HARI
ini Qayyum sepatutnya memberi kata putus tentang siapa yang dipilihnya. Anom Sufi
atau Miza? Sejak pagi tadi sampai ke petang hari, Anom tertunggu-tunggu
panggilan daripada Qayyum. Namun, Qayyum tetap menyepi tanpa khabar berita.
Qayyum buat dia ternanti-nanti seperti menanti buah yang tidak luruh-luruh.
Mizakah
pilihan Qayyum? Andaian yang melintas di benaknya membuatkan hati Anom merintih
hiba. Dia belum sah kalah tetapi firasat itu menjadikannya pejuang yang telah
rebah. Lelah ditikam Qayyum dari belakang.
"Dah-dahlah
tenung handphone tu. Dia takkan call kau lagi. Tu tandanya dia dah buat
pilihan."
Kata-kata
Emily menampan telinga Anom. Pedih cuping telinga mendengarnya bagaikan
ditampar berulang kali. Perit dan sakitnya bagaikan berjangkit ke ulu hati. Jika
tahu sakitnya putus cinta akan jadi sepedih ini, tidak mahu Anom bercinta
dengan Qayyum. Biarlah Qayyum rayu dia sejuta kali pun, dia akan tetap tulikan
telinga dan butakan hatinya daripada menerima cinta pemuda itu.
"Kau
nak ke mana tu?" tanya Emily. Resah melihat Anom bingkas berdiri dan
berjalan tanpa menoleh kiri kanan macam orang kena sampuk.
"Aku
nak pergi jumpa dia," jawab Anom. Dia sudah membuat keputusan hendak
bersemuka dan bertanya tentang pilihan Qayyum. Jika tekad Qayyum belum bulat
untuk menerima Miza, dia akan pujuk Qayyum memilihnya. Itulah niat yang
terbenam di lubuk hatinya.
"Sudahlah
tu, Ann. Qay tak ada call tandanya
dia dah pilih budak Miza tu. Tak payahlah kau rayu-rayu dia supaya pilih kau.
Buat malu aje. Naik tocang Qay kalau kau buat macam tu." Emily merengus
tidak setuju dengan tindakan teman baiknya ini.
"Aku
nak tanya Qay sendiri kenapa tak pilih aku? Kenapa dia pilih budak tu? Apa
lebihnya budak tu? Apa kurangnya aku? Sedangkan dulu aku ni yang dia puja-puja.
Sampai hati dia buat aku macam ni." Sambil berjalan, tangan Anom bergerak
menyapu air mata yang meleleh di pipi. Sekeras-keras hatinya, lebur juga bila
dilanyak-lanyak Qayyum.
"Sudah-sudahlah
tu, Ann. Janganlah buat diri kau macam ni. Tak guna menangis kerana jantan tak
guna macam Qay tu. Cari lain aje, Ann. Cari yang lebih bagus daripada Qay.
Tunjukkan kat Qay yang kau boleh dapat yang lebih baik daripada dia." Emily
main belasah sahaja memujuk Anom. Tidak pasti samada kata-katanya itu relevan
atau tidak untuk mengubati hati Anom yang tersiat pedih dikerjakan Qayyum.
Anom
tidak membalas kata-kata Emily. Langkahnya terhenti apabila tiba di kereta
Emily. Tangan kanannya pantas memegang pintu kereta. "Hantarkan aku jumpa
Qay." Tegas suara Anom dengan mata tunak memandang muka temannya.
Tergeleng
kepala Emily melihat kedegilan Anom yang tidak bertempat. Serba-salah dia mahu
menuruti kemahuan Anom. Jika tidak dituruti, ditakuti Anom akan menangis
mengongoi-ngongoi macam budak kecil. Silap-silap mereka akan putus kawan. Jika
diikut pula, berkemungkinan Anom akan memalukan diri sendiri dengan merayu-rayu
cinta Qayyum. Aduhai....susahnya menjadi teman baik insan bernama Anom Sufi
ini.
Sudahnya,
Emily tekan alarm untuk membuka pintu
kereta. Biarlah hari ini dia turuti kemahuan Anom untuk bersemuka dengan
Qayyum. Dia pun ingin tahu mengapa Qayyum sampai hati buat Anom macam itu. Dahulu
semasa tengah sayang, Anomlah yang Qayyum puja-puja. Apabila sudah muak, Qayyum
campak sahaja Anom macam barang tiada harga. Ingat kawan baiknya ini karung
sampah ke? Jika alasan yang diberi Qayyum ternyata tidak munasabah, nahaslah
Qayyum!
MEREKA
tiba di Fakulti Kejuruteraan tepat pukul 5.00 petang. Siswa-siswi yang sudah
tamat kuliah berduyun-duyun keluar dari bangunan yang menempatkan dewan dan
bilik-bilik kuliah itu.
Emily
memberhentikan keretanya di kawasan parkir bersebelahan ruang parkir motosikal.
Matanya melilau mencari motosikal Ducati 848 berwarna kuning pekat kepunyaan
Qayyum. Melihat motosikal Qayyum masih berada di tempat biasanya, Emily menarik
nafas lega. Tandanya, adalah rezeki Anom hari ini untuk bersemuka dengan
Qayyum.
"Kau
dah bersedia ke nak hadapi kenyataan?" Emily menambah kegelisahan Anom
dengan memuntahkan pertanyaan yang lama terkumpul dalam dadanya. Baginya, jika
Anom tidak bersedia, ada masa lagi untuk Anom pergi.
Anom
mematungkan diri. Mengangguk tidak. Menggeleng tidak. Tunak matanya memandang
ke hadapan. Agaknya kalau dia ada kuasa ajaib macam Ultraman, sudah lama cermin
kereta Emily ini pecah dipanah matanya.
Bersediakah
dia menerima kenyataan yang berkemungkinan pahit bagaikan hempedu? Anom tidak pasti
hatinya sendiri. Secara jujurnya, dia tidak punya persediaan langsung dari segi
mental dan fizikal untuk bertemu Qayyum petang ini. Dia sebenarnya main redah
sahaja kerana menuruti kata hati. Harap-harap, janganlah air matanya tumpah
menangisi detik-detik perpisahan dengan Qayyum. Tidak rela dia diketawakan
Qayyum dan Miza apabila dia yang kasar tiba-tiba jadi perempuan 'jiwang' hari
ini.
"Walau
apa pun yang Qay cakap nanti, aku harap kau tabah, Ann. Kuatkan semangat kau
dan jangan menangis. Tunjukkan pada Qay yang kau sebenarnya tak kisah pun putus
dengan dia. Jangan sesekali bagi dia nampak muka monyok kau tu. Kalau kau
menangis depan Qay, kita putus kawan!" nasihat Emily separuh mengugut.
Tajam
mata Emily menjeling Anom. Lantaklah jika Anom naik angin mendengar
kata-katanya. Dia tidak peduli. Namun, apabila melihat mata Anom meredup dan
kemudian mengangguk tanda bersetuju, Emily menarik nafas lega.
"Dia
dah keluar," kata Anom kemudian dengan sepasang mata terarah ke pintu
bangunan Fakulti Kejuruteraan.
Melihat
Qayyum berjalan beriringan dengan seorang gadis berbaju kurung dan bertudung,
hati Anom terasa macam dipukul ribut taufan. Bergoncang-goncang bagaikan mahu
rebah. Awan hitam mula berkumpul di tubir mata membuatkan matanya memberat
dengan air jernih. Bila-bila sahaja musim tengkujuh yang tidak diundang akan
datang menyerang kolam matanya. 'Bertabahlah Anom Sufi', hatinya berbisik sendu.
Tidak akan sesekali dibiarkan air matanya tumpah di hadapan lelaki yang telah
melukai hatinya. Itu janji Anom kepada diri sendiri.
"Be strong, Ann. Tahan air mata tu,"
pujuk Emily apabila melihat mata Anom terkelip-kelip menahan air mata yang mahu
berderai di pipi.
Anom
mengangguk. Setelah mampu mengawal rentak emosi, dia keluar dari perut kereta.
"Hai...Qay!" sapanya, buat-buat ramah. Mukanya sengaja dimaniskan.
Kalau madu itu manis, manis lagi senyuman palsu di bibirnya.
Terkejut
Qayyum melihat Anom terpacul di hadapannya. Keningnya berkerut-kerut menghantar
tanda tidak suka dengan kemunculan Anom yang tiba-tiba. Kedua belah tangan
Qayyum pula sudah bergerak mengepung gadis yang berdiri di sebelahnya
seolah-olah mahu melindungi insan kesayangan daripada digempur makhluk paling
ganas. Dan Anom Sufilah makhluk paling ganas itu!
Sayunya
hati Anom memandang semua itu. Tanpa bertanya pun dia sudah tahu jawapan
Qayyum. Justeru, perlukah dia menyoal lagi dan biarkan hatinya dirobek-robek
bicara Qayyum yang tajam bagaikan belati? Atau perlukah dia tinggalkan sahaja
Qayyum dan biarkan percintaan mereka lenyap tanpa kata penyudah? Dalam hati
berbalut resah, Anom cuba mencari kekuatan untuk pasrah.
"Hai,
Ann! Dah lama kita tak jumpa ya?" Qayyum juga buat-buat mesra menatap
wajah Anom. Wajah yang dulunya menjadi penghias hati tetapi kini terasa
membosankan apabila sudah punya lain pengganti.
'Dah
lama tak jumpa?' Mengetap bibir Anom mendengar kata-kata Qayyum yang diucapkan
cukup bersahaja. Macam tiada apa-apa yang terjadi antara mereka. Dada terasa
mahu pecah menampung pilu yang berkumpul menyesak sanubari. Oh TUHAN! Jika ini
balasan untuk ketulusan cintanya kepada Qayyum, dia lebih rela untuk tidak
pernah mengenali Qayyum sebelum ini. Biarlah dia dan Qayyum jadi orang asing
dan terpisah jauh beribu batu. Dia lebih rela begitu.
"Qay
sihat?" Sedaya upaya Anom cuba menguatkan hati dan bersikap setenang yang
mampu.
"Sihat
aje. Ann?" Qayyum menanya Anom balik.
Anom
menganggukkan kepala. "Macam yang Qay nampak nilah." Dia menghadiahkan
senyuman tanpa gulanya kepada Qayyum.
"So...apa hal Ann jumpa Qay ni?" soal
Qayyum, acuh tidak acuh. Sesekali matanya melirik kepada gadis kesayangan yang
berdiri kaku di sampingnya. Mahu memastikan kekasih barunya tenang dan tidak
menggelabah berhadapan dengan kekasih lamanya.
"Ann
nak tahu apa keputusan Qay." Pendek sahaja jawapan Anom. Singkat tetapi
padat.
Sepi
berjeda.
Sambil
menunduk Qayyum menarik nafas panjang-panjang. Wajah tampannya dengan rambut
agak panjang mencecah tengkuk itu nampak berserabut. Seketika kemudian, dia mengangkat
kepala. Wajah Anom direnung lama. Keningnya berkerut. "Kenapa Ann tanya
Qay lagi? Ann dah tahukan apa keputusan Qay?" tanyanya bosan.
"Ann
tak tahu. Selagi Qay tak terus terang, Ann akan anggap kita masih ada hubungan.
Ann masih sayangkan Qay," ucap Anom lirih. Pada waktu itu dia sudah hilang
rasa malu. Biarlah Qayyum dengar ucapan cinta berkali-kali dari bibirnya sampai
jemu. Mudah-mudahan hati Qayyum tersentuh mendengarnya dan seterusnya menarik
balik keputusan untuk meninggalkannya.
"Ann
nak Qay terus-terang?" Qayyum merengus. "Baik. Qay terus terang pada
Ann. Qay pilih Miza. Qay sayangkan Miza sangat-sangat dan Qay harap Ann takkan
ganggu hubungan kami," sambung Qayyum dengan muka tiada perasaan. Dia
memang bosan hendak bersembang lama-lama dengan Anom Sufi. Banyak kerja lain
yang hendak dibuatnya daripada membuang masa menghadap muka Anom yang kian hari
kian memualkan perasaannya.
"Kenapa
Qay buat Ann macam ni? Kenapa Qay sanggup hancurkan perasaan Ann? Apa silap Ann
pada Qay? Cakap Qay!" Anom tolak-tolak bahu Qayyum dengan kudratnya yang
sudah tersisa. Lemah dengan segala perbuatan Qayyum yang dirasakan amat tidak
bertimbang rasa.
"Sebab
Ann tak layak untuk Qay. Cuba tengok diri Ann tu kat cermin. Tak menarik
langsung. Dengan penampilan yang macam ni, ada ke lelaki yang berselera tengok
Ann? Lelaki yang minat kat Ann ni memang bodoh." Qayyum tergelak-gelak
jahat menyindir Anom. Biarpun tiada secuil pun kesilapan Anom terhadapnya,
hatinya puas dapat menyakiti hati Anom. Selepas ini tentu Anom serik dan berfikir
dua tiga kali untuk mengganggu hubungannya dengan Miza. Begitu
pendapatnya.
Tersentap
Anom mendengar kata-kata Qayyum yang diucapkan tanpa langsung perasaan
bersalah. Hati terasa seperti dicucuk-cucuk duri. Kepalanya memberat menahan
rasa marah yang meluap-luap. Ingin rasanya dia menjerit memaki hamun Qayyum
namun rengkungnya terasa perit bagaikan dibakar api.
Anom
mengalihkan pandangan ke wajah Miza yang berdiri di sebelah Qayyum. Melihat
gadis itu tersenyum kemenangan, hatinya terasa mahu memekik-mekik! "Tapi
dulu Qay yang pikat Ann kan? Qay kata Ann lain dari perempuan lain. Qay kata
Ann unik dan tersendiri sebab tu Qay sukakan Ann.."
"Uniklah
sangat." Qayyum mencebik bibir. "Dulu Qay bodoh tak kenal mana kaca
dan mana permata. Sekarang Qay dah buka mata luas-luas. Dan Qay sekarang dah
kenal yang mana benda berharga dan yang mana sampah."
Anom
mengetap bibir menahan air mata yang mahu tumpah. Sampainya hati Qayyum mengibaratkan dirinya
macam sampah! Hatinya yang terluka terasa ingin meraung-raung!
"Dan
untuk pengetahuan Ann, Qay dan Miza nak bertunang tak lama lagi. So...Qay harap Ann lupakanlah Qay."
'Bertunang?'
Kenyataan baru itu membuatkan Anom hampir pengsan! Tanah yang dipijak tiba-tiba
sahaja terasa lembik di hujung kaki. Sebelum tubuhnya jatuh menyembah bumi,
tidak semena-mena ada sepasang tangan kekar memaut bahunya. Tangan siapa
agaknya? Dengan tubuh yang lemah dan minda yang bercelaru, Anom berpusing untuk
melihat sang penyelamatnya. Habib!
"Oh...kamu
berdua nak bertunang? Tahniah! Saya dan Sufi pun tak lama lagi nak bertunang
juga. Betul tak, sayang?" Habib memaut bahu Anom sedikit dengan mata
merenung lembut ke dalam anak mata gadis itu.
Anom
Sufi terkedu. Diri serasa tenggelam dalam sinar mata Habib yang tajam memikat.
Senyuman Habib yang sentiasa manis dengan lesung pipit dikedua belah pipi membuatkan
dirinya terawang-awang. Oh! Dirinya sudah terasa lain macam. Apa kena dengan
dirinya ini? Sungguh dia tidak tahu.
"Nak
bertunang juga?" tanya Qayyum yang kelihatan sungguh keliru. Tidak
pernah-pernah Anom ceritakan kepadanya tentang lelaki ini. Melihat mukanya pun
tidak pernah, tiba-tiba sahaja terbongkar kisah Anom mahu bertunang. Apakah
selama ini Anom curang di belakangnya? Qayyum mengetap gigi. Membahang hatinya
pabila menyedari dia ditipu Anom hidup-hidup.
"Hmm...tak
lama lagi. Kan, sayang?" Habib buat lagi gaya romantiknya dengan tersenyum
manis merenung muka Anom. Memang sengaja dia buat begitu untuk membuat Qayyum
cemburu. Jika Anom cair dengan sikap romantiknya dia lagi suka. Itu satu bonus
untuknya.
Memang
pun hati Anom sudah mencair macam salji dipanah sang mentari. Mengapa Habib
bertindak begitu? Sungguh dia tidak tahu. Dan...dia keliru.