Home Novel Thriller/Aksi The Lost World
Bab 6: Pemangsa Zaman Silam
Seorang lelaki yang bertopeng aneh sedang duduk di atas sebatang pokok. Dia sedang memegang erat sebatang kayu, di mana di hujung kayu kelihatan kapak batu. Kemudian, dia tersenyum lalu melompat turun. Lelaki itu tidak berbaju, tetapi berseluar jeans. Sebenarnya sejak kali pertama pesawat itu terhempas di pulau misteri itu, dia sudah menunjukkan sedikit minat.

“Takdir telah menjemput kalian ke bumi aku. Jadi, biarkan aku mengawal takdir kalian di sini,” gumam lelaki bertopeng itu, “Lama aku seorang diri di sini dan sekarang, datang sahabat yang aku tunggu selama ini.”

***

Dr Izwan baru sahaja memeriksa pesakit. Menurut Dr Izwan, mereka sudah pulih dari sakit. Afiq yang tidak begitu terkena tempias penyakit yang mereka seminggu yang lepas, sekadar duduk berseorangan di satu sudut bangkai pesawat itu. Dia mengeluarkan dompetnya yang hanya berwang RM 50 itu. Kelihatan satu foto saiz pasport lalu ditatap foto itu.

“Mak awak ke?” tanya Husna sambil duduk di sebelah Afiq. Afiq pantas menyeka air matanya. Sudah dua minggu dia terperangkap di lantai hutan itu. Namun, tiada satu tanda pun yang mereka bakal diselamatkan.

“Mak saya. Saya rindukan dia...” gumam Afiq sambil tersenyum. “Agaknya bila kita akan balik?”

“Dr Izwan dan Ahmad Naim dah usahakan pelbagai cara. Percayakan mereka...” tutur Husna. Afiq mengangguk.

“Kakak Husna,” panggil Afiq. “Kakak tak ada orang yang kakak rindukan?”

“Ada. Kapten Azrin,” tutur Husna sambil tersenyum.

“Saya rindukan Zaff,” ucap Afiq spontan.

***

Kapten Azrin sedang duduk sambil menyalakan sebatang rokok. Bekalan rokoknya semakin habis. Itu aje rokok yang dijumpainya ketika berada di pesawat tempoh hari.Kapten Azrin sedang merenung sahaja Piqah dan Yasmin yang sedang berbual mesra.

“Lama ke korang dua belajar kat Universiti Tun Dr Mahathir?” tanya Kapten Azrin. Piqah dan Yasmin yang sedang kusyuk berbual itu, mengalihkan fokus mereka ke arah Kapten Azrin. Mereka berdua membisu buat beberapa ketika, sebelum kembali berbual.

Kapten Azrin, lelaki yang berambut perang itu meludah rokok yang bergaut di bibirnya. Berang dengan sikap Piqah dan Yasmin yang baginya, memang sangat pelik sejak mereka saling bertemu.

“Kenapa korang dua ni?” tanya Kapten Azrin.

“Siapa tak kenal Piqah dan Yasmin yang dah serupa belangkas. Ke mana sahaja mereka pergi, mereka akan bersama, dan mereka berdua, seperti tidak mengenali dunia selain rakan mereka,” ujar Taufiq yang tiba-tiba muncul dari belakang bersama Hafeez.

“Korang pergi mana?” tanya Azrin namun hanya sengihan daripada mereka berdua. Taufiq dan Hafeez hanya sekadar mengenyit mata mereka.

“Kalau tak bagitahu tak apa. Tapi, pastikan yang korang tak buat benda bodoh?”

Taufiq dan Hafeez sekadar mengangguk.

“Lokasi kita ialah pantai,” tutur Azrin memberi arahan. Dia telah dipilih menjadi ketua memandangkan dia yang paling tua di antara mereka yang berada di situ. Baju uniform juruterbangnya masih tersarung kemas walaupun kesan debu dan lumpur tercalit di beberapa sudut.

“Okey,” jawab Hafeez.

“Kita boleh kaya dengan apa yang kita dapat...” Taufiq sempat berbisik di telinga Hafeez. Beg galas yang dibawa oleh Hafeez sedang erat digenggam.

***

Zaff sedang duduk sambil berlindung dari balik semak samun. Sarjan Azmi sedang duduk melutut di sebelahnya. Mereka berdua sedang merenung tajam ke arah susuk seekor rusa yang agak aneh bentuknya. Mungkin rusa dari zaman prasejarah.

“Sekarang,” bisik Sarjan Azmi.

Zaff yang pernah menyertai sukan memanah itu menarik panahnya, lalu melepaskan beberapa anak panah. Panah yang dibuat oleh Sarjan Azmi dengan penuh susah payah berjaya melepaskan sebusur anak panah, yang kemudiannya membaham tubuh rusa prasejarah itu.

“Dicrocerus, sejenis rusa yang hidup pada 10 juta tahun yang lalu. Fosil rusa itu dijumpai di Perancis,” tutur Hazira yang muncul tiba-tiba dari belakangnya. Gadis itu melangkah penuh minat ke arah Dicrocerus.

“Makhluk yang sangat indah...” tutur Hazira lagi.

Zaff dan Sarjan Azmi saling berpandangan. Sikap Hazira memang sangat pelik.

“Hazira... senyum kat kamera aku!” tutur Nabil yang sedang memimpin seorang budak kecil lelaki menghampiri Hazira. Nabil dan budak kecil lelaki itu langsung tidak diendahkan oleh Hazira sebaliknya meneruskan kerjanya.

***

Lelaki bertopeng itu sedang duduk di hadapan sebuah sangkar besi yang sangat besar. Seekor dinosaur setinggi 10 kaki sedang tidur berdengkur di dalamnya. Lelaki bertopeng itu sedang berada di sebuah tempat yang saling tak tumpah seperti fasiliti lama yang telah ditinggalkan orang.

Di balik sana, kedengaran raungan lain. Namun, lelaki bertopeng tidak mempedulikan raungan yang sedang bergema di kelilingnya. Dia duduk bersila sambil memerhatikan seekor T-Rex yang sedang tidur.

“Macam mana kalau aku lepaskan kau?” tutur lelaki bertopeng. “Aku nak kau buat sesuatu untuk aku. Kau kena jadi ujian seterusnya untuk budak lelaki itu bertahan.”

T-Rex itu masih tidur. Lantas, lelaki bertopeng itu memanjat jeraji besi itu untuk berdiri di atas sangkar besar itu, dan... lelaki itu meleraikan mangga yang bersambung dengan rantai besi yang sebesar penumbuk manusia. Mata T-Rex lantas terbuka sebaik sahaja pintu sangkar besi yang mengurungnya selama ini sedang terbuka.

“Pemangsa terhebat sepanjang zaman kini dah dilepaskan oleh aku,” tutur lelaki bertopeng lalu menghilang dalam gelap malam.

***

Saiful Hawiz sedang mengheret seekor ikan yang hampir sama besar dengan tubuhnya. Afiq yang sedang berbual dengan Naim terkejut melihat hasil tangkapan Saiful Hawiz itu. Cik Mia yang kini dalam pakaian baju-T yang diambil dari bahagian kargo pesawat itu tersenyum mengekori Saiful dari belakang. Rambut Cik Mia yang mencecah pinggang itu beralun ditiup angin.

“Kamu pergi carikan kayu api,” tutur Saiful memberi arahan kepada Dr Izwan yang kebetulan melintas untuk melihat ikan yang dibawa oleh Saiful.

“Aku kena cari? Aku ni...”

“Pergi cari!” pintas Saiful Hawiz lantas kembali mengheret ikan gergasi itu di atas tanah.

“Aku nak masak ikan bakar malam ni. Korang dua tolong aku siangkan ikan ni,” tutur Saiful lagi. Afiq dan Naim memandang Cik Mia yang sedang berdiri di belakang Saiful, sambil berpeluk tubuh. Hanya sekuntum senyuman yang dihadiahkan oleh Cik Mia untuk mereka.

***

Entah dari mana pisau itu Saiful jumpa. Yang menjadi mangsa ialah Afiq dan Naim untuk bersusah payah memotong ikan itu. Dr Izwan yang sedang menghidupkan kayu api sekadar tersenyum memerhatikan wajah monyok Afiq dan Naim yang tidak pernah membuat kerja itu.

“Potong kepala tu elok-elok sikit! Keluarkan segala darah yang ada!” Saiful mengarah. Tiada siapa di situ yang berani melawan cakap Saiful. Kedatangannya ke situ seperti kehadiran seorang diktator antara mereka.

Saiful langsung tidak membenarkan para kaum hawa memasak. Jelas yang Saiful sangat memandang tinggi darjat perempuan. Kata-kata terakhir masih terngiang di hawa telinga Afiq.

“Nabi beritahu kita yang kerja-kerja macam ini adalah tanggungjawab orang lelaki, bukannya perempuan,” kata Saiful ketika Dr Izwan cuba membantah apabila Saiful tidak mahu membenarkan perempuan turut serta dalam kerja memasak pada malam itu.

“Comel kan Fiq tengah siang ikan,” tutur Acha yang sedang duduk di tangga pesawat di sebelah Ummu. Pantas wajah Acha dijeling oleh Ummu. Tajam.

“Aku tengok kau dengan dia, mesra sangat. Ada apa-apa ke?” tanya Ummu tiba-tiba.

“Tak adalah. Aku dengan dia kawan jer,” pantas Acha menafikan.

“Sebagai seorang sahabat, aku nak tahu sama ada kau suka dia atau tidak?” tanya Ummu lagi. Kali ini, Acha kusyuk memerhatikan gelagat Afiq yang dimarahi oleh Naim. Apa sahaja yang Afiq lakukan, semuanya tak kena di mata Naim. Ummu kenal bahawa Naim ialah seorang perfectionist manakala Afiq pula ialah seorang budak nakal yang sekadar berpuas hati jika kerjanya siap.

“Aku nak pergi buang air. Korang tunggu aku,” tutur Afiq lalu bangkit meninggalkan rakan-rakannya yang sedang sibuk menyiang ikan.

“Pemalas... nak curi tulanglah tu,” tutur Naim ketika Afiq berjalan pergi meninggalkan mereka.

***

Afiq melihat kelilingnya, lalu selepas didapati tiada sesiapa pun di sit u. Dia pun terus membuang air kecil.

“Hai sahabat,” tutur satu suara yang tiba-tiba menegur Afiq dari belakang. Pantas Afiq menarik zip seluar jeansnya. Dia menoleh dan seorang lelaki bertopeng sedang duduk di atas dahan, sambil berseluar jeans.

“Siapa kau?” tanya Afiq.

“Qarin,”balas lelaki itu selamba membuatkan bulu roma Afiq pantas meremang. “Panggil aku Qarin sahaja.”

“Kenapa kau pakai topeng? Dan apa yang kau buat kat sini?” tanya Afiq.

“Aku datang untuk menemani kau. Kerana selepas ini, aku akan jadi sahabat utama kau dalam setiap pengembaraan kau di atas pulau ini. Aku akan jadi penunjuk arah, dan melentur diri kau, sahabat.”

“Aku tak nak siapa pun temani aku, atau jadi pemimbing aku kat atas pulau ni.”

“Tapi, kau perlukan aku. Kau akan banyak belajar tentang apa itu persahabatan, apa itu cinta, dan apa itu keberanian. Tak lama lagi...”

Afiq melangkah pergi, tidak mahu mengendahkan lelaki itu, namun pantas lelaki itu melompat lalu mendarat di hadapan Afiq. Afiq terperanjat.

“Jangan pergi dulu. Kita belum habis berkenalan...” tutur lelaki bertopeng tadi. “Aku nampak potensi kau, sahabat. Aku lihat bagaimana betapa kau menjadi wira saat Husna dilingkari bahaya. Aku nampak potensi dalam diri kau... sahabat.”

Tutur lelaki bertopeng itu sambil menghulurkan tapak tangannya untuk bersalaman dengan Afiq. Afiq tidak terus membalas sebaliknya merenung tapak tangan itu.

“Siapa kau?” tanya Afiq.

“Kan aku dah cakap panggil aku Qarin,” tutur lelaki itu.

“Qarin? Kau mungkin salah seorang penumpang pesawat tempoh hari. Dah, jangan nak mengarut...” Bahu Afiq tiba-tiba disentuh oleh Qarin.

“Sahabat, dengar sini. Selepas ini, ada sebuah ujian sebenar untuk kau. Ujian yang akan membuka mata mereka siapa sebenar Afiq, si trouble maker bukannya seorang yang tidak boleh diharap. Kerana selepas ini, mereka akan menyedari siapa kau. Mereka akan perlukan kepimpinan kau untuk kekal hidup!”

“Berhenti mengarut!” Afiq menepis tangan Qarin.

Serentak itu, bunyi ngauman bergema di angkasa lantas mengejutkan mereka berdua. Afiq dan Qarin saling berpandangan.

“Memperkenalkan makhluk yang paling digeruni dalam sejarah... T-Rex dan Allosaurus!”

“Ummu!” Spontan nama itu meniti di bibir Afiq.

***

Tanah di bawah mereka bergegar lantas membuatkan Naim yang sedang menikmati ikan bakar itu berdiri. Saiful Hawiz masih tenang sambil memasang telinga. Ketawa Ummu terus berhenti. Husna dan Acha pula saling berkongsi pandangan.

“Semua... masuk ke dalam pesawat sekarang jugak!” Saiful bangkit lalu memberi arahan. Namun, masing-masing langsung tidak berganjak memandangkan bunyi tapak kaki semakin menghampiri kawasan itu.

Seekor makhluk setinggi 10 kaki muncul dari balik hutan tebal yang memenuhi seluruh bangkai pesawat itu. Makhluk itu berdiri menggunakan kedua-dua belah kakinya, mempunyai kepala seperti seekor biawak dan terdapat tangan kecil yang tergantung pada tubuhnya. Kepalanya pula kelihatan lebih besar daripada badannya, mewujudkan ketidakseimbangan struktur badannya. Gigi yang terbaris pada mulutnya sebesar jari manusia, sudah cukup untuk mendatangkan gerun.

“T-Rex!” teriak Naim sambil membetulkan kaca matanya.

Sebaik sahaja nama T-Rex menyapa cuping telinga mereka, perasaan gerun yang sudah hilang sejak 3 minggu lalu, sejak peristiwa pesawat mereka terhempas tiba-tiba menyelimuti mereka, merayap dalam saraf-saraf. Di hadapan mereka adalah cicak gergasi yang merupakan pemangsa terhebat sepajang zaman dan mereka hanyalah manusia biasa yang tidak punya kekuatan seperti cicak itu.

Degupan jantung menggila seperti mahu tercabut dari dada manakala wajah pucat, seperti darah tidak pernah mengalir. Anggota badan pula seperti hilang fungsinya menyaksikan T-Rex sedang melangkah. Bunyi hentaman dari tapak kaki T-Rex seolah-olah menjadi latar muzik kepada maut yang sedang menanti mereka di hujung hutan itu. Ya ALLAH, selamatkanlah kami!

“Lari ke arah sana!” teriak Saiful pula.

“Bodoh! Jangan lari! T-Rex tak akan nampak kita kalau kita tak bergerak!” Naim membidas Saiful. “Berdiri di sini dan buat tak tahu. Jangan takut!”

“Mana kau tahu empat mata?” tanya Saiful.

“Daripada buku. Sekarang, semua, berdiri di tempat kamu. Jangan sesekali bergerak!” kata Naim yang masih cekal berdiri.

T-Rex sedang melangkah ke arah mereka. Dinosaur yang memegang rekod gigitan rahang yang paling kuat itu menghampiri Naim yang paling hampir dengannya. T-Rex menundukkan kepalanya, menghidu Naim yang masih cekal berdiri sambil memejamkan matanya.

Kemudian, T-Rex bergerak ke arah Dr Izwan yang sedang berdiri sambil memegang erat tapak tangan Husna. Seperti Naim, mereka berdua kelihatan kaku namun pada raut wajah mereka, terpampang seribu kengerian dan resah. Ummu yang sedang duduk dengan Acha pula dicari oleh T-Rex. Mereka masih cekal bertahan, dan ketika T-Rex mahu melangkah pergi. Dari belakang mereka, kedengaran bunyi raungan. Seekor dinosaur yang dikenali oleh Naim sebagai Allosaurus muncul. T-Rex lantas menoleh ke belakang.

Allosaurus adalah seekor dinosaur yang hampir sama besar saiz badannya dengan T-Rex. Kepalanya tidaklah sebesar T-Rex, seimbang dengan saiz leher dan badannya. Apa yang membezakan T-Rex dan Allosaurus ialah tangan Allosaurus lebih besar daripada T-Rex dan terdapat sisik-sisik aneh di belakang badan Allosaurus.

“Lari masuk ke dalam pesawat sekarang!” teriak Naim memberi amaran. Semua antara mereka mampu masuk ke dalam kecuali Acha yang tersadung kakinya sendiri, lalu jatuh tersembam di atas tanah.

T-Rex cuba menyambar tubuh Acha dan mujurlah Allosaurus menghalang T-Rex dengan menolak tubuh T-Rex ke tepi membuatkan T-Rex berundur beberapa tapak daripada lokasi mereka. Acha pula sudah mula menangis teresak-esak apabila diapit oleh maut dari segenap arah. Tapak tangannya sedang menututp wajah, seolah-olah sedang menyembunyikan seribu ketakutan yang terpapar pada wajah itu.

Saiful yang mengintai dari pintu masuk ke pesawat itu memerhatikan dengan hati yang serba salah. Namun, tangisan Acha yang semakin kuat berkumandang membuatkan Saiful semakin bersimpati. Sementara itu Husna sedang memeluk erat tubuh Ummu yang ketakutan itu. Cik Mia sedang berpeluk tubuh di satu sudut dan Naim sedang mengintai dari dalam pesawat, pertempuran antara T-Rex danAllosaurus yang baru sahaja bakal bermula.

T-Rex dan Allosaurus saling berbalas renungan manakala Acha pengsan di tengah-tengah. Bila-bila masa sahaja Acha berada di tengah-tengah, menjadi rebutan T-Rex atau Allosaurus yang masing-masing sama tinggi dan besar.Ketika Allosaurus mahu membaham Acha yang terbaring lemah di atas tanah, T-Rex meluru ke arah Allosaurus lalu menghayunkan kepala besarnya membuatkan Allosaurus.

Saiful mengambil kesempatan itu dengan meluru ke tengah-tengah pertempuran itu, dan belum sempat dia menyambar tubuh Acha, tubuh Allosaurus melayang di udara membuatkan Saiful terpaksa menunduk. Pokok balak yang tumbuh meninggi tumbang ke tanah menerima impak badan Allosaurus. T-Rex kemudian mengalihkan pandangannya ke arah Saiful. Dia mengangakan rahangnya yang seperti buaya itu mahu menyambar Saiful namun Allosaurus muncul entah dari mana lalu menyambar leher T-Rex. Saiful pula mengambi kesempatan itu dengan mendukung Acha yang kini sudah tidak sedarkan diri jauh daripada lokasi pesawat.

T-Rex cuba melepaskan diri dari genggaman rahang Allosaurus. Lama juga gigi Allosaurus terbenam di dalam leher T-Rex. Namun, ianya tidak lama. T-Rex bergelut untuk melepaskan diri dan buat kali kedua, kekuatan T-Rex membuatkan Allosaurus terpelanting di udara lalu jatuh tepat di sebelah bangkai pesawat. T-Rex mengambil kesempatan itu dengan mendekati Allosaurus yang kesakitan lalu memaham leher Allosaurus.Sekali genggaman sahaja, membuatkan leherAllosaurus terus patah. T-Rex meraung di udara meraikan kemenangannya sambil memijak jasad Allosaurus.

“Dia dah pergi ke?” tanya Ummu yang memberanikan diri mengintai melalui tingkap. Seketika, hanyalah pemandangan hutan hijau menyambut matanya sehinggalah... muncul sebiji mata seperti buaya menyebabkan Ummu menjerit spontan lalu cuba berundur ke belakang sebelum jatuh terlentang.

Tingkap pesawat itu pecah dan lidah T-Rex sedang menembusi pesawat itu lalu membalut tubuh Ummu yang sedang terbaring.

“Tolong Ummu!” teriak Ummu ketika cuba untuk melepaskan dirinya.

Dr Izwan cuba mencapai tangan Ummu namun tidak berdaya. Mujurlah Ummu terlepas dari belitan lidah T-Rex lalu melarikan diri ke arah Saiful yang hanya mampu memerhati dari jauh sambil menemani Acha.

Fokus T-Rex teralih kepada bangkai pesawat di hadapannya. Habis pesawat itu dijadikan seperti bola, digoleknya sesuka hati ke kiri dan kanan Mereka yang terperangkap di dalamnya seperti berada di dalam permainan Roller Coaster. Bunyi jeritan datang daripada mereka bergema di sekeliling hutan. Sampai satu ketika, keadaan pesawat itu tidak rupa seperti pesawat lagi.

“Diaorang ada kat dalam sana!” gumam Ummu.

“Woi!” teriak Saiful Hawiz dan Afiq serentak.

Entah dari mana,Afiq muncul sambil membawa obor api. Afiq kelihatantidak berbaju, hanya berseluar jeans. Jersi Liverpoolnya dibalut pada kayu, lalu membentuk obor. Saiful dapat melihat nama Steven Gerrad sedang layu dalam api yang sedang galak terbakar itu.

“Bawak Ummu pergi dari situ. Biar aku uruskan si bedebah ni!” teriak Afiq yang lantas membuatkan perasaan kagum timbul dalam diri Saiful.

T-Rex merenung ke arah obor api yang dikibarkan oleh Afiq di udara. Afiq yang sedang berpeluh itu sekadar merenung tajam ke arah T-Rex, seolah-olah mereka adalah sama kuat dan setanding.

Selepas beberapa ketika, T-Rex mula membuka langkahnya ke arah Afiq, membuatkan Afiq mula melangkah beberapa tapak ke belakang. Saiful memerhati dari jauh dengan penuh minat. Pengorbanan yang dilakukan oleh Afiq benar-benar membuka matanya. Saiful sedang melihat seorang lelaki yang sanggup menggadaikan nyawanya demi keselamatan rakan-rakannya. Apakah ini ialah Afiq Troublemaker yang dikenalinya?

“Hati-hati Fiq!”

Saiful melihat Afiq menghilang dari pandangan matanya, sambil diikuti oleh T-Rex. Kesempatan itu digunakan oleh Saiful Hawiz untuk membantu rakan-rakannya yang tersepit di bawah bumbung pesawat yang penyet dikerjakan oleh T-Rex. Seorang demi seorang cuba keluar melalui ruang yang masih tinggal.

“Afiq memang gila…” gumam Dr Izwan.

“Fiq…” gumam Acha.

“Dia hero kita,” kata Saiful.

***

Afiq menoleh belakang. T-Rex yang setinggi 10 kaki itu masih mengejarnya. Haiwan besar itu tidak kenal langsung erti letih. Afiq pula semakin kekurangan stamina. Langkah kakinya tidak sepantas seperti awal-awal tadi. Afiq harus berbuat sesuatu. Tambahan pula jantungnya sedang berdegup menggila, terpaksa melarikan diri daripada T-Rex. Jaraknya dengan T-Rez semakin hampir dan otaknya perlu mencari jalan menyelamatkan keadaan.

Afiq memerhatikan keadaan sekelilingnya, dia sedang memasuki kawasan semak samun yang semakin tebal. Dia menoleh belakang, T-Rex hanya beberapa kaki. Obor di tangannya pula semakin pendek. Ya, obor itu…

Afiq membawa dirinya masuk ke dalam kawasan semak samun itu, meredah menggunakan sisa tenaga terakhir. Selepas eketika, dia berjaya keluar dari semak samun yang agak panjang itu. Langkah kakinya terus mati lalu dia berpaling ke arah T-Rex yang sedang bergerak ke arahnya. Hentakan demi hentakan yang menghasilkan gegaran tidak lagi membuatkan Afiq gerun. Sebaik sahaja kaki dinosaur itu masuk ke dalam kawasan semak, dia terus melontarkan obor api itu. Seketika tiada apa yang berlaku sehinggalah api yang marah tiba-tiba keluar membuatkan T-Rex terpaksa berundur ke belakang. Seketika, mereka saling berbalas renungan sebelum T-Rex beredar dengan raungan.

***

“Terima kasih Acha,” ucap Afiq.

“Saya yang patut ucap terima kasih pada awak,” gumam Acha lagi yang sedang tekun membalut tapak tangan Afiq.Tangan Afiq melecur ketika cuba menghidupkan obor api yang telah menyelamatkan mereka semua.

“Jangan lupa ucap terima kasih kat aku,” tutur Naim yang sedang memerhatikan sahaja adegan romantis antara Afiq dan Acha.

“Ya, terima kasih kat kau jugak,” tutur Acha sambil tersenyum.

“Kawan-kawan,” panggil Saiful tiba-tiba. “Sudah tiba masanya untuk aku berpisah dengan kalian.”

Afiq dan ahli kumpulannya terkejut mendengarkan kata-kata Saiful itu.

“Kenapa?” tanya Afiq.

“Kamu semua tahu kenapa T-Rex itu datang ke sini?”

Mereka semua menggelengkan kepala.

“Sebab aku yang paksa korang bakar ikan tu. Asap yang terhasil telah sampai ke hidung T-Rex, yang dikatakan 4 kali ganda lebih kuat daripada deria bau anjing. Salah aku sebab tarik benda tu... dan aku kena pergi. Lagipun, aku ini adalah lone ranger. Hutan ni belum cukup untuk bagi aku gentar,” tutur Saiful.

"Saya nak ikut awak!" Cik Mia bersuara tiba-tiba membuatkan Saiful menatap wajah itu. Lama sebelum Saiful mengangguk sambil tersenyum. 

“Selamat tinggal,” tutur Saiful sambil menghulurkan tapak tangannya untuk bersalaman dengan Afiq. Afiq terdiam sejenak sebelum mengangguk. Huluran salam Saiful bersambut.

“Jangan kasi dia pergi...” bisik Naim. Namun Afiq tidak mengendahkan budak kaca mata itu.

“Assalamualaikum sahabat,” ucap Afiq.

“Waalaikumussalam. Semoga selamat dan kekal bertuah. Cik Mia, jom?”

Cik Mia mengangguk.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.