Home Novel Cinta Cinta Copy Paste
Cinta Copy Paste
7/1/2015 22:48:13
137,060
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 18

HABIS berbincang, sudah pukul 10.00 malam. Abi dan umi beransur naik ke bilik. Husna ke dapur. Hawa yang belum hilang masamnya kerana ditegur abi, terus mengambil anak sulungnya, Syed Alfian dari atas riba Syed Aidil dan terus melangkah ke tingkat atas. Malas dia mahu sambung berborak dengan abang dan suaminya. Buat tambah sakit hati sahaja. Lagi pun, di bilik sudah menunggu anak keduanya, Sharifah Ameera. Si kecil itu sedang tidur nyenyak di dalam bilik sewaktu ditinggalkan tadi.

"Betul ke tujuan kau nak kahwin dengan Sufi sebab kau cintakan dia?" Syed Aidil mulakan sesi mengorek cerita. Dia bangun dari sofa berkembar dua yang didudukinya tadi dan beralih ke sebelah Habib yang duduk di sofa panjang.

Berjeda Habib. Cintakah dia kepada Anom? Sukar untuk akal dan hatinya menjawab soalan adik iparnya itu. Dia memang selalu mengingati Anom tetapi itu cintakah namanya? Dia tidak pasti. Namun, yang jelas perasaan itu tidak sama dengan perasaannya ketika dilambung cinta dengan Yana dahulu. Perasaan itu sedikit berbeza tetapi tidak ketahuan di mana perbezaannya.

"Atau kau nak kahwin dengan dia sebab tak dapat lupakan Yana?" Syed Aidil cucuk lagi perasaan Habib dengan soalan sensitifnya.

"Entahlah, Dil. Aku pun keliru dengan perasaan aku pada dia." Habib mengeluh. "Mungkin ada betulnya cakap kau. Aku nak kahwin dengan dia sebab tak dapat lupakan Yana," sambungnya dengan kepala tertunduk. Kedua belah tangan sudah diangkat untuk mengusap rambutnya.

"Tak adil bagi Sufi jika kau kahwin dengan dia sebab Yana," ungkap Syed Aidil.

"Aku tahu."

Habib diam lagi. Dia tahu semua ini memang tidak adil bagi Anom. Tetapi, dia juga enggan berlaku tidak adil kepada diri sendiri. Sudah begitu lama hatinya terkunci untuk berumahtangga. Bukan tidak ada yang muncul menawarkan diri. Ramai. Tetapi hatinya yang tidak 'berselera'. Kini, apabila keinginan untuk beristeri itu membuak-buak, ada pula yang tidak kena. Hmm...kalau terus begini, nampak gayanya sampai ke tualah dia tidak punya zuriat sendiri.

"Kau memang tak dapat lupakan Yana kan? Sebab tu dalam ramai-ramai perempuan, kau pilih Sufi." Syed Aidil masih juga mahu menyelidik dan meneroka ruang hati teman baiknya.

"Mungkin juga."

Terus kelu lidah Habib mahu menjawab lagi. Ujaran Syed Aidil memang ada benarnya. Terlalu sukar baginya melontarkan memori bersama Yana jauh dari relung hatinya. Yana terlalu istimewa. Yana, wanita yang dia puja-puja selama berpuluh tahun.

Namun, rasa indah yang berputik sejak bersekolah rendah itu tidak ke mana sudahnya. Entah apa sebabnya, percintaan mereka jadi suam-suam kuku dan terus putus ketika dia melanjutkan pelajaran ke luar negara dan Yana di universiti tempatan. Betapa kecewanya dia menelan episod duka itu. Terlalu sukar mahu menggambarkannya dengan kata-kata. Parah jiwanya menanggung luka sampai kini belum terubat sepenuhnya. Cinta yang punah menjadikan jiwanya punah juga. Bertahun lamanya dia hidup terumbang-ambing.

Habib buang rasa cinta kepada kaum berlawanan jenis, akibat serik dan bimbang terluka lagi. Hidupnya sudah hilang segala rasa sejak berpisah dengan Yana. Belakangan ini baru dia yakin untuk bangkit dan mencari kembali harga diri yang hilang akibat 'diambil' Yana.

"Sufi tahu pasal Yana?" korek Syed Aidil lagi.

Habib menggeleng kepala. "Tak. Aku belum cerita apa-apa kat dia," keluhnya.

"Bila kau nak cerita?"

"Entah!" Habib mengangkat bahu.

"Kau patut ceritakan pasal Yana pada Sufi. Bukannya aku nak menyibuk hal kau tapi takut jadi apa-apa kemudian hari. Hati perempuan ni cukup sensitif, bukan kau tak tahu. Kalau dah merajuk, cukup susah nak pujuk. Tak payah ambil contoh jauh-jauh, tengok adik kau tu pun dah cukup," seloroh Syed Aidil. Habis bercakap, dia tergelak lepas. Gelihati tatkala mengambil contoh perangai isterinya sendiri. Ketahuan dek isterinya, mati dia.

Habib tersenyum kelat sekadar bertindak balas dengan gurauan Syed Aidil. Adiknya, Hawa memang agak kepala angin orangnya. Kuat merajuk pun ya juga. Kadang-kadang, sakit kepala melayan tingkahnya yang selalu hendak menang kalau bercakap.

Mengingatkan kembali kata-kata Syed Aidil sebelum itu, fikiran Habib bercelaru. Patutkah dia ceritakan pasal Yana kepada Anom? Tidak marahkah Anom nanti? Pening kepalanya memikirkan apa tindak balas Anom setelah mendengar ceritanya.

Janganlah Anom Sufi naik angin. Manalah tahu Anom tidak dapat menerima kenyataan sampai tergamak membatalkan perkahwinan mereka. Memikirkan sikap Anom yang sukar diduga, Habib tahu semua itu berkemungkinan.

Kalau begitu kesudahan yang bakal diterimanya nanti, ada baiknya jika kisah Yana tidak dikhabarkan kepada Anom. Namun, jika masalah itu diperhalusi dan diperinci, bukan mustahil suatu hari nanti kisah itu akan sampai juga ke telinga Anom. Di sekelilingnya cukup banyak mulut-mulut yang akan menjadi tukang sampainya. Bukan selamanya rahsia secebis itu akan tetap menjadi rahsia. Suatu detik nanti ianya akan terbongkar jua. Namun, apa yang diharapkan biarlah ianya berlaku tika Anom Sufi sudah sah menjadi isterinya.

"Kat mana Yana sekarang agaknya eh? Kau memang betul-betul dah lost contact dengan dia ke?" Sambil termenung, Syed Aidil menanyakan soalan yang tidak terfikir oleh Habib.

Habib mengangguk lambat-lambat. Memang dia telah kehilangan jejak Yana. Tidak pernah dia merisik khabar Yana lagi setelah perpisahan mereka bertahun dulu. Dan dia merasakan tidak ada sebab untuk dia berbuat begitu. Yang pergi itu biarkan sahaja dia pergi. Orang sudah tidak sudi, dia yang tinggal ini perlu belajar meneruskan hidup.

"Kalau tiba-tiba dia muncul semula kat sini, apa perasaan kau agaknya? Agak-agak ada lagi tak perasaan kau pada dia?" Syed Aidil tidak sudah-sudah menguji Habib dengan soalan berani matinya.

"Tak payahlah nak agak-agak, Dil. Aku dah tak ada apa-apa rasa kat dia. Dia nak muncul ke, terbang ke, melayang ke, suka hati dialah. Dah tak ada kena mengena dengan aku lagi." Macam yakin sahaja Habib berkata begitu. Perkara belum berlaku tetapi dia sudah berani mendabik dada. Namun, jika difikirkan apa perlunya dia mengingati Yana lagi? Sekali Yana pergi, tidak akan sekali-kali dia panggil Yana balik. Itu prinsipnya.

Tetapi betulkah perasaannya kepada Yana sudah lama mati? Benar-benar yakinkah dia? Entah!

Pun begitu, dia tahu ada hikmah yang ALLAH hendak tunjukkan dengan pemergian Yana. DIA menarik Yana pergi tetapi DIA memberinya Anom Sufi. Memang Anom tidak sehebat Yana. Tetapi suatu hari nanti Anom akan jadi sepuluh kali lebih baik daripada Yana. Itu janjinya kepada diri sendiri.

Ah! Tidak kisahlah apa tanggapan semua orang tentang perkahwinannya dengan Anom. Apa yang penting, dia tetap akan berkahwin dengan gadis bernama Anom Sufi!


Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.