Home Novel Cinta Cinta Copy Paste
Cinta Copy Paste
7/1/2015 22:48:13
135,269
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 11

DALAM perjalanan menghantar Anom pulang, Habib memberhentikan keretanya di pinggir jalan.

"Datuk nak buat apa berhenti kat sini?" Anom sudah mula cuak. Membutang matanya merenung Habib. Kaki dan tangannya sudah siap dipasang 'kuda-kuda'. Takut Habib bertindak melakukan perkara yang tidak terduga.

"Tadi kan Sufi kata malam masih muda? Inilah abang nak ajak Sufi bersembang," jawab Habib tenang. Lembut lirikan matanya merenung wajah Anom.

Anom terdiam. Terasa kendur segala sendi dan urat saraf yang tadinya tegang mendengar jawapan Habib. Bersembang sahaja? Tetapi betul juga. Takkanlah lelaki sebaik dan sealim Habib akan melakukan perkara terkutuk itu? Tiba-tiba saja Anom rasa bersalah kerana berburuk sangka terhadap Habib.

"Sufi ingat abang nak buat apa? Nak buat dot...dot..ya?" Habib ketawa galak. "Kalau abang nak buat perkara tak elok pada Sufi, abang takkan buat kat sini. Baik abang ajak Sufi pergi hotel. Buat kat sana lagi best." Melihat Anom tersipu malu, semakin galak Habib menyakat Anom.

"Datuk jangan macam-macam eh?" Anom menaikkan jari telunjuk ke muka Habib. Memberi amaran. Cubalah Habib berani buat benda bukan-bukan kepadanya, jawabnya memang kena siku. Dia ini nama sahaja perempuan, tetapi perangai lebih garang daripada gajah betina naik minyak. Begitu pun, dalam suram malam, merah juga mukanya disakat Habib.

"Eleh...abang tak takut. Abang ada black belt colour biru lagi," jawab Habib cuba melawak.

Sedepa mulut Anom menceber. Lawak yang langsung tidak lucu!

Habib pula diam terpaku menatap paparan wajah gadis dengan bibir terceber begitu. Comelnya! Wajah itu serta-merta menggamit ingatannya kepada Yana. Dulu, dia suka juga mengusik dan menyakat Yana. Bila diusik-usik, Yana selalunya akan tersipu malu. Berlainan sungguh perangai Yana dengan Anom Sufi yang cepat menyinga.

Sesungguhnya Yana dan Anom Sufi bagaikan kutub utara dan kutub selatan. Wajah sahaja serupa tetapi perangai jauh berbeza. Tetapi mengapa di wajah Anom Sufi, dia masih nampak muka Yana? Mengapa sukar benar hendak membuang bayangan Yana dari kotak memorinya? Ah! Kacau sungguh fikirannya!

"Abang nak tanya Sufi ni. Kenapa Sufi pergi ke tempat-tempat tak elok macam tu? Sufi tahukan tempat-tempat macam tu boleh mengundang kemudaratan bagi diri Sufi?" Bagi mengelak otaknya terus mengenangkan Yana, Habib cari alternatif lain dengan mencuci otak Anom. Dia sedar Anom tidak berminat mendengarnya. Kata-kata nasihatnya sebelum ini cuma masuk ke telinga kanan Anom dan tembus ke telinga kiri. Namun, tiada salahnya dia terus mencuba. Manalah tahu suatu hari nanti, Anom terbuka hati untuk menjadi gadis penghias taman Syurga.

Terjuih bibir Anom mendengar kata-kata Habib. Ustaz tidak bertauliah di sebelahnya ini mulalah hendak berceramah. Tidak penat-penat agaknya. "Saya tak buat apa-apa pun. Tujuan saya pergi ke sana hanya untuk mencari hiburan. Takkan itu pun salah?" dengus Anom bosan.

"Tapi itu bukan jenis hiburan yang baik untuk kita, Sufi. Itu hiburan yang melampau. Yang melalaikan. Tak salah kita berhibur tapi biarlah jenis hiburan itu boleh mendidik jiwa dan mendekatkan kita kepada ALLAH. Ini kalau dah terkinja-kinja macam kera, lepas tu pakai pulak baju yang boleh nampak 'harta karun', Sufi ingat itu perkara baik ke? Cuba beri abang tiga alasan mengapa Sufi kata perkara tu baik?" Habib membangkang kata-kata Anom.

Tambah kuat rengusan Anom. 'Pak cik ni suka-suka hati aje panggil orang kera. Melampau betul!' "Eh...please...saya bukan kera ya? Dan siapa yang pakai baju nampak 'harta karun'? Tengok...saya pakai baju tutup semua. Jangan nak menuduh!" Bagai tidak cukup mulut, Anom membidas cakap Habib. Dia mana pernah berpakaian tidak cukup kain? Sedap mulut Habib sahaja menuduh dia perempuan jenis itu.

Habib tidak menyanggah kata-kata Anom. Namun, anak matanya liar menjamah tubuh Anom dari hujung kepala sampai ke hujung kaki. Muka pula serius semacam. Entah apa yang menyatu dalam fikirannya.

Ngeri pula Anom melihatnya. "Datuk ni kenapa pandang-pandang orang macam tu?" Anom yang ketakutan pantas menyergah. Badan sudah menyenget ke arah pintu kereta. Risau pula jika pak cik di sebelahnya ini buat benda bukan-bukan.

"Pakai baju macam tu pun boleh nampak 'harta karun' juga. Pakaian macam yang Sufi pakai ni boleh menjerumuskan diri Sufi kepada perkara-perkara buruk. Kalau Sufi nak tahu, orang lelaki ni, cukup suka kalau perempuan pakai baju ketat-ketat atau dedah sana dedah sini. Boleh dia cuci mata. Silap-silap, kalau terlebih pandang, boleh jadi kes lain pulak." Tersengih Habib ketika melihat Anom sudah bereaksi lain macam. Takutlah tu!

"Eleh...tujuan saya pakai macam ni bukan nak menggoda orang lelaki. Dah saya selesa pakai baju macam ni, nak buat macam mana? Bukan salah saya kalau lelaki tergoda tengok saya." Pandai Anom memberi alasan. Namun, dia rasa sangsi juga dengan jawapan sendiri. Ada ke lelaki yang tergoda tengok dia? Kalau ada pun cuma Qayyum. Tetapi itu dahulu. Sekarang pun Qayyum mahu termuntah menengok dia. Maklumlah sekarang Qayyum sudah ada Miza.

Terbeliak mata Habib mendengar jawapan mudah Anom. Amboi senangnya mulut dia menjawab? Ikutkan hati hendak sahaja dia ikat ketat-ketat mulut comel itu. Biar tidak boleh mencantas ayat-ayat berupa nasihat yang dilontarkannya. Pening kepala dia melihatkan perangai Anom yang tidak makan diajar.

"Pandai menjawab ya? Sufi tahu tak kenapa Qayyum tinggalkan Sufi dan pergi kepada perempuan lain? Sufi tak boleh ke fikir apa sebabnya?" Dengan lagak tenang, Habib mula mengajak Anom berfikir. Cuba mencari punca kekusutan permasalahan Anom dan mencari jalan penyelesaian sebaik mungkin.

"Sebab dia gatal dan perempuan tu pun sama gatal dengan dia. Bila gatal bertemu gatal jadilah merenyam. Itu yang terus lupa dunia dan tak kisah langsung nak jaga perasaan orang!" Dapat sahaja peluang, Anom terus melepaskan peluru berpandunya. Walaupun sasaran sebenarnya bukan Habib.

Menggeleng kepala Habib mendengar Anom memetir. Gadis ini kalau bercakap langsung tidak ada tapis-tapis. "Sufi tahu tak apa beza Sufi dengan budak perempuan girlfriend baru Qayyum tu?" soal Habib.

Anom bertindak balas dengan menjuihkan bibir panjang-panjang. Tidak kuasa menjawab soalan yang kurang mencabar mindanya.

"Budak perempuan tu sopan. Pakaiannya menutup aurat. Tutur katanya pun mungkin terjaga. Itulah ciri-ciri wanita muslimah. Itulah perempuan yang sesuai dijadikan calon isteri. Mungkin Qayyum dah nampak semua ciri-ciri tu tak ada dalam diri Sufi. Sebab tu dia tinggalkan Sufi dan pergi kepada budak perempuan tu."

Miza wanita muslimah? Meluat Anom mendengar pendapat Habib. Kalau namanya muslimah, Miza tidak akan berpegangan tangan dengan Qayyum. Kalau benar Miza perempuan muslimah, dia tidak akan naik motosikal Qayyum dan melekap di badan pemuda itu. Muslimah sangatlah perempuan tu. Huh!

"Datuk jangan pandai-pandai beri pendapat kalau tak tahu apa-apa! Kalau Qayyum tak suka perempuan macam saya, kenapa dia beria-ia pikat saya dulu? Dulu, saya tak nak kat dia, tapi dia yang bersungguh-sungguh kata cintakan saya. Bila saya dah cintakan dia, dia tinggalkan saya. Cinta apa namanya tu? Cinta tahi kucing!" Bergegar rasa dada Anom melontarkan kemarahan yang meluap-luap.

Pun begitu, dalam kemarahan yang menghanguskan dada, hatinya rasa pedih. Terasa dirinya betul-betul macam lampin pakai buang. Bila diperlukan, dicari. Bila sudah habis 'tempoh'nya, dia dicampak begitu sahaja. Pilunya hati dia dibuat orang begitu. Tanpa sedar, banjir juga kolam matanya malam ini. Cepat-cepat tangannya menyeka airmata yang merembes di pipi. Enggan Habib melihatnya. Kelak, semakin rancak dia disakat Habib.

"Jangan suka cari kesalahan orang tanpa melihat kekurangan diri sendiri. ALLAH timpakan musibah kepada Sufi supaya Sufi buka mata. Segala aturan ALLAH itu ada hikmahnya, Sufi. Sufi kena fikirkannya dari sudut positif. Bila...."

"Dahlah, Datuk. Saya tak larat nak dengar Datuk berceramah. Tolong hantar saya balik sekarang," cantas Anom dengan suara serak. Hati yang sebak, tidak mahu lebih lama menunggu. Lebih baik dia balik dan lelapkan mata. Itu pun jika dia masih mampu tidur lena. Moga-moga tatkala bangun pagi esok, jiwanya akan kembali tenang dan kepalanya terasa lapang. Seterusnya mampu menongkah arus kehidupan seperti hari-hari sebelumnya.

Mengeluh panjang Habib. Sukarnya hendak meniupkan cahaya keimanan dalam diri gadis ber'kepala batu' ini. Degilnya kus semangat! Namun, usahanya tidak harus terhenti setakat ini. Selagi ada kudratnya, dia akan cuba pimpin Anom yang jauh tersasar agar kembali ke dasar. Selagi ada kudratnya, dia akan cuba bentuk Anom menjadi muslimah sejati. Seperti perempuan penghias taman Syurga. Itulah tekad dan impiannya selagi Anom berada di hadapan matanya.


Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.