Home Novel Cinta Cinta Copy Paste
Cinta Copy Paste
7/1/2015 22:48:13
137,049
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 19

MELANGKAH masuk ke ruang kafeteria, Anom Sufi berpapasan dengan Qayyum. Pemuda itu sedang rancak berbual dengan Fitri. Mata Anom melingas mencari-cari Miza tetapi tidak nampak pula muka perempuan itu. Ke mana pula perempuan sengal itu pergi? Selalunya, ada sahaja dia menempel di sebelah Qayyum, tidak ubah macam belangkas betina. Huh! Panjang bibir Anom mencebik. Meluat betul dia dengan perangai Miza. Gedik!

Mencerut muka Qayyum sebaik sahaja terpandangkan Anom. Dipandangnya muka Anom tidak lepas-lepas. Lagaknya macam ada perkara yang dia tidak puas hati dengan Anom. Sebaik sahaja mata mereka bertatapan, dia terus menaikkan jari telunjuknya di hadapan muka Anom. "Qay nak jumpa Ann lepas ni," katanya dengan suara keras semacam.

Anom menjongketkan kening sebelah macam Ziana Zain. Hairan dia dengan nada suara Qayyum yang meninggi. 'Macam marah aje mamat ni', fikirnya begitu. "Ada apa?" Dibalasnya ujaran Qayyum dengan suara yang keras juga.

"Nanti Qay cakap. Qay tunggu kat luar." Usai bercakap, Qayyum terus mengangkat kaki meninggalkan Anom.

Fitri yang diam sahaja sejak tadi mengekori langkah temannya itu. Sebelum melangkah lebih jauh, sempat lagi dia menghadiahkan Anom sebuah jelingan tajam seolah-olah marah benar dengan Anom.

'Apa hal pula ni'? Hati Anom Sufi bertingkah. Melihat dari gaya kedua rakan karib itu, dia seperti dapat menjangka ada sesuatu yang tidak kena. Malas hendak memikirkannya sangat, dia pantas melangkah ke meja panjang tempat pelbagai jenis juadah terhidang. Diambilnya beberapa keping sandwich dan setin Coke. Kemudian, dia menuju ke kaunter bayaran.

Keluar dari kafeteria, Anom melihat Qayyum sedang duduk santai di atas bangku panjang di bawah pokok sena. Tidak nampak pula Fitri. Mungkin Fitri sudah pergi. Bagus juga kalau Fitri tidak ada. Bolehlah dia bertekak kuat-kuat dengan Qayyum tanpa ada sesiapa masuk campur.

Anom Sufi menjatuhkan punggung di atas bangku panjang, jauh sedikit daripada Qayyum. "Ada apa?" Dia tujahkan soalannya tanpa menoleh. Tin Coke yang berada di dalam kantung plastik dikeluarkan dan ditarik penutupnya. Isi di dalamnya diteguk. Orang yang duduk di sebelah langsung tidak dipelawanya minum sama.

Qayyum merengus. Dijelingnya Anom tajam-tajam. "Pandai Ann sembunyikan daripada Qay ya? Selama ni Qay sangka Ann setia dengan Qay!" Hambur Qayyum tanpa menunggu.

Tercenung-cenung Anom Sufi dengan mata memicing memandang Qayyum. Tidak faham betul dia dengan perangai orang di sebelahnya ini. Tanpa kata mukadimah terus hendak marah-marah. Kalau ya pun geramkan dia, beritahulah apa puncanya. Ini tidak, belum sempat dia pasang kuda-kuda, sudah kena serang. "Apa maksud Qay? Apa yang Ann dah sembunyikan?"

"Kura-kura dalam perahu. Ann tanya diri Ann sendiri," perli Qayyum dengan muka masam.

Semakin kabur Anom dengan jawapan Qayyum. 'Tanya diri sendiri?' Dia menepuk dahi. Kalau dia begitu arif, tidak payahlah dia buang air liur bertanyakan Qayyum. Huh! Qayyum memang 'Pak Pandir'!

Tidak kuasa mahu melayan perangai Qayyum, Anom menegakkan badan. Belum sempat melangkah, lengannya sudah dipegang Qayyum. Kejap. Pantas Anom menepis.

"Nak pergi mana?!" Lantang suara Qayyum.

"Nak baliklah. Malas melayan orang sengal." Anom menjulingkan mata ke atas.

"Duduk dulu. Kita belum habis bincang." Suara Qayyum mula kendur. Muka sudah nampak tenang sedikit. Tidak tegang macam tadi.

Anom merebahkan punggung semula. Kantung plastik diletak di tengah-tengah antara dia dengan Qayyum. Kemudian dia memeluk tubuh dengan sebelah kaki sudah naik ke atas. Betul-betul macam gaya Shariff Dol, samseng dalam filem Seniman Bujang Lapok. "Hah...sekarang Qay cakap." Anom memberi arahan.

"Sebenarnya sekarang, siapa yang tipu siapa? Ann cakap Qay yang salah tapi sebenarnya Ann tu yang curang pada Qay!" Qayyum meledakkan apa yang terkumpul memenuhi dadanya.

"Bila masa pulak Ann curang? Qay jangan memandai nak letakkan kesalahan pada Ann! Dah dia bersalah tak nak mengaku," tingkah Anom. Pantang datuk nenek jika dia mengaku kalah bila sedang bertekak.

"Habis tu, lelaki tua yang kata nak bertunang dengan Ann tu siapa? Bukan boyfriendAnn ke? Huh! Mengaku kita ni boyfriend dia tapi tup tup nak bertunang dengan orang lain!" Qayyum mendengus dan memalingkan muka ke samping. Tunjuk protes dengan Anom.

Anom Sufi mengerutkan kening. Walaupun geram, dia faham maksud Qayyum. Tentunya orang yang Qayyum maksudkan ialah Habib. Namun, bengang juga rasa hati apabila Qayyum mengata Habib 'orang tua'. Eh...Habib belum tua lagilah. Umur Habib baru 33 tahun. Papa cakap, lelaki yang berumur macam Habib itu baru hendak kenal dunia.

Tidak semena-mena Anom memicit dahi. Dia bagaikan tersedar sesuatu. Selama ini bukankah dia yang selalu memanggil Habib orang tua? Sekarang, di hadapan Qayyum, dia bela Habib pula. Ketara sangat yang arah fikirannya sekarang sudah berpusing 180 darjah. Dia mula sukakan Habib ke? Hisy! Jangan cari pasal!

"Entah-entah selama kita masih berkawan dulu, Ann dah curang dengan Qay. Depan, cakap cintakan Qay tapi belakang, Ann main kayu tiga dengan lelaki lain!" Tidak habis-habis lagi Qayyum hamburkan rasa tidak puas hatinya kepada Anom.

"Eh...tolong sikit. Ann tak pernah curang dengan Qay. Selama kita berkawan, Ann setia dengan Qay tapi Qay tu yang main kayu tiga. Diam-diam pasang spare tyre. Huh!" rengus Anom.

"Kalau setia, dari mana datangnya orang tua tu? Terjun dari langit?" bahas Qayyum. Mencemik muka tanda menyindir.

"Dia bukan orang tualah!" Anom membangkang. Muka mula berbahang macam kena wap panas. Benci dengan Qayyum yang suka bercakap hentam keromo.

"Ann bela dia. Itu menunjukkan yang Ann memang ada apa-apa dengan dia. Siapa dia tu? Abang? Pak cik? Atau 'tauke ayam'?" Qayyum melepaskan geram yang bertali-temali dalam hati.

"Qay!" Anom naik berang. Dia tahu apa maknanya istilah 'tauke ayam' itu. Tentu ianya merujuk kepada seorang lelaki yang kerjanya memperdagang gadis-gadis muda. Qayyum menganggap dia sebagai pelacur ke? Qayyum sudah melampau!

"Nak ke mana?" Terpusing kepala Qayyum melihat Anom sudah mengangkat punggung dari kerusi dengan tangan pantas mencapai kantung plastik di atas bangku panjang. Dia belum puas bercakap dengan Anom. Soalan dia pun Anom belum jawab. Jadi jangan harap Anom Sufi boleh angkat kaki dari sini.

"Nak balik!" jawab Anom kasar.

"Ann belum jawab soalan Qay!"

"Ann tak perlu jawab apa-apa. Tapi satu perkara yang Qay perlu tahu, Ann tak pernah curang dengan Qay. Qay yang tinggalkan Ann dulu. Jadi hubungan kita putus, puncanya daripada Qay, bukan Ann!" Sehabis menjawab, Anom buka langkah panjang-panjang menuju ke dewan kuliah.

"Ann!" jerit Qayyum yang sudah berdiri.

Anom diam.

"Ann!"

Anom tetap buat pekak telinga. Berat mulut mahu menjawab. Lantaklah jika Qayyum terjerit-jerit sampai mahu tercabut anak tekak. Biarkan. Penat mulut nanti Qayyum akan berhenti. Kalau tidak mahu berhenti pun, Qayyum tetap akan berhenti memanggilnya. Hendak ditangkap pak jaga dengan terjerit-jerit macam orang gila? Cubalah kalau berani!

Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.