"DRAMA dah habis, Datuk!" Hilang sahaja
bayang Qayyum dan Miza, Anom terus memusingkan badan menghadap Habib. Tangan
Habib di bahu kanannya ditenung dengan mata mencerlung. Pak cik ni tak
reti-reti nak alihkan tangan ke? Amboi! Mengambil kesempatan nampak? Anom naik
geram. Pantas ditolaknya tangan Habib kasar.
"Oh...dah
habis ke? Tak perasan pulak. Ingatkan ada sambung scene lain tadi," seloroh Habib dengan sengih lebarnya.
Anom
membuat muka mendengar lawak tidak lucu Habib. Lelaki baginya semua sama.
Nampak sahaja macam alim tetapi apabila ada kesempatan langsung tidak melepaskan
peluang. Hmm....alim alim kucing rupa-rupanya ustaz seorang ni.
"Ann!
Kau nak balik tak?"
Baru
Anom Sufi hendak membuka mulut menyanggah cakap Habib, kedengaran suara Emily
menjerit dari perut Mazda 3nya. Kepala Emily terjengul dari tingkap yang
terbuka luas.
Anom
memalingkan muka memandang Emily. Begitu juga dengan Habib.
"You
balik dulu. Sufi balik dengan I nanti," jawab Habib seperti menggesa Emily
supaya cepat-cepat pergi dari situ. Matanya macam mata burung helang memanah
permukaan wajah Emily. Entah mengapa hatinya tidak senang dengan Emily yang
sentiasa ada di samping Anom. Apa yang dapat disimpulkan mindanya, Emily itu
membawa pengaruh buruk dari segi pergaulan, pakaian dan percakapan kepada Anom
Sufinya. Tetapi nahaslah jika dia sebutkan tentang semua itu kepada Anom.
Akibatnya nanti, dia sudah tahu. Pastinya berbulan-bulan Anom akan berpantang bercakap
dengannya.
Tanpa
menoleh ke arah Anom yang tercengang-cengang, Emily hidupkan enjin kereta dan
seminit kemudian keretanya menghilang daripada pandangan.
"Eh...eh...pandai-pandai
aje Datuk ni. Siapa cakap saya nak balik dengan Datuk?" omel Anom tidak
puas hati. Suka-suka hati Habib membuat keputusan bagi pihaknya. Tidak suka
dengan sikap Habib yang ada kalanya suka mengongkong pergerakannya.
"Abanglah
yang cakap." Habib terus menarik lengan Anom yang dibaluti T-shirt ketat
berlengan panjang menuju ke keretanya.
Kali
ini Habib pandu BMW X5 pula ke mari. Dia memang banyak koleksi kereta mewah di
rumah. Dekat enam buah. Namun, bukan semua kepunyaannya. Sebahagiannya milik
abi. Dia selalu tukar-tukar pakai keretanya dengan abi. Bukan untuk
menunjuk-nunjuk tetapi lebih kepada mahu merasai kenikmatan memandu kereta mewah
buatan luar negara. Dan tentu sahaja keretanya yang besar menjalar itu menarik
perhatian warga kampus Anom Sufi ini.
Pintu
kereta mewahnya dibuka. "Masuklah, Cik Sufi," pelawa Habib, merenung
lembut wajah Anom.
Malas
mahu bertekak dengan Habib, Anom masuk. Tenggelam punggungnya di sofa kulit
kereta mahal Habib. Pintu ditutup.
"Kita
singgah masjid. Kita solat asar dulu lepas tu baru makan. Lepas makan, baru
abang hantar Sufi balik." Habib melahirkan agenda di kepalanya. Apabila
tidak mendengar mulut comel itu mengomel, dia terus buat kesimpulan Anom
bersetuju dengan perancangannya.
"Macam
mana Datuk boleh tahu saya jumpa Qayyum tadi?" tanya Anom dengan kening
bertaup. Pelik juga dia bila mana Habib tiba-tiba muncul di hadapannya sebagai
penyelamat. Jika tidak, memang sah-sah dia terus jadi mangsa 'buli' Qayyum.
"Eh...mestilah
abang tahu. Abang kan ada magis? Sufi pergi mana pun abang boleh tahu
tau!" Habib tergelak-gelak mengusik Anom. Gelaknya semakin panjang melihat
muncung Anom sudah bertukar jadi muncung burung enggang.
Sebenarnya
tadi, Habib sengaja datang menjemput Anom balik. Kematu jugalah punggungnya
duduk di bangku perhentian bas di hadapan fakulti Anom. Habis semua siswi yang
lalu di hadapannya ditemu ramah untuk mencari Anom. Mereka semua kata Anom
sudah pulang bersama teman rapatnya yang memandu kereta Mazda 3. Siapa lagi
kalau bukan Emily?
Mujur
ada yang melihat kereta Emily di hadapan Fakulti Kejuruteraan. Habib pun apa
lagi teruslah ke sana. Dia datang tepat pada waktu Anom sedang 'diserang'
Qayyum. Nasib baik ketika itu mata Anom belum sempat banjir. Terlewat seminit
tadi mesti sudah berladung kolam mata Anom dikerjakan Qayyum.
Pedih
hati Habib melihat gadis yang tidak berdosa ini diperlakukan Qayyum begitu rupa.
Sudahlah hati Anom disakiti, Qayyum hina lagi dengan mengatakan Anom macam
sampah. Siapa yang tidak bengang? Kalau sudah tidak suka, tidak perlu Qayyum kutuk
Anom macam-macam. Hisy! Marahnya naik ke kepala melihat perangai budak tidak
cukup umur itu. Hendak sahaja dia hempuk kepala Qayyum biar budak itu serik.
Tetapi
melihat muka Qayyum yang merah padam tadi Habib berasa puas. Walaupun tanpa
dijentik sedikit pun dia berjaya juga buat budak kepala tiga suku itu rasa
marah dan cemburu. Hah...padan muka!
"Apa
pun terima kasihlah sebab tolong saya tadi," luah Anom malu-malu. Wajah lelaki
di sampingnya yang selalu tenang itu dikerling dengan ekor mata. Memang hatinya
ikhlas mengucapkan terima kasih kepada Habib. Kalau Habib tidak datang tepat
pada waktunya tadi, entah apa akan jadi kepadanya. Mesti dia masih berdiri
terpacak di situ macam orang bodoh dibuli bekas kekasih.
"Kasihmu
diterima," balas Habib sambil tersenyum-senyum. "Lepas ni kalau putus
cinta dan ditinggalkan kekasih, jangan rendahkan maruah diri sendiri dengan
merayu-rayu orang tu supaya terima Sufi balik. Tu namanya kerja bodoh. Menangis
pun tak perlu. Putus cinta tu tandanya dah tak ada jodoh. Kan abang dah cakap
dulu? Jalan penyelesaiannya senang aje. Hah...cari aje orang lain." Habib mengutarakan
pendapatnya. Dilayangkan senyuman semanis madunya kepada gadis di sebelahnya
ini.
Terkebil-kebil
mata Anom menelan nasihat Habib. Bisa telinga mendengarnya! Setakat bercakap
dan memberi pendapat memanglah mudah bagi Habib. Dia ini yang memikul beban
kesakitan itu. Dia ini yang masih muda remaja dan tidak pernah ada pengalaman
bercinta sementelah Qayyum adalah cinta pertamanya. Jadi, tentulah sukar
baginya mengawal emosi dan perasaan kecewa.
'Habib
suruh dia cari lain?' Ada ke lelaki yang mahukan dia? Kalau ada pun mungkin
yang spesisnya serupa Qayyum. Huh! Tidak mahulah dia lelaki bermulut manis
begitu. Kalau ada rezekinya untuk bercinta lagi, biarlah dengan lelaki yang
dapat menerima diri dia seadanya. Bukan berpura-pura menerima segala
kekurangannya untuk dihina dan dicaci maki.
"Apa
tujuan Datuk kata macam tu tadi?" Anom menyerbu Habib dengan soalan yang
berlegar-legar di kepalanya sejak meninggalkan kawasan kampus tadi.
"Kata
apa?" Habib buat-buat tidak faham. Keningnya sudah terangkat sebelah. Mata
pula mengecil merenung muka Anom.
"Datuk
jangan buat-buat tak faham pulak eh?" Anom naikkan jari telunjuk ke muka
Habib. "Tadi tu yang Datuk cakap nak bertunang dengan saya tu, apa
halnya?" Anom mengetap gigi sampai berkeriut melihat lagak Habib yang bersahaja.
Bengangnya dia dengan sikap Habib yang suka mempermainkan kata-katanya.
Habib
ketawa. "Abang saja cakap macam tu untuk buat budak tiga suku tu sakit
hati."
Besar
mata Anom Sufi mendengar Habib memanggil Qayyum dengan panggilan budak tiga
suku. Rasa hendak ketawa pun ada tetapi ditahannya sedaya upaya.
"Hmm...kenapa Datuk tak cakap nak kahwin terus dengan saya? Kan
senang?" Dia mula buat loyar buruk dengan Habib. Sehabis bercakap baru dia
terasa malu sendiri. Gatalnya dia kerana berani-berani bercakap gaya begitu
dengan Habib. Buatnya pak cik seorang ini anggap serius kata-katanya, tidak ke
haru?
"Betul
ke? Boleh ke macam tu?" tanya Habib. Suara Habib sudah mula serius. Tidak
main-main macam tadi.
"Boleh
apanya?" Anom hairan. Dia pandang muka Habib yang beriak terkejut itu
tepat-tepat. Habib ambil serius ke kata-katanya tadi? Ah, sudah! Ini memang
betul-betul haru!
"Boleh ke kalau kita macam ni?"
Habib merapatkan kedua-dua jari telunjuk kanan dan kirinya. Kemudian dia
tersenyum lebar mengerling Anom.
Merah
padam muka Anom dengan bahasa isyarat yang ditunjukkan Habib. Dia faham
maksudnya. Hendak mengajak kahwinlah tu. Aduhai...pak cik seorang ni. Orang bergurau
dianggapnya betul-betul! Anom menepuk dahi.
"Saya
main-main ajelah tadi," jelas Anom perlahan. Tidak sanggup dia menentang
anak mata Habib. Bertepek-tepek malu di muka dia ni!
"Tapi
abang serius," balas Habib selamba bersahaja.
"Hah?"
Suara Anom sudah naik satu oktaf. Terkejut! Dia mula memegang-pegang cuping
telinganya. Takut tersilap dengar.
"Apa
hah? Pekak eh? Balik nanti pergi korek telinga tu," seloroh Habib. Dia
ketawa sambil mengerling manja muka Anom.
Anom
memuncung mendengar Habib mengatanya pekak. Bibirnya sudah serupa muncung
burung enggang. Dia bukannya tidak mendengar tetapi reaksinya tadi lebih kepada
rasa tidak percaya. Ya ke Habib hendak kahwin dengan dia? Macam tidak logik!
Pantas Anom menggeleng-gelengkan kepala.
Ketawa
Habib melihat reaksi Anom yang sekejap memuncung sekejap menggeleng. Gelisah
semacam nampaknya gadis itu. Muka bulat Anom pula tidak usah cakap, merah macam
buah strawberi. Comel sahaja dia menengok tingkah Anom yang begitu.
Alahai...geramnya dia. Kalau Anom itu isterinyanya, sudah lama pipi gebu itu
dicubit-cubitnya.
"Kenapa
Sufi nampak terkejut?Tak boleh ke abang kahwin dengan Sufi?" tanya Habib,
mahu mengorek isi hati Anom.
"Memang
tak boleh!" jawab Anom kasar.
"Kenapa
pulak tak boleh?"
"Sebab...sebab...alah...banyak
sebabnyalah!"
"Banyak
sebabnya? Okey...abang tak nak banyak-banyak. Cukup kalau Sufi beri abang tiga
sebab kenapa abang tak boleh kahwin dengan Sufi." Habib menyakat Anom
lagi. Terasa seronok pula berbual dengan Anom kisah kahwin-kahwin macam ini.
Seronok melihat muka Anom merah padam menahan malu.
Mengeluh
Anom Sufi. Habib ni tidak sudah-sudah dengan tiga sebabnya. Pantang cakapnya
dibantah, mulalah Habib menyuruh dia beri alasan macam-macam. Sudah macam
berbahas di Dewan Parlimen pula. Pun begitu, mindanya ligat mencari jawapan
kepada pertanyaan Habib.
Mengapa
Habib tidak boleh berkahwin dengan dia? Sebab paling utama ialah mereka
langsung tidak sepadan. Habib sudah lanjut usia sedangkan dia masih muda belia.
Perbezaan umur mereka hampir 15 tahun. Bahagia ke perkahwinan mereka nanti?
Sekarang
pun mereka saling berbeza pendapat dalam banyak hal. Apatah lagi jika sudah
hidup bersama kelak pastinya ada sahaja perkara yang mereka perdebatkan. Sebab
yang kedua pula ialah...apa ya? Hisy! Malaslah dia hendak fikir. Dia pun
bukannya benar-benar hendak berkahwin dengan Habib.
"Yang
Datuk tu pulak kenapa nak sangat kahwin dengan saya? Ada ramai lagi perempuan
yang menunggu Datuk kat luar tu." Bagi mengelak dia disakat Habib lagi,
Anom Sufi pusingkan pokok persoalan kepada diri Habib pula.
Habib
berjeda seketika mendengar pertanyaan Anom. Mengapa dia mahu berkahwin dengan
Anom? Bukan dia tidak tahu begitu besar jurang antara dia dengan Anom Sufi. Namun,
entah mengapa hanya dengan Anom hatinya melekat macam kena gam. Apabila berada
dekat Anom, hatinya sentiasa berbunga-bunga seperti berada dalam taman. Berada
di samping Anom, hatinya terasa muda remaja bagaikan insan baru belajar
bercinta. Dan sebab yang paling penting, mengenali Anom membuatkan dia sering terkenangkan
Yana.
Yanakah
penyebab dia mahu hidup bersama Anom? Habib tidak pandai menganalisa hatinya
sendiri. Bila bersama Anom, dia selalu merasakan Yana ada dalam diri gadis itu.
Mungkin sebab wajah mereka yang seiras bagaikan adik-beradik kembar. Macam copydan paste pun ya juga. Justeru, dia menganggap Anom Sufi itu adalah bayang-bayang
Yana. Tetapi, betulkah niatnya berkahwin dengan Anom hanya kerana Anom Sufi itu
mirip Yana?
Pasti
umi dan abi terkejut besar apabila berita ini sampai di telinga mereka. Bukan
umi dan abi sahaja, adik-adiknya, Hawa dan Husna juga tentu melopong mulut tidak
percaya. Entah-entah mereka akan kata dia hilang akal kerana mengambil Anom Sufi
jadi isterinya. Yalah, Anom itu kan masih 'berhingus'? Entah pandai entah tidak
memasak. Entah-entah goreng telur pun hangus. Hmm....hendak buat macam mana? Hanya
dengan budak 'berhingus' inilah hatinya terbuka untuk berumahtangga.
Ah!
Tidak dapat tidak, Anom Sufi mesti jadi isteri Datuk Habib Iqmal!
"Sebab
abang rasa abang dah jumpa jodoh abang. Sufilah orangnya yang bakal jadi tulang
rusuk kiri abang. Kita kahwin ya, Sufi?" Habib memandang lagi wajah gadis
di sebelahnya. Pandangannya lembut. Merayu. Memohon.
Anom
tidak terkata. Tubuhnya terasa keras kejung di atas kerusi. Mulutnya bagaikan
terkunci. Muka pucat tidak berdarah. Kepala tidak semena-mena terasa hendak
pitam. Habib melamarnya? Oh...dia terasa mahu pengsan!
"Hujung
minggu ni abang akan datang rumah Sufi sampaikan hajat abang pada papa dan
mama. Lepas tu hujung minggu depan abang bawa Sufi jumpa umi dan abi abang
pulak. Kita dapatkan restu mereka semua, ya Sufi?"
Suara
Habib beralun lagi. Lembut dan lebih romantis daripada tadi. Namun, Anom Sufi sudah
tidak begitu mendengarnya. Kata-kata papa kembali terngiang-ngiang di
telinganya.
"Papa
senang aje. Kalau Datuk Habib dah berkenan dengan anak dara papa ni, papa
terima aje. Suka papa dapat menantu jutawan macam dia. Papa pun boleh tumpang
senang."
Itu
kata-kata papa yang Anom Sufi masih ingat sampai sekarang. Sekarang sudah
terbukti mulut papa memang 'masin'. Jadi sekarang, belum pun Habib meminta restu,
Anom sudah tahu jawapan papa. Tentulah papa bersetuju dengan hasrat Habib. Dan
bila papa sudah bersetuju, mama sudah pastilah mengikut sahaja. Abang Syahid
pula Anom sudah boleh membayangkan reaksinya. Tentu terlompat-lompat suka macam
terjumpa harta karun Kesultanan Melaka.
Namun,
masalahnya sekarang sudikah dia menjadi isteri Datuk Habib Iqmal dan menjadi
Datin Anom Sufi? Entah! Mindanya seperti gagal berfungsi. Sudah tidak boleh
berfikir apa-apa lagi.