Bab 9
Keesokan paginya pagi-pagi lagi keluarga pakciknya sudah
keluar. Rafael hanya duduk di rumah bersama ibunya menunggu Kak Langnya yang
bakal balik tengahari tersebut. Kak Lang Rafael berkahwin dan tinggal di Johor
bersama suami dan seorang anaknya yang baru berusia 2 tahun. Rafael menemani
emaknya ke pasar pagi itu kerana ibunya hendak makan besar pada tengahari itu.
Rafael terpaksa membantu ibunya memasak kerana rumahnya memang tidak ada
pembantu. Ibunya lebih suka membuat kerja rumah menggunakan kudrat sendiri
terutama memasak untuk keluarga sendiri. Ibunya bercadang ingin memasak nasi
beriani kari kambing sebagai juadah istimewa. Keluarga Pak Lang memang amat
suka makanan berasaskan kambing terutama kari air tangan ibu Rafael.
Selepas menemani ibunya di pasar, Rafael membantu ibunya
memasak. Rafael sudah biasa dengan kerja di dapur kerana ibunya sudah
mengajarnya sejak dari kecil lagi. Rafael membantu memotong bahan-bahan
masakan. Tepat pukul 11.30 keluarga kakaknya datang. Tengahari itu mereka makan
besar.
(((((((((((((((((((((((((((((
Setelah 3 hari bercuti, Rafael kembali semula ke Gerik. Dia
sampai ke rumah sewanya pada pukul 5 petang. Rafael segera memunggah barangan
naik ke rumah. Apabila Rafael sedang sibuk mengambil barang di bonet keretanya,
seseorang memanggil namanya;
“Assalaimualaikum cikgu” Rafael menoleh ke belakang.
Kelihatan Mail dan Osman jalan beriringan dengan membawa parang dan cangkul.
Tentu baru balik dari menebas kebun Risda.
“Waalaikumussalam.
Baru balik menebas ker?” tanya Rafael ramah. Dia bergerak ke jalan
besar. Mereka bersalaman.
“Mana motor?”
“Motor cabuk tu patut diletakkan di muzuim cikgu. Asyik
meragam jer,” gomel Osman.
“Oit. Motor cabuklah tulah mengangkut kau ke hulur ke hilir.
Pergi pekan pun lepas kau tahu,” marah Mail.
“Hahahaha. Janganlah touching. Aku gurau jelah.”
“Lainkali kau kutuk aku. Jangan kau naik motor aku tu.”
“Ala merajuk pula. Eh! Semalam kau kata kalau cikgu dah balik
kau nak beritahu dia. Beritahulah cepat” Kata Mail sampai mencuit lengan Mail
Keding. Mail melihat pandangan di sekitar. Seolah-olah ada seorang yang
memandangnya. Mail merapatkan wajahnya ke telinga Rafael.
“Cikgu… jom kita pergi kedai Pak Abu. Saya cerita kat sana.
Sayapun haus ni,” kata Mael.
“Macam serius sahaja bunyinya tu” teka Rafael.
“Memang serius cikgu.”
“Mailah naik kereta saya.”
“Takpelah cikgu… kami ni kotor, berlumpur. Kami jalan kaki
sahaja. Lagipun kami bawa cangkul dan parang ni. Nak singgah dahulu rumah Osman
ni,” Rafael mengangguk.
((((((((((((((((((((((((((((((
Sampai di gerai Pak Abu, Rafael melihat Mail Keding dan Osman
sedang sedap minum air sejuk. Dia lambat sedikit kerana ingin bersolat Asar
dahulu di rumah.
“Assalaimualaikum,” sapa Rafael.
“Waalaikumusalam,” sambut mereka berdua dan bersalaman sesama
sendiri.
“Apa yang kamu hendak cerita itu sampai tak boleh cerita di
rumah?” tanya Rafael tidak sabar.
“Cikgu pesan dulu makanan dan minuman” Rafael memanggil
isteri Pak Abu untuk memesan makan makanan dan minuman. Perutnya memang lapar
kerana dari Shah Alam tadi hingga kini dia tidak menjamah makanan. Hanya
berhenti di rehat dan rawat untuk membeli minuman bagi menghilangkan dahaga.
“Ha. Ceritalah Mail.”
“Cikgu… selama cikgu duduk rumah tu, cikgu tak kena ganggu
ker?” Rafael tersenyum.
“Secara fizikal belum… secara batin sudah. Tapi takdelah pula
beri keburukan kepada saya. Kenapa?” tanya Rafael.
“Si Mail ni sudah kena kacau cikgu, bukan sahaja dia… saya
pun kena juga,” sampuk Osman. Mail menyalakan api rokoknya.
“Kena kacau?” air minumannya sampai.
“Pertama… hari Jumaat. Saya buat kerja menebas kebun Pak
Zuki. Tanah Pak Zuki bersempadanan dengan tanah kebun rumah yang cikgu duduk
sekarang ini. Tengah syok menebas, saya dengar orang menebas. Saya amati betul-betul
rupanya bunyi itu datang dari kebun
sebelah. Saya pergi tengok siapa yang menebas. Saya tengok cikgu yang menebas”
Rafael memandang Mail Keding.
“Pukul berapa Mail?”
“Dalam pukul 6 petang.”
“Kan saya balik ke Shah Alam lepas Jumaat.”
“Betul tu cikgu. Tapi masa itu saya tidak ingat lagi yang
cikgu sudah balik ke Shah Alam. Saya tegurlah orang tu yang saya anggap cikgu.”
(((((((((((((((((((((((((((
“Menebas ke cikgu? Rajin nampak?” sapa Mail Keding ramah.
Tiada balasan. Entiti yang dianggap Cikgu Rafael itu terus leka menebas. Amboi cikgu ni sombong nampak. Getus
hati Mail.
“Cikgu marah saya ke saya tidak betulkan pintu rumah cikgu.
Saya minta maaflah cikgu. Saya sibuk sangat dengan projek Risda. Inipun saya
lari sekejap bersihkan kebun Pak Zuki… dia sudah bising kebun dia saya tak
tebas-tebas. Katanya meracun rosakkan pokok. Nanti esok saya datang betulkan
pintu tu.”
“Kau jangan nak usik pintu tu!” Cikgu Rafael memandang Mail.
Wajahnya membengis dan matanya memerah. Mail Keding terundur. Dia terkejut
melihat wajah Rafael. Semasa itulah baru Mail teringat semalam Cikgu Rafael ada
memberitahunya hari ini selepas Jumaat Rafael akan balik ke Shah Alam. Mail
tidak tunggu lama dan mengambil langkah seribu. Rafael cepat berlari menuju ke
motornya dan menghidupkan enjin motosikalnya.
(((((((((((((((((((((((((((((((
“Pintu?” Rafael bermonolog sendiri.
“Ya. Pintu… tentu ada sesuatu tentang pintu. Saya takutlah
hendak betulkan pintu rumah cikgu tu. Cikgu carilah orang lain,” Mail Keding
memang tidak berani lagi membaiki pintu rumah. Takut diapa-apakan setelah
diberi amaran oleh entity yang merupai Rafael.
“Tapi saya rasa bukan pintu depan. Pintu depan... pintu
biasa” Rafael diam untuk berfikir.
“Yes! Pintu Berukir di dapur. Pintu itu penghulu tidak
benarkan sesiapapun membukanya. Mungkin pintu itu.” Ya… pintu berukir pelik
yang ada di rumah bawah.
“Walaupun pintu manapun cikgu. Saya tetap tidak mahu
betulkannya,” Mi Rafael sampai… mereka bertiga mendiamkan diri apabila makcik
Fatimah ada berhampiran. Makcik Fatimah terkenal dengan gelaran internet
bergerak. Apa yang dibualkan di gerai… malam itu sudah heboh satu kampung.
Setelah makcik Fatimah berlalu pergi.
“Bukan itu sahaja. Sayapun nampak benda yang pelik” kata
Osman pula.
“Benda pelik?” tanya Rafael ingin tahu.
“Selepas subuh pagi semalam, saya seorang diri berjalan kaki
ke kebun hendak menoreh… masa itu
mangkuk 2 ekor ni Mail dengan Darus belum bangun lagi. Terpaksalah saya pergi
dulu berjalan kaki sebab banyak getah perlu ditoreh bahagian saya. Orang
kampung semua lebih suka pajak dengan saya daripada 2 ekor ni. Menoreh ini ada
seninya… bukan main toreh aja.”
“Oit! Kutuk aku pulak. Kalau kami tak tolong ingat larat ke
kau nak menoreh seorang?” sampuk Mail.
“Ala. Aku bergurau jelah. Bagi aku cerita dulu. Misteri ni.”
“Betul tu. Osman bergurau je tu Mail. Sambung cerita tu
Osman.”
((((((((((((((((((((((((((((((((
Osman bersiul-siul sambil menjinjing keperluan menorehnya.
Beg sandang buruknya pula disandangnya di bahu. Beg sandangnya itu berisi
bekalan makanan dan minuman yang disediakan oleh emaknya. Ayahnya pula sejak
menghidap sakit jantung hanya duduk rumah sahaja makan duit pencen bekerja
dengan Majlis Daerah. Osman berjalan seorang diri kerana Mail dan Darus masih
lagi belum bangun tidur. Suasana sekeliling masih lagi gelap kerana matahari
belum lagi menampakkan sinarnya. Ayam berkokok bersahut-sahutan. Sesekali
Rafael bertembung dengan mereka yang mahu pergi menoreh.
“ Harini dua puluh ekar aku kena toreh. Perghhh, mati aku
buat kerja sorang-sorang. Yang si Mail dengan Darus ni tidur mati agaknya. Itulah
main gitar sampai pukul 3 pagi kat tembok siapa suruh? Tok Ketua pun satu. Tak
dengar ke mereka berdua itu merambu tengah-tengah malam buta kat tembok simpang
masuk rumah dia. Tah-tah dia join sekali, bukan boleh percaya Tok Ketua tu”
gomel Osman sendirian bagi menghilangkan kebosanan berjalan sendiri. Dari jauh
kelihatan rumah papan yang disewa Rafael. Entah kenapa hatinya berasa seram
sejuk.
“Eh ! terang sahaja rumah cikgu ni? Dah balik ker? Awal benar
balik. Kata esok. Banyak kerja kot,” Osman kini berjalan berhadapan rumah
cikgu. Matanya tertangkap pandangan batang tubuh manusia sedang duduk di
tangga… pakaiannya seperti seorang panglima. Guru silat mana tersesat tu? Getus
hati kecil Osman. Dia mempercepatkan langkahnya tanpa memandang kembali, takut
yang duduk di tangga rumah Rafael adalah orang gila yang baru keluar Tanjung
Rambutan.
“Kamu hendak ke mana?” sergah satu suara yang seakan dekat
dengan cuping telinga. Osman memusingkan badannya ke belakang. Dia terperanjat
apabila melihat guru silat itu tadi sudah berada di belakangnya. Osman
memandang semula tangga itu tadi… tiada orang yang kelihatan.
Bagaimana orang ini
boleh berada di belakang tanpa aku dapat rasakan sedangkan jarak tangga ke
jalan lebih kurang 60-70 meter? Ilmu apa yang dia pakai?
“Encik, saya hendak ke menoreh ke kebun sana. Hari-hari saya
lalu di sini. Encik nak pau saya ker? Saya ambil upah je menoreh. Lepastu
bahagi 2 dengan tuan tanah. Manalah saya ada duit kalau encik nak pau. Bekal
nasi goreng dengan kopi mak saya buat adalah,” sempat pula Osman berloyar
buruk.
“Aku cukup pantang orang lalu depan aku tak hormatkan aku
wahai cucu cicit moyang Badar. ” Osman
terkejut. Tidak ramai orang luar yang tahu bahawa dia adalah keturunan panglima
terkenal pada zaman silam… iaitu Panglima Badar.
“Macamana kamu tahu asal usulku?” tanya Osman. Kekudanya
telah dipasang. Dia tahu lelaki di hadapannya bukan calang-calang orang. Mujur
Osman mewarisi ilmu silat dari ayahnya.
“Kamu memasang kekuda nampaknya. Kamu hendak lawan dengan
siapa? Dengan aku?” guru silat tersebut cuba menumbuk ke arah perut Osman. Tapi
mujur Osman telah bersedia dan dapat mengelak.
“Aku cukup pantang orang pukul curi. Aku tidak mahu berkelahi
dengan kamu. Dari manakah kamu datang? Macamana kamu tahu asal usul aku? Adakah
kamu ada dendam dengan panglima? Panglima sudah lama mati,” nada bahasa Osman
telah bertukar dari saya encik kepada aku dan kamu kerana marah dengan tindakan
orang yang tidak dikenali itu tadi.
“Hahahahahaha. Panglima memang sudah lama mati. Dahulu dia
berkawan baik denganku. Sejak berkampung di sini dan datangnya Syeikh Maulana.
Dia sudah menjauhkan dirinya daripada aku. Malah dipasungnya aku dalam rumah
itu. Inikah balasannya terhadap aku setelah apa yang aku lakuakan dulu. Kini
aku bebas.. selama lebih 100 tahun aku terkurung. Aku bebas. Aku ada tuan yang
baru. Hahahahahahahaa” makhluk tuhan itu mengilai. Terasa seram di pendengaran
Osman.
“Memang patut kau dipasung makhluk dilaknati Allah!” Osman
membaca sesuatu dan menghembus ke arah makhluk durjana tersebut. Makhluk itu
segera menghilangkan diri sambil ketawa mengejek Osman. Setelah makhluk itu
menghilangkan diri Osman membaca beberapa surah yang diajar oleh gurunya.
Barulah semangatnya datang balik. Osman bergegas ke kebun.
(((((((((((((((((((((((((((
“Mana tunggu dah. Lepas ini kalau saya hendak pergi kebun…
tunggu siang-siang sikit. Tak mahu saya lalu sorang-sorang depan rumah cikgu.
Buatnya dia tunggu… nak uji ilmu saya. Mampus saya nanti. Dah berapa lama saya
tidak amalkan ilmu silat dan agama yang bapa saya ajarkan. Asyik ngikut bebudak
ni jer.” Sempat lagi Osman mengenakan Mail.
“ Aku mana mengajak. Kau yang nak mengikut. Kata boring
dengar leter emaklah. Rumah tu panaslah,” tingkah Mail.
“Hehehehehehe,” Osman hanya tersengih.
“Ada ilmu juga kamu ini ye Osman.”
“See the leglah cikgu. Saya bukan macam Mail ini. Depan
pompuan berani. Baru jumpa kembar cikgu dah mencicit lari sampai jatuh parit,”
Rafael dan Osman tergelak besar. Mail hanya menghembuskan asap rokoknya ke
udara.
“Sedap betul lu kenakan gua yer Os. Takpe, ada ubi ada batas.
Ada hari boleh balas,” Mail merajuk.
“Alalalalalala. Merajuk pulak. Ini kalau Siti Exora nampak
ni… mesti jatuh saham. Ala… aku gurau jelah. Hari ni hari kau… esok lusa macam
biasa aku pula kena,” Osman memujuk Mail.
“Siapa pula Siti Exora tu. Nama macam artis.”
“Ala… anak dara kat pekan tu sebelah cikgu. Jumpa masih Mail
masukkan duit dalam Bank. Awek tu jaga kaunter. Mail ni mengayat terus lekatlak
tu. Sebab tu dia rajin mengambil upah. Katanya nak meminang cepat,” Mail hanya
tersengih.
“Wah! Bagus-bagus. Niat dah ada tu. Insya Allah Allah akan
bagi rezeki. Osman dan Mail, saya ada satu rancangan.”
“Rancangan apa itu cikgu?” tanya Mail.
“Apa kata malam ini awak berdua tidur di rumah saya. Saya
rasa hendak merungkai misteri di bilik belakang. Kenapa penghulu beria benar
tidak mahu saya membuka bilik tersebut. Tentu semua misteri mengenai rumah itu
berpunca dari bilik tersebut,” cadang Rafael.
“Cikgu jangan buat pasal. Nanti kena marah dek Tok Ketua,”
sanggah Mail.
“Kamu takut ke Mail? Akupun ingin tahu juga apa isi dalam
bilik itu. Semasa kita jaga rumah tu, Tok Ketua menghalang keras kita buka
pintu bilik itu,” Mail tetap tidak bersetuju.
“Kalau kita tidak beritahu Tok Penghulu. Takkan dia tahu.
Jangan pecah di mulut… biar pecah perut. Misteri ini kita perlu rungkaikan Mail.
Sampai bila mereka hendak ganggu kita semua,” pujuk Rafael.
“Jomlah teman aku. Kata kawan. Kita tolonglah Cikgu Rafael
ni. Sekurang-kurangnya ada apa-apa berlaku. Kau ada,” Osman memujuk Mail.
“Yelah-yelah. Tapi kalau berlaku apa-apa. Aku lari sahaja
dahulu. Sebarang risiko kau dan cikgu tanggung sendiri.”
“Macam itulah member,”
“Ok. Kalau jadi selepas Isyak kita jumpa di sini,” Mail dan
Osman mengangguk.