Home Novel Komedi/Romantik Komedi Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
Weeda Airiza
5/3/2015 11:22:28
193,908
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 24

FAIQ memanggil nama Zulaikha berkali-kali. Gadis itu tiba-tiba saja nampak sugul daripada biasa.

“Ju, awak okey ke ni?” soal Faiq dengan panik apabila melihat wajah Zulaikha pucat lesi.

Zulaikha mengangguk pantas. “Saya lapar agaknya.”

Faiq mengeluh sedikit. “Awak ni buat saya terkejut. Tak apalah. Kita pergi makan dulu okey?”

Zulaikha mengangguk dan diam kembali. Faiq terus memandu biarpun dalam kepalanya dipenuhi tanda tanya. Kalau tak salah, Zulaikha berubah laku setelah mendengar ceritanya tentang Shahmi dan Eryna.

“Awak kenal dia orang?” soal Faiq dengan perlahan, cuba mengorek rahsia.

“Siapa?”

“Shahmi. Eryna.”

Lama Zulaikha diam sehinggalah dia menjawab, “kenal.”

Faiq rasa berdebar. Nalurinya memberitahu ada sesuatu yang tidak kena antara mereka. Mungkin betullah firasatnya selama ini apabila dia melihat cara Shahmi melayan Zulaikha seperti sudah kenal lama.

“Kawan?” Faiq bertanya lagi walaupun dia rasa tidak sepatutnya dia menyentuh soal peribadi gadis itu.

“Bekas kawan.” Zulaikha menjawab.

Faiq mula rasa bersalah setelah bertanya. Jikalau Zulaikha kata mereka berdua ‘bekas kawannya’ sudah tentulah ada sesuatu yang tidak kena!

“Cerita lama?” Lelaki itu menyoal lagi walaupun hatinya mengutuk di atas perbuatannya sendiri.

Zulaikha mengganguk dan terus mengeluh. “Zaman sekolah. Senang cerita, pasal Erynalah saya dan Shahmi putus.”

Faiq terperanjat besar! Ingatkan hanya kisah persahabatan biasa, rupanya cerita besar yang melibatkan hal cinta dan kasih sayang. Faiq mendiamkan diri, bimbang untuk menyoal.

“Maafkan saya Faiq. Saya tahu mereka berdua tu pekerja awak tapi saya tak sangka mereka berdua yang selama ini saya cuba elak, rupa-rupanya sungguh dekat dengan saya,” ujar Zulaikha dengan perlahan.

Kereta Vios Faiq sudah mula memasuki Jalan Tun Razak. Dia bercadang mahu ke Pavilion, merehatkan minda mereka berdua yang berkecamuk. Mulanya dia seorang, kini Zulaikha turut sama terheret.

“Ju, saya tak tahu mereka tu bekas kawan awak. Maafkan saya sebab saya cerita,” keluh Faiq.

Zulaikha tersengih. “Bukan salah awak. Lagipun bukannya awak tahu mereka berdua tu bekas kawan saya, kan?”

Faiq mengangguk lagi.

“Kalau awak rajin nak dengar, saya cerita.” Zulaikha berkata.

“Kalau awak nak cerita, saya tadah telinga nak dengar,” seloroh Faiq lalu membuatkan gadis itu ketawa.

“Awak ni, sekejap saja boleh buat saya tergelak tau.” Sisa tawa gadis itu masih kedengaran buat beberapa saat.

“Saya balik semula dari Ireland sebab nak teman mama. Saya takut sebenarnya balik sini. Saya tak mahu jumpa mereka yang menyakiti saya. Kalau boleh, saya nak bermastautin di Ireland. Tapi demi mama, saya ikut semula dia,” ujar Zulaikha.

Sesekali dia menyilangkan tangan sambil memandang ke luar tingkap kereta. Langit sudah semakin gelap daripada kebiasaannya. Mungkin sebentar lagi Kuala Lumpur akan mula dilimpahi hujan lebat.

Lelaki di sebelahnya pula sudah semakin jauh berfikir. Nyatalah bahawa Airin Zulaikha adalah orang yang sama menjadi pelanggannya selama ini. Sejujurnya dia tidak risau kerana bubblyknit dan Faiq adalah karakter yang berbeza walaupun orang yang sama.

Kadang-kadang dia sendiri lupa tentang kewujudan bubblyknitmiliknya itu apabila sudah sibuk dengan dunia kerjaya tetapnya. Namun, sekembalinya di rumah, dunia bubblyknit menjadi tempat untuk dia melepaskan tekanan kerja.

“Awak nak buat macam mana sekarang?” soal Faiq.

Keretanya sudah semakin menghampiri Pavilion. Zulaikha merenung bangunan kompleks membeli-belah yang tidak pernah dijejakinya itu lagi dengan kagum.

“Nak tak nak saya terpaksa berhadapan dengan mereka walaupun tak suka. Memang itu cerita lama tapi kepedihan hati ini, tak ada sesiapapun yang tahu. Setiap perkara yang berlaku tu saya ingat jelas sampai sekarang.” Zulaikha berkata lagi.

Faiq mendengar luahan Zulaikha dengan tenang. Kini dia tahu, gadis itu menyimpan 1001 rahsia di dalam dirinya biarpun dia nampak kuat di luar. Yang pasti, Faiq semakin senang berada di samping Zulaikha walaupun tanpa ada perasaan yang luar biasa.

“Awak kena belajar untuk lepaskan semua itu Ju. Kalau kita bawanya ke mana-mana, perasaan tu akan jadi racun dalam hidup kita. Nanti kita yang sakit. Saya tahu mungkin susah untuk awak buangkan hal dulu, tapi apa kata awak cuba?”

“Cuba?”

Faiq mengangguk. “Awak nak saya tolong?”

“Saya tak tahu Faiq. Saya hanya nak elak daripada jumpa dengan mereka.”

“Sukar untuk awak elak Ju. Dunia kita ni sempit. Awak larilah ke mana pun, awak akan jumpa kalau ditakdirkan. Mungkin ini hikmah untuk awak berdepan dengan mereka. Manusia boleh berubah. Siapa tahu, mungkin inilah permulaan terbaik untuk awak dan mereka menjadi kawan semula?” Faiq berkata dengan hati-hati supaya tidak mengguriskan hati Zulaikha.

“Entahlah awak. Fikiran saya kusut.”

Faiq tersenyum setelah keretanya diparkir di salah satu tempat letak kereta yang kosong. Sambil membuka tali pinggang keledar, Faiq memandang ke arah Zulaikha.

“Ju, lupakan dia orang. Hmm, sepatutnya awak kena bagitahu macam tu kat saya sebab saya yang bengang dengan dia orang. Macam mana ni? Terbalik pula,” acah Faiq.

Zulaikha tergelak. “Ha’ahlah! Akhirnya kita berdua pula yang sakit hati dengan mereka. Hisy!”

Sambil ketawa dengan insiden yang tidak disengajakan itu, Faiq dan Zulaikha keluar dari kereta dan beriringan masuk ke dalam bangunan Pavilion.

*****************************************************************

ZARINA mengerlipkan matanya berulang-kali apabila dia ternampak seorang lelaki masuk ke dalam restoran Malaysian Wok di Level 3, Kuala Lumpur International Airport itu.

Terhenti terus suapan Mi Karinya apabila mereka bertentangan mata. Masa seakan-akan berputar lebih perlahan. Firdaus Lee yang juga perasan dengan kehadiran wanita itu turut menghentikan langkahnya.

Zarina cepat-cepat tunduk memandang jam di pergelangan tangan yang menunjukkan angka 10 malam. Sudah hampir setengah jam dia menunggu Zulaikha yang akan menjemputnya pulang setelah tibanya dia dari Singapura.

Firdaus menghalakan kakinya ke arah wanita yang menyambung suapannya. Dia percaya itulah wanita yang dicarinya selama ini.

“Assalamua’laikum. Zarina Shane?” soalnya.

Zarina memandang ke arah Firdaus yang menegurnya. Tergamam dia apabila lelaki yang pernah menjadi suaminya itu dahulu masih mengingatinya biarpun usia penceraian mereka sudah hampir dua puluh tiga tahun.

“Wa’alaikumsalam,” jawab Zarina seraya menganggukkan kepala.

Firdaus tersenyum. Zarina menjemputnya duduk. Dia menghirup air limau suam untuk meredakan resahnya kerana terkejut tadi.

“Kecilnya dunia. Dah lama baru kita terjumpa.” Firdaus yang berbaju kemeja panjang warna kelabu dan seluar slack hitam itu berkata.

Zarina tersenyum. “Takdir. Abang sihat?”

“Alhamdulillah sihat. Ina?”

“Alhamdulillah. Dah tua, macam nilah…”

Mereka berdua tergelak.

“Abang dari mana?”

“Ada kerja sikit di hotel cawangan Miri. Baru aje sampai,” kata Firdaus. Matanya masih tidak lepas daripada memandang Zarina yang masih anggun dengan baju labuh paras lutut, seluar slack dan shawl panjang itu.

“Ina dari mana?”

“Singapura. Ada kerja di sana.”

“Sekarang buat apa?”

“Mungkin akan memulakan bisnes penerbitan bahan bacaan di sana atau di sini. Belum pasti,” ujar Zarina.

Mi Kari yang tinggal lagi separuh di dalam mangkuk itu dibiarkan. Hilang terus seleranya apabila bertembung dengan Firdaus, lelaki yang pernah dicintainya sekejap selepas kematian ayah kandung Zulaikha.

“Wah, dah nak jadi bos rupanya,” usik Firdaus.

“Hisy, mana ada!” tingkah Zarina sambil ketawa halus.

“Anak Ina sihat? Perempuan seorang, kan?”

Zarina mengangguk. “Dah besar panjang pun abang.”

“Dah bermenantu ke?” usiknya lagi.

Zarina tergelak lagi. Mereka berdua berkahwin atas dasar cinta tetapi selepas dua tahun usianya, Firdaus mahu berhijrah terus ke kampung halamannya di Korea. Namun, Zarina tidak mahu mengikutinya. Sejak itu, mereka mengambil keputusan untuk bercerai.

“Belum ada rezeki. Dia dah bekerja sekarang. Aaron… anak abang, kan? Dia macam mana?” tanya Zarina pula.

“Macam tulah. Bujang tapi tak ada petanda nak kahwin. Asyik dengan syarikatnya aje. Abang dah desak dia pun, dia boleh buat tak tahu,” keluh Firdaus apabila teringatkan anak bujangnya.

“Tak apalah abang. Dah tiba masanya nanti, dia kahwinlah. Mungkin dia belum jumpa yang sesuai,” ujar Zarina sambil teringatkan Zulaikha yang masih belum tiba di KLIA.

Namun, dari jauh dia menangkap kelibat seseorang yang menuju ke arahnya. Hah, bertuah! Dah sampai rupanya anak gadisnya yang seorang itu. Zarina menggelengkan kepala sambil terus menggamit Zulaikha.

Sorry mama, lambat sampai. Sesat!” Zulaikha tersengih dan terus duduk di sebelah Zarina sambil tertanya-tanya tentang lelaki yang berada di hadapan mamanya itu.

“Ju, ingat tak siapa ni?” tanya Zarina.

Firdaus tergelak. “Manalah dia nak ingat Ina. Masa tu tak silap abang, dia baru umur tiga tahun.”

Giliran Zarina ketawa kecil dan membuatkan Zulaikha bertambah pelik. Puas kotak fikirannya memikirkan siapakah lelaki yang nampak agak segak itu walaupun sudah berumur.

“Dulu Ju panggil dia Daddy Daus,” ujar Zarina.

“Oh! Hah, Ju ingat, Daddy Daus!” Akhirnya Zulaikha menyedari bahawa lelaki itulah yang pernah menggantikan kehadiran papanya dahulu. Dia tersenyum malu.

Previous: BAB 23
Next: BAB 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.