Home Novel Thriller/Aksi The Lost World
Bab 22: Demi Ummu!

Bulan penuh sedang bertenggek di dada langit. Ummu sedang berjalan di taman yang terletak di pekarangan hotel itu. Seorang budak kecil sedang memegang tangan Ummu. Budak lelaki itu kelihatan riang.

“Mama,” panggil budak kecil.

“Berapa kali kakak cakap jangan panggil kakak mama kan Karl?”

Budak lelaki itu namanya Karl. Salah seorang penumpang pesawat Boeing 777-300ER yang terhempas di pulau aneh itu.

“Tapi Karl anggap kakak macam mama Karl!” Suara pelat Karl yang berumur 4 tahun itu kedengaran riang.

“Jangan..”

“Nak panggil Mama jugak!” Suara Karl bergema di situ.

Ummu tersenyum melihat gelagat Karl yang menghentak-hentak kakinya.

“Mama…” panggil Karl lagi.

“Hari ni Karl nak tidur dengan mama boleh tak?” pinta Karl.

“Boleh…” jawab Ummu lagi.

“Mama dukung Karl sampai bilik?” pinta Karl lagi.

Ummu mengangguk sambil tersenyum. Ummu duduk bercangkung lalu Karl berlari ke dakapan Ummu. Kemudian, Ummu mengangkat Karl lalu mendukungnya.

“Mana mama Karl?” tanya Ummu sambil mendukung Karl.

“Kak Ummu lah mama Karl. Apalah…” Karl merungut.

“Tak… maksud kakak… mama… mana mama Karl yang betul?”

Riak wajah Karl berubah sebaik sahaja pertanyaan itu hinggap di telinganya. Wajahnya yang ceria itu masam.

“Kenapa diam ni Karl? Cerita kat mama sikit…”

“Jangan cakap pasal dia. Dia tu jahat. Suka pukul Karl!” Karl mengadu.

Ummu terdiam. Budak comel yang berumur empat tahun itu ditatapnya. Apakah Karl telah didera oleh ibunya sendiri? Patutlah Karl mahu memanggil dirinya sebagai mama. Ummu tersenyum lalu menghadiahkan kucupan.

“Eeee… apa ni mama! Tak sukalah orang cium-cium kita,” kata Karl dalam pelatnya sambil meneyeh pipinya dengan tapak tangan. Ummu tergelak dengan telatah Karl itu.

“Karl comel sangat,” ucap Ummu jujur.

Sedang Ummu melangkah di lobi, tiba-tiba sahaja Karl menjerit teruja.

“Papa!” jerit Karl ketika melihat Zaff sedang sambil dipapah oleh Dr Izwan.

Ummu terkejut mendengarkan panggilan itu.

“Mama, lepaskan Karl sekejap. Karl nak pergi kat papa,” tutur Karl.

Ummu meletakkan Karl ke bawah sambil merenung segan ke arah Zaff yang tersenyum apabil mendengarkan Karl membahaskan dirinya dan Ummu sebagai papa dan mama.

“Papa dah baik sakit?” tanya Karl sambil berdiri bercekak pinggang di hadapan Zaff.

“Ya sayang…” balas Zaff.

“Itulah. Nakal sangat. Padan muka,” ucap Karl. Ummu kelihatan berdiri di hadapan Zaff.

“Dia panggil awak Mama?” tanya Zaff.

Ummu tunduk segan.

“Awak?” ulang Dr Izwan.

“Shhy…” balas Zaff.

“Terima kasih sebab jaga dia masa saya sakit,” tutur Zaff lagi.

“Zaff… aku… kena pergi. Karl dah nak tidur,” balas Ummu pantas, lalu mendukung Karl.

“Selamat malam papa. Hari ni Karl tidur dengan mama!”

Dr Izwan menyiku rusuk Zaff.

“Apa ni… sakitlah,” rungut Zaff.

“Dia suka kat kau,” ujar Dr Izwan.

“Mengarut!”

***

Saiful sedang duduk di atas bumbung, mengambil giliran untuk berkawal dengan Afiq. Di tangan Saiful kelihatan gitar yang dipinjam daripada Zaff. Afiq sekadar merenung bosan Saiful membelek-belek gitar itu.

“Kau pandai nyanyi?” tanya Afiq.

Saiful menggelengkan kepalanya.

“Habis tu kau nak buat apa dengan gitar tu?” tanya Afiq.

“Saje. Cari ilham…” jawab Saiful.

Saiful dan Afiq kembali membisu sebelum Saiful bersuara lagi.

“Aku nak kita lantik seorang ketua antara kita. Yang akan mengetuai kita nanti. Nak tak nak, kita kena tinggalkan tempat ini dan terokai pulau ini kalau kita nak balik rumah,” jelas Saiful.

“Aku pilih kau!” balas Afiq sambil tersenyum.

Saiful menggelengkan kepalanya.

“Kenapa kau tak nak?” tanya Afiq.

“Sebab kau lebih layak…” balas Saiful.

Afiq terlopong mendengarkan kata-kata Saiful itu.

“Kenapa… aku?” tanya Afiq.

“Hati kau kawan. Kau lebih pentingkan kawan-kawan kau, daripada diri kau. Itulah sifat yang perlu ada pada seorang ketua. Aku tahu, kau akan pastikan kita semua selamat bila kau jadi ketua kita semua nanti,” jelas Saiful.

“Azrin dengan Azmi macam mana?” tanya Afiq.

“Azmi cakap anak perempuan dia, Nazura tak akan terima. Azrin pulak cadangkan kita buat undian. Siapa paling banyak dapat undi, dialah yang akan jadi ketua,” terang Saiful lagi.

“Bila nak buat?” tanya Afiq.

“Esok…” balas Saiful.

***

“Okey, siapa yang undi Fiq?” tanya Saiful.

Banyak tangan yang diangkat ke udara, antaranya ialah Ummu, Zaff, Naim, Dr Izwan, Husna, Kapten Azrin, dam Hazira. Apabila tiba giliran Azrin pula, yang paling pantas tangan di udara ialah Hafeez manakala Taufiq memilih untuk tidak mengundi mana-mana pihak.

“Jadi semua setuju yang Fiq jadi ketua kita?”

Afiq tergamam. Dia tidak menyangka dirinya dipilih sebagai ketua. Wajah Saiful yang polos itu ditenungnya.

“Aku… aku? Bukan ke korang semua benci kat aku?” tanya Afiq.

“Awak hero. Buat apa kami nak benci pada hero?” tutur Ummu tiba-tiba.

“Saya hero? Bila masa?” tanya Afiq sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.

“Siapa yang selamatkan kami daripada T-Rex? Siapa yang selamatkan kami daripada Echad? Siapa yang selamatkan saya dengan Acha daripada T-Rex? Siapa yang bodohkan diri dia terjun daripada gaung tu untuk saya? Siapa yang sanggup hilang kepalanya untuk saya? Siapa yang sanggup selamatkan Naim daripada Petranodon? Kalau bukan awak…” tutur Ummu.

“Saya…”

“Mungkin dunia luar sana tak keluarkan potensi kau Fiq. Tapi, sejak kau terperangkap di sini, kami mula nampak yang kau adalah seorang yang setia kawan. Kau pentingkan kawan-kawan kau daripada diri kau sendiri. Kau sanggup mati untuk mereka,” celah Naim pula.

“Naim, terima kasih.”

“Aku tak kisah kalau anak muda macam kau ketuai kami,” tutur Sarjan Azmi.

“Kau berani budak. Untuk jadi seorang ketua di tempat macam ni, kita memerlukan seorang yang berani macam kau,” ujar Kapten Azrin pula.

“Fiq…” panggil Hazira tiba-tiba. Semua mata di situ beralih ke arahnya. Jarang gadis itu bersuara. “Kau menarik…”

Kemudian Hazira kembali mengelamun.

“Menarik?” ulang Ummu sambil merenung tajam ke arah Afiq yang berasa pelik dengan ungkapan Hazira.

“Awak dengan dia ada apa-apa ke?” tanya pula Acha.

“Saya tak tahu apa yang dia maksudkan,” luah Afiq jujur.

Kemudian, kedua-dua orang gadis itu kembali melemparkan pandangan ke arah Hazira.

“Budak pelik,” gumam Ummu dan Acha serentak sambil menjeling ke arah Hazira.

***

Zaff memberikan isyarat supaya Ummu berhenti. Mata lelaki itu dapat menangkap penggerakan sesuatu dari jauh. Hutan tebal yang tidak jauh daripada lokasi Hotel Dino menjadi tempat pemburuan mereka. Zaff mahu memburu seorang diri seperti yang selalu dilakukannya, tetapi Ummu berkeras mahu mengikutinya kali ini.

“Dah nampak?” tanya Ummu sambil mengambil sebatang anak panah yang digantungnya di tubuh.

Zaff menerimanya, lalu memegang anak panah itu, bersiap sedia.

“Sana..” bisik Ummu.

Zaff menarik tali busur panahnya, menyasarkan anak panahnya pada penggerakan di sebalik semak samun.

“Panah!” tutur Ummu.

Zaff mahu melepaskan anak panahnya dan… muncul seorang lelaki dalam keadaan yang calar balar dan berlumuran darah.

“Jangan panah aku!” jerit lelaki itu.

Zaff mengendurkan tali busurnya lalu berlari ke arah lelaki tadi.

“Tolong aku… tolong aku…” ucap lelaki itu.

Ummu pantas mendekati lelaki itu.

“Razali… awak…”

Riak wajah Zaff bertukar mendengarkan nama Razali. Razali akhirnya rebah ketika Ummu memegang bahunya. Kepala jejaka berjambang itu jatuh di atas bahu Ummu. Ummu kemudian melemparkan renungan ke arah Zaff, sambil memegang belakang Razali.

“Ada kesan gigitan. Apa jadi dengan awak… Razali Ahmad?”

***

“Fiq…” gumam Naim tiba-tiba ketika Afiq sedang berbaring di atas sofa di kawasan lobi Hotel Dino.

“Apa dia?” tanya Afiq.

“Kau betul serius nak terus kekal dalam hotel ni?” tanya Naim.

Afiq diam. Dia tahu apa yang Naim cuba maksudkan.

“Kau tak terfikir ke nak berambus dari pulau ni? Sini bukan rumah kita…” tambah Naim lagi.

“Aku ada terfikir. Tapi, kau rasa ini ialah masa yang sesuai untuk kita tinggalkan hotel ini dan cari rahsia pulau ni dan sekaligus cari jalan kembali?” balas Afiq balik.

Naim diam, berfikir sesuatu sebelum kembali bersuara.

“Ada 173 penumpang pesawat yang bersama dengan kita ketika pesawat kita terhempas. Tapi hanya 20 orang sahaja bersama kita. Aku syak 2/3 penumpang pesawat tu dah mati. Mungkin… kita satu-satunya komuniti manusia yang masih hidup di atas pulau ni.”

“Kenapa kau begitu yakin?” tanya Afiq.

“Dengar sini… masa kita tiba kat tempat pesawat dua bulan lalu, ada sekurang-kurangnya 7 mayat yang terpaksa kita tanam. Kalau kita ambil apa yang Azrin cerita, tentang sebahagian penumpang pesawat ni yang jadi gila dengan Yusha, mungkin ada 15 yang mati dengan Velociraptor. Lepas tu fikirkan balik masa kita tersempak dengan kumpulan Echad… aku percaya jumlah manusia yang bersama dengan kumpulan Echad banyak. Sekurang-kurangnya, ada hampir 50 orang yang dah mati sepanjang kita terperangkap di sini. Itu belum ambil kira jumlah manusia yang ada di luar sana, yang tak bertuah macam kita… kalau berterusan macam ni, ini bermakna komuniti manusia di atas pulau ini semakin pupus. Aku takut nanti…” Naim tidak dapat menghabiskan kata-katanya.

“Aku faham Naim…”

“Sebab tu kita kena pergi dari sini!” Naim berkeras.

“Macam mana?” tanya Afiq.

“Aku ada pinjam peta yang Saiful jumpa. Terdapat beberapa buah monument lain yang ada di atas pulau ni yang kita belum jejak!”

“Kau nak buat apa?” tanya Afiq yang belum dapat menangkap maksud yang cuba disampaikan oleh Naim.

“Aku harap ada benda-benda yang boleh kita jumpa kat sana. Sarjan Azmi adalah bekas tentera, dia dulu bekerja di bahagian komunikasi. Dia beritahu aku semalam, kalau dia jumpa beberapa benda yang dia nak, dia boleh buatkan satu alat yang boleh hubungi tempat bertamadun yang terdekat,” jelas Naim lagi.

“Tempat yang mana kau rasa yang kita akan dapatkan benda itu?” tanya Afiq.

“Fasiliti… aku rasa tanda soal dalam peta tu merupakan apa aku tak tahu, barangkali fasilityi rahsia. Mungkin tempat yang kita akan jumpa ni ialah jawapan tentang pulau ni,” ujar Naim.

“Tapi, tempat tu paling jauh dari sini,” jelas Afiq.

Naim mengangguk.

“Bersiap-sedia untuk perjalanan yang jauh,” ujar Naim lalu bangkit dari sofa tersebut. “Fikirkan rancangan aku. Kau ialah ketua kami Fiq. Ini ialah ujian pertama kau.”

“Ujian pertama?” gumam Afiq.

***

Razali Ahmad membuka matanya. Ummu sedang setia meletakkan kain basah di atas dahinya. Razali pantas bangkit lalu melihat sekeliling. Dia sedang berada di dalam sebuah gua. Keadaan di luar pula hujan lebat.

“Awak dah bangun?” gumam Ummu.

Razali menoleh ke arah Ummu. Riak wajahnya penuh dengan kejutan.

“Ummu…” gumam Razali. “Awak masih hidup?”

Ummu mengangguk sambil tersenyum.

“Terima kasih kat Fiq dengan Zaff. Tanpa diaorang, saya mungkin tak akan hidup lagi…”

Razali menoleh ke arah Zaff yang sekadar melemparkan pandangan ke arah lain.

“Aku kena balik ke tempat ahli kumpulan aku. Diaorang tunggu aku!” Razali cuba bangkit, namun Ummu terlebih dahulu menegah.

“Awak sakit…” gumam Ummu.

“Berapa orang ahli kumpulan kau?” tanya Zaff.

“7 orang!” balas Razali.

Zaff kembali membisu sambil melemparkan pandangan ke arah luar gua.

“Berehat dulu, sekurang-kurangnya untuk satu malam. Lepas tu kita teruskan perjalanan?” ujar Ummu membuatkan Razali terpaksa akur.

“Hari pun dah nak malam. Baik kau berehat,” kata Zaff.

Razali kembali berbaring. Ada mata air tidak jauh daripada tempatnya berbaring dan mata air itulah yang digunakan oleh Ummu untuk membasahkan sapu tangannya lalu meletakkan di atas kepala Razali yang panas itu.

Zaff sekadar merenung cemburu Razali yang sedang setia dijaga oleh Ummu. Zaff kenal siapakah Razali Ahmad… lelaki yang pernah bertakhta suatu masa dahulu di hati Ummu.

“Ummu…” panggil Razali tiba-tiba.

Zaff menoleh sekali lagi.

“Awak bertambah cantik…” puji Razali tiba-tiba.

“Hahahaha…” Zaff ketawa tiba-tiba membuatkan Ummu melemparkan renungan tajam.

“Kenapa?” tanya Ummu.

“Tak adalah. Cantik mana pun Ummu sekarang, dia adalah milik aku. Bukan kau.” Selamba sahaja perkataan itu meluncur keluar daripada mulut Zaff membuatkan kening Ummu terangkat.

“Saya…”

“Jadi jangan kacau awek aku,” sambung Zaff lagi.

Ummu tergamam. Zaff sekadar mengukirkan senyuman menawannya itu tatkala wajahnya sedang ditatap oleh Ummu tidak percaya. Tak akanlah Zaff yang menuturkan perkataan itu.

“Sorry Zaff. Aku tak tahu yang dia…” Zaff menggelengkan kepalanya.

“Tak apa, bro. Aku faham,” balas Zaff. “Kisah kau dengan dia dah lepas. Aku tak ambil hati pun.”

Sekali lagi dahi Ummu berkerut melihat sikap Zaff yang tiba-tiba berubah. Dia bukan lagi jejaka ‘cool’ yang digilai tetapi sedang dibakar api cemburu yang amat sangat melihat Ummu yang setia menjaga Razali.

***

Afiq mundar-mandir di ruangan Hotel Dino. Acha pula sedang memerhatikan Afiq yang resah mengenangkan Zaff dan Ummu tak pulang-pulang meskipun hari sudah mula menginjak malam dan hujan tidak menunjukkan tanda akan berhenti.

“Sabarlah Fiq…” tutur Acha cuba menenangkan Afiq.

“Tapi Ummu…”

“Aku dah agak dah!” tutur Hafeez yang tiba-tiba muncul sambil bertongkat kayu yang dibuat oleh Naim beberapa hari yang lepas.

“Kau dah okey?” tanya Afiq.

Hafeez mengangguk.

“Zaff belum balik lagi?” tanya Hafeez yang sengaja tidak membangkitkan nama Ummu.

“Belum. Aku risau sebab Ummu ada dengan dia,” tutur Afiq.

“Kau risau bukan sebab Zaff tak balik, kan? Tapi sebab buah hati kau ada sekali dengan dia?” Hafeez sudah mula membakar sumbu.

“Aku risaukan Zaff…”

“Bohong!” pintas Hafeez pula. “Kalaulah aku okey, aku akan keluar dan cari dia. Bukannya aku duduk terperap kat dalam lobi ni. Kau… tak layak jadi ketua!”

“Kau…” tutur Afiq geram sambil merenung wajah Hafeez.

“Kita tak boleh keluar!” tutur seseorang tiba-tiba dari belakang. Hafeez dan Afiq menoleh.

“Hujan yang sangat lebat sedang turun. Dalam keadaan macam ni, sangat sukar untuk proses pencarian. Kemungkinan besar, boleh banjir kerana kita sangat dekat dengan kaki gunung. Air sungai mungkin akan melimpah keluar, dan makhluk-makhluk aneh dari dalam sungai tu akan jadikan kita mangsa mereka. Pokoknya, kita kena tunggu hujan berhenti!” Naim sedang melangkah sambil membetulkan kaca matanya.

“Tak! Biar aku pergi. Seorang diri!” tutur Afiq.

“Fiq…” tutur Acha.

“Saya kena pergi. Zaff dan Ummu seorang diri di luar sana,” tutur Afiq.

Hafeez tersenyum puas.

“Semoga kau mati,” tutur Hafeez di dalam hatinya sambil melemparkan pandangan ke arah Afiq.

“Bahayalah awak…” gumam Acha. “Saya tak akan benarkan awak…”

“Dia tak akan keluar punya. Dia sembang aje tadi,” ucap Hafeez lagi.

Afiq sekadar mendengus kasar. Dia menolak Hafeez ke tepi lalu melangkah ke arah biliknya. Acha kelihatan mengejar Afiq dari belakang. Sempat juga Acha melontarkan pandangan ke arah Hafeez.

“Panggil Saiful sekarang. Hanya dia boleh halang Fiq,” tutur Naim. Acha mengangguk.

“Biarlah dia mampus kat luar sana,” ujar Hafeez pula.

“So childish…” gumam Naim lalu meninggalkan Hafeez keseorangan di situ.

***

Razali Ahmad, lelaki berjambang halus pernah suatu masa dahulu bertakhta di hati Ummu Habibah. Bak hero Hindustan, itulah persepsi pertama ketika Afiq memperkenalkan Razali Ahmad kepada Ummu dulu.

Razali, ayatnya manis. Semanis gula yang dihurung oleh sang semut, Cuma bezanya Razali dihurung para gadis di luar sana. Tampan dan bergaya, itulah Razali Ahmad. Detik-detik indah bersama Razali dahulu masih segar di ingatan Ummu.

Ummu tersenyum mengenangkan memorinya. Kisah cinta yang pernah bersemi dengan Razali dahulu. Cara Razali Ahmad memikatnya dulu juga unik. Masakan gadis yang keras hati sepertinya boleh cair.

Ummu bangkit dari tidur. Hujan yang lebat sedari malam tadi belum lagi berhenti. Razali sudah menghilang. Zaff masih membuta. Bunyi dengkuran Zaff memenuhi kawasan gua itu.

“Zaff… Razali hilang,” tutur Ummu.

“Lantak dialah,” jawab Zaff tatkala Ummu mengejutnya bangkit dari tidur.

“Zaff!” seru Ummu geram.

“Ya, aku bangun ni!” balas Zaff sambil bangkit dari tidurnya.Sempat juga Zaff menggosok matanya yang terselit tahi mata itu.

“Ada apa?” tanya Ummu.

“Razali hilang!” balas Ummu.

Zaff melihat sekelilingnya. Benar kata Ummu, Razali tiada.

“Kita cari dia!” cadang Ummu.

“Tapi…” Zaff kelihatan berat hati.

Zaff kelihatan mendekati mata air yang mengalir tidak jauh dari tempat dia tidur lalu membasuh wajahnya. Serentak itu, seseorang muncul dari luar dalam keadaan yang basah kuyup.

“Razali! Mana awak pergi?” tanya Ummu.

“Pergi cari makanan. Saya bangun aje, tengok awak dengan Zaff tidur. Saya terfikir sebelum awak berdua bangun, baik saya pergi cari makanan,” ujar Razali sambil membawa setngkai pisang.

“Mana kau jumpa pisang-pisang tu?” tanya Zaff.

“Aku balik ke kem aku tadi. Tak jauh dari sini. Terima kasih sebab sudi jaga aku,” tutur Razali.

“Tapi kenapa tak bagitahu aku semalam?” tanya Zaff. “Bolehlah kita orang hantar kau ke sana.”

“Aku cuma nak buangkan rasa rindu aku pada Ummu jer,” tutur Razali sambil sempat menjeling ke arah Ummu yang merah wajahnya sebaik sahaja ucapan ‘rindu’ lahir daripada mulut Razali.

“Tapi dia…”

“Jangan risau bro. Aku bukannya nak rampas milik kau pun. Sekadar berjumpa bekas pemilik hati aku,” tutur Razali.

“Awak dah baik?” tanya Ummu tatkala melihat Razali duduk sedang duduk sambil menikmati pisang yang dijumpainya.

“Jangan risau. Terima kasih kat awak. Oh, jomlah ke kem saya? Tak jauh dari sini,” perlawa Razali sambil melemparkan sebiji pisang kepada Zaff.

“Tapi hujan…”

“Saya ada. Hujan ni pun tak dapat apa-apakan awak,” tutur Razali.

Zaff tiba-tiba bangkit lalu melangkah keluar dari gua itu. Razali dan Ummu saling berkongsi pandangan. Kemudian, Razali berlari keluar dalam hujan lalu menghampiri Zaff yang sedang melangkah dalam keadana yang menggerutu.

“Kau ni dah kenapa?” tanya Razali.

“Nak balik,” tutur Zaff sambil tersenyum sinis.

“Aku ayat sikit awek kau pun, dah jadi sengeng macam ni? Macam ni ke Tengku Nizarif? Anak jantan yang aku kenal tu? Tak ada telur…” bisik Razali. Matanya sempat menangkap kelibat Ummu sedang memerhatikan mereka berdua. Idea jahat timbul di benak Razali.

Zaff yang sudah kebasahan ditimpa air hujan tiba-tiba menolak Razali terbaring di atas tanah. Kemudian, Zaff menghadiahkan beberapa tumbukan yang tepat membaham pipi dan mata Razali. Ummu pantas berlari menghampiri Zaff dan Razali.

“Apa ni Zaff?” tanya Ummu ketika cuba meleraikan Zaff.

“Patutlah Fiq benci kat kau!” teriak Zaff sambil menghadiahkan lagi tumbukan yang terus ditadah oleh wajah Razali.

Pang! Tamparan hebat mengenai wajah Zaff. Zaff terkesima sambil memegang pipinya. Wajah Ummu ditenungnya tidak percaya. Kemudian, Zaff menjeling penuh jelik ke arah Razali yang masih terbaring.

Selepas beberapa ketika, barulah Ummu menyedari apa yang sudah dilakukannya. Raut wajah Zaff yang penuh dengan riak terkejut itu ditatap sayu oleh Ummu. Sungguh, Ummu tidak sengaja melakukan perkara itu.

“Kau sengaja perangkap aku, bukan?” tutur Zaff.

“Aku tak faham…” tutur Razali mempamerkan wajah tidak bersalahnya. Zaff mendegus kasar lalu bangkit dari atas tubuh Razali dan melangkah meninggalkan Ummu dan Razali dalam hujan lebat. Dia mahu membawa diri…

“Zaff!” teriak Ummu namun Zaff sudah jauh meninggalkannya.

***

Zaff sedang duduk berpeluk tubuh di tepi sungai. Air hujan yang membasahi wajahnya langsung tidak diendahkan oleh Zaff. Air sungai yang deras itu diperhatikan oleh Zaff dengan perasaan walang.

Oh hati! Kenapalah kau boleh jatuh cinta pada dia? Dia hanyalah gadis biasa dan orang setampan kau, boleh jatuh cinta dan memilih gadis yang lebih jelita daripada dia! Tetapi, kenapa bayangan wajah kau seringkali menjelma dalam fikiran aku? Kenapa sukar untuk aku lupakan kau? Kenapa kau seringkali hadir dalam mimpi aku? Kenapa rindu aku tidak pernah bersempadan?

“Hai sahabat…” tutur satu suara yang muncul dari belakang Zaff. Pantas Zaff menoleh dan… Qarin sedang melangkah ke arah Zaff sambil mendepakan tangannya.

“Kenapa kau datang?” tanya Zaff.

“Takdir telah menentukan aku untuk berjumpa dengan sahabat lama macam kau,” ujar Qarin.

“Bila aku jadi kawan kau?” tanya Zaff sambil berkerut dahinya.

Qarin menggelengkan kepalanya.

“Tak nak peluk aku?” tanya Qarin. Sedari tadi, Qarin asyik mendepakan tangannya.

Zaff sekadar membisu.

“Kenapa aku rasa macam kenal sangat kat kau? Kau siapa sebenarnya?” tanya Zaff sambil mengecilkan matanya menatap topeng putih yang dipakai oleh Qarin. Kelihatan air hujan bertakung pada topeng itu.

“Takdir akan memberitahu kau suatu hari nanti,” jelas Qarin.

“Asyik-asyik takdir. Kenapa kau datang jumpa aku ni?” tanya Zaff.

“Melunaskan apa yang perlu berlaku hari ini,” gumam Qarin.

“Maksud kau?” tanya Zaff.

Qarin mengeluarkan sesuatu daripada poket seluar jeansnya. Sepucuk pistol dihalakan ke arah Zaff.

“Ke…napa?” tanya Zaff.

“Demi Ummu…” ujar Qarin lalu melepaskan tembakan yang kemudiannya tepat mengenai dada Zaff.

“Siapa sebenarnya Ummu pada kau?” tutur Zaff yang sudah mula hilang upaya untuk berdiri. Darah mula membuak-buak keluar dari mulutnya dan… Qarin menghadiahkan tendangan yang kemudiannya tepat mengenai dada Zaff. Zaff terjatuh terlentang ke dalam arus sungai yang mengalir deras di belakangnya.

“Selamat tinggal Tengku Nizariff,” ujar Qarin sambil memerhatikan tubuh Zaff di bawa oleh arus air sungai yang deras.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.