LANGSIR berwarna putih yang ditaburi corak bunga
lavendar itu aku selak perlahan. Langit kelihatan sungguh kelam dalam kepekatan
malam. Jalan raya lengang, hanya dipenuhi dengan deretan kereta yang diparkir
di sepanjang jalan berdepan dengan perumahan.
Aku
menghela nafas panjang sebelum kembali ke katil bujang yang dipenuhi dengan
barangan yang aku keluarkan daripada kotak di bawah katil selama ini.
Bibir
aku mula mengukir senyuman tatkala membuka getah yang mengikat sebemban kad dan
surat. Semuanya
daripada orang yang pernah aku sayangi, Amsyar.
Kalau
ikutkan hati, dah beberapa kali aku berniat nak bakar semua kad dan surat yang pernah diberi.
Namun, semua niat itu akhirnya terkubur begitu saja.
Dearest my lovely Ju,
I love you so much. I miss you each day. Awak jaga
diri baik-baik. Saya sayang awak selamanya.
Yours, Am.
Tersenyum
aku melihat isi nota kecil yang pernah diselitkan oleh Amsyar ke dalam beg
sandang aku. Lelaki itu memang penuh dengan kejutan.
Kadang-kala
bila aku buat-buat merajuk, dia tidak segera pujuk tetapi ada saja nota kecil
yang aku jumpa di dalam beg ataupun buku yang aku bawa selepas itu. Entah bila
dia letak pun, aku tak perasan.
Ju sayang,
Thanks for always be there for me. Thanks for being
my friend, my beloved girlfriend and maybe my future wife, insyaALLAH. I love
you sweetheart.
Yours, Am.
Sekeping
demi sekeping kad, surat
dan nota aku ambil dan baca. Semuanya dipenuhi dengan bait-bait kata yang
indah. Seingat aku, Am tidak pernah meninggikan suara dan mengambil kesempatan
terhadap aku. Ya, memang aku bertuah mengenalinya walaupun tidak sempat
memilikinya. Apakah jodoh kami masih ada untuk bertaut kembali?
My princess Ju,
Jangan terlalu menyayangi Am sebelum mencintai
ALLAH & Rasul kita. Jangan terlalu mengharap sesuatu yang belum pasti
kerana semuanya sudah dirancang ALLAH. InsyaALLAH, doakan agar ada jodoh di
antara kita. Sebaiknya kita berdoalah setiap masa. Am sayangkan Ju kerana
ALLAH. Am mahu kita sama-sama menyayangi kerana ALLAH.
Truly miss you, Am.
Air
mata mula berguguran jatuh dengan perlahan di pipi. Ah! Aku segera menyekanya.
Inilah padahnya kalau masih membiarkan segala kad, surat dan nota ini dalam simpanan. Tak
pasal-pasal emosional!
Hisy,
tak boleh jadi. Aku segera mengumpul kembali tanda kenangan aku dan Amsyar itu
ke dalam kotak lalu cepat-cepat mencampakkannya ke bawah katil.
Sudahlah
Zulaikha. Lupakan… Lupakan… Begitulah yang aku katakan setiap hari, di dalam
doa dan setiap detik apabila terfikirkan Amsyar. Kenapa susah sangat aku nak
lupakannya? Kenapa?!
Sambil
mengambil sikat yang terletak di atas meja kecil di penjuru bilik, aku
melangkah ke arah meja tulis. Laptop yang masih mempamerkan laman emel
yang aku buka tadi dibelek.
Ada emel baru daripada
Helmi rupanya. Aku tersengih seketika sebelum menarik kerusi lalu terus duduk.
Helmi adalah sahabat lama yang aku kenal ketika kami berusia 13 tahun.
Kami
memang sangat rapat sehinggalah ada kawan lain yang membuat khianat kerana
dengkikan persahabatan kami. Cerita tentang aku menyukai Helmi disebarkan ke
sekitar sekolah sehingga membuatkan lelaki itu menjauhkan diri kerana tidak
berasa selesa dengan khabar angin tersebut.
Helmi
berpindah ke sekolah lain setahun selepas itu. Aku tak sangka akhirnya kami
berjumpa semula di universiti dan bertukar nombor telefon serta emel. Sejak
itu, kami berkawan semula. Kata Helmi, lupakan kisah zaman hingusan kami dahulu
kerana terus terang, dia selesa berkawan dengan aku.
Assalamua’laikum Zulaikha,
Yes! Seronok aku dengar cerita kau nak balik sini
semula. Tapi kau balik pun bukan kita boleh keluar sama! Haha! Guess what? Aku
dah kerja dengan ayah aku akhirnya. Terima kasihlah kerana memujuk aku yang
keras kepala ni.
Ju, berapa kali aku cakap dengan kau… Lupakan saja
Am tu. Dia yang rugi tinggalkan kau. Tulah, dulu aku nak kat kau tapi kau tak
layan! Hahaha~ Jangan marah wei. Aku gurau je. Mesti kau tengah senyum, kan? Baguslah, susah
sangat nak tengok muka kau tengah senyum. Asyik kelat je. Haha~
Malaysia macam ni je lah. Sama macam mula-mula
kau tinggalkan tanah air yang tercinta ni! Kau nak aku tolong kau carikan kerja
kat sini tak? Aku ada few kawan-kawan yang buka company photography. If you
want, just let me know okey?
Wei, kau nak tahu satu benda tak? Eryna add aku di
FB! Haiyoo~ Dia dah mula mesej di FB, minta nombor telefon! Macam manalah dia
dapat cari aku? Kau masih ingat dia ke tak setelah apa yang dia buat selama ini
kat kau? Kalau tiba-tiba kau terjumpa dia di KL nanti, jangan lupa bagitahu
aku!
Till then,
jangan lupakan janji kau untuk bawa pulang seorang awek untuk aku!
Aku, Helmi.
Senyuman
aku mati apabila melihat nama Eryna. Angkara dialah persahabatan aku dan Helmi terputus.
Bukan setakat hanya Helmi ataupun Dura. Shahmi juga begitu. Apalah yang dia
dengki sangat pada aku?
Nak
kata cantik, dia lagi lawa. Nak kata pandai, hmm... Memanglah aku pandai sikit
kalau ikut ranking sekolah tapi takkanlah sebab tu dia sakit hati?
Entahlah.
Aku
cuma harap dia bahagia sekarang dan tak kacau aku lagi kalau betul kami akan
berjumpa kembali. Memang benarlah bumi Malaysia banyak buat hati aku
terluka tapi kini aku terpaksa juga kembali ke sana demi mama.
******************************
“MALAS.” Aku hanya menjawab sepatah apabila
mendengar kata-kata Rayyan di talian.
“Ya
ALLAH, studio bukannya jauh dari rumah kau. Datanglah, temankan aku. Lagipun,
dia orang ni semuakan ex-officemate kau,” kata lelaki itu.
Aku
memandang ke atas, menatap siling putih yang bersih tanpa secalit habuk mahupun
sarang labah-labah. Itupun sebab semalam tiba-tiba saja aku jadi rajin nak
mengemas.
“Kau
ada sana sampai
jam berapa?” Aku menyoal sambil menguap.
Aku
menyelak selimut tebal yang menutupi tubuh ke tepi lalu bangun dengan penuh
kemalasan.
“Petang
kot. Ada 10
baju. Kau kiralah sendiri,” usik Rayyan.
Aku
mendengus kecil. Kalau ada 10 baju, mungkin memakan masa dalam enam sehingga
lapan jam. Itupun paling cepat. Model nak kena make-up lagi,
photographerperlu cari angle yang menarik lagi…
“Datang
tak?” Rayyan menyoal kembali setelah aku diam beberapa ketika.
“Apa
untungnya kalau aku datang?” soal aku pula.
“Aku
belanja kau makan, lepas tu aku belanja lagi… Lepas tu kita tengok wayang…”
Tercetus
tawa aku mendengar jawapan Rayyan. “Yalah! Tengoklah macam mana. Aku belum
mandi lagi.”
“Tak
payahlah mandi. Pakai kot tebal, lepas tu terus datang sini.”
“Banyaklah
kau!” Aku berkata separuh menjerit sebelum masing-masing mematikan talian.
Aku
menguak langsir dan memerhatikan panorama luar. Matahari masih belum lagi
menunjukkan dirinya walaupun sekarang sudah jam lapan pagi.
Telefon
bimbit yang masih berada di tangan itu aku lihat semula. Ada beberapa mesej WhatsApp yang masuk. Salah
satunya daripada teman baik aku di Malaysia, Dura.
Dura : Ju! Kau baliklah awal sikit, boleh kita hang
out lama-lama!
Aku : Aku dah beli flight ticket bulan depan.
Lagipun belum cari kerja. Bolehlah kalau nak lepak :)
Dura : Ei, seronoknya! Tak sabar aku nak dengar
cerita! Dulu kau cakap ada Irish nak tackle kau, kan? Apa jadi wei?
Aku
terus ketawa apabila melihat ayat Dura. Serta-merta jejaka Irish yang pernah cuba mahu
menyulam cinta dengan aku itu terbayang di fikiran.
Aku tersenyum sinis. Ah, tak berkenan
sungguh aku dengan mana-mana lelaki di sini. Nampak sangat jiwa terlebih pada
lelaki berbangsa Melayu.