Home Novel Cinta Cinta Copy Paste
Cinta Copy Paste
7/1/2015 22:48:13
135,344
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

"KENALKAN, ni adik abang, Hawa. Sufi boleh panggil dia Kak Hawa." Habib mengenalkan Anom kepada adik perempuannya yang duduk paling hampir dengannya.

"Hai! Saya Ann. Err...Anom Sufi." Anom menghulurkan tangan. Keliru pula mahu mengenalkan diri sebagai Ann atau Sufi. Sudahnya, dia sebut nama penuhnya.

"Assalamualaikum," jawab Hawa ringkas. Tangan Anom dicapai tetapi pantas dilepaskan semula. Kemudian dia terus memandang ke arah lain.

Terkulat-kulat Anom berdiri di hadapan Hawa. Bengangnya dia apabila orang balas kata-katanya dengan ucapan salam. Namun, sempat juga matanya meneliti penampilan Hawa.

Orangnya tinggi lampai, berjubah labuh dan bertudung litup. Kulitnya macam Habib juga putih kemerahan. Wajahnya pun ada iras-iras Habib. Cantik tetapi ada sesuatu yang kurang di wajahnya. Kurang manis.

Pertama kali bertemu Hawa, Anom bagaikan dapat meneka yang adik Habib ini kurang peramah orangnya. Cara Hawa memandang dia tadi seolah-olah macam ternampak hantu raya. Sampai terjojol biji matanya. Sudahlah begitu, Hawa langsung tidak mahu senyum. Penat dia tersengih-sengih macam kerang busuk tetapi langsung tidak dilayan. Eleh...dia pun tak kisahlah kalau orang tidak mahu balas senyumannya. Tidak hairan langsung!

"Dan yang ni pula husband Kak Hawa, Syed Aidil." Habib mengenalkan pula lelaki yang berdiri di sebelah Hawa. Tampan orangnya. Padanlah dengan Hawa yang cantik.

Anom menghulurkan tangan mahu bersalaman dengan Syed Aidil. Tetapi, huluran tangannya langsung tidak bersambut. Malah Syed Aidil hanya tersenyum-senyum memandang wajahnya.

Apa hal pula ni? Anom naik hairan. Muka pula terasa tebal dek perasaan malu yang bertepek-tepek. Salamnya tidak bersambut tentulah dia rasa malu. Nampak sangat dia yang terhegeh-hegeh hendak bersalaman dengan Syed Aidil.

"Perempuan tak boleh bersentuhan kulit dengan lelaki yang bukan mahram. Haram hukumnya," bisik Habib di telinga Anom.

Terkedu Anom jadinya. Ya ke? Patutlah Syed Aidil tidak menyambut tangan dia. Ooh...malunya dia. Macam manalah dia boleh terlupa pasal itu? Dahulu, di sekolah, ada juga dia belajar tentang hukum bersalaman dengan orang yang bukan mahram dalam subjek Pendidikan Islam. Tetapi biasalah, dia bukannya ambil kisah pasal hukum-hakam agama. Semuanya dia main langgar sahaja.

Sesudah bergelar mahasiswi pun dia tetap bersikap macam itu. Dengan teman-teman lelaki, bertepuk-tampar sudah jadi perkara biasa. Tidak pernah ada yang menegurnya dan mengatakan perkara itu berdosa di sisi agama. Sebab itu dia terus jadi muslim yang 'pelupa'.

Oh...patutlah Anom Sufi lihat muka Hawa merah padam tadi. Tentu Hawa fikir dia sengaja mahu menggoda suaminya dengan bersalam-salaman bagai. Aduhai....malam ini sahaja sudah dua kali dia ditimpa malu. Tebal berinci-inci jadinya muka dia!

"Aidil ni bestfriend abang sejak zaman sekolah dulu. Sekarang dah naik pangkat jadi adik ipar pulak." Tanpa ditanya, Habib menjelaskannya kepada Anom.

"Oh..ya ke?" Anom tersenyum dan mengangguk-angguk dengan perasaan malu masih belum hilang dari mukanya.

Namun apa yang Anom perasan, sejak mereka diperkenalkan, Syed Aidil tidak lepas-lepas memandang mukanya. Selepas itu dia nampak mata Syed Aidil berlawan pandang dengan mata Habib. Mereka berdua main angkat-angkat kening kemudian angkat-angkat bahu. Macam ada yang tidak kena. Hisy! Hendak sahaja dia tanya Habib tentang kelakuan pelik mereka berdua. Manalah tahu ada yang tidak kena pada penampilannya yang membuatkan Syed Aidil tidak puas hati.

"I pulak adik yang bungsu, Husna. Panggil I Una aje. Nice to meet you, Sufi." Gadis yang berdiri di sebelah kanan Habib pula memperkenalkan diri. Ditariknya tangan Anom untuk bersalaman. Kemudian bahu Anom pula dipaut. Pipinya dilaga-lagakan dengan pipi Anom. Mula-mula sebelah kanan kemudian berpindah ke kiri. Huh...lemas Anom dibuatnya.

"Err...nice to meet you too, Una," balas Anom. Tersengih malu.

"Sufi kena panggil Kak Una. Adik-adik abang ni semuanya lebih tua daripada Sufi," jelas Habib.

Anom tersenyum. Memang pun muka mereka semua nampak lebih tua daripada dia yang masih muda remaja ini. Ewah! Dia sudah mula perasan sendiri.

"Terkejut I nampak you tadi. Ingatkan Kak Yana. Muka you sebiji macam Kak Yana. You ni...."

"Hmm...hmm."

Kata-kata Husna terhenti apabila mendengar Habib berdehem. Husna pandang muka abangnya, menghantar isyarat tanya. Mencerlung mata Habib memaku pandangan ke mukanya bagaikan memberi amaran. Masamnya muka Habib bagaikan sedang tertelan buah kedondong muda. Terus mati kata-kata Husna dengan mata terkebil-kebil. Terkejut melihat si abang bereaksi begitu.

Anom memerhatikan sahaja gelagat kedua beradik itu dengan minda yang sarat dengan tanda tanya. Yana? Rasa-rasanya itulah nama yang disebut Husna tadi. Husna kata muka dia macam Yana. Siapa Yana?

"Kak Una ni macam abang juga, kerja makan gaji dengan abi abang. Kak Hawa ada bisnes sendiri, sama macam Abang Aidil." Tanpa ditanya Habib menjelaskannya kepada Anom.

Cepat sahaja Habib mengubah topik perbualan. Bimbang topik tentang Yana itu disentuh Husna lagi. Tadi berderau juga darahnya apabila Husna menyebut nama Yana di hadapan Anom. Mujur dia cepat mencantas. Namun, cuak juga dia melihat Anom sudah membulatkan mata macam terkejut mendengar cerita Husna. Janganlah Anom bertanya apa-apa pasal Yana. Dia belum bersedia menghamparkan kisah itu kepada Anom.

"Tadi Sufi kata nak balik kan? Nak abang hantar?" Habib yang belum hilang gemuruhnya cepat mahu membawa Anom pergi dari situ. Bimbang sungguh jika cerita tentang Yana timbul lagi.

"Tak apalah, Datuk. Saya nak balik dengan mama," jawab Anom. Baginya, tidak ada sebab untuk Habib menghantar dia pulang. Tadi dia datang dengan mama, jadi bersama mama jugalah dia akan pulang.

"Kalau macam tu, tak apalah. Jom...abang temankan Sufi jumpa mama," ajak Habib.

"Ooh....okey!" Anom patuh.

Timbul rasa hairan di hati Anom melihat Habib baik semacam sampaikan mahu menemaninya ke mana-mana. Mengalahkan bodyguard dia pula. Habib sudah putus satu urat dalam otaknya ke? Atau ada skru dalam kepala Habib yang sudah longgar? Hmm...malas Anom mahu memikirkan tentang perangai tidak betul Habib. Layankan sahajalah.

"SEMALAM aku jumpa Qay kat One Utama. Dia baru keluar dari GSC." Keluar sahaja dari dewan kuliah, Emily terus menerpa ke arah Anom. Tujuannya mahu mengadu tentang Qayyum, teman lelaki Anom Sufi.

Bersahaja muka Anom memandang Emily. Tidak teruja langsung mendengarnya. Bukan sekali dua Emily mengadu pasal Qayyum. Sudah kerap kali. Balik-balik Emily bercerita kisah Qayyum keluar dengan siswi Tahun Satu yang sama kursus dengan buah hatinya itu. Sampai kadang-kadang dia jadi bosan mendengar cerita yang entah benar entahkan tidak itu.

"Dia dengan siapa?" Anom bertanya endah tak endah.

"Dengan siapa lagi? Dengan Miza, budak Tahun Satu tulah," perjelas Emily penuh yakin.

Berkerut dahi Anom memandang Emily. Tahu pula Emily nama budak perempuan yang dikaitkan dengan Qayyum itu. Emily pergi bertanya sendiri atau upah agen-agen perisik untuk mengorek rahsia tentang Qayyum? "Macam mana pulak kau boleh kenal dia?" soal Anom dengan mata mencerlung.

"Aku korek dari Fitri." Emily menjawab penuh bangga. Bangga kononnya kerana mengetahui rahsia itu terlebih dahulu daripada Anom.

Mati kutu Anom. Jika Fitri, teman rapat Qayyum yang menjadi pakar rujuk Emily, dia memang tidak boleh kata apa-apa. Sudah pastilah apa yang dijaja Emily dan teman-teman lain tentang Qayyum benar belaka. Jika tidak, mana mungkin Fitri tahu pasal itu? Ini sampai budak perempuan itu pun Fitri kenal. Kalau kesnya tidak serius, takkanlah Fitri sanggup mengaitkan budak Miza itu dengan Qayyum? Itu memfitnah namanya.

Kenyataan baru ini tiba-tiba sahaja membuatkan Anom sesak nafas!

"Mulanya Fitri tak nak bagitahu. Banyak kali aku tanya, tapi dia tak nak cakap. Akhirnya aku kelentong dia, cakap yang kau sebenarnya dah pernah nampak Qay dengan budak perempuan tu. Nak tak nak, Fitri terpaksa cakap," sambung Emily bersungguh.

"Entah-entah budak perempuan yang kau nampak tu adik Qay ke atau sepupu dia. Memandai aje kau kata Qay ada affairdengan dia." Pandai Anom menjawab untuk menyedapkan hati. Walhal hati sendiri sudah tunggang-langgang bagaikan dipukul Taufan Katrina.

"Adik apanya kalau keluar panggung wayang berpegang-pegang tangan? Kau dengan abang kau ada buat macam tu ke?" Pantas Emily menujah Anom dengan jawapan lancangnya.

Berpegangan tangan? Bisanya hati Anom mendengarnya. Tidak menyangka sampai begitu sekali perlakuan sumbang Qayyum di belakangnya. Kalau sudah sampai berpegangan tangan, memang sah Qayyum ada apa-apa dengan budak perempuan itu. Sudah tentu hubungan itu bukannya setakat hubungan saudara. Dia dengan Abang Syahid pun tidak buat macam itu semenjak mereka sama-sama dewasa. Waktu kecil-kecil dulu lainlah.

"Nama aje pakai tudung, tapi perangainya mengalahkan kita ni. Gatal betul!" bebel Emily dengan mulut terherot-herot mengata si Miza, teman wanita rahsia Qayyum.

Anom diam mendengar. Ingin sangat dia mengenali gadis bertudung yang dapat menawan hati Qayyum. Emily kata gadis itu cantik dan lemah lembut. Pakaiannya pun sopan. Bukan macam dia yang kasar dan gemar berpakaian menyerupai lelaki.

Kasih Qayyum sudah beralih kepada yang lain ke? Anom menyoal dengan hati terbuku. Tiba-tiba sahaja dia takut sangat kehilangan Qayyum!

"Kau kena tanyakan hal ni pada Qay. Takkan selama-lamanya kau nak biarkan Qay pijak kepala kau?" Emily masih belum berhenti memetir.

"Aku dah tanya dia..." Setakat itu sahaja jawapan Anom. Dia bukannya bodoh mahu membiarkan persoalan itu selama-lamanya tidak dijawab Qayyum. Tetapi, Qayyum yang tidak mahu berterus-terang. Ada kalanya Qayyum bagaikan mengelak daripada membicarakan soal itu. Habis, dia mahu buat apa lagi? Paksa Qayyum? Dia belum terfikir sampai ke situ. Walaupun dia brutal, paksa memaksa orang belum termasuk dalam agenda akalnya.

"Habis dia cakap apa?" tanya Emily, kasar sedikit.

"Dia tak mengaku. Dia kata aku yang suka dengar cakap orang." Anom menjawab tanpa memandang Emily.

"Mesti dia mengata aku yang suka bawak mulutlah tu. Mesti nak balas dendam kat aku. Hari tu kan dia dah kena sebiji dengan aku." Emily merengus dengan benak menghimbau kembali detik-detik berdepan dengan Qayyum di hadapan GSC di kompleks membeli-belah One Utama. Memang teruk Qayyum kena penangan kata-kata kesatnya.

Anom diam sahaja mendengar Emily melepaskan peluru berpandunya. Hatinya yang sebal dengan kerenah Qayyum membuatkan bibirnya memberat. Hilang mood mahu membalas tuduhan Emily.

"Takkanlah dia nak mengaku buta-buta aje? Dia tu memang pandai putar belit. Memang dasar buaya tembaga. Kau tu pulak lembik sangat. Percaya aje apa kata dia," bidas Emily kemudian, melepaskan amarahnya kepada Anom pula.

Terkebil-kebil mata Anom memandang muka teman baiknya. Tidak pasal-pasal dia pula menjadi sasaran cercaan Emily. Ini siapa pula yang terkena serangan puting beliung? Dia atau Emily?

"Balik ni kau terus pergi jumpa Qay. Kau tanya dia betul-betul. Hisy! Geram akulah dengan perangai si buaya darat ni. Dah buat salah, tak nak mengaku. Pandai pulak mengata aku yang memandai bawak mulut!" Tidak habis-habis lagi Emily merungut. Dia sememangnya panas baran orangnya. Melebihi Anom. Janganlah orang cari pasal dengan dia. Memang orang itu akan kena tembak berdas-das.

"Yalah...nanti aku call dia tanya pasal ni." Tidak mahu melihat Emily terus-terusan naik angin, Anom pantas mencari jalan penyudah.

"Jangan call aje. Dah tentulah dia mengelak. Silap-silap, panggilan kau tu langsung dia tak angkat." Pandai pula Emily meramalkan apa tindakan Qayyum nanti.

"Okey, habis tutorial petang ni, aku tunggu dia depan dewan kuliah," balas Anom mengubah rancangan.

"Hah...tu baru betul. Nanti aku temankan kau." Tanpa dipinta, Emily dengan rela hati menjadi bodyguard Anom. Apa sahaja yang berlaku nanti, dia yang akan tangkis untuk Anom. Maklumlah, dia kan pemegang tali pinggang hitam? Nahaslah Qayyum jika berani buat perkara bukan-bukan kepada teman baiknya ini.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.