Home Novel Cinta Cinta Copy Paste
Cinta Copy Paste
7/1/2015 22:48:13
123,812
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 10

HILANG dahaga, mereka sambung menari. Daniel yang sejak tadi hanya melepak di bar, turut tumpang sekaki terkinja-kinja dengan Emily. Sejak perkenalan di bar, Emily bertambah rapat dengan Daniel. Nampak tidak kisah apabila Daniel selalu himpit-himpit dia.

Anom perhatikan sahaja gelagat teman rapatnya itu. Memang lain sungguh perangai Emily malam ini. Dahulu, Emily tidak melayan sangat orang lelaki. Tetapi, dengan Daniel ini nampak sangat perubahan sikap Emily. Tambah mengada-ngada. Sakit mata Anom melihat gelagatnya. Emily sudah tersangkut hati kepada mamat poyo berlagak itu ke? Huh! Tak sukanya dia!

Sedang seronok terkinja-kinja, tiba-tiba Anom terasa tangannya dicengkam orang. Kuat! Terus terpusing kepala Anom mahu melihat muka orang yang berani-berani menarik tangannya. Mulutnya sudah terbuka besar, bersedia untuk memaki hamun. Namun, sebaik sahaja matanya berlabuh di muka empunya diri, dia terkedu. Habib!

"Ikut abang balik sekarang!" arah Habib tegas. Matanya macam mata raja singa mahu beradu kekuatan dengan sang harimau betina. Muka pula usah cerita, masam mengalahkan cuka.

Ngeri Anom memandangnya!

"A...apa Datuk buat kat sini?" Suara Anom sudah terketar-ketar. Muka serta-merta bertukar pucat lesi. Lengan yang dipaut cepat-cepat ditarik tetapi semakin kuat pula Habib mencengkam.

"Patutnya abang yang tanya Sufi soalan tu! Apa yang Sufi buat kat sini malam-malam buta macam ni?!"Macam petir suara Habib membelasah cuping telinga Anom. Dalam suasana suram pun Anom masih boleh nampak muka Habib yang merah padam. Habib memang betul-betul mengamuk!

"Suka hati sayalah nak pergi ke mana pun. Saya ada kaki. Yang Datuk sibuk ikut saya ke sini tu, kenapa? Tempat ni tak sesuai untuk Datuk."Dalam takut-takut beraninya, Anom tetap menentang kata-kata Habib.

"Habis, tempat ni sesuai sangatlah untuk Sufi? Apa Sufi dah gila ke sanggup pergi tempat-tempat macam ni?" Semakin tinggi nada suara Habib mahu mengatasi bunyi muzik yang membingitkan telinga.

"Eh...eh...yang Datuk sibuk-sibukkan hal saya ni, kenapa? Mind your own businesslah, Datuk!" bidas Anom jengkel. Suka-suka hati Habib menuduh dia gila. Eh! Dia waras lagilah. Habib yang kurang waras kerana sanggup menjaga tepi kain orang yang tidak ada hubung kait dengannya ini.

"Sufi ikut abang balik!" Tanpa menunggu Anom membuka mulut, Habib segera menarik tangan Anom menuju ke pintu.

Tersadung-sadung kaki Anom Sufi menurut. Tangan kirinya sibuk memukul-mukul tangan sasa Habib yang sedang mencengkam lengannya. "Lepaslah!" pekik Anom sekuat hati. Tidak rela diperlakukan begitu di hadapan pengunjung yang ramai memenuhi dewan tari. Jatuhlah air mukanya!

"Kau nak ke mana, Ann?" laung Emily yang baru sahaja terlihat temannya diheret keluar seorang lelaki tidak dikenali.

"Saya akan hantar dia balik!" jawab Habib bagi pihak Anom. Dia menoleh sekilas ke arah Emily. Mengucap panjang dia melihat pakaian teman Anom itu. Atas bawah terbuka. Astaghfirullah! Kalau pakai macam itu lebih baik bogel terus! Habib mengutuk dalam hati. Cepat-cepat dilarikan pandangannya daripada Emily. Huh! Tidak pasal-pasal malam ini dia dapat dosa 'berzina'. Berzina mata.

Tiba di keretanya, Habib pantas membuka pintu sebelah kiri dan tubuh Anom ditolaknya masuk ke dalam.

Menjerit Anom diperlakukan begitu. "Datuk ni dah kenapa tolak-tolak orang ni!" pekik Anom apabila Habib sudah mengambil tempat di kerusi pemandu.

Habib tidak membalas. Enjin kereta dihidupkan. Brek tangan diturunkan. Sedetik kemudian, berdesup kereta Habib meninggalkan kawasan parkir kelab malam The Zass. Laju betul Habib melarikan keretanya di tengah jalan raya.

Kecut perut Anom melihat cara Habib memandu. Main redah sahaja. Habis semua kereta yang bergerak macam siput dipotongnya. Tubuh Anom bergerak ke hadapan dan ke belakang apabila Habib menekan brek mengejut. Pandu kereta macam orang hendak berlumba! Mat drift pencen ke dia ni? Anom merengus. Tajam matanya menjeling muka Habib yang berkerut-kerut.

Baru Anom perasan, malam ini dia naik kereta baru, bukan Audi R8 yang dipandu Habib semalam. Tidak pasti pula dia apa jenis keretanya. Tetapi, nampak sangat mewah dan hanya ada dua tempat duduk. Ferrari ke? Porsche? Atau Lamborghini? Entah! Dia bukan ambil peduli pasal kereta. Dia kan hanya penumpang kereta orang? Namun, malam ini dia rasa bertuah kerana dapat menumpang tuah Habib.

"Datuk tak payah hantar saya balik. Saya belum nak balik. Datuk turunkan saya kat depan tu," arah Anom suka-suka hati.

Bertaup kening Habib menjeling Anom. "Nak ke mana lagi? Sufi tak nampak ke dah pukul berapa tu?" tanya Habib dengan bibir memuncung ke arah jam di dashboard. Pukul 12.00 tengah malam.

"Alah...malam masih muda, Datuk. Lagi pun esok kan cuti? Boleh bangun lewat," jawab Anom bersahaja. Langsung tidak dipandangnya muka Habib.

"Suka hati Sufi aje nak bangun lewat kan? Tak solat subuh ke?" perli Habib dengan mata tajam menjeling gadis di sebelahnya.

Mencerut muka Anom mendengar bicara Habib sudah beralih ke topik yang tidak digemarinya. Tidak kuasa dia menjawab. Silap-silap menjawab nanti, panjang lebar ceramah Habib. Malam ini telinganya sudah tidak larat menelan syarahan agama. Rimas!

Tanpa diduga Habib mendekatkan mukanya ke arah Anom. Bersahaja dia menghidu bau badan Anom. Lagaknya sudah macam seekor kucing sedang menghidu makanan.

Terpekik Anom dengan kelakuan Habib yang langsung tidak dijangka. Cepat-cepat dijarakkan tubuhnya hingga rapat ke pintu. "Datuk buat apa ni? Nak kena penumbuk saya?" jerit Anom dengan tangan dikepal. Bila-bila sahaja kepalan tangannya itu akan singgah ke muka Habib.

Habib buat muka selamba menatap wajah Anom yang bertukar pucat dan kelam kabut. Tangan comel Anom yang jaraknya hanya sekaki dari mukanya dipandang sambil lewa. "Tangan kurus kering macam tu pun ada hati nak tumbuk orang," perlinya dengan kening terjongket menahan senyum di bibir.

"Habis tu yang Datuk buat macam tu, kenapa?" Anom serang Habib lagi dengan soalan yang sama.

"Abang nak checkbau badan Sufi. Takut Sufi minum," jawab Habib, tanpa memandang muka Anom. Seluruh perhatian ditumpukan kepada pemanduannya.

"Datuk tuduh saya minum arak? Eeii...saya ni walaupun jahil bab-bab agama tapi masih tahu hukum tau! Saya tak sentuh benda-benda haram tu!" bidas Anom dengan mata terbeliak memandang muka Habib. Ada ke patut Habib menuduh dia meneguk air haram tu? Orang tua ini suka-suka hati saja menuduh orang tanpa usul periksa. Sakit betul hati dia dengan perangai Habib!

"Baguslah kalau Sufi masih tahu hukum. Minum arak tu walaupun setitis, haram hukumnya dan selama 44 hari ibadah yang kita lakukan akan jadi sia-sia dan ditolak oleh ALLAH. Sufi nak macam tu?" soal Habib dengan pandangan dilayangkan sekilas ke muka Anom.

Anom tidak bertindak balas. Panjang muncungnya tatkala menjeling lelaki di sebelahnya.

"Sufi jangan cuba-cuba nak minum. Kalau abang dapat tahu Sufi minum walaupun seteguk, abang takkan teragak-agak ambil tindakan." Tegas suara garau Habib memberi amaran.

Terjebik bibir Anom mendengarnya. Lelaki di sebelahnya ini bermimpi ke? Macamlah Habib punya hak ke atas diri dia. Papa yang sah-sah punya hak itu pun tidak ambil kisah. Orang tua ini pula yang terlebih sudu daripada kuah. "Datuk nak buat apa pada saya?" uji Anom dengan mata kian tajam menjeling Habib.

"Adalah.... Berani Sufi buat, berani juga Sufi tanggung akibatnya nanti," ugut Habib dengan suara lembut tetapi bernada cukup keras. Mukanya tegang semacam dengan bibir diketap. Jelingannya tajam bagaikan belati. Menandakan bicaranya bukan setakat main-main. Bukan hanya bercanda.

Kecut perut Anom melihat tampang Habib betul-betul sudah macam singa tidak makan sebulan. Akhirnya, dia membisukan mulutnya. Tidak berani lagi membalas cakap Habib.

"Papa dan mama tak marah ke Sufi keluar malam ni?" gerudi Habib lagi.

"Tak kisah pun." kata Anom, hendak tidak hendak.

"Sufi balik pukul dua tiga pagi, mama dan papa tidak kisah langsung?" Habib menyoal Anom lagi dengan mata membulat. Macam tidak percaya.

"Tak. Papa mana kisah. Mama lagi tak ambil tahu. Abang Syahid? Dia lagi tak peduli." Anom menghamparkan kisah kehidupan sebenarnya kepada Habib. Biar Habib faham situasi sebenar yang melingkari kehidupannya. Perlu ke dia berasa malu terhadap Habib? Oh, tidak sama sekali! Habib bukan sesiapa di hatinya sehinggakan dia perlu berasa malu bagai nak rak.

Habib mengeluh. Baru kini dia tahu kisah sebenar di sebalik tirai kehidupan Anom Sufi. Gadis ini kekurangan perhatian dan kasih-sayang keluarga rupa-rupanya. Patutlah Anom bagaikan gadis yang hilang arah hidup.

Silap siapakah itu? Habib tidak berani hendak menuding jari kepada sesiapa. Sekarang bukan masanya untuk tuduh menuduh. Apa yang penting ialah menarik Anom yang sudah tersasar jauh agar kembali ke pangkal jalan.

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.