"KENALKAN,
ni adik abang, Hawa. Sufi boleh panggil dia Kak Hawa." Habib mengenalkan
Anom kepada adik perempuannya yang duduk paling hampir dengannya.
"Hai!
Saya Ann. Err...Anom Sufi." Anom menghulurkan tangan. Keliru pula mahu
mengenalkan diri sebagai Ann atau Sufi. Sudahnya, dia sebut nama penuhnya.
"Assalamualaikum,"
jawab Hawa ringkas. Tangan Anom dicapai tetapi pantas dilepaskan semula.
Kemudian dia terus memandang ke arah lain.
Terkulat-kulat
Anom berdiri di hadapan Hawa. Bengangnya dia apabila orang balas kata-katanya
dengan ucapan salam. Namun, sempat juga matanya meneliti penampilan Hawa.
Orangnya
tinggi lampai, berjubah labuh dan bertudung litup. Kulitnya macam Habib juga putih
kemerahan. Wajahnya pun ada iras-iras Habib. Cantik tetapi ada sesuatu yang
kurang di wajahnya. Kurang manis.
Pertama
kali bertemu Hawa, Anom bagaikan dapat meneka yang adik Habib ini kurang
peramah orangnya. Cara Hawa memandang dia tadi seolah-olah macam ternampak
hantu raya. Sampai terjojol biji matanya. Sudahlah begitu, Hawa langsung tidak
mahu senyum. Penat dia tersengih-sengih macam kerang busuk tetapi langsung
tidak dilayan. Eleh...dia pun tak kisahlah kalau orang tidak mahu balas
senyumannya. Tidak hairan langsung!
"Dan
yang ni pula husband Kak Hawa, Syed
Aidil." Habib mengenalkan pula lelaki yang berdiri di sebelah Hawa. Tampan
orangnya. Padanlah dengan Hawa yang cantik.
Anom
menghulurkan tangan mahu bersalaman dengan Syed Aidil. Tetapi, huluran
tangannya langsung tidak bersambut. Malah Syed Aidil hanya tersenyum-senyum
memandang wajahnya.
Apa
hal pula ni? Anom naik hairan. Muka pula terasa tebal dek perasaan malu yang
bertepek-tepek. Salamnya tidak bersambut tentulah dia rasa malu. Nampak sangat dia
yang terhegeh-hegeh hendak bersalaman dengan Syed Aidil.
"Perempuan
tak boleh bersentuhan kulit dengan lelaki yang bukan mahram. Haram hukumnya,"
bisik Habib di telinga Anom.
Terkedu
Anom jadinya. Ya ke? Patutlah Syed Aidil tidak menyambut tangan dia. Ooh...malunya
dia. Macam manalah dia boleh terlupa pasal itu? Dahulu, di sekolah, ada juga
dia belajar tentang hukum bersalaman dengan orang yang bukan mahram dalam
subjek Pendidikan Islam. Tetapi biasalah, dia bukannya ambil kisah pasal
hukum-hakam agama. Semuanya dia main langgar sahaja.
Sesudah
bergelar mahasiswi pun dia tetap bersikap macam itu. Dengan teman-teman lelaki,
bertepuk-tampar sudah jadi perkara biasa. Tidak pernah ada yang menegurnya dan
mengatakan perkara itu berdosa di sisi agama. Sebab itu dia terus jadi muslim
yang 'pelupa'.
Oh...patutlah
Anom Sufi lihat muka Hawa merah padam tadi. Tentu Hawa fikir dia sengaja mahu
menggoda suaminya dengan bersalam-salaman bagai. Aduhai....malam ini sahaja
sudah dua kali dia ditimpa malu. Tebal berinci-inci jadinya muka dia!
"Aidil
ni bestfriend abang sejak zaman
sekolah dulu. Sekarang dah naik pangkat jadi adik ipar pulak." Tanpa
ditanya, Habib menjelaskannya kepada Anom.
"Oh..ya
ke?" Anom tersenyum dan mengangguk-angguk dengan perasaan malu masih belum
hilang dari mukanya.
Namun
apa yang Anom perasan, sejak mereka diperkenalkan, Syed Aidil tidak lepas-lepas
memandang mukanya. Selepas itu dia nampak mata Syed Aidil berlawan pandang
dengan mata Habib. Mereka berdua main angkat-angkat kening kemudian
angkat-angkat bahu. Macam ada yang tidak kena. Hisy! Hendak sahaja dia tanya
Habib tentang kelakuan pelik mereka berdua. Manalah tahu ada yang tidak kena
pada penampilannya yang membuatkan Syed Aidil tidak puas hati.
"I
pulak adik yang bungsu, Husna. Panggil I Una aje. Nice to meet you, Sufi." Gadis yang berdiri di sebelah kanan
Habib pula memperkenalkan diri. Ditariknya tangan Anom untuk bersalaman.
Kemudian bahu Anom pula dipaut. Pipinya dilaga-lagakan dengan pipi Anom. Mula-mula
sebelah kanan kemudian berpindah ke kiri. Huh...lemas Anom dibuatnya.
"Err...nice to meet you too, Una," balas
Anom. Tersengih malu.
"Sufi
kena panggil Kak Una. Adik-adik abang ni semuanya lebih tua daripada Sufi,"
jelas Habib.
Anom
tersenyum. Memang pun muka mereka semua nampak lebih tua daripada dia yang
masih muda remaja ini. Ewah! Dia sudah mula perasan sendiri.
"Terkejut I nampak you tadi. Ingatkan Kak
Yana. Muka you sebiji macam Kak Yana. You ni...."
"Hmm...hmm."
Kata-kata
Husna terhenti apabila mendengar Habib berdehem. Husna pandang muka abangnya,
menghantar isyarat tanya. Mencerlung mata Habib memaku pandangan ke mukanya
bagaikan memberi amaran. Masamnya muka Habib bagaikan sedang tertelan buah
kedondong muda. Terus mati kata-kata Husna dengan mata terkebil-kebil. Terkejut
melihat si abang bereaksi begitu.
Anom
memerhatikan sahaja gelagat kedua beradik itu dengan minda yang sarat dengan
tanda tanya. Yana? Rasa-rasanya itulah nama yang disebut Husna tadi. Husna kata
muka dia macam Yana. Siapa Yana?
"Kak
Una ni macam abang juga, kerja makan gaji dengan abi abang. Kak Hawa ada bisnes
sendiri, sama macam Abang Aidil." Tanpa ditanya Habib menjelaskannya
kepada Anom.
Cepat
sahaja Habib mengubah topik perbualan. Bimbang topik tentang Yana itu disentuh
Husna lagi. Tadi berderau juga darahnya apabila Husna menyebut nama Yana di
hadapan Anom. Mujur dia cepat mencantas. Namun, cuak juga dia melihat Anom
sudah membulatkan mata macam terkejut mendengar cerita Husna. Janganlah Anom
bertanya apa-apa pasal Yana. Dia belum bersedia menghamparkan kisah itu kepada
Anom.
"Tadi
Sufi kata nak balik kan? Nak abang hantar?" Habib yang belum hilang
gemuruhnya cepat mahu membawa Anom pergi dari situ. Bimbang sungguh jika cerita
tentang Yana timbul lagi.
"Tak
apalah, Datuk. Saya nak balik dengan mama," jawab Anom. Baginya, tidak ada
sebab untuk Habib menghantar dia pulang. Tadi dia datang dengan mama, jadi
bersama mama jugalah dia akan pulang.
"Kalau
macam tu, tak apalah. Jom...abang temankan Sufi jumpa mama," ajak Habib.
"Ooh....okey!"
Anom patuh.
Timbul
rasa hairan di hati Anom melihat Habib baik semacam sampaikan mahu menemaninya
ke mana-mana. Mengalahkan bodyguard
dia pula. Habib sudah putus satu urat dalam otaknya ke? Atau ada skru dalam
kepala Habib yang sudah longgar? Hmm...malas Anom mahu memikirkan tentang
perangai tidak betul Habib. Layankan sahajalah.
"SEMALAM
aku jumpa Qay kat One Utama. Dia baru keluar dari GSC." Keluar sahaja dari
dewan kuliah, Emily terus menerpa ke arah Anom. Tujuannya mahu mengadu tentang
Qayyum, teman lelaki Anom Sufi.
Bersahaja
muka Anom memandang Emily. Tidak teruja langsung mendengarnya. Bukan sekali dua
Emily mengadu pasal Qayyum. Sudah kerap kali. Balik-balik Emily bercerita kisah
Qayyum keluar dengan siswi Tahun Satu yang sama kursus dengan buah hatinya itu.
Sampai kadang-kadang dia jadi bosan mendengar cerita yang entah benar entahkan
tidak itu.
"Dia
dengan siapa?" Anom bertanya endah tak endah.
"Dengan
siapa lagi? Dengan Miza, budak Tahun Satu tulah," perjelas Emily penuh
yakin.
Berkerut
dahi Anom memandang Emily. Tahu pula Emily nama budak perempuan yang dikaitkan
dengan Qayyum itu. Emily pergi bertanya sendiri atau upah agen-agen perisik
untuk mengorek rahsia tentang Qayyum? "Macam mana pulak kau boleh kenal
dia?" soal Anom dengan mata mencerlung.
"Aku
korek dari Fitri." Emily menjawab penuh bangga. Bangga kononnya kerana
mengetahui rahsia itu terlebih dahulu daripada Anom.
Mati
kutu Anom. Jika Fitri, teman rapat Qayyum yang menjadi pakar rujuk Emily, dia
memang tidak boleh kata apa-apa. Sudah pastilah apa yang dijaja Emily dan
teman-teman lain tentang Qayyum benar belaka. Jika tidak, mana mungkin Fitri
tahu pasal itu? Ini sampai budak perempuan itu pun Fitri kenal. Kalau kesnya
tidak serius, takkanlah Fitri sanggup mengaitkan budak Miza itu dengan Qayyum?
Itu memfitnah namanya.
Kenyataan
baru ini tiba-tiba sahaja membuatkan Anom sesak nafas!
"Mulanya
Fitri tak nak bagitahu. Banyak kali aku tanya, tapi dia tak nak cakap. Akhirnya
aku kelentong dia, cakap yang kau sebenarnya dah pernah nampak Qay dengan budak
perempuan tu. Nak tak nak, Fitri terpaksa cakap," sambung Emily
bersungguh.
"Entah-entah
budak perempuan yang kau nampak tu adik Qay ke atau sepupu dia. Memandai aje
kau kata Qay ada affairdengan
dia." Pandai Anom menjawab untuk menyedapkan hati. Walhal hati sendiri
sudah tunggang-langgang bagaikan dipukul Taufan Katrina.
"Adik
apanya kalau keluar panggung wayang berpegang-pegang tangan? Kau dengan abang
kau ada buat macam tu ke?" Pantas Emily menujah Anom dengan jawapan
lancangnya.
Berpegangan
tangan? Bisanya hati Anom mendengarnya. Tidak menyangka sampai begitu sekali
perlakuan sumbang Qayyum di belakangnya. Kalau sudah sampai berpegangan tangan,
memang sah Qayyum ada apa-apa dengan budak perempuan itu. Sudah tentu hubungan
itu bukannya setakat hubungan saudara. Dia dengan Abang Syahid pun tidak buat
macam itu semenjak mereka sama-sama dewasa. Waktu kecil-kecil dulu lainlah.
"Nama
aje pakai tudung, tapi perangainya mengalahkan kita ni. Gatal betul!"
bebel Emily dengan mulut terherot-herot mengata si Miza, teman wanita rahsia
Qayyum.
Anom
diam mendengar. Ingin sangat dia mengenali gadis bertudung yang dapat menawan
hati Qayyum. Emily kata gadis itu cantik dan lemah lembut. Pakaiannya pun
sopan. Bukan macam dia yang kasar dan gemar berpakaian menyerupai lelaki.
Kasih
Qayyum sudah beralih kepada yang lain ke? Anom menyoal dengan hati terbuku. Tiba-tiba
sahaja dia takut sangat kehilangan Qayyum!
"Kau
kena tanyakan hal ni pada Qay. Takkan selama-lamanya kau nak biarkan Qay pijak
kepala kau?" Emily masih belum berhenti memetir.
"Aku dah tanya dia..." Setakat itu
sahaja jawapan Anom. Dia bukannya bodoh mahu membiarkan persoalan itu
selama-lamanya tidak dijawab Qayyum. Tetapi, Qayyum yang tidak mahu
berterus-terang. Ada kalanya Qayyum bagaikan mengelak daripada membicarakan soal
itu. Habis, dia mahu buat apa lagi? Paksa Qayyum? Dia belum terfikir sampai ke
situ. Walaupun dia brutal, paksa
memaksa orang belum termasuk dalam agenda akalnya.
"Habis
dia cakap apa?" tanya Emily, kasar sedikit.
"Dia
tak mengaku. Dia kata aku yang suka dengar cakap orang." Anom menjawab
tanpa memandang Emily.
"Mesti
dia mengata aku yang suka bawak mulutlah tu. Mesti nak balas dendam kat aku.
Hari tu kan dia dah kena sebiji dengan aku." Emily merengus dengan benak
menghimbau kembali detik-detik berdepan dengan Qayyum di hadapan GSC di
kompleks membeli-belah One Utama. Memang teruk Qayyum kena penangan kata-kata
kesatnya.
Anom
diam sahaja mendengar Emily melepaskan peluru berpandunya. Hatinya yang sebal
dengan kerenah Qayyum membuatkan bibirnya memberat. Hilang mood mahu membalas tuduhan Emily.
"Takkanlah
dia nak mengaku buta-buta aje? Dia tu memang pandai putar belit. Memang dasar
buaya tembaga. Kau tu pulak lembik sangat. Percaya aje apa kata dia,"
bidas Emily kemudian, melepaskan amarahnya kepada Anom pula.
Terkebil-kebil
mata Anom memandang muka teman baiknya. Tidak pasal-pasal dia pula menjadi
sasaran cercaan Emily. Ini siapa pula yang terkena serangan puting beliung? Dia
atau Emily?
"Balik
ni kau terus pergi jumpa Qay. Kau tanya dia betul-betul. Hisy! Geram akulah
dengan perangai si buaya darat ni. Dah buat salah, tak nak mengaku. Pandai
pulak mengata aku yang memandai bawak mulut!" Tidak habis-habis lagi Emily
merungut. Dia sememangnya panas baran orangnya. Melebihi Anom. Janganlah orang
cari pasal dengan dia. Memang orang itu akan kena tembak berdas-das.
"Yalah...nanti
aku call dia tanya pasal ni."
Tidak mahu melihat Emily terus-terusan naik angin, Anom pantas mencari jalan
penyudah.
"Jangan
call aje. Dah tentulah dia mengelak.
Silap-silap, panggilan kau tu langsung dia tak angkat." Pandai pula Emily meramalkan
apa tindakan Qayyum nanti.
"Okey,
habis tutorial petang ni, aku tunggu dia depan dewan kuliah," balas Anom
mengubah rancangan.
"Hah...tu
baru betul. Nanti aku temankan kau."
Tanpa dipinta, Emily dengan rela hati menjadi bodyguard Anom. Apa sahaja yang berlaku nanti, dia yang akan
tangkis untuk Anom. Maklumlah, dia kan pemegang tali pinggang hitam? Nahaslah
Qayyum jika berani buat perkara bukan-bukan kepada teman baiknya ini.