Home Novel Cinta Cinta Copy Paste
Cinta Copy Paste
7/1/2015 22:48:13
135,277
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2

"DATUK HABIB IQMAL tu bertuah. Muda lagi dah dapat pangkat Datuk." Sambil makan, Datuk Adman ghairah bercerita mengenai teman niaganya.

Anom Sufi diam mendengar. Malas melayan perbualan papa. Terus sahaja menyorong sesudu nasi goreng kampung ke mulut. Tidak berminat hendak berbicara tentang topik yang tidak diminatinya. Apa yang pelik sangat tentang Habib dan pangkat Datuknya itu? Zaman sekarang, benda-benda macam itu bukannya sesuatu yang pelik. Orang sekarang tidak takut menipu. Sebab itulah ada yang terang-terangan berani mengakui kerabat raja dan sanggup ditangkap pihak berkuasa. Bukankah pangkat Datuk itu boleh dibeli? Ah! Ada duit, semua boleh jadi.

"Kaya Datuk Habib Iqmal tu. Ayahnya bilionaire. Dia tu pulak millionaire. Anak lelaki tunggal pulak tu. Bila ayah dia meninggal nanti, semua perniagaan ayahnya dia akan ambil alih," sambung Datuk Adman lagi. Macam mahu menggoda Anom membuka perbualan tentang Datuk Habib.

Sedikit pun Anom tidak terkesan mendengarnya. Habib jutawan? Biarlah. Ada dia kisah? Jika dia ambil kisah pun, bukannya Habib akan longgokkan duit beribu ke dalam akaun banknya.

Tetapi, pelik juga Anom pabila mendengar papa ghairah bercerita tentang Habib dan kekayaannya. Macam ada udang di sebalik batu sahaja. Papa mahu menjodohkan dia dengan Habib ke? Eh...tolong sikit! Tidak mahulah dia jadi isteri nombor dua Habib. Dia ini masih muda belia, belum layak berumahtangga. Lagi pun Qayyum nanti, dia hendak campak ke mana?

"Untunglah siapa yang jadi isterinya nanti..."

"Untunglah siapa yang jadi isteri nombor dua dia." Anom menyanggah ayat papa tanpa mengangkat kepala. Bukan teruja sangat mahu ikut serta berbual tentang Habib tetapi kerana bersimpati dengan papa. Sedari tadi papa seolah-olah bercakap dengan tembok. Tiada langsung komunikasi dua hala antara papa dengan dia.

"Isteri nombor dua?" Datuk Adman mengerutkan kening. Seolah-olah terkejut benar mendengar ayat penyata Anom.

Anom mengangkat kepala. Pandangannya bertaut dengan pandangan papa. "Yalah...kenapa papa macam terkejut? Bukan ke Datuk Habib tu dah kahwin? Jadi maksud papa tadi, tentulah beruntung perempuan yang dapat jadi bini muda dia kan?" terang Anom dengan lebih jelas.

Datuk Adman ketawa besar. "Siapa cakap dia dah kahwin?" Dia tanya Anom balik.

Kini kening Anom pula yang bertaut. "Eh...dia belum kahwin ke? Tadi kat ofis, bukan ke dia kata nak balik cepat sebab dah janji dengan orang rumah? Bukan orang rumah tu maksudnya wife dia ke?" Anom mengembalikan ingatan papa kepada kata-kata Habib di pejabat tadi.

Meledak lagi tawa Datuk Adman mendengar hujah Anom. Spontan jari telunjuknya menunjal sedikit kepala anak perempuannya. "Dia kata orang kat rumah bukannya orang rumah," katanya membetulkan kata-kata Anom.

"Tak sama ke?" Anom buat muka bodoh memandang papa.

"Memang tak sama. Orang rumah memang maksudnya isteri. Tapi orang kat rumah, bermaksud orang-orang yang ada kat rumah dia tu. Mungkin ayah, emak atau adik-beradik dia. Lain kali kalau orang cakap, cuba dengar betul-betul. Ambil perhatian. Bukannya masuk ikut telinga kanan, keluar ikut telinga kiri. Macam mana selama ni Ann belajar kat kolej? Agaknya semua yang lecturer ajar, Ann tak ambil kisah." Datuk Adman mula memetir. Tangannya sudah berjalan mahu memulas telinga Anom.

Cepat-cepat Anom mengelak. "Manalah Ann tahu. Ann ingat orang tua macam dia mestilah dah kahwin." Dalam takut-takut berani, Anom cuba membangkang cakap papa. Muncungnya sudah panjang sedepa.

"Eh...berani Ann kata dia tua? Tahu Datuk Habib, mengamuk dia," bidas Datuk Adman.

Bibir Anom terjebik. Suka hati dialah hendak kata Habib orang tua. Mulut dia, dialah yang jaga. Dosa dia, dia juga yang tanggung. Eh..tapi memang betul Habib sudah tua, mustahil mahu dipuji masih muda? Itu tua keladi tidak sedar diri namanya. Papa kalau ya pun mahu 'membodek' orang kaya, biarlah berpada-pada. Tetapi Anom tidak boleh cakap begitu di hadapan papa. Bimbang nanti telinganya betul-betul dipulas papa.

"Umur Datuk Habib tu baru 33 tahun. Bagi orang lelaki, umur macam tu muda lagi. Baru nak kenal dunia." Papa berfalsafah pula. Melontarkan pendapatnya dari sisi kaum Adam.

Rasa mahu tersembur teh O ais yang diteguk Anom. Muda? Eeii...berbulu telinga dia mendengarnya. Muda sangatlah umur 33 tahun itu. Kalau Habib sudah berkahwin sepuluh tahun lalu, pasti anak-anaknya sudah berderet macam gerabak keretapi. Aduhai....'falsampah' papa sangat tidak masuk akal.

"Kenapa dia tak kahwin sampai sekarang?" Anom ajukan pertanyaan yang sejak tadi mengapung di ruang akalnya.

Datuk Adman menjongketkan bahu. "Entah. Manalah papa tahu. Papa pernah juga usik-usik dia pasal ni. Dia kata belum ada jodoh."

'Belum ada jodoh? Hmm...jawapan skema', ulas Anom dalam hati. Selalunya orang kalau sudah lanjut umur tetapi masih belum berkahwin, tentu ada yang tidak kena. Biasanya orang akan mengaitkan lambat berkahwin dengan sejarah pahit masa lalunya. Mungkin dulu Habib pernah kecewa bercinta dan sampai sekarang, Habib serik mahu bercinta lagi.

Ataupun...Habib ada masalah lain. Masalah kesihatan kaum lelaki. Hisy! Tidak payahlah Anom berfikir lebih lanjut tentang itu. Tahu papa nanti, mesti lebih teruk dia dileteri.

"Kalau dia berkenan dengan Ann, nak tak Ann kahwin dengan dia?" Sambil tersengih mengusik, Datuk Adman ajukan soalan mautnya.

Kali ini memang betul-betul tersembur teh O ais dari mulut Anom. Tersedak-sedak dia sambil menutup mulut. Papa ini betul-betul buat dia terkejut besar. Mujur dia tidak ada penyakit jantung. Kalau tidak sudah lama dia 'gol'! "Papa jangan macam-macam eh!" Anom naikkan jari telunjuk runcingnya di hadapan papa. Kononnya mahu mengugut. Macamlah papa takut.

Tergelak besar Datuk Adman melihat tingkah Anom. "Papa senang aje. Kalau Datuk Habib dah berkenan dengan anak dara papa ni, papa terima aje. Suka papa dapat menantu jutawan macam dia. Papa pun boleh tumpang senang," kata Datuk Adman bersahaja.

"Papa!" jerit Anom seraya menghentak-hentakkan kaki. Dia tidak suka papa cakap begitu. Jika masin mulut papa nanti, macam mana? Tidak mahulah dia berkahwin dengan orang tua. Hii....selisih!

"Kalau dah jodoh, nak buat macam mana? Kalau Ann kahwin dengan dia, dapatlah Ann jadi Datin. Datin Anom Sufi. Tak bangga ke?" Datuk Adman sakat Anom lagi. Suka benar melihat anak perempuannya yang terkenal bengkeng ini naik angin.

"Ann tak nak kahwin dengan dia! Papa jangan paksa-paksa Ann! Kalau papa paksa-paksa Ann, Ann....Ann...lari dari rumah!" ugut Anom. Merah-merah muka dia menahan geram terhadap papa. Macam mana boleh timbul idea di fikiran papa mahu menyatukan dia dengan si tua keladi tu? Bencinya!

Tergelak Datuk Adman melihat muka Anom sudah merah macam lahar gunung berapi. "Alaa....papa bergurau ajelah. Itu pun Ann nak marah. Macamlah Datuk Habib nak sangat kat Ann ni. Tengoklah muka Ann kat cermin dulu kalau berangan nak jadi Datin Anom Sufi." Datuk Adman menyambung gelak lagi.

Panjang muncung Anom menyambut gurau senda papa. Berdecit-decit mulutnya melampiaskan rasa geram terhadap gurauan papa yang kedengarannya macam serius sahaja bunyinya. Mujur papa cuma bergurau. Kalau papa betul-betul berniat menyatukan dia dengan si tua gatal itu, mahu betul-betul dia lari dari rumah. Biar padan dengan muka papa. Gadis bernama Anom Sufi ini jangan dibuat main-main!

"Malam ni Ann ada nak ke mana-mana tak?" Datuk Adman alihkan perhatian Anom kepada topik yang lain.

"Kenapa?" tanya Anom kasar sedikit. Marah dia kepada papa masih membara. Pun begitu, timbul rasa hairan di hatinya mendengar soalan papa. Selama ini tidak pernah papa ambil kisah tentang dia selalu keluar malam. Mengapa papa tanya begitu? Jangan-jangan papa suruh dia keluar dating dengan si Habib Jewels itu. Eeii...tak nak!

"Papa nak suruh Ann temankan mama," jelas Datuk Adman.

"Ke mana?" Anom bertanya hendak tidak hendak sahaja. Masih terasa sakit hati dengan papa.

"Ke rumah Tan Sri Bakri. Dia ada buat majlis sikit. Papa tak dapat temankan mama. Papa letih sangat. Kepala papa berdenyut-denyut ni." Datuk Adman memicit-picit kepalanya dengan dahi berkerut seribu. Dia buat muka kasihan memandang Anom.

"Ann nak keluar dengan kawan malam ni," keluh Anom. Dia memang sudah berjanji hendak keluar clubbing dengan Qayyum. Emily, teman baiknya juga sudah bersetuju untuk ikut serta. Mengamuk Qayyum dan Emily jika dia mungkir janji kerana dia yang sebelum ini beria-ia mengajak mereka berdua keluar.

"Lain kalilah Ann keluar dengan kawan. Malam esok kan boleh? Malam ni Ann temankan mama ya?" pujuk Datuk Adman dengan suara mendayu.

"Tapi Ann dah janji dengan dia orang..." Kian panjang keluhan Anom. Apa tidaknya, sudah lama dia tidak berkesempatan keluar melepak dengan buah hatinya dan teman satu kepalanya, Emily. Malam-malam yang lain dia sibuk dengan tutorial, discussion dan bermacam jenis kerja kursus. Ada kalanya mahu bersembang dengan Qayyum pun tidak sempat.

"Esok aje Ann keluar dengan kawan. Malam ni Ann kena temankan mama," putus Datuk Adman lalu bangun dari kerusi. Malas dia mahu terus memujuk Anom yang sememangnya keras kepala. Lebih baik dia gunakan kuasa vetonya sebagai ayah. Habis cerita.

Anom merengus. Apabila papa sudah berkeras begini, dia memang tidak boleh kata apa-apa. Jika terus dibantah, mulalah papa akan mengugut macam-macam. Tolak duit elaun bulanan atau papa akan terus melarang Anom keluar merambu waktu malam. Lagi parah! Oleh itu, lebih baik dia ikut sahaja arahan papa daripada hak kebebasannya diganggu gugat.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.