Home Novel Cinta Cinta Copy Paste
Cinta Copy Paste
7/1/2015 22:48:13
135,257
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 8

"SUFI okey ke?" tanya Habib penuh prihatin.

Terasa mahu tercabut jantung Habib tadi melihat Anom rebah ke tanah. Mujur tiada sesuatu yang serius berlaku kepada Anom. Anom cuma pitam sedikit. Jika Anom pengsan tadi, kebas mulut dia nanti mahu bersoal jawab dengan Datuk Adman, papa Anom. Ditakuti Datuk Adman letakkan kesalahan di bahu dia kerana gagal menjaga Anom dengan baik.

Anom Sufi tidak berkutik. Dilemparkan pandangannya ke luar tingkap kereta. Langit cerah tidak semena-mena bertukar mendung. Awan putih kebiruan sudah bertukar kelabu. Tidak ubah bagaikan hatinya kini. Gelap gelita dan sunyi sepi sejak ditinggalkan Qayyum.

"Apa yang berlaku tadi? Siapa budak lelaki yang naik motor tu? Sufi nampak dia aje terus pitam. Sufi tak nak cerita kat abang?" Pertanyaan Habib sambung-menyambung. Orang yang mendengarnya jadi putus nafas. Tidak tahu mahu menjawab yang mana satu.

Anom Sufi menggeleng. Dia tidak bersedia menghamparkan kisah dukanya kepada Habib kerana Habib bukan siapa-siapa di hatinya. Yang dia perlukan sekarang ialah Emily. Baginya, hanya Emily yang mampu merawat keluh kesahnya. Duka dan laranya. Hanya Emily yang faham betapa mendalam cintanya terhadap Qayyum.

"Tak mengapa, kalau Sufi tak nak cerita sekarang. Abang tak kisah. Bila-bila Sufi dah okey nanti, Sufi boleh luahkan pada abang. Abang boleh jadi pendengar yang baik untuk Sufi." Sambil memusing stereng kereta untuk membelok di selekoh, masih sempat Habib memujuk Anom.

"Kita ke klinik ya?" ajak Habib kemudian.

Anom Sufi menggeleng kepala lagi. Dia tidak mahu ke klinik. Dia bukannya sakit teruk cuma terkejut melihat Qayyum dan Miza tadi. Sekarang ini, dia hanya mahu pulang ke rumah dan meluahkan perasaan dukanya kepada Emily.

"Jomlah ke klinik. Risau betul abang. Takut Sufi ada penyakit lain," pujuk Habib lagi.

"Tak nak!"

"Kalau tak nak ke klinik kita pergi makan ya?"

"Saya tak nak pergi klinik! Saya tak nak makan! Saya cuma nak balik! Datuk hantarkan saya balik sekarang juga!" Meninggi nada suara Anom. Sakit hati sungguh berhadapan dengan orang yang tidak faham bahasa ni. Semakin tertekan perasaannya.

"Makan dulu, Sufi. Abang tahu perut Sufi tu kosong sebab tu sampai boleh pitam. Tengahari tadi tak makan kan?" tanya Habib, menoleh sekilas ke muka Anom. Suara Habib masih lunak memujuk biar pun orang di sebelahnya sudah di tahap histeria.

Anom Sufi berjeda. Tepat telahan Habib. Memang sebutir nasi pun belum masuk ke perutnya sejak tadi kerana sibuk mahu mengejar Qayyum. Kerana Qayyum, dia lupa makan minum. Lupa segalanya.

"Kita makan dulu ya? Kalau tak nak makan pun, Sufi temankan abang makan. Abang pun lapar sangat ni. Tengahari tadi abang busy sangat sampai tak sempat makan," keluh Habib.

Melihat Anom tidak membantah, Habib membelokkan keretanya ke simpang deretan kedai dan berhenti di sebuah restoran makanan segera.

Ketika makan, Anom lebih banyak diam daripada bercakap. Muka monyok macam ayam sakit. Habib tanya sepuluh patah, Anom jawab cuma sepatah. Kadang-kadang, Anom berkomunikasi dengan cara mengangguk atau menggelengkan kepala. Runsing Habib jadinya. Sesudah habis ayam goreng dua ketul masuk ke perutnya, Habib terus mengajak Anom balik.

Dalam perjalanan pulang, Habib memberhentikan keretanya di sebuah masjid yang terletak di pinggir jalan. Kedengaran suara muazzin sedang mengalunkan azan asar.

"Sufi tunggu abang kejap ya? Abang nak solat asar dulu," kata Habib setelah menurunkan sedikit cermin tingkap, mematikan enjin kereta dan menarik brek tangan.

Anom mengangguk.

"Sufi tak nak solat sekali?" tanya Habib lembut.

Anom menggeleng.

"Bendera merah ya?" Senyum Habib melebar, mahu bercanda dengan Anom.

"Tak. Saya solat kat rumah," balas Anom, langsung tidak memandang Habib.

"Kenapa tak nak solat sekali? Banyak fadilatnya tau kalau solat diawal waktu terutama solat asar ni. Sama juga dengan waktu subuh. Kalau Sufi nak tahu, waktu subuh dan waktu asar ialah waktu penggantian antara malaikat penjaga siang dan penjaga malam. Malaikat penjaga siang akan berkumpul pada waktu subuh. Kemudian mereka akan naik dan digantikan pula dengan malaikat penjaga malam yang datang pada waktu asar. Jadi banyak pahalanya jika malaikat bertemu kita dalam keadaan tengah bersolat. Nanti mereka akan laporkan pada ALLAH dengan laporan yang baik-baik aje. Diibaratkan macam Sufi jugalah. Kalau nakkan good gred, kena tunjuk depan lecturer yang Sufi rajin dan bijak, barulah persepsi lecturertentang Sufi pun baik-baik aje. Barulah boleh dapat A plus." Sebelum keluar dari kereta, panjang lebar Habib berkhutbah di hadapan Anom. Sempat lagi dia mengusik dengan niat mengembalikan keceriaan di wajah gadis itu.

Anom buat muka bersahaja mendengar ceramah Habib. Tidak tercuit hati mendengarnya. Malah hati dan telinganya jadi lebih sakit. Habib kalau ya pun mahu menjadi penceramah bebas, janganlah di hadapan orang yang sedang mengalami tekanan perasaan macam dia. Semakin berkudis hati dia menelannya.

Habib menjeling muka Anom yang membatu di sebelahnya. Lama dipandangnya rambut Anom yang 'berkarat' dan jeans ketat yang melekat di tubuh gadis itu. Sedetik kemudian, dia menarik nafas panjang. Entah apa yang mengetuk ruang benaknya.

"Tak mengapalah kalau Sufi tak nak solat kat sini. Balik rumah nanti jangan lupa solat," pesan Habib sebelum keluar dari kereta.

DI DALAM kereta, Anom 'masak' menanti Habib keluar dari masjid. Cuaca kering petang hari membuatkan badannya berpeluh-peluh duduk di dalam kereta yang dimatikan enjinnya. Mujur juga Habib memarkir keretanya di bawah sebatang pokok besar. Adalah sedikit redupnya. Kalau tidak, mahu dia 'rentung'.

Hendak keluar mengambil angin, dia malu. Nanti berbakul-bakul orang mengutuk dia. Maklumlah, orang masjid bukannya boleh tengok seorang perempuan bergaya lelaki macam dia ini. Dengan rambut 'berkarat' pula tu. Mesti senget-benget mulut mereka mengumpat dia.

Anom Sufi menjengukkan kepala dari tingkap yang terbuka. Dari jauh, dia nampak Habib keluar dari masjid beriringan dengan jemaah lain. Laju langkah Habib menuju ke arahnya. Cepat-cepat Anom menarik kepala dari tingkap kereta dan terus buat muka bersahaja.

"Lama tak Sufi tunggu abang?" sapa Habib apabila tubuh sudah terbenam di tempat duduk pemandu.

"Adalah dalam 15 minit," jawab Anom sambil mengerling sekilas ke arah Habib. Muka cerah Habib nampak bersih dan tenang. Rambut di atas dahi Habib yang masih kelihatan basah, ditenungnya lama-lama. Timbul pula perasaan lain ketika menatap muka Habib dalam keadaan begitu. Perasaan yang macam mana? Entah!

"Kenapa Sufi tenung abang macam tu?" Habib tersenyum mengerling Anom. Sejak masuk ke dalam kereta, dia sudah nampak perubahan yang agak positif dalam diri Anom. Gadis itu tidaklah monyok dan muram macam tadi. Hendak juga Anom berlawan cakap dengan dia.

"Siapa yang tenung Datuk? Perasan!" Anom menjuihkan bibir panjang-panjang.

Tergelak besar Habib melihat telatah Anom. "Eleh...macamlah abang tak nampak Sufi tenung abang macam nak tembus. Nasib baik tak koyak baju abang ni," seloroh Habib, mengenakan Anom.

Mendengus Anom. Orang tua ni memang dilahirkan terlebih perasan agaknya! Laju otak Anom mengutuk Habib.

Audi R8 Habib bergerak perlahan meninggalkan perkarangan masjid menuju ke rumah Anom yang terletak di Cheras.

"Sufi dah okey ke?" tanya Habib bila melihat Anom sudah kembali ke keadaan asal dan boleh diajak bergurau senda.

Anom mengangkat bahu. Sudah pulihkah hatinya? Tidak. Selagi tidak dapat kata putus dari mulut Qayyum, selagi itulah hatinya akan terus merintih. Mengenangkan itu, hatinya kembali sebu. Terbuku. Ah! Sukarnya mahu melepaskan insan bernama Qayyum terbang jauh dari fikirannya.

"Tak nak ceritakan pada abang tentang problem Sufi tu? Abang sedia mendengar. Manalah tahu abang boleh tolong."

Cukup berhati-hati Habib menuturkan kata-kata itu. Bimbang kalau-kalau Anom melenting seperti sebelum ini. Namun, bayangan wajah pemuda yang menunggang motosikal Ducati tetap memalu ruang mindanya. Hatinya sakit tiba-tiba. Masakan tidak, pemuda itulah yang membuatkan Sufinya hampir pitam tadi.

"Datuk tak boleh tolong saya pun," jawab Anom perlahan.

"Kenapa pulak tak boleh? Hisy, Sufi ni. Belum cuba belum tahu. Ingat abang tak boleh jadi macam Dato' Fadzilah Kamsah ke? Entah-entah abang boleh jadi lebih baik daripada dia," sambut Habib. Dia buat muka geram memandang Anom. Sekadar ingin berseloroh.

Menjeling manja Anom mendengarnya. Cepat-cepat dia menutup mulut dengan tangan. Lucu mendengar gurauan Habib. Orang tua ni ada hati pula hendak jadi macam Dato' Haji Fadzilah Kamsah. Aduhai...berangan sahaja lebih. Tetapi, mungkin juga Habib yang tinggi juga ilmu agamanya boleh menjadi sehebat pakar motivasi terkenal itu.

Ya, mungkin ada benarnya bicara Habib tadi. Belum cuba belum tahu. Mungkin setelah meluahkannya kepada Habib, pedih di jiwanya akan terubat sedikit.

"Qay...Qay...nak putus dengan saya. Dia ada perempuan lain." Terlontar akhirnya ayat-ayat itu dari bibir Anom. Tidak dapat menahan rasa pilu, berderai air matanya membasahi pipinya yang gebu.

"Qay?" Habib mengangkat kening. Mahukan penjelasan lanjut tentang Qay yang disebut Anom.

"Qayyum. Dialah yang naik motor tadi. Perempuan perampas tu pun ada sekali dengan dia. Saya benci dia! Benci!" Anom mula buat drama lagi. Memekik-mekik dengan mata terpejam. Kemudian Anom menutup muka dengan kedua belah tangan. Menangis tersedu-sedu.

Terkedu Habib. Muka Anom di sebelahnya, dipandang seketika. Kes putus cinta rupa-rupanya, hatinya berdetik. Sudah diagak sejak awal, itulah puncanya tetapi dia tidak berani menerjah sebelum Anom sendiri meluahkannya. Bimbang tersalah terjah, tindakannya akan mengguris hati Anom.

Ingatan Habib melewati musim lalu. Terhimbau kenangan pahit yang sampai sekarang masih terasa sukar untuk dicampak pergi. Bertahun-tahun dia merana menangisi cinta yang tidak kesampaian. Sehingga kini, pedih luka dikhianati cinta itu masih terasa.

"Kenapa dia tak pilih saya? Saya sayangkan dia sangat-sangat tapi dia tinggalkan saya sebab perempuan tu." Anom mengongoi lagi. Kalau tadi dia mengawal tangisan, sekarang sudah teresak-esak. Bahu sudah terhenjut-henjut. Hilang sudah rasa malu terhadap lelaki di sebelah yang asyik merenungnya sedari tadi.

Melihat Anom bagaikan tidak dapat mengawal perasaan, simpati Habib membuak-buak. Sudahnya, dia memperlahankan kelajuan kereta dan akhirnya berhenti di pinggir jalan. Ingin memberi ruang untuk Anom bertenang dan memulihkan perasaan. Dibiarkan Anom menangis semahu-mahunya jika itu mampu membuatkan hati Anom yang sebu menjadi lapang.

"Apa kurangnya saya? Apa lebihnya perempuan tu? Saya tahulah saya tak cantik macam budak tu. Perangai saya kasar, tak sopan santun macam budak tu. Tapi dulu bukan saya yang nak sangat bercinta dengan dia. Dia yang merayu-rayu saya supaya terima dia. Sekarang, bila saya dah cinta sangat padanya, dia tinggalkan saya macam tu aje." Anom sudah teresak-esak.

"Sufi, dahlah....jangan difikir-fikir lagi pasal ni. Biarkan ajelah Qayyum tu. Dia tu bodoh, tak pandai hargai Sufi. Sufi yang comel macam ni pun dia tak nak. Dia yang rugi, bukan Sufi. Dahlah...jangan menangis. Lupakan Qayyum. Rugi tau keluarkan air mata untuk lelaki bodoh macam Qayyum tu." Cepat Habib cantas kata-kata Anom. Jiwanya yang sensitif tidak sampai hati membiarkan Anom terus merintih menghamparkan rasa kecewanya. Silap-silap, muka dia pula yang dibanjiri air mata.

"Macam mana saya nak lupakan dia? Saya sayang sangat pada dia," rintih Anom. Dia mengangkat muka memandang ke hadapan. Kelihatan pipi yang mulus itu sudah basah lencun.

"Dah tentu Sufi boleh. Yang penting Sufi kena kuatkan semangat. Banyakkan berdoa supaya ALLAH berikan Sufi ketabahan untuk menghadapinya. Menangis macam ni bukannya boleh dapatkan Qay balik," kata Habib tenang.

"Senanglah Datuk cakap. Datuk bukannya pernah rasa perasaan macam ni. Sakit tau hati saya ni," balas Anom. Geram dengan Habib yang macam memperlekehkan perasaannya. Sudahlah begitu, waktu begini, mulalah Habib mahu jadi ustaz bidan terjun untuk memujuknya.

"Abang faham. Abang faham sangat perasaan Sufi tu." Lemah suara Habib. Tersentap juga bila Anom menuduh dia tidak memahami perasaannya. Mana mungkin dia menerima tuduhan Anom? Dia memahami perasaan Anom kerana suatu masa dulu dia turut berkongsi kepedihan yang sama. Cuma sekarang dia tidak bersedia menghamparkannya kepada Anom. Belum tiba masanya.

"Saya tak boleh hidup tanpa dia. Selama ni saya...."

"Sufi....jangan cakap macam tu. Itu kata-kata orang yang tak ada pedoman hidup. Hidup Sufi bukan hanya untuk Qayyum aje. Sufi tak akan mati kalau hilang cinta Qayyum. Ada ramai lagi orang yang sayangkan Sufi dan perlukan kasih sayang Sufi. Keluarga dan kawan-kawan semua sayangkan Sufi. Banyak-banyakkan istighfar. Ubati kekecewaan Sufi tu dengan banyakkan membaca Surah Yasin, bersolat Tahajud dan berzikir. Insya-ALLAH, kekecewaan Sufi tu akan terubat. Dahlah, jangan menangis lagi. Tengok Sufi macam ni, abang pun turut sedih tau," pujuk Habib. Habib sudah berpusing menghadap Anom. Ikutkan hati, mahu sahaja dia mendakap Anom erat-erat dan biarkan Anom menangis di bahunya. Namun, semua itu mustahil namanya. Mana mungkin dia mendakap seorang perempuan yang tidak halal baginya?

Terdiam Anom Sufi. Bila Habib mula mengaitkan masalahnya dengan agama, dia selalu kehilangan kata-kata. Saranan Habib kedengaran mudah tetapi untuk melaksanakannya terlalu payah. Seberat-berat mata memandang, berat lagi bahu orang yang memikul. Habib bolehlah bersyarah panjang lebar kerana bukan dia yang memikul bebannya. Tetapi dia. Dia yang bernama Anom Sufi ini.

"Setiap musibah yang berlaku itu, ada hikmahnya. Agaknya ALLAH nak tunjukkan pada Sufi yang Sufi ni bukan pemilik tulang rusuk kiri Qayyum." Habib menyambung khutbahnya.

"Pemilik tulang rusuk kiri?" Anom tidak faham. Dia bukannya pandai sangat bab-bab agama. Habib pula suka sangat cakap berbelit-belit. Mana fikiran dia tidak kabur?

"Tak faham ya?" Habib tergelak. "Pemilik tulang rusuk kiri tu, sayang...maksudnya isteri. ALLAH jadikan seorang isteri tu dari tulang rusuk suaminya. Jadi...mungkin ALLAH nak tunjukkan yang Qayyum bukan jodoh Sufi. Ada orang lain yang lebih layak untuk memiliki Sufi. Sesungguhnya, ALLAH lebih mengetahui apa yang terbaik untuk diri kita." Semakin bersemangat Habib berkhutbah apabila Anom diam dan tekun mendengar.

Anom Sufi tidak bersuara. Penerangan Habib yang menjurus kepada soal jodoh membuatkan dia semakin pening kepala. Siapa agaknya yang gatal hendak bersuami? Mentang-mentanglah dia baru sahaja putus cinta, terus Habib mengaitkan soal itu dengan hal nikah kahwin. Tidak faham agaknya Habib yang jiwa remajanya ini hanya mahukan keseronokan bercinta. Kahwin-kahwin tak mainlah!

Tetapi, baru setahun jagung menikmati kemanisan cinta, dia kecundang. Pedih lukanya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Harapan yang dipertaruhkan setinggi langit pecah berderai sekelip mata. Baru kini dia merasa betapa sakitnya putus cinta.

Aduhai....bagaimana mungkin perjalanan hidup ini diteruskan jika dia sudah lumpuh separuh badan? Mampukah dia terus berlari jika sudah pincang sebelah kaki?

Qayyum! Mengapa tergamak kau buat aku begini? Hati Anom tidak mahu berhenti merintih.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.