"BUAH
HATI kau tahu ke kau keluar ni?" Dalam kereta, Emily menyoal siasat Anom
macam inspektor polis.
Bibir
Anom serta-merta berubah jadi muncung burung enggang. Sebuah kerlingan tajam
turut dihadiahkan kepada Emily. Hangat hati mendengar Emily memanggil Habib
buah hatinya. Macam menyindir sahaja bunyinya. "Tak kuasalah aku nak
beritahu dia," rengus Anom kasar.
"Kenapa
kau tak beritahu dia siang-siang? Buatnya malam ni dia datang cari kau lagi,
macam mana? Nanti dia salahkan aku pulak sebab bawa kau ke sini," omel Emily
tidak puas hati. Giliran dia pula merenung tajam muka Anom.
"Tak
adanya dia nak datang cari aku. Kalau dia datang pun, pandai-pandailah aku bagi
alasan," balas Anom, menarik muka.
Emily
pula membuat muka tidak percaya. Mengingatkan peristiwa Anom ditarik Habib keluar
dari kelab The Zass dulu, hati Emily jadi hangat. Marah. Tetapi, marahnya marah
bersebab.
Sejak
Anom mengenali Habib, waktu teman baiknya itu tidak banyak yang tersisa
untuknya. Selalunya, bila tamat kuliah mereka berdua sering menghabiskan masa
bersama. Sekarang ini Anom asyik melekat dengan Habib. Pergi Anom dihantar
Habib, baliknya juga dijemput pemuda itu. Perasan bosan dia sudah ditahap petala
langit ketujuh.
Apa
yang Emily perasan, si Habib itu nampak macam tidak berapa senang dengannya. Bila
memandang dia selalu sinis macam ada yang tidak kena. Mengapa? Emily pun pelik
memikirkannya. Rasanya tidak ada dia buat salah apa-apa terhadap Habib. Hanya setakat
mengata dan mengumpat sedikit-sedikit. Takkanlah perkara itu pun Anom sampaikan
kepada Habib sehingga Habib berprasangka buruk terhadapnya? Entahlah.
Kadang-kadang hairan Emily dengan perangai si bujang tua pilihan hati Anom Sufi
itu.
Sampai
di kelab malam The Zass, Daniel sudah menunggu. Nampak sahaja Emily, Daniel
terus menghulurkan tangannya dan disambut Emily dengan gelak tawa. Kemudian
Daniel memaut pinggang Emily mengajak duduk di kerusi.
Anom
yang memandangnya sudah tercengang-cengang. Melebih-lebih pula si Daniel ini
sampai berani peluk-peluk orang. Yang si Emily ini pun satu, biarkan sahaja
Daniel buat begitu kepada tubuh badannya. Eeii...mengapa lain benar perangai
Emily sekarang? Dahulu Emily tidak begitu. Dahulu teman yang seorang ini cukup
menjaga tingkah laku. Kenal sahaja Daniel, terus perangai Emily berubah 360
darjah. Berjeda seketika Anom melihat tingkah Emily.
"Minum?" Ramah Daniel bertanya kepada
Emily. Anom yang duduk di sebelah Emily tidak dipandangnya.
"Macam
biasa," jawab Emily merujuk kepada minuman jus oren yang biasa dipesannya
sebelum ini.
"Tak
nak try yang ni?" Daniel tersenyum
menggoda dengan bibir memuncung ke arah gelas tinggi berisi air kuning berbuih
di hadapannya.
"No..." Emily menggeleng kepala
sambil tergelak-gelak manja.
"Cubalah.
Sekali aje."
"Tak
nak. I tak minum ni. I nak orange juice
aje."
"Alah...seteguk
dua takkan buat you mabuk, Emil." Daniel menghulur gelas tinggi kepada
Emily.
"Sedap
ke?" tanya Emily dengan mata tepat merenung ke arah air kuning berbuih di
hadapannya. Masih ragu-ragu mahu mencuba.
"Sedap...You
cuba dulu. Kalau tak cuba macam mana you nak tahu rasanya? Sekali cuba pasti
you nak lagi." Tidak letih-letih mulut Daniel cuba menggoda Emily.
Anom memasang telinga mendengar perbualan
kedua-duanya. Seram sejuk tubuh dia mendengar godaan Daniel yang terus menerus
begitu. Hii...bahaya betul jika ada 'syaitan' berupa manusia macam Daniel ini.
Silap-silap orang yang tidak kukuh pertahanan iman macam Emily, senang-senang
boleh kecundang. Emily pula dia lihat sudah mula 'lembik' dipujuk Daniel.
Janganlah Emily buat perangai mengarut malam ini dengan mereguk air syaitan
itu.
"Minum
arak tu walaupun setitis, haram hukumnya dan selama 44 hari ibadah yang kita
lakukan akan jadi sia-sia dan ditolak oleh ALLAH."
Anom
terkenangkan nasihat Habib suatu ketika dulu. Tercenung dia. Biarpun dia jahil
tentang agama namun dia tetap faham hukum ALLAH yang satu itu. Sudah tentu ada
sebab mengapa Islam menegah umatnya meneguk arak. Arak itu adalah ibu segala
kejahatan. Orang yang berkawan dengan arak akan terdorong melakukan segala
kejahatan lain contohnya pergaduhan dan tidak mustahil melakukan hubungan seks
bebas.
Kajian
juga menunjukkan arak boleh menyebabkan pelbagai jenis kanser kepada
penagihnya. Anom tidak mahu bersahabat
dengan arak dan jadi kaki botol. Walaupun jahil, dia masih sayangkan nyawa. Dia
tidak mahu mati sia-sia.
"You
minum sikit ya?" goda Daniel lagi. Gelas tinggi sudah berpindah tempat.
Asalnya di atas meja kini sudah berada di tangan Emily.
"Emil,
jom kita menari!" Melihatkan tindakan si 'syaitan kecil' sudah melampau,
Anom pantas bertindak. Ditariknya gelas berisi air syaitan itu dari tangan
Emily dan diletak di atas meja. Tangan Emily kemudiannya ditariknya kasar
menuju ke tengah ruang kelab hiburan.
Terpinga-pinga
Emily. Mahu tidak mahu dia turuti juga langkah Anom. Meninggalkan si buah hati
yang baru dikenalinya tidak sampai sebulan, merengus sendiri.
Ketika
melangkah, Anom hantar kerlingan ke arah Daniel. Mencerut muka Daniel melihat
Emily yang sedetik lagi akan masuk ke perangkapnya, sudah dibawa lari
jauh-jauh. Apa yang membuatkan dia seram sejuk, Daniel tidak sudah-sudah
merenung mukanya. Seperti mengancam. Ah! Biarlah. Malas dia mahu memikirkan
tentang Daniel. Takkan mati dirinya hanya kerana jelingan tajam lelaki itu.
Selepas
ini, tentulah Daniel akan berdendam dan melancarkan perang terhadapnya. Anom Sufi
tidak kisah. Daniel akan dihadapinya dengan segala macam 'senjata' yang dia
ada. Apa yang penting adalah menyelamatkan Emily daripada terjebak dengan
godaan syaitan bertopengkan manusia macam Daniel. Ketika berada di tempat
hiburan, dia dan Emily perlu saling menjaga. Itu sumpah yang mereka berdua
telah patri bersama.
Alunan
muzik rancak memanaskan suasana kelab hiburan itu. Di lantai tari, orang yang
gila menari berlumba-lumba menunjukkan bakat semulajadi, menghayunkan badan
mengikut rentak lagu.
Anom
Sufi yang sudah menggelitik mahu menayangkan skil menarinya, langsung tidak melepaskan
peluang. Digoyangkan tubuhnya laju mengikut irama lagu yang diputarkan deejay.
Sekali pandang, mengalahkan penari profesional pula. Dia dan Emily sama-sama
tenggelam dalam Syurga ciptaan sendiri.
Sedang
seronok menggoyangkan badan, Anom dihampiri seorang pemuda.
"Pandai
you menari. Hebat. Macam pro," puji si pemuda kurus tinggi cuba memancing
perbualan dengan Anom. Orangnya tidaklah berapa kacak tetapi senyumannya cukup
manis. Senyuman bermadu yang mengingatkan Anom kepada Habib Iqmal.
Anom
tersenyum kemudian menggeleng kepala. Dia yang menari main hentam keromo sahaja
ini dikatakan hebat? Ini ayat ikhlas memuji atau ada udang di sebalik mi? Anom
cuba mengupas persoalan itu dalam hati. "I menari tak ikut step. Main belasah aje ni," kata
Anom merendah diri.
"Tapi
you memang betul-betul hebat. Sebelum ni you ada masuk kelas tarian ke?"
tanya si pemuda itu lagi.
"Tak.
Tak ada." Anom ketawa kecil. Lucu pula mendengarnya. Masuk kelas tarian? Hmm...mati
hidup balik papa tidak akan benarkan dia belajar benda merepek macam itu. Tidak
ada faedah. Pasti itulah jawapan papa.
"Ya
ke ni?" Pemuda kurus tinggi itu ketawa tidak percaya. "Tapi I boleh
bezakan antara orang yang pandai menari atau tak sebab I ni profesional dancer tau. Dan untuk
pengetahuan you, I ada studio sendiri kat Ampang. Kalau you sudi, bila-bila
nanti I akan ajak you pergi sana, " sambungnya sekali gus mempelawa Anom.
Terangkat
kening Anom mendengarnya. Ya ke? Sambil menggoyangkan badan dia sempat meneliti
cara dan gaya pemuda itu menari. Memang tidak nampak kaku. Mungkin betul pemuda
yang entah siapa namanya ini seorang penari profesional.
"You
dah kerja? You nak jadi dancer
tak?" Sekali gus si lelaki mengajukan soalannya.
"Hah?"
Teruja Anom mendengarnya. Dia ditawarkan menjadi penari. Kerjaya yang paling diminatinya.
Tetapi, apabila mengenangkan papa, perasaan berkobar-kobar Anom terus menguncup
bagaikan daun semalu. Bekerja sebagai penari? Heh...tidak usah berangan. Dia
berani potong jari jika papa benarkannya jadi penari.
"Eh...tak...tak
nak. I ni student. Sibuk dengan
studi. Tak sempat nak kerja," tolak Anom.
"Tapi
you boleh buat part time. Ramai
penari kat studio I tu studentU.
Yang penting you pandai bahagikan masa."
Pemuda
itu belum kering idea mahu memujuk Anom. Hairan. Itu yang Anom rasa. Apa yang
istimewa sangat pada dirinya sehingga pemuda seorang ini bersungguh benar
memujuknya? Entah! "Tak mengapalah. I ni bukannya orang yang pandai
bahagikan masa. I tak boleh buat dua kerja dalam satu masa. Maafkan I."
Sudahnya, Anom menolak pelawaan itu dengan hormat. Enggan mengecilkan hati
orang.
Sambil
bersembang, mata Anom melilau ke sekitar ruang menari. Mencari-cari Emily.
Ditoleh ke kiri, Emily tiada. Toleh ke kanan, Emily tidak nampak bayang. Ke
mana sahaja gadis itu pergi? Tadi elok sahaja temannya yang agak lincah itu
terkinja-kinja menari di sebelahnya. Sekarang sudah lenyap tanpa meninggalkan sebarang
jejak. Anom sudah menggelabah. Di mana kau, Emil? Hati Anom sudah tidak tentu rasa.