USAI
menelefon Emily, Anom Sufi terus menekan nombor Qayyum. Lama juga baru
panggilannya dijawab buah hatinya itu.
"Hai,
Ann. Ada apa?" tanya Qayyum. Biarpun lembut, suara Qayyum laju macam
keretapi ekspres. Macam cepat-cepat ingin menamatkan perbualan. Seperti ada
sesuatu yang ingin dikejarnya.
Ann?
Mendengarnya, terasa luntur semangat Anom yang berkobar-kobar mahu mendengar
suara Qayyum. Selalunya, manis mulut Qayyum memanggilnya, sayang. Kini
panggilan sayang itu sudah bertukar jadi nama ringkasnya sahaja. Apa yang tidak
kena?
"Qay
tengah buat apa?" Anom berbasa-basi. Tidak mahu terus berkisar kepada
tujuannya menelefon Qayyum. Kenalah dia pusingkan topik perbualan agar dia
dapat bersembang lama sedikit dengan Qayyum.
"Qay
dengan geng ni. Ada discussion
sikit," kata Qayyum dengan suara agak perlahan. Kedengaran menggelabah
nada suaranya.
"Qay
ada dengan Fitri ya?" selidik Anom dengan suara agak kuat. Macam mana dia tidak bercakap kuat-kuat? Di
seberang sana, kedengaran bunyi muzik berdentum-dentam. Kalah bunyi petir. Discussion apanya dalam suasana bising
begitu? Hati Anom mula curiga.
"Err...ya!"
Suara Qayyum menjawab seperti tidak yakin dengan jawapannya sendiri.
Lega
Anom mendengar Qayyum menghabiskan masa bersama Fitri, teman sekuliah merangkap
teman baik buah hatinya itu. Dalam ramai-ramai teman Qayyum, cuma seorang dua
sahaja yang Anom kenal rapat. Salah seorang daripadanya ialah Fitri. Jadi
sekarang tidak perlulah dia risau Qayyum keluar dengan gadis lain seperti yang
dikepohkan teman-temannya.
"Ann
nak beritahu Qay, Ann tak jadi keluar malam ni. Ann ada hal lain." Anom
terus fokus kepada tujuan asalnya menelefon Qayyum.
"Oh...okey.
Tak apa. Qay pun ada kerja sikit malam ni," balas Qayyum kemudian ketawa. Riang
suaranya. Sekelip mata rentak suara Qayyum yang macam orang tertelan biji
durian tadi, sudah kembali ceria macam biasa. Peliknya?
"Kalau
macam tu, Ann jumpa Qay esok ya?"
"Okey!"
Belum
sempat Anom berkata apa-apa lagi, Qayyum sudah mematikan talian. Anom jadi
resah. Fikirannya bercelaru memikirkan fiil pelik Qayyum. Qayyum seperti
gembira tidak jadi keluar dengan dia. Apakah itu tanda-tanda hati Qayyum mula
dilanda puting beliung atau itu cuma firasat yang datang bertandang? Anom
pantas menarik nafas panjang.
"MAMA,
Ann tak nak lama-lama kat sini. Sebelum pukul 11.00 kita mesti balik. Ann
banyak kerja nak buat." Setibanya mereka di rumah Tan Sri Bakri, Anom
sudah berpesan begitu kepada mama. Risau jika mama bertandang ke rumah orang
lama-lama. Dia bukannya suka majlis-majlis sebegini. Maklumlah, ini majlis
untuk orang-orang yang sudah lanjut umur sedangkan dia masih muda remaja. Tidak
kena langsung dengan cita rasanya.
"Yalah...yalah...."
Meleret-leret janji Datin Raihana dengan mata tajam menjeling muka Anom.
Bosan
Datin Raihana melayan kerenah anak yang terlalu berkira. Apabila diminta pertolongannya,
Anom Sufi banyak sangat 'songeh'nya.
Alasannya yang biasa ialah banyak kerja. Tetapi, jika keluar malam dengan
kawan-kawan, Anom tidak kisah pula dengan kerja yang melambak-lambak. Ada
kalanya Anom keluar rumah bersama mentari petang, pulangnya nanti ditemani
embun jantan. Huh! Mujur Anom sudah besar panjang. Kalau tidak, sekarang juga
telinga Anom dipulasnya.
Anom
memandang muka mama sekilas. Masam mukanya. Dia kurang percaya dengan janji
mama. Mama pandai berjanji tetapi payah menepati. Tetapi tidak mengapa. Jika
mama susah sangat hendak pulang nanti, pandailah dia mencari akal untuk
mendesak mama pulang awal.
Datangnya
ke mari tadi pun bukannya ikhlas, kerana kasihankan papa. Ikutkan kepala dia,
memang dia tidak akan jejak ke rumah Tan Sri Bakri ini. Namun, ketika melihat
tubuh papa tumbang di atas sofa sebaik sahaja pulang ke rumah, dia rasa tidak
sampai hati untuk menolak permintaan papa. Papa nampak betul-betul keletihan. Kasihan
papa.
Mencecah
sahaja kaki di halaman rumah Tan Sri Bakri, mata Anom melilau memandang sekeliling.
Ramainya orang! Anom menelan liur. Gugup. Dia bukannya selalu menemani mama ke
majlis-majlis seperti ini. Adalah sekali dua. Itu pun sudah agak lama
sehinggakan pengalaman berdepan situasi begini sudah berkarat dalam kepalanya.
Anom
pandang lagi sekitarnya. Betul sangkaannya. Tetamu yang hadir kebanyakannya
sudah lanjut usia. Hanya dua tiga orang gadis-gadis muda yang dia lihat sedang
duduk bersembang di meja bulat berhampiran kolam renang, bersama tiga empat
orang lelaki. Ada juga kelihatan seorang wanita yang agak berumur di situ. Pakaian
mereka sangat sopan dengan berjubah dan bertudung kepala.
Dia?
Anom mengalihkan pandangan kepada jeans ketat dan blaus serba hitam yang
melekat di tubuhnya. Kasut pula sneakers
berwarna hitam juga. 'Sesuai ke pakaian aku ni?' Anom bertanya sendiri.
Baru
sekarang Anom menggelabah memikirkan kesesuaian pakaiannya ke majlis di rumah
orang kaya. Sedangkan di rumah tadi, mama pot pet pot pet tentang pakaiannya
yang tidak menepati tema, dia hanya buat-buat pekak telinga. Bila mama mengejek
penampilannya sudah macam 'Orang Minyak Versi Baru', dia cuma ketawa-ketawa. Siap
dia sumbat lagi lubang telinganya dengan earphone.Hah...sekarang, rasakanlah balanya apabila tidak
mendengar cakap orang tua.
"Jom!"
Datin Raihana menarik tangan Anom keluar dari kereta.
Anom
mengeraskan badan. "Ann tak nak masuklah, mama. Mama ajelah yang masuk.
Ann tunggu sini," tolak Anom sambil merebahkan punggung di atas tembok
batu, betul-betul di hadapan pintu pagar rumah besar Tan Sri Bakri.
"Mana
boleh, dah sampai kenalah masuk. Siapa nak temankan mama kat dalam tu nanti?"
rungut Datin Raihana, sakit hati dengan sikap kepala angin anaknya. Ada sahaja
yang tidak kena.
"Tak
payahlah teman. Mama kan boleh jaga diri. Tak payahlah nak pakai bodyguardsegala." Anom cari alasan
untuk mengelak menemani mama.
"Eh...senangnya
Ann cakap? Ann suka ya kalau mama kena goda dengan lelaki kaya kat dalam
tu?" balas Datin Raihana sambil terus menarik-narik tangan Anom.
Anom
Sufi tergelak. Dalam marah-marah begitu, sempat lagi mama buat lawak bodoh.
Mama rasa dirinya macam puteri kayangan ke? Perasan! Dia menyambung gelak
sambil memandang tepat ke arah mama.
Memang
pun mama nampak cantik malam ini dengan dress
labuh berwarna biru tua. Rambut perang mama yang biasanya dilepaskan bebas ke
bahu kini disanggul tinggi-tinggi. Mama nampak betul-betul macam puteri
kayangan yang sudah agak berumur. Kalau mama benar-benar digoda si tua keladi
di dalam sana nanti, macam mana? Pasti dunia haru-biru jika papa dapat tahu.
Dia juga yang akan dipersalahkan papa kerana gagal menjaga mama. Anom Sufi sudah
mula kalut.
"Jomlah...."
Tidak sabar melihat gelagat Anom yang terpinga-pinga, Datin Raihana menarik
lagi tangan anaknya. Kali ini dengan sepenuh kudratnya.
Sudahnya,
Anom terpaksa menurut. Tersadung-sadung kakinya melangkah mengekori mama masuk
ke halaman rumah Tan Sri Bakri.
Pelik
rasanya apabila sudah berada di tengah-tengah kelompok manusia yang berbeza dengannya
dari pelbagai segi. Tidak ubah bagai langit dan bumi. Terasa diri seperti terawang-awang
di dunia serba asing. Lebih-lebih lagi apabila berpasang-pasang biji mata mula
memandang ke arahnya macam ternampak alien.
Huh! Menyesalnya dia menemani mama ke mari!
"Ikut
mama pergi sana," arah Datin Raihana. Dia memaut bahu Anom menghala ke
kolam renang. Apabila Anom mengeraskan badannya, dia tarik pula tangan anaknya.
Sudahnya, mereka buat adegan tarik menarik tangan di tengah-tengah laman. Sebiji
macam adegan filem Hindustan.
"Tak
naklah! Mama pergi ajelah sorang-sorang. Ann tunggu sini. Malulah!"
Anom
hentak-hentakkan kaki macam budak kecil apabila mama tetap juga memaksa dia
menurut kehendaknya. Entah siapa yang hendak ditemui mama di tepi kolam renang.
Mungkin salah seorang daripada lelaki-lelaki tua ganyut yang dikelilingi
gadis-gadis cantik berpakaian sopan di situ..
"Tahu
pun malu. Tadi mama suruh pakai baju cantik-cantik sikit, Ann gelakkan mama.
Sekarang, padan dengan muka tu. Mama tak kira, Ann kena juga ikut mama ke sana."
Keras suara Datin Raihana memaksa
anaknya.
"Mama
nak suruh Ann buat apa kat situ?" Anom menjegilkan mata menentang muka
mama. Tidak faham dia dengan arahan mama yang tidak masuk akal. Mama ada agenda
tersembunyi ke? Mahu mengenalkan dia dengan lelaki lanjut umur yang duduk
bersantai di tepi kolam renang itu? Huh! Mama ini agak-agaklah. Kalau ya pun
mahu cepat bermenantu, tidak boleh ke kenalkan dia dengan lelaki yang 'waras'
sedikit? Carilah pemuda yang kacak, maco dan yang penting kaya. Dia sudah mula
menggedik dalam hati.
"Mama
nak ajak Ann jumpa Tan Sri Bakri dan anak-anak dia. Mereka ada kat sana,"
jawab Datin Raihana, menoleh ke arah kolam renang.
'Nak
ajak aku jumpa Tan Sri gatal tu? Untuk apa?' Kian cuak hati Anom mendengar jawapan
mama. Namun, belum sempat sebarang jawapan dikarang di kepalanya, tangannya
sudah diheret mama menuju ke tepi kolam renang.
"Tan
Sri, Puan Sri, maafkan saya lewat sampai," pohon Datin Raihana. Dia
hulurkan tangannya ke arah seorang wanita awal lima puluhan di hadapannya manakala
dengan lelaki yang rambutnya sudah memutih di sebelah wanita itu, dia hanya menunduk
hormat.
"Tak
mengapa, Datin Raihana. Awal lagi ni. Terima kasih ya sudi datang?" Wanita
yang berpangkat Puan Sri itu ketawa sambil menyambut tangan Datin Raihana.
"Tak
kisahlah lambat, asalkan Datin sudi datang," sambut lelaki tua berambut
putih itu pula. Tersengih lebar dia memandang muka Datin Raihana. Muka anak
dara Datin Raihana yang berdiri macam patung itu juga sempat ditenungnya dengan
mata tidak berkelip. Seolah-olah terkejut macam ternampak hantu raya.
Geli-geleman
Anom Sufi melihat gelagat orang tua di
hadapannya ini. Bila merenung muka anak dara orang, matanya terbeliak-beliak.
Huh! Merenyamnya! Tidak padan langsung dengan rambutnya yang sudah memutih dan
pakaiannya yang macam orang hendak ke masjid. Siap dengan kopiah di atas kepala
pula tu.
Pakaian
tuan rumah ini langsung tidak mengikut tema. Majlis di rumahnya ini majlis
kenduri arwah atau majlis sambutan ulang tahun perkahwinan? Anom betul-betul
tidak faham.
"Mana
Datuk? Dia tak datang sekali dengan Datin?" tanya Tan Sri Bakri dengan
pandangan matanya bersilih ganti memandang Datin Raihana dan muka gadis yang
'serabai' di sebelahnya.
"Dia
tak berapa sihat. Sakit kepala katanya. Ada kat rumah, tengah tidur masa saya
keluar tadi. Dia kirim salam pada Tan Sri dan Puan Sri." Sambil
tersenyumm, Datin Raihana sopan menjawab pertanyaan rakan niaganya.
"Waalaikummussalam..."
Serentak kedua-duanya menjawab.
"Anak
Datin?" tanya wanita yang bergelar Puan Sri itu seraya memandang Anom dari
atas ke bawah. Macam tidak pernah melihat orang sahaja lagaknya. Gayanya juga
sudah macam suaminya tadi. Terkejut memandang muka Anom. Entah apa sebabnya.
"Hmm...anak
nombor dua merangkap yang bungsu. Salam Puan Sri." Datin Raihana cuit-cuit
lengan Anom menyuruh bersalaman dengan Puan Sri Sarah. Sempat dia menjeling
sekilas muka Anom. Sakit hati betul dengan gelagat si anak yang terpacak macam
batang kayu di sebelahnya. Bukannya tahu menghormati orang tua. Boleh lagi Anom
buat muka selamba bersahaja. Eeii...terasa ringan sahaja tangannya mahu
mengetil pinggang Anom.
Anom
Sufi menghulurkan kedua belah tangannya ke arah Puan Sri Sarah. Kemas tangannya
digenggam teman mama itu sampaikan hendak menariknya pun dia berasa serba-salah.
Sudahnya dia membiarkan sahaja kedua belah tangannya dalam genggaman Puan Sri
Sarah.
"Comel
anak Datin," kata Puan Sri Sarah dengan mata tekun membelek wajah Anom.
Anom
rasa dirinya macam patung di muzium pula sehingga ditelek orang sebegitu rupa. Namun,
komen teman mama itu membuatkan sengihannya melebar sampai ke telinga. Sukanya
dia apabila ada orang memuji dia comel. Bukankah comel itu lebih kurang sama maksudnya
dengan cantik? Maknanya dia cantiklah kan? Anom ketawa menggedik dalam hati.
"Comel
pun kalau comot nak buat apa? Tak laku juga," sambut Datin Raihana sambil
menjeling muka Anom. Masih terbias rasa geramnya dengan perangai si anak
sekejap tadi. Degil tidak bertempat.
Menarik
muka 14 Anom mendengar gurauan kasar mama. Mama kata dia comot? Ingat dia masih
budak-budak yang suka bermain masak-masak ke sehinggakan mama kata dia budak
comot? Mama ni! Agak-agaklah kalau hendak bersenda-gurau pun.
"Eh...sekarang
semua barang naik harga, Datin. Termasuklah hantaran kahwin. Melambung-lambung
tingginya sekarang ni. Kalau comel macam anak Datin ni, mesti berebut-rebut
orang nak." Menyampuk pula Tan Sri Bakri yang sejak tadi tersengih-sengih
mendengar perbualan isterinya dengan Datin Raihana.
Aduhai...masa-masa
beginilah hendak sahaja Anom angkat kaki meninggalkan orang-orang tua ini
bersembang. Ada ke patut dia disamakan dengan barang? Selepas itu melalut pula
sampai ke topik hantaran kahwin. Eh! Siapa agaknya yang hendak berkahwin? Dia
ini masih budak mentahlah. Masak nasi pun selalu lembik kerana terlebih air.
Mana layak dia pegang status isteri dalam masa-masa terdekat ini?
"Kecil
tapak tangan, padang bola saya tadahkan kalau ada orang nakkan Anom Sufi ni,"
sambut Datin Raihana sambil mengerling lagi ke muka anak perempuannya.
"Anom
Sufi? Cutenya nama dia." Puan
Sri Sarah ketawa sambil mencubit sedikit pipi Anom.
Hendak
sahaja Anom menepis tangan Puan Sri Sarah. Ingat dia ini budak berumur lima
tahun ke boleh cubit-cubit pipi?
"Mana
Habib? Saya nak kenalkan dia dengan Anom," kata Puan Sri Sarah kepada Tan
Sri Bakri. Matanya melilau ke sana ke mari mencari wajah anak bujangnya.
Habib?
Hati Anom berdesir mendengar nama itu meniti di bibir Puan Sri Sarah. Sepasang
mata bundarnya turut menjelajah ke seluruh pelusuk rumah banglo Tan Sri Bakri,
mencari Habib. Habib yang mana? Si Habib Jewels itu ke? Dia mula terbayangkan
raut wajah Habib yang dia kenali. Seraut wajah tampan, berkulit cerah kemerahan
dihiasi sepasang lesung pipit di pipi apabila lelaki itu tersenyum.
"Abang!"
Terpandang sahaja Habib di kejauhan, Tan Sri Bakri melambai.
Anom
turut menoleh ke arah pemuda yang dilambai dan dipanggil abang itu. Memang sah
dia si Habib Jewels! Anom terkedu.