-apa yang tidak kenakah? Hatinya mula cuak.

“Puan hajah beli ikan patin. Dia suruh saya masak asam tempoyak,” jawab Ainin tanpa memandang Ziyad.

“Umi suruh awak masak? Apa siang tadi awak tak masak ke?” soal Ziyad. Pelik dengan arahan umi yang tiba-tiba.

“Saya dah masak. Saya masak ikan bakar aje. Tapi puan hajah dah beli ikan patin tu. Nak simpan dalam peti ais, takut bila masak nanti dah tak sedap. Jadi saya masak terus. Tak apalah, bukannya lama pun masak ni.”

Ainin sudah berhenti menumbuk cili padi. Semua ramuan untuk memasak ikan patin gulai asam tempoyak dimasukkan ke dalam periuk bertangkai sederhana besar. Tidak lama kemudian periuk cantik itu sudah tertenggek di atas dapur.

Sambil menanggalkan butang di bahagian kolar baju kemejanya, Ziyad memerhati gerak-geri Ainin yang cukup lincah. Tidak kekok langsung mengurus tugas-tugas di dapur.

“Ainin, hari minggu ni boleh tak awak kerja lebih masa?” pinta Ziyad lembut. Untuk memohon jasa baik Ainin bertugas di hari minggu, dia kena bercakap dengan sopan dan lemah lembut. Tidak boleh main sergah saja. Dia sudah faham dengan perangai Ainin yang agak sensitif. Mudah benar hati wanita itu tercuit apabiladia bercakap kasar dengannya.

“Ada apa, Encik Ziyad?” tanya Ainin, mendongak memandang Ziyad yang sedang berdiri hampir dengannya. Lebih baik dia menyelidik dulu sebelum menjawab setuju.

“Ada tetamu istimewa nak datang. Saya nak minta awak masakspecial sikit,” terang Ziyad dengan mengulum senyuman, cuba mengambil hati wanita itu.

Tetamu istimewa? Siapa gerangannya? Kawan-kawan Ziyad atau teman wanitanya yang bernama Shafinaz tu? Minda Ainin tidak henti-henti meneka. Namun, melihat dari riak pada wajah Ziyad yang asyik tersengih-sengih dari tadi, tidak dijelaskan pun, dia sudah dapat mengagak siapa orangnya. Siapa lagi kalau bukan buah hati intan payungnya!

“Nak masak apa?” soal Ainin acuh tak acuh.

“Awak tahu masak nasi beriani?”

“Bolehlah sikit-sikit.”

“Awak masak nasi beriani kambing. Eh, ayam sekali ya? Sebab saya suka kambing tapi tetamu yang nak datang tu pulak suka ayam. Jadi awak masaklah dua-dua sekali,” pinta Ziyad dengan wajah selambanya.

Amboi, banyak pula pesanannya! Macamlah aku ni tukang masak restoran mamak, rungut Ainin jauh di sudut hatinya. Namun, dia tetap mengangguk tanda akur dengan arahan Ziyad dan kemudian menyepikan diri.

Ziyad yang memandang tingkah laku Ainin berasa hairan. Ainin langsung tidak bertanya siapa tetamu yang akan datang. Dia benar-benar tidak ambil kisahkah?

“Awak tak nak tahu siapa yang akan datang?” soalnya tenang.

“Tak payah tanya. Saya dah tahu,” jawab Ainin bersahaja.

“Awak dah tahu? Siapa?” Ziyad inginkan kepastian.

Ainin diam. Tidak kuasa melayan Ziyad.

“Jadi awak dah dapat agak. Awak tak kisah ke?” Sengaja Ziyad menguji hati Ainin.

“Kenapa mesti saya ambil kisah? Bukan ke dah termaktub dalam perjanjian, saya tak boleh ambil peduli segala urusan Encik Ziyad? Encik Ziyad berhak lakukan apa saja... keluar dengan perempuan mana pun yang Encik Ziyad suka... saya tak berhak untuk masuk campur. Betul tak?” ulang Ainin sambil tersenyum sinis memandang Ziyad.

“Ya, betullah tu,” kata Ziyad perlahan dan terus keluar dari dapur. Melangkah ke tingkat atas mahu mengejar waktu solat asar yang hampir tiba ke penghujungnya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.