Home Novel Cinta Cinta Copy Paste
Cinta Copy Paste
7/1/2015 22:48:13
135,302
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6

TELEFON bimbit Anom Sufi menjerit-jerit minta diangkat ketika dia dan Emily terpacak menanti Qayyum di ruang parkir Fakulti Kejuruteraan. Terus tangannya menggagau ke dalam poket beg galasnya mengeluarkan Samsung Galaxy S5nya.

Sebelum menjawab, Anom melayangkan pandangan ke skrin telefon. Tertera hanya sebaris nombor di situ tanpa nama pemanggil. Siapa pula yang menelefon? Anom naik cuak. "Hello?" Suara Anom keras bertanya.

"Hui...garangnya!" Kedengaran pemanggil itu ketawa galak. Suara orang lelaki. Entah siapa.

"Siapa ni?" Bertambah keras nada suara Anom. Hatinya sakit apabila si pemanggil tidak mengenalkan diri sebelum bersuara. Apa lagi memberi salam.

"Abang...." Meleret-leret pula nada suara itu menjawab diiringi derai tawa yang tidak putus-putus.

"Abang mana?" tengking Anom. Meluat dia mendengarnya. Pandai-pandai sahaja orang itu mengaku abang kepada dia. Eh...dia mana ada abang lain selain Abang Syahid? Itu dah sah-sah bukan suara Abang Syahid. Suara Abang Syahid tidaklah segarau itu.

"Assalamualaikum, Sufi...."

Anom Sufi terdiam macam patung sehabis si pemanggil memberi salam dan menyebut sepotong nama itu. Habib? Habib sahaja manusia di planet Bumi ini yang memanggilnya Sufi.

"Waalaikummussalam," sambut Anom sambil lewa. Berputar otaknya cuba meneka dari mana si 'Habib Jewels' ini mendapat nombor telefonnya. Seingatnya, dia tidak pernah bertukar-tukar nombor telefon dengan Habib.

"Sufi sihat?" Lembut suara si pemanggil bertanyakan khabar Anom.

"Hmm...biasa-biasa aje. Rajinnya Datuk call saya. Kat tepi jalan mana Datuk terjumpa nombor saya ni?" perli Anom.

Pecah gelak Habib mendengar sindiran Anom. Kuat bunyi hilai tawanya sampaikan telinga Anom yang mendengar jadi berdesing. Cepat-cepat Anom jauhkan peranti tersebut dari lubang telinganya.

"Abang tak jumpa kat tepi jalanlah, sayang. Ada orang sent nombor Sufi ni kat handset abang," balas Habib lalu menyambung tawanya.

Anom membulatkan mata mendengar bahasa panggilan Habib yang sudah jauh tersasar dari landasan persahabatan. Geli-geleman telinganya mendengar Habib membahasakan dirinya abang dan memanggilnya sayang. Hisy! Siapa entah yang mahu jadi sayang dia? Uwek! Anom rasa mahu termuntah.

"Papa saya ke yang bagi nombor ni pada Datuk?" Anom mengorek rahsia. Cuma wajah papa yang terlayang di matanya. Siapa lagi yang suka memadankan dia dengan si tua keladi ini kalau bukan papa?

"Yalah...bakal bapa mentua abanglah yang bagi." Hilai tawa Habib semakin rancak.

Tersedak liur Anom mendengarnya. Bapa mentua? Eeii....gurauan orang tua ini memang tidak boleh dilayan!

"Hmm...whateverlah, Datuk. Ada apa Datuk call saya ni?" Pantas Anom bertanyakan soalan paling mustahak itu. Dia tidak mahu bersembang lama-lama dengan Habib. Ada perkara lebih penting yang mesti dia selesaikan ketika ini. Bila-bila sahaja Qayyum akan keluar dari fakulti pengajiannya dan dia mesti cepat-cepat bersemuka dengan Qayyum.

"Rindu..."

Entah mengapa jawapan ringkas Habib buatkan Anom tertawa mengikik. Rindu? Jika itu jawapan untuk membuatkan hatinya tersungkur, minta maaflah. Anom Sufi tidak akan sesekali jatuh cinta dengan lelaki yang beberapa tahun lagi akan menginjak ke usia 'expired'!

"Kenapa pulak ketawa ni? Abang cakap betul-betullah!" Nada suara Habib sudah berubah rentak. Merajuk agaknya.

"Yalah...apa-apa ajelah, Datuk. Dah...dah...saya sibuk ni. Tak ada masa nak layan Datuk." Anom cepat mahu menamatkan perbualan. Malas mahu 'bergayut' lama-lama. Tidak kuasa juga mahu memujuk jika benar Habib merajuk. Dia yang brutalhendak pujuk orang tua merajuk? Kirim salam sahajalah!

"Tunggu, Sufi!" Habib menggelabah bila Anom mahu menamatkan panggilan. Apa tidaknya, hajat di hati belum sempat dizahirkan kepada gadis di sebelah sana.

"Hah...ada apa lagi ni, Datuk?" tanya Anom yang mula naik geram dengan perangai Habib. Tidak sudah-sudah mahu mengacau ketenteraman orang.

"Balik nanti abang akan jemput Sufi. Sufi tunggu kat bus stop tempat Sufi biasa tunggu papa. Abang akan ambil Sufi kat situ," arah Habib lancar. Tiada brek. Bimbang jika dilambat-lambatkan, Anom akan menamatkan panggilan.

"Kenapa pulak Datuk yang jemput saya? Papa saya yang akan jemput saya hari ni." Anom membantah. Enggan untuk mudah percaya kepada kata-kata Habib. Manalah tahu jika Habib menipu. Zaman sekarang, kena berhati-hati. Orang yang nampak alim sebenarnya hanya alim-alim kucing dan cuma mahu mengambil kesempatan.

"Papa ada sampaikan pesan pada abang tadi. Katanya hari ni dia tak sempat jemput Sufi. Kebetulan abang lalu kawasan sini, jadi papa suruh abang jemput Sufi sekali," jelas Habib.

Anom memicit dahi yang tiba-tiba terasa pening-pening lalat. Tekaknya tiba-tiba jadi loya mendengar jawapan Habib tadi. Habib memanggil ayahnya dengan panggilan papa. Itu yang buatkan dia terasa macam terkena migrain. Eeii....melampau sungguhlah si Habib Jewels ni!

"Saya tak nak balik dengan Datuk! Saya akan naik teksi." Tegas jawapan Anom.

"Sufi kena balik juga dengan abang. Papa dah amanahkan abang untuk jemput Sufi. Abang tak nak Sufi naik teksi. Pemandu teksi sekarang bukannya boleh percaya sangat," bantah Habib.

Mendengus kuat Anom mendengarnya. Pandai sahaja Habib jadikan pemandu teksi sebagai alasan. Selama ini dia selalu pulang ke rumah dengan teksi, tidak ada apa-apa jadi pun? "Tengoklah nanti!" Anom mematikan talian. Lagi lama dia melayan Habib, lagi cepat dia terkena migrain.

"Siapa tadi tu?" Emily memulakan soal selidiknya sebaik sahaja Anom selesai menyumbat telefon bimbit ke dalam poket seluar. Tadi dia memasang telinga mendengar perbualan Anom dengan lelaki yang dipanggil Datuk itu.

"Tak ada siapa-siapa," dengus Anom, beralasan. Dia belum mahu berkongsi kisah Datuk Habib Iqmal dengan Emily, itu yang pasti.

TERLIHAT kelibat Qayyum di kejauhan, Anom Sufi rasa teruja. Tidak sabar-sabar mahu bersemuka dan melepas rindu kepada Qayyum.

"Eh...kau ni, kalau ya pun excited, sabar-sabarlah dulu. Tak nampak siapa yang tengah tunggu dia kat bawah pokok besar tu?" Emily menarik tangan Anom apabila teman baiknya itu terus mahu menerpa ke arah Qayyum.

"Tengah tunggu bawah pokok?" Mengecil mata Anom melilau mencari subjek yang disebut Emily.

"Tu...nampak tak budak perempuanyang pakai baju kurung biru tu," terang Emily secara lebih spesifik.

"Yang pakai tudung pink tu?" tanya Anom kurang yakin.

"Ha'ah...itulah Miza."

Berderau darah Anom tatkala memandang gadis bernama Miza yang dihebohkan Emily dan teman-temannya ada hubungan cinta dengan Qayyum. Memang cantik orangnya. Kulitnya putih kuning. Gayanya pula lemah-lembut. Jika dibandingkan dengan dia ini tidak ubah bagai bulan dengan matahari.

Memandang lama ke arah Miza, membuatkan Anom terasa sesak nafas. Betul ke Qayyum ada hubungan dengan gadis itu? Biarpun berat untuk menerima, dia tetap tidak mahu percaya kepada bisikan hati sendiri. Kakinya sudah setapak melangkah mendekati Qayyum tetapi cepat-cepat lengannya ditarik Emily.

"Kenapa?" Anom naik angin apabila Emily sering kali menyekat keinginannya untuk bertemu empat mata dengan Qayyum.

"Sabar dulu, cik kak. Kita tengok dulu apa yang si buaya tu akan buat. Lepas tu baru kita serang dia." Emily usulkan strategi untuk memerangkap Qayyum.

Anom Sufi menganggukkan kepala tanda bersetuju. Ada bernasnya saranan Emily. Biar dia intai dulu dari jauh tingkah laku Qayyum. Kalau disergah sekarang, berkemungkinan Qayyum akan buat-buat tidak mengenali Miza. Susahlah Anom hendak mencari bukti tentang kecurangan Qayyum.

Melihat Qayyum tersenyum manis ketika berjalan mendekati Miza, hati Anom bagaikan dicarik-carik. Nampak sangat Qayyum bahagia bertemu Miza. Apabila sudah saling berhadapan, Qayyum capai tangan Miza dan diramas-ramasnya lembut sambil saling merenung anak mata. Amboi! Hati Anom menjerit marah. Sudah berpegangan tangan begitu, Qayyum masih kata dia dan Miza tiada hubungan apa-apa? Qayyum ingat dia bodoh ke?

Anom tidak sanggup menunggu lagi, terus meluru ke arah Qayyum. Ketika itu Qayyum sedang melangkah menuju ke arah motosikal Ducati 848nya. Miza menurut di belakang.

Sambil ketawa-ketawa, Qayyum capai topi keledar dan dipasangkannya ke kepala Miza. Huh....romantiknya! Semakin berbahang hati Anom melihatkan perangai 'dua muka' Qayyum!

"Qay!" Jeritan Anom sudah mengalahkan suara Tarzan memanggil haiwan-haiwan dalam hutan. Lantang. Siswa-siswi yang hilir mudik di kawasan parkir motosikal tertoleh-toleh mendengar suara halilintarnya. Huh...hendak pandang, pandanglah. Dia peduli apa?

Qayyum menoleh memandang Anom yang tiba-tiba muncul di situ macam kilat. Mukanya yang manis berseri sekelip mata berubah warna. Terkejut! Nampaknya bala sudah datang, hati Qayyum berbisik kalut. "A....apa yang Ann buat kat sini?" Tergagap-gagap suara Qayyum bertanyakan Anom. Orang sudah buat salah, tentulah menggelabah dan kelam kabut.

"Ann nak jumpa Qay. Ni siapa?" Jari telunjuk Anom lurus ke arah Miza yang mukanya sudah serupa mayat. Menunduk sahaja kepalanya. Takutlah tu. Hah...tahu pula budak ini takut. Bila memasang niat hendak merampas kekasih orang dulu, berani pula dia, bentak Anom. Angin puting beliungnya sudah mencanak naik.

"Ni...ni..." Suara Qayyum terhenti di situ. Serba salah. Tersepit di antara keinginan untuk berterus-terang atau terus berdusta. Memandang muka Anom yang menyinga, dia kecut perut. Menatap muka Miza yang monyok dan pucat lesi, dia bersimpati.

"Cakap aje, Qay! Tak payah nak menipu," celah Emily yang berdiri di samping Anom. Panas hatinya melihat Qayyum masih cuba berdolak-dalik. Memang dasar biawak lidah bercabang, rungutnya geram.

"Qay?" Anom mengangkat kening dengan pandangan tajam menusuk ke muka Qayyum, kemudian berpindah ke muka gadis di sebelahnya.

Benci Anom melihat gelagat Miza. Di hadapan Qayyum, mulalah Miza buat muka tidak bersalah. Ikutkan hati hendak sahaja dia ganyang muka Miza. Biar perempuan ini kenal siapa dia Anom Sufi yang garang ini.

"Qay cakap sekarang! Kalau tidak, Ann tampar muka dia ni!" ugut Anom dengan tangan diangkat tinggi. Macam betul-betul mahu menampar muka Miza.

Miza yang ketakutan terus menyorok di belakang Qayyum.

Bertambah geram Anom melihat perangai Miza. Berani pula budak tidak tahu malu ini jadikan buah hatinya sebagai perisai. Mengada-ngada! Qayyum pula nampak menggelabah dan bersungguh-sungguh mahu melindungi Miza. Geramnya dia. Jika tidak dikawal marah yang menggelegak ini mahu pengsan anak orang ditamparnya!

"Okey...okey...jangan marah, Ann. Ni Qay kenalkan, Miza." Mengalah juga akhirnya Qayyum. Begitu pun dia masih teragak-agak mahu menyambung penjelasan.

"Ann tak nak tahu nama dialah! Yang Ann nak tahu, apa hubungan Qay dengan dia! Siapa sebenarnya dia ni?" Sambil bercekak pinggang, Anom menudingkan jari lagi ke muka Miza. Bahu Miza yang berdiri di belakang Qayyum, ditolak-tolaknya kasar.

"Dia...dia...." Suara Qayyum terhenti. Tangannya spontan menepis tangan Anom yang masih menolak-nolak bahu Miza. Berkerut mukanya. Macam tidak suka Anom buat begitu terhadap Miza.

"Cakap, Qay!" sergah Anom. Terbakar hatinya melihat perlakuan Qayyum yang seakan-akan membela Miza. Mukanya sudah menyala-nyala bagaikan udang dipanggang. Badan pula menggeletar. Seumur hidup, belum pernah Anom semarah ini.

"Dia...junior Qay aje, Ann. Kami tak ada apa-apa hubungan. Qay kenal dia masa Majlis Suai Kenal hari tu. Sejak tu kami rapat. Tapi rapat pun sebab pelajaran. Dia selalu tanya Qay pasal subjek yang dia tak faham. Tak lebih dari tu." Pandai pula Qayyum mencipta alasan untuk menutupi kecurangannya.

"Hmm...rapat sebab pelajaran tapi bawak pergi tengok wayang. Sampai berpegang-pegang tangan. Siap angkut naik motor ke hulu ke hilir lagi. " Emily sudah mencebik bibir. Mata Qayyum yang merenung tajam ke arahnya, tidak dihiraukan. Benci sungguh dia dengan sikap Qayyum yang pandai bermuka-muka.

"Patutlah Ann call asyik tak jawab. Rupa-rupanya Qay sibuk melayan perempuan ni." Anom tolak-tolak bahu Qayyum dengan jari telunjuknya. Hati yang pedih membuatkan dia terasa ingin menangis. Namun, berbaloikah airmatanya tumpah hanya untuk lelaki curang macam Qayyum?

"Ann..." Qayyum sudah kehilangan kata. Hendak memujuk Anom tetapi saat dan tempatnya tidak sesuai. Lebih-lebih lagi bila ada 'si batu api' di sebelah Anom.

"Qay suka dia?" soal Anom laju. Mulut sibuk bertanya namun hati gementar menanti jawapannya.

Qayyum diam. Sesekali dia menunduk, kemudian membuang pandang ke arah lain. Mata Anom yang tajam menanti jawapannya, langsung tidak dipandang. Nampak sangat dia gelisah.

"Kalau Qay suka dia, kita putus. Kalau Qay masih sayangkan Ann, tinggalkan perempuan ni!" Anom memberi kata dua kepada Qayyum. Rasanya itu sahaja cara untuk memaksa Qayyum yang suka berdolak-dalik untuk berterus-terang.

"Ann....janganlah macam ni," pujuk Qayyum. Tangannya bergerak mencapai tangan Anom tetapi cepat-cepat Anom mengelak.

"Ann bagi Qay dua hari untuk fikir. Kalau tak ada jawapan dalam masa dua hari tu, kita putus!" putus Anom. Selepas berkata begitu, dia menarik tangan Emily dan melangkah laju meninggalkan Qayyum dan perempuan berlagak suci itu. Menoleh ke belakang pun dia tidak. Muka Qayyum tidak sudi dipandangnya lagi.

Di antara Anom dan Miza, biarlah Qayyum sendiri membuat pilihan. Jika Qayyum memilihnya, syukur dia tidak terhingga. Jika Qayyum membuat keputusan untuk meninggalkannya dan memilih Miza, apa yang boleh dia kata? Terima sahajalah keputusan Qayyum. Hendak melihat dia merayu-rayu kepada Qayyum supaya menerima dia? Jangan harap! Itu bukan Anom Sufilah!

Namun, jauh di sudut hati, Anom belum mampu melepaskan Qayyum pergi. Pertama kali dalam hidup, Anom rasa kecewa akibat putus cinta. Arghh! Hatinya menjerit melepaskan sesak di dada.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.