Home Novel Thriller/Aksi The Lost World
Prolog

Afiq Zaki, jejaka yang berketinggian sederhana, berambut hitam kusut, menyarung jersi Liverpool FC, dengan nombor 8 di belakang jersinya, serta berlatarkan nama Steven Gerrad yang merupakan legenda Liverpool itu kelihatan mengheret sebuah beg baju beroda. Suasana di Lapangan Terbang Eurasia riuh rendah dengan orang ramai yang berjalan tanpa henti dengan urusan masing-masing. Pandangan mata Afiq melilau mencari kelibat rakannya.

Kelihatan seorang lelaki yang memakai kemeja berkotak yang disarungkan seperti jaket, sambil memakai baju-T bercorak aneh di dalamnya sedang duduk sambil tersenyum.Tengku Nizarif, lelaki yang berkumis halus di dagunya dan berlesung pipit itu melambaikan tangannya. Di sebelah Zaff, seorang gadis yang berambut ikal sehingga paras pinggang, sedang membaca senaskah novel yang bertajuk Epidemik T mendongak melihat Afiq yang sedang menghampiri mereka.

“Hai Zaff!”sapa Ummu sambil tersenyum.

“Hai Ummu!”balas Afiq. Huluran tangan Zaff disambut oleh Afiq.

“Kenapa lambat sangat ni?” tanya Zaff.

“Aku melepas tadi. Hahahaha...” tutur Afiq sambil menyelitkan tawa kecil dihujung katanya. Zaff mengangguk mengerti. Memang itu sifat azali rakannya itu. Sedang Afiq dan Zaff kusyuk berbual, kelihatan seorang gadis yang berjalan bersama rakan-rakannya melintas di hadapan Afiq. Jelingan tajam sempat dilemparkan oleh gadis bertudung itu.

Trouble maker...” Perkataan itu terbit dalam nada bisik daripada gadis yang berbibir merah itu.

“Kau sakitkan hati Acha lagi ke, Fiq?” tanya Ummu yang menyedari akan reaksi Acha tadi.

“Aku terlanggar dia aje. Itu pun nak mengamuk macam dunia nak hancur dah,” tutur Afiq bengang.

Ummu mengangguk faham. Siapa yang belajar di Universiti Tun Dr Mahathir, Eurasia pasti mengenali bagaimana hubungan antara Afiq dan Acha. Umpama anjing dan kucing. Mereka akan sentiasa bergaduh setiap kali bertemu. Zaff setiap kali mengusik Afiq dengan mengatakan bahawa suatu hari nanti Afiq dan Acha akan berkahwin. Katanya, orang yang selalu bergaduh akan saling jatuh cinta pada akhirnya.

“Kau ni pengaruh novel cinta kuat juga kan?” rungut Afiq apabila Zaff asyik membangkitkan teori cintanya. Tiada balasan daripada Zaff cuma ketawa panjang.

Namun, perbualan dua orang jejaka itu tidak berpanjangan apabila beberapa orang pramugari melintas di hadapan mereka. Seorang yang paling jelita dan anggun antara mereka mencuri perhatian Afiq. Pantas kemeja berkotak Zaff ditarik oleh Afiq.

“Perghh...  cun awek tu!” tutur Afiq sambil matanya tidak langsung lari daripada menatap lenggok punggung pramugari tadi. Rambut lurus cantik pramugari tadi menambahkan lagi pesonanya. Husna Mukhtar, nama itu yang tertulis pada tag nama yang tersemat di dada gadis yang berkebaya biru itu.

“Macamlah kau boleh dapat,” gumam Zaff malas. Namun, Zaff seperti Afiq, tidak melepaskan peluang untuk mencuci mata mereka dengan kemunculan pramugari-pramugari tadi.

“Fiq... kau ni kalau sehari tak tengok perempuan tak boleh ke?” tanya Ummu yang tiba-tiba naik berang. “Tak habis-habis dengan gatalnya.” Berkerut dahi Ummu ketika memarahi Afiq.

Afiq dan Zaff saling berkongsi pandangan. Kemudian, masing-masing mengangkat bahu, malas mahu melayan bebelan Ummu.

“Tapi aku yakin, kau boleh dapat punya!” Afiq menepuk-nepuk belakang badan Zaff.

“Aku?” tutur Zaff sambil menundingkan jarinya ke arah wajahnya sendiri, dengan mulut yang terlopong.

“Yup. Tengku Nizarif, jejaka paling kacak dan tampan di Universiti Tun Dr Mahathir.Senyuman kau yang berlesung pipit, muka kau yang macam artis korea dan gaya penampilan kau yang nampak cool, aku berani bertaruh yang perempuan macam pramugari-pramugari tadi setakat petik jariaje.”

Zaff tersengih seperti kerang busuk apabila bertimbun pujian dihamburkan oleh Afiq.

“Aku pun ada lesung pipit, tak cantik ke Fiq?” tanya Ummu tiba-tiba.

Ummu yang sedang kusyuk membaca novel Epidemik T mencelah perbualan dua orang jejaka UTDM itu.Afiq dan Zaff merupakan rakan baik Ummu terutama Afiq yang dikenali Ummusejak zaman persekolahan lagi.

“Ummu Habibah, ya, kau cantik! Dah berkali aku cakap, kau tu ialah perempuan melayu terakhir,” balas Afiq malas.

“Kau nak mengayat aku ke apa?” tanya Ummu.

“Aku bukan kasanova macam Hafeez...”

Kata-kata Afiq terhenti apabila kelihatan dari jauh, seorang lelaki tampan sedang berbual dengan dua orang gadis jelita universiti mereka. Sekali sekala, Hafeez tersenyum, manakala dua orang gadis itu ketawa kecil. Hafeez Hamzah, lelaki yang berambut perang, berseluar jeans yang kelihatan ranggi serta berkaca mata hitam kelihatan sangat selesa diapit oleh dua orang gadis yang boleh tahan lawanya.

“Amirul Hafeez, kasanova UTDM. Setiap bulan, dia akan bertukar teman wanita. Dia tak boleh tengok perempuan cantik. Kau kena hati-hati tau Ummu,” gumam Zaff sambil merenung tajam ke arah Hafeez. Memori ketika betumbuk dengan Hafeez dulu masih segar dalam benak Zaff.

“Lelaki macam dia tak akan pandang aku...”

“Kau cantik Ummu. Lemah-lembut... ada sifat keibuan. Aku ingat lagi masa kau jumpa budak-budak. Aku tengok, betapa ayunya...”

“Fiq! Boleh tak kau berhenti mengayat aku? Hahahah... kelakar pulak aku dengar benda tu dari mulut kau,” pintas Ummu sebelum Afiq menghadiahkannya dengan berbakul pujian lagi. Ummu tak suka pujian.

Seorang budak lelaki yang bertubuh kecil, tapi agak gempal kelihatan menghampiri mereka bertiga. Tangannya sedang memegang kemas sebuah kamera video mahal.

“Tengok siapa yang ada kat sini. Afiq, si trouble maker. Zaff, jejaka paling hot di universiti kita dan... wah, tengok siapa yang ada kat depan kita. Ummu! Say hi to the camera,” ujar Nabil yang kelihatan sangat teruja merakam Ummu yang sedang membaca. Ummu mendongak tatkala namanya dipanggil oleh Nabil.

“Hai...” gumam Ummu sambil mengangkat tangannya, melambai-lambai ke arah kamera itu. Kelihatan senyuman yang dibuat-buat terukir di wajah ayu Ummu.

Nabil kemudiannya berlalu pergi, menghampiri seorang jejaka tinggi lampai yang sedang bermain dengan duit syiling dengan jarinya. Saiful Hawiz kelihatan memakai baju kemeja hitam lengan panjang

“Senyum Saiful. Say hi to the camera, dude!

“Jangan rakam aku...” Suara Saiful kedengaran dingin. “Aku bukan artis untuk kau rakam.” Saiful berlalu pergi meninggalkan Nabil.

Nabil yang sedang sibuk dengan kamera videonya mencari sasarannya yang lain pula. Seorang gadis yang sedang sibuk membelek sebuah buku menjadi mangsa Nabil. Hazira Gaddafi tidak mengendahkan langsung Nabil. Dia sebaliknya memalingkan wajahnya daripada terus dimamah kamera video Nabil.Kelihatan anak patung dinosaur diletakkan di sebelah Hazira.

“Dia kacau si Hazira tu pulak...” kata Zaff sambil memerhatikan sahaja tingkah Nabil.

“Itu anak Tan Sri Gadaffi kan? Jutawan Malaysia tu?”

Zaff mengangguk.

“Kalaulah aku dapat dia, kira aku ni bertuah punya!” Afiq teruja melihat Hazira dari jauh. Nabil sedang melontarkan pertanyaan demi pertanyaan mengenai buku yang sedang dibaca oleh Hazira.

“Fiq! Tolong jangan gatal!” Ummu membentak marah sambil menutup novel yang dibacanya. Gadis itu kemudian mengambil beg bajunya lalu melangkah pergi meninggalkan Afiq dan Zaff yang terpingga-pingga.

“Kenapa dengan dia tu?” tanya Afiq.

Zaff mengangkat bahunya. Zaff sendiri susah untuk membaca angin Ummu. Kadang-kadang, Ummu akan menjadi sangat baik dengan mereka. Perangai buruk Afiq pun tidak akan membuatkan Ummu naik marah. Ada kalanya, Ummu akan bertukar 360 darjah. Afiq dan Zaff tersilap cakap pun boleh membuatkan Ummu akan membebel lamanya.

Nabil sedang mendekati seorang budak lelaki yang berjeragat wajahnya. Orangnya berkaca mata dan kelihatan malu-malu ketika Nabil merakam wajahnya.Tiba-tiba, tubuh Nabil tertolak ke tepi apabila sekumpulan pelajar Universiti Tun Dr Mahathir sedang meluru ke arah lelaki berkaca mata itu.

“Sini rupanya kau bersembunyi ya Echad?” tanya seorang budak lelaki yang kelihatan seperti seorang ketua.

“Jangan kacau aku. Aku tak buat apa-apa pun,” gumam Echad sambil memeluk beg galasnya.

“Kita orang rindukan kau,” tutur lelaki yang lain pula. Rakan-rakannya yang lain ketawa besar mendengarkan ungkapannya.

“Kau mengadu kat Acha yang kita orang buli kau kenapa?”

Belum sempat Echad menjawab, kepalanya di siku oleh kumpulan manusia tadi.

“Kau tengok apa yang kita orang buat kat kau nanti bila dah sampai Langkawi.”

Kemudian, kumpulan anak muda yang dalam jumlah 3 orang itu meninggalkan Echad yang terpingga-pingga.

“Kesian dia...” komen Afiq.

Namun, perasaan simpati mereka tidak bertahan lama apabila fokus mereka dikacau oleh kemunculan seorang lelaki.

“Kosong ke?” tanya seorang lelaki yang tiba-tiba muncul dari belakang mereka. Lelaki itu berbadan tegap, berjambang nipis di kelililing pipinya. Tersarung rantai putih yang tertulis nama seseorang di lehernya. Zaff mengangguk dan lelaki itu mengambil tempat kosong yang ditinggalkan Ummu.

“Azmi. Sarjan Azmi,” tutur Azmi sambil menghulur tangan untuk bersalaman dengan Afiq dan Zaff. Namun, belum sempar Azmi memulakan perbualan, kelihatan seorang lelaki menghampiri Afiq dan Zaff. Mereka kenal lelaki itu sebagai Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UTDM, Taufiq Ariffin.

“Cik Mia dah tunggu kita kat sana. Cepat sikit korang berdua,” tutur Taufiq memberi arahan. Afiq dan Zaff mengambil beg baju mereka lalu bergerak ke arah Cik Mia yang sedang mengambil kehadiran.

Cik Mia merupakan pensyarah di universiti mereka. Wanita yang berketinggian sederhana itu kelihatan memakai tudung bawal. Orangnya manis dengan hidung yang mancung. Cik Mia sedang berbua ldengan Saiful ketika mereka menghampiri wanita yang dalam pertengahan usia 20-an itu.

Afiq menghampiri Cik Mia, untuk mengambil kehadirannya.

“Mana rakan kamu Fiq? Ummu?” tanya Cik Mia.

Belum sempat Afiq menjawab, seorang gadis muncul dari belakang lalu menolak Afiq ke tepi, tanpa segan silu. Ummu sedang berdiri sambil membelakangi Afiq.

Dia marah kat aku lagi tu...

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.