Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKU TANPAMU
Bab 8


“Sayang,” panggil Khairul lembut. Bella hanya memandang sekilas ke arah lelaki itu sebelum membelek semula majalah resepi di tangannya.

“Mama kirim salam. Dah lama Bella tak datang jenguk mama,” beritahu Khairul yang masih memandang gadis itu. Bella hanya mengangguk tanpa memandang. Khairul mengeluh perlahan.

“Khai pun rindu Bella. Kenapa Khai rasa Bella seperti nak mengelak jumpa Khai? Khai ada buat salah ke?” soalnya dengan perasaan sebak. Dia sangat tertekan dengan sikap gadis itu. Sejak akhir-akhir ini Bella kerap menolak untuk bertemu dengannya. Nasib baik hari ini Datuk Ridhuan memujuk gadis itu. Jika tidak mesti dia terlepas peluang lagi bertemu dengan Bella. Bella menarik nafas dalam sebelum membalas pandangan lelaki itu.

“Batalkan saja majlis perkahwinan kita. Saya tak nak kahwin dengan awak,” katanya dengan tenang. Khairul terkedu. Bulat matanya memandang gadis itu. Lidahnya kelu untuk membalas.

Wa…, wait. Sayang bergurau?” soalnya dengan suara tersekat-sekat.

No. Saya serius. Esok saya akan kembalikan semula cincin pada keluarga awak,” balas Bella sebelum meletakkan semula buku di tangannya ke atas rak. Dia berjalan melepasi lelaki itu.

“Bella, why?” soal Khairul dengan kening berkerut. Bella berhenti melangkah.

“Saya dah tak cintakan awak lagi. Tu aje. Tak ada sebab lain,” jawabnya selamba sebelum melangkah semula. Senyuman sinis menghiasi bibirnya. Terkebil-kebil Khairul memandang langkah gadis itu.

What?

                                   *****

“Kau dah gila?” soal Rasya dengan mata bulatnya memandang gadis itu. Bella hanya tersenyum hambar.

“Kau dah fikir masak ke? Tak menyesal? Bukan dulu kau yang berhempas pulas nak minta izin dengan papa kau supaya terima Khai? Apa dah jadi?” soal Rasya bertalu. Riak wajahnya jelas kelihatan tidak puas hati.

“Keputusan aku dah muktamad. Aku dah tak sayangkan lelaki tu. Tak mungkin aku nak teruskan juga kalau dah tak ada rasa cinta,” balas Bella yang kelihatan tenang.

“Apa komen papa kau? Dia setuju ke kau buat keputusan macam ni?” soal Rasya lagi.

“Aku tak beritahu lagi,” balas Bella dengan nada perlahan. Rasya menggelengkan kepalanya.

“Aku tak faham dengan kau ni. Hari tu doktor kata apa? Aku takut kau jadi macam ni sebab kemalangan hari tu,” katanya dengan kening berkerut. Dia risau memikirkan tindakan spontan gadis itu. Selepas kemalangan ada sahaja yang ditimbulkan oleh Bella.

Mustahil Bella tak nak kahwin dengan Khai sebab doktor Adam.

Terangkat kening Rasya memandang gadis itu semula.

“Kau jangan beritahu aku yang kau tak nak kahwin Khai sebab Adam,” balasnya separuh meneka. Dia agak berdebar menunggu jawapan daripada gadis itu.

“Kenapa lah aku lambat jumpa Adam. Kalau tak, mesti aku tak rasa sakit macam ni,” kata Bella dengan perasaan sebak. Rasya menarik nafas dalam. Apa sebenarnya yang cuba disembunyikan oleh Bella. Dia yakin ada sesuatu yang membuat gadis itu mengambil keputusan sedemikian. Sesuatu yang juga pasti akan mengejutkan dirinya.

Tapi apa?

                                  *****

Why?” soal Lara dengan kening berkerut. Khairul yang sedang tunduk menggeleng perlahan.

“Bella tahu pasal kita?” soal Lara lagi dengan perasaan bimbang. Khairul mengangkat kepalanya perlahan memandang gadis itu.

“Khai rasa tak. Bella mesti ada sebab lain,” jawabnya dengan perasaan berbaur. Lara terdiam mendengar kata-kata lelaki itu.

“Maksud Khai?” soalnya yang kurang faham dengan kata-kata lelaki itu.

“Khai rasa dia dah ada orang lain,” balas Khairul sambil menggenggam penumbuknya. Riak wajahnya jelas menunjukkan kemarahannya. Terangkat kening Lara memandang tingkah laku lelaki itu.

“Nak Lara tanya dia?” soalnya dengan berat hati. Khairul tersenyum hambar. Dia menyentuh jemari gadis itu.

“Tak apa sayang. Esok Khai akan jumpa papa Bella untuk bincangkan perkara ni. Sorry. Khai dah buat Lara tak selesa,” ucapnya dengan perasaan bersalah. Lara hanya menggeleng.

“Tak apa. Lara bukannya tak faham apa yang berlaku. Ingat Khai, jangan sampai Bella terlepas. Nanti Khai akan kehilangan Lara juga,” balasnya dengan senyuman hambar. Khairul mengangguk perlahan. Dia rela kehilangan segala-galanya tapi bukan gadis itu.

Khai tak mampu hidup tanpa Lara.

                                *****

Puan Hasna berjalan perlahan menghampiri lelaki itu. Sejak kunjungan gadis yang bernama Delisya tempoh hari, Adam dilihatnya lebih banyak mendiamkan diri.

“Adam tak kerja hari ni?” soalnya perlahan.

“Tak sihat ma,” balas Adam dengan senyuman hambar.

“Dah minum ubat?” soal Puan Hasna lagi mula bimbang apabila melihat wajah pucat lelaki itu. Adam mengangguk tersenyum. Puan Hasna mengeluh perlahan.

“Siapa perempuan yang datang hari tu? Mama rasa Adam sakit ni sebab perempuan tu,” katanya separuh menyoal. Adam terdiam mendengar telahan ibunya itu. Dia tidak mengiyakan tidak juga menafikan.

“Adam…,”

“Dia nak kahwin dengan Adam ma,” pintas Adam dengan suara perlahan. Puan Hasna terkedu.

“Si…, siapa? Perempuan hari tu?” soalnya dengan suara tersekat.

“Delisya. Dia nak kahwin dengan Adam,” kata Adam kini dengan suara yang lebih jelas. Terlopong Puan Hasna memandang anak lelakinya itu.

“Ja…, jadi Adam? Setuju?” soalnya masih tidak percaya.

“Mesti lah tak setuju. Delisya tu pesakit Adam. Hubungan kami tak lebih daripada tu,” jawab Adam seiring dengan keluhannya. Puan Hasna menarik nafas dalam cuba menenangkan dirinya.

“Kenapa Elis nak kahwin sangat dengan Adam?” soalnya tepat memandang wajah anak lelakinya itu. Adam terdiam mendengar soalan wanita itu.

“Adam tak suka Elis?” soal Puan Hasna lagi apabila Adam masih tidak menjawab soalannya.

“Bukan macam tu ma. Cu…,”

“Apa kata Adam beri Elis peluang,” pintas Puan Hasna kini dengan senyuman lebar. Berkerut kening Adam membalas pandangan wanita itu.

“Ma…,”

“Adam. Mama tengok tak ada apa masalah pun dengan Elis tu. Cantik dan nampak bijak. Elis kerja apa?” pintas Puan Hasna lagi separuh menyoal. Adam mengeluh perlahan.

“Adam pun tak kenal sangat dengan Elis. Apatah lagi mama. Mama nak Adam beri peluang pula?” balas Adam dengan kening berkerut. Puan Hasna tergelak kecil.

“Adam kena ingat, tak semua orang boleh terima diri kita. Bila dah ada orang sayang tu, Adam jangan nak jual mahal pula,” nasihatnya separuh mengusik. Adam hanya menggelengkan kepalanya mendengar usikan wanita itu. Dia mengeluh lagi.

Jual mahal? Aku?

                                   *****

“Bella nak malukan papa?” soal Datuk Ridhuan dengan nada agak tinggi. Pulang sahaja Khairul dia terus menghubungi gadis itu untuk segera balik ke rumah. Bella yang baru melangkah masuk ke dalam rumah terus mengambil tempat di hadapan papanya. Wajahnya tenang membalas pandangan Datuk Ridhuan.

“Lelaki tu tak layak jadi suami Bella,” jawabnya perlahan.

“Bella jangan nak uji kesabaran papa. Kad kahwin dah pun diedarkan. Papa nak majlis diteruskan. Setuju atau tak tu bukan masalah papa. Bella sendiri yang merayu dengan papa nak kahwin dengan Khai. Sekarang nak buat hal pula?” marah Datuk Ridhuan.

“Tak nak! Bella tak nak kahwin dengan lelaki tak guna tu!” balas Bella yang turut meninggikan suaranya.

“Bella…,”

Sorry pa. Please bukan dengan Khairul. Bella akan kahwin tapi bukan dengan lelaki tu. I’m really sorry,” ucap Bella dengan perasaan bersalah. Betul kata papanya. Dulu memang papanya itu tidak bersetuju apabila dia memilih Khairul sebagai pasangan hidup. Namun kerana desakan, akhirnya papanya mengalah. Bella mengeluh perlahan.

Memang salah Bella, papa. Maafkan Bella.

“Khai tak nak lepaskan Bella. Dia sendiri yang beritahu papa tadi nak teruskan majlis walauapapun yang akan berlaku,” beritahu Datuk Ridhuan kini dengan nada rendah. Walaupun geram dengan tindakan gadis itu namun dia tidak pula sampai hati mahu memarahinya. Dia sentiasa percaya setiap keputusan yang dibuat oleh gadis itu ada sebabnya.

“Mana boleh macam tu. Tak apa. Esok Bella jumpa Khai,” kata Bella dengan kening berkerut.

“Ini kali kedua papa tanya Bella. Kenapa buat macam ni? Apa salah Khai sampai Bella nak buat perangai macam ni?” soal Datuk Ridhuan sambil memandang tepat wajah anak perempuannya itu. Bella terdiam mendengar soalan papanya. Kalau boleh memang dia mahu satu dunia tahu Khairul Azwan curang dengan kawan baiknya sendiri. Namun akal fikirannya masih waras. Dia masih boleh menyimpan rahsia lelaki itu. Keluarga mereka tidak perlu tahu sebab utama dia mengambil keputusan tersebut.

“Kami tak serasi pa,” jawab Bella dengan nada perlahan. Datuk Ridhuan menggeleng.

“Bella ingat papa baru kenal Bella semalam?” soalnya dengan kening terangkat. Bella tersenyum hambar.

Sorry pa. Bella naik dulu. Lepas ni nak keluar lagi,” balasnya sambil bangun dari sofa. Datuk Ridhuan mengeluh perlahan. Jika arwah isterinya masih ada tentu dia juga kecewa dengan tindakan Bella.

                                    *****

Chinta tersenyum sinis apabila teringat semula kata-kata Nazri tempoh hari.

“Aku? Aku masih sayangkan dia?” soalnya sambil memandang Marwah yang sedang leka membuat kerjanya. Marwah hanya memandang sekilas ke arah gadis itu tanpa berkata apa-apa. Chinta tergelak kecil.

“Lelaki tu memang gila! Dia ingat aku ni robot?” katanya lagi sambil menggelengkan kepalanya.

“Macam mana dengan Doktor Adam?” soal Marwah pula tiba-tiba. Dia ingin tahu perkembangan doktor kacak yang dikejar-kejar oleh sahabatnya itu. Chinta mengeluh perlahan apabila mendengar nama Adam disebut.

“Petang ni aku nak jumpa Adam lagi. Aku tak puas hati selagi si Nazri tu tak rasa apa yang aku rasa. Biar mamat tu mati terkejut bila aku kahwin dengan orang lain. Padan muka!” balas Chinta sambil tersenyum jahat.

“Bila aku pandang aje wajah tenang Adam, aku dah tahu dia lelaki baik. Aku dah nasihatkan kau sebelum ni. Tak elok gunakan orang lain atas kepentingan diri sendiri. Aku tak nak bertanggungjawab kalau kau betul-betul jatuh hati dengan doktor tu. Lagi satu, kalau lah doktor kacak tu dah ada girlfriend, kau jangan pula datang jumpa aku dengan air mata. Pening kepala aku nanti,” nasihat Marwah dengan wajah serius.

“Jahatnya,” balas Chinta dengan kening berkerut. Marwah hanya mengangkat bahu.

Jatuh hati? Aku? Lagi?

Chinta tersenyum sambil bersandar tenang pada kerusinya.

Why not?


Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.