Home Novel Komedi/Romantik Komedi Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
Weeda Airiza
5/3/2015 11:22:28
193,931
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 33

BARU saja aku duduk di dalam Bistro Ria, aku sudah nampak kelibat Shahmi menghala ke arah aku. Alahai, silap besar betul. Aku menjeling jam tangan. Ingatkan jam 3 petang macam ni tak adalah orang nak kacau.

“Hai, boleh I teman makan?” soalnya dengan rasa tidak tahu malu.

Aku melihat wajahnya yang mekar dengan senyuman itu. Nak saja aku cakap banyak lagi meja kosong di sebelah untuk dia duduk tapi ah, be strong Zulaikha!

“Duduklah kalau rasa tak malu,” jawab aku sambil mengambil menu yang diberikan oleh pelayan.

“Kuey teow kungfu satu. Lemon suam satu.” Aku berkata tanpa bertanya kepada Shahmi.

“White coffee satu.” Shahmi memberitahu.

“Makan?” soal pelayan itu. Shahmi menggelengkan kepala.

“Lambatnya you makan?”

“Kerja banyak.” Aku menjawab.

Mata aku terarah pada Shahmi yang sedang membuka kot hitam lalu menyerlahkan tubuh badannya yang nampak sasa itu. Warna ungu muda memang padan dengan wajahnya yang cerah.

“You dari mana?”

“Jumpa klien,” ujarnya sambil menguap.

“Apa aktiviti terbaru?” soal aku yang kering idea untuk berbual dengannya.

Shahmi berfikir sejenak sebelum menjawab. “Adalah tiga majlis perkahwinan bulan depan yang perlu dikendalikan. Emm, dengan ada lagilah majlis private syarikat-syarikat luar.”

“Macam mana majlis cukur jambul bayi yang Faiq tengah jaga dulu? Okey ke?”

“Majlis cukur jambul?” soal Shahmi sambil mengerutkan dahi.

Aku mengangguk. “Ada dia telefon I tanya pendapat pasal konsep warna untuk majlis tu.”

“Majlis cukur jambul?” Shahmi menyoal lagi.

Agaknya banyak sangat majlis kena jaga, sampai dia lupa sendiri. Aku membiarkan Shahmi melayan perasaannya seorang diri. Sebentar lagi aku perlu naik ke atas dan berjumpa Faiq tentang hal majlis perkahwinan Rayyan.

“Mana ada majlis cukur jambul.” Shahmi memberitahu.

Aku mengangkat bahu. “Entah. Faiq yang cakap.”

“Faiq? Dia telefon you?”

Aku mengangguk.

“Apa hubungan you dengan Faiq?”

Huh? Terkedu aku mendengar soalan Shahmi. Dia ni memang jenis straight betul. Bila tak puas hati, main cakap aje. Bila nak tanya pun, main soal saja tanpa ada lapik.

“Kawan kerjalah.”

“You jaga-jaga sikit dengan dia. Player.”

Tanpa sedar aku tergelak. Faiq tu player? Getus aku di dalam hati. Kalau player sekalipun, apa masalahnya? Bukannya dia mempermainkan perasaan aku pun!

“Dah tu kenapa kalau dia player?”

“I tak mahu you terluka lagi dengan lelaki.”

Gulp. Mati kutu terus nak jawab. Apa maksud Shahmi? Dia tahu ke kisah aku selama ni? Aku mendiamkan diri walaupun sedar Shahmi memandang. Bila sampai saja minuman, aku terus meneguk air lemon yang suam untuk meredakan perasaan yang tegang.

“You tak payah sembunyi. I dah tahu cerita you dengan Amsyar. You ingat I tak tahu ke kenapa you lari pergi Ireland?”

Kata-kata Shahmi membuatkan aku terus terpaku di tempat duduk. Macam mana lelaki ini tahu? Ya ALLAH! Rimasnya. Entah-entah dia stalker selama ni?

“Macam mana you…”

“Kan I cakap, I sayangkan you lagi. I tak mahu you terluka.”

“You gila ke Shahmi? Eryna you nak campak mana kalau you sayangkan I?” Aku menjerkahnya.

“I nak buat macam mana kalau di sini I sayang, di sana pun I sayang. Kalau boleh I nak dua-dua,” ujar Shahmi berterus-terang.

Menganga terus aku dibuatnya. Terbayang lagu Ukays, Di Sana Menanti, Di Sini Menunggu. Memang sesuai sangatlah untuk Shahmi.

Aku menggelengkan kepala. “You jangan main-main Shahmi. Tak semua perempuan suka diduakan.”

Shahmi tersenyum. “I boleh kahwin sampai empat. I mampu.”

“I tahu you mampu tapi jangan masukkan I dalam senarai empat nombor you tu,” gertak aku.

“I tunggu sampai you nak.”

Ya ALLAH, macam manalah aku nak lari daripada Shahmi kalau dia masih berperangai begini? Tak malu betul nak jaja cintanya yang dulu dia juga tinggalkan.

“I tahu dulu I salah sebab terlalu ikutkan kata-kata Eryna. Bagi I, you are the best.” Shahmi mencucuk lagi perasaan aku yang mula terasa ngilu ini.

Entah-entah depan Eryna pun dia kata Eryna the best. Bukannya boleh percaya. Mujurlah makanan pun sampai. Tanpa menunggu lebih lama, aku terus makan dan membiarkan Shahmi terkebil-kebil seorang diri.

“Betul tak I cakap dulu kat you?”

“Cakap apa?” Aku menyoal. Belum habis lagi rupanya.

“Amsyar tu tak akan jadi dengan you. I tahulah sebab I lelaki.” Shahmi berkata dengan yakin.

Hilang terus selera aku. Memang benar kata-katanya dahulu tapi itukan semuanya takdir? Bukannya boleh percaya dengan tilikan diri sendiri.

“Habis tu?”

“You nak tunggu siapa lagi?”

Aku tidak menjawab tetapi meneruskan suapan yang seperti tidak luak langsung. Lama-kelamaan, aku meletakkan sudu dan garfu lalu memanggil pelayan.

“Tak usah. I dah bayar tadi.” Shahmi berkata.

Ei… Nak aje aku ketuk! Mesti dia bayar masa dia ke tandas sebentar tadi. Speechless! Aku mengambil fail dan telefon bimbit lalu bangun untuk menuju ke lif di sebelah bistro.

“You nak naik atas?”

“Yalah, takkan I nak turun bawah pula?”

Ayat aku yang bernada gurauan itu membuatkannya ketawa padahal aku tak bermaksud pun nak bergurau dengannya. Biarlah dia perasan sendiri.

Shahmi mengikut aku masuk ke dalam lif. Kami mendiamkan diri sehingga ke tingkat tiga. Bagus jugalah, aku pun tak ada modal nak cakap apa-apa.

Lelaki itu menggunakan kadnya untuk masuk ke dalam pejabat. Maka, tidak perlulah aku menekan loceng. Aku terus masuk. Dah macam pejabat sendiri pula aku buat. Shahmi mengikuti aku ke bilik Faiq.

Tanpa disangka, Eryna yang muncul entah dari mana, menahan aku di tengah jalan. Aku memandang tajam bekas sahabat baik aku yang berjubah biru muda dan bertudung corak tona warna merah jambu.

Baru kini aku dapat memerhatikan betul-betul raut wajahnya yang bersolek ringkas. Ternyata masih cantik seperti dahulu. Apa pula yang dia mahu sekarang ni?

“You dari mana ni dengan Shahmi?” soalnya.

“Makan.” Aku menjawab selamba.

Eryna menjegilkan matanya. Aku perasan di sebalik partiton workstation para pekerja di bahagian ruang itu, ada banyak mata memerhatikan kami.

Shahmi yang berada di sisi aku pula diam. Dia meletakkan kedua-dua belah tangannya di dalam kocek. Aku segera menyilangkan tangan sambil menunggu kata-kata Eryna seterusnya.

“Tak ada orang lain ke you nak cari? Shahmi lagi?” bisik Eryna dengan tajam.

Aku tergelak kecil. Cepat sungguh dia buat spekulasi. Itupun agaknya sebab dia nampak aku dan Shahmi masuk beriringan.

“Eryna…” Shahmi mahu bersuara tetapi aku terus menahan mulutnya dengan mengangkat tangan.

“You tu… Dulu pun tak ada orang lain ke you nak cari? Kenapa you nak juga Shahmi?” soal aku dengan nada keras.

Aku pasti hati Shahmi di sebelah melonjak-lonjak kesukaan kerana menjadi rebutan dua gadis. Biarlah kalau dia nak rasa happy sekalipun. Masa ni aje. Masa lain minta maaflah. Inipun sebab dah lama aku simpan rasa bengang aku pada Eryna. Rasa nak lepaskan aje semuanya sekarang!

Berubah terus wajahnya. Aku perasan Eryna memandang ke tempat lain. Maklumlah, suara aku boleh tahan kuatnya. Bukan sengaja mahu memalukannya tetapi orang lain perlu tahu bahawa bukan aku yang mula membuat rampasan terhadap lelaki itu.

“I dengan dia lagi lama dari you. Ingat tu.” Eryna berkata.

Aku tergelak lagi. Saja nak bagi semua orang dalam pejabat ni dengar. Biarkan! Tak lama lagi gosip panas bakal keluar sampai ke Fashion Queen!

“I ingat sangat sepertimana I ingat you ambil Shahmi dari I biarpun benda tu dah berlalu sebelas tahun lepas! I ingat Eryna! I akan ingat sampai bila-bila you tu perampas! Apa lagi you nak sekarang bila you dah pun berjaya memiliki dia?!”

Tanpa sedar aku meluahkan apa yang aku rasa. Ini kalau Faiq tahu, memang naya aku kena kejar dengannya. Hal peribadi bawa masuk ke pejabat. Memang nak kenalah tu kejap lagi!

Eryna pucat lesi. Terkejut ya? Terkejut agaknya tengok wajah aku yang garang ni. Sorry. Aku bukan macam dulu. Lepas dijangkiti dengan timbunan nasihat-nasihat Faiq, aku dah mula jadi keras hati terutamanya kepada mereka yang pernah membuat onar terhadap aku.

“Zulaikha! You… You don’t deserve him!” Aku perasan Eryna menggenggam penumbuknya.

Aku melihat anak matanya bergerak-gerak. Nampak aje dia berani, walhal mesti risau tak terhingga tu. Jangan risaulah Eryna, aku tak ingin dah dekat Shahmi ni! Kalaulah aku boleh bagitahu… Tapi tak best pula kalau macam tu.

Well, the best woman wins,” jawab aku akhirnya. Sengaja mahu membakar perasaan Eryna yang aku pasti sudah mendidih.

Dengan senyuman sinis dan lirikan tajam ke arahnya, aku segera berlalu ke bilik Faiq dengan hati berdebar. Macam tak percaya aje apa aku buat tadi.

Aku nampak Shahmi melangkah masuk ke biliknya dan diikuti oleh Eryna. Bunyi hentakan kasut tumit tingginya di lantai kemasan granite warna hitam itu benar-benar kedengaran perit di deria pendengaran. Well, perang besarlah tu kejap lagi!

Previous: BAB 32
Next: BAB 34

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.