“Bella ada beritahu papa. Minggu lepas Adam ada jumpa Khai,” kata Datuk Ridhuan sambil memandang tepat ke arah wajah menantunya itu. Adam hanya tersenyum.
“Betul pa. Papa jangan risau. Khai dah janji tak ganggu Bella lagi,” balasnya tenang. Datuk Ridhuan mengeluh perlahan.
“Maafkan papa. Sepatutnya ni semua tak berlaku sebab papa sejak awal lagi dah beri amaran pada Khai. Papa tak sangka pula Khai buat perangai lagi,” katanya dengan perasaan geram. Kalau bukan sebab Bella yang menahannya daripada bertemu Khairul, sudah lama dia menemui lelaki itu. Dia ingin memaki hamun Khairul yang berani mengganggu rumah tangga anaknya itu.
“Tak apa, pa. Tak semua sikap manusia ni kita boleh kawal. Apatah lagi perasaan. Saya dan Khai dah selesaikan dengan cara baik. Saya harap lepas ni Khai tak buat hal lagi. Masing-masing dah ada keluarga,” balas Adam dengan senyuman. Bella yang baru menarik kerusi di sisi suaminya itu hanya membisu. Hanya tangannya yang bergerak mencapai cawan di hadapannya. Datuk Ridhuan hanya mengangguk. Dia juga berharap tidak ada lagi ujian yang ditempuhi oleh anak dan menantunya itu.
*****
“Apa cerita? Tiba-tiba aje call aku,” soal Delisya yang agak terkejut apabila mendapat panggilan daripada wanita itu. Kedengaran Chinta tergelak kecil.
“Tak boleh ke?” soalnya kembali. Delisya tersenyum.
“Rindu aku lah tu,” usiknya. Chinta tergelak besar.
“Tahu tak apa. Kau sihat? Macam mana dengan kursus?” soalnya.
“Alhamdullillah. Esok dah nak balik. Hari ni last day. Semua okay ke kat sana?” jawab Delisya separuh menyoal.
“Okay aje,” balas Chinta perlahan.
“Betul ke ni?” soal Delisya yang kurang berpuas hati dengan jawapan wanita itu. Chinta tergelak semula.
“Issh! Asyik nak kena kan aku,” rungut Delisya sambil menarik nafas lega. Dia sebenarnya risau sekiranya hubungan Chinta dan Adam kembali semula seperti dulu.
“Tak apa kita jumpa esok. Selamat malam,” ucap Chinta sebelum menekan punat merah. Delisya masih tersenyum memandang telefonnya.
Tu aje?
Dalam diam dia sebenarnya kagum dengan Chinta. Wanita itu tabah menempuhi ujian yang melanda hubungannya dengan Adam. Jika dibandingkan dengan dirinya, tidak mungkin dia sekuat wanita itu.
*****
“Sayang nak pergi mana?” soal Adam lagi. Dia menggenggam kemas telefonnya. Dia yang baru sahaja sampai di hadapan hospital tidak jadi keluar dari kereta selepas mendapat panggilan daripada Chinta.
“Petang ni saya nak ajak Naufal keluar. Boleh tak?” soal Chinta separuh meminta. Adam menarik nafas berat. Dia bukan tidak suka isterinya itu keluar dengan Naufal. Malah Bella juga ada meminta izin dengannya sebentar tadi untuk keluar dengan anak Nazri itu. Namun sukar dia menafikan perasaan tidak senangnya walau sebelum ini dia sudah memaafkan Nazri.
“Abang,” panggil Chinta perlahan. Dia risau apabila suaminya itu hanya membisu.
“Boleh,” balas Adam dengan nada mendatar. Chinta menggigit bibir. Kurang berpuas hati dengan nada suara lelaki itu.
“Abang,” panggilnya lagi.
“Boleh sayang. Yang penting sayang kena jaga diri,” balas Adam dengan senyuman hambar. Chinta tersenyum lebar.
“Abang jangan risau. Bella ada temankan saya. Thank you, abang,” ucapnya dengan perasaan gembira.
“I love you,” ucap Adam pula. Chinta menyentuh pipinya yang mula bertukar warna.
“Me too,” jawabnya dengan senyuman. Adam tersenyum sambil mengucap salam. Selepas menutup telefon, sekali lagi dia mengeluh.
*****
Datin Syahida tersenyum melihat wanita yang baru keluar dari kereta. Delisya ikut tersenyum lebar. Datin Syahida memeluk erat tubuh wanita itu apabila sudah sampai di hadapannya.
“Elis sihat?” soalnya dengan perasaan sebak bercampur sayu. Delisya tergelak kecil.
“Seingat Elis, baru seminggu Elis tak jumpa aunty,” usiknya sambil melepaskan pelukannya. Datin Syahida turut tergelak. Benar kata wanita itu. Dia yang sudah menganggap Delisya seperti anak sendiri memang agak terasa apabila tidak menemui wanita itu dalam tempoh masa yang lama.
“Elis sihat aunty. And aunty? Ada jumpa calon ke sepanjang Elis tak ada kat sini?” soalnya separuh mengusik.
“Ish! Tak ada maknanya nak cari calon. Aunty sihat. Duduk la dulu. Bila sampai?” balas Datin Syahida separuh menyoal. Kedua-dua mereka berjalan menghampiri kerusi yang berada di halaman rumah.
“Semalam. Maaf tak sempat beritahu aunty. Abang pun tak tahu lagi Elis dah balik. Lepas ni nak buat kejutan kat abang. Sepatutnya seminar tu tamat esok. Tapi Elis balik awal sebab esok tu cuma majlis makan aje,” beritahu Delisya dengan senyuman.
“So,lepas ni terus ke hospital?” soal Datin Syahida lagi.
“Tak juga. Elis nak singgah cafe Bella dulu. Tapi bukan tujuan untuk makan. Sebab hari ni Elis nak makan kat sini. Rindu nak makan air tangan aunty,” jawab Delisya sambil tersengih. Datin Syahida tergelak kecil.
“Nasib baik aunty cuti hari ni tau. Jom lah masuk. Kebetulan aunty memang dah masak tadi. Rezeki Elis,” katanya sambil menarik lembut tangan wanita itu. Delisya tersenyum lebar sambil mengangguk.
*****
“Seronok tak?” soal Bella dengan senyuman lebar.
“Apa?” soal Delisya semula.
“Seminar. Kau rajin sangat pergi seminar. Aku tak larat dah,” balas Bella. Delisya tergelak kecil.
“Chinta tak datang?” soalnya.
“Keluar dengan Naufal. Tadi mereka ada kat sini. Tapi dah keluar pergi shopping. Aku tak larat hari ni nak teman mereka. Rasa tak sedap badan,” balas Bella dengan senyuman hambar.
“Dah pergi hospital? Ada rasa mual tak?” soal Delisya agak teruja. Bella menepuk lembut bahu wanita itu.
“Jangan lah nak beri harapan kat aku,” balasnya dengan kening berkerut.
“Aku serius lah. Jom lah ikut aku ke hospital,” ajak Delisya dengan riak wajah yang serius. Bella tergelak kecil.
“Aku cuma tak sedap badan aje. Pergi lah jumpa abang. Dah nak masuk waktu lunch ni. Sekejap lagi abang muncul kat sini. Nanti kau tak ada peluang nak dating dengan abang,” kata Bella separuh bergurau. Delisya cuma tergelak kecil.
“Aku pergi dulu. Jaga diri. Kirim salam dengan Chinta,” katanya sebelum berlalu. Bella hanya tersenyum memandang langkah wanita itu.
*****
Ekram tidak jadi keluar dari lif apabila melihat Nazri yang menerobos masuk ke dalam lif dengan riak wajah yang cemas.
“Sorry Ram, aku kena cepat,” kata Nazri dengan kening berkerut.
“Kenapa? Ada Masalah?” soal Ekram ingin tahu. Dia membatalkan niatnya untuk keluar dari lif.
“Naufal dan Chin…,” Naufal memandang Ekram.
“Kau kena call Adam sekarang. Naufal dan Chinta kemalangan,” katanya separuh mengarah. Ekram terkedu.Tangannya bergegar menyeluk telefon bimbit yang berada di poket seluarnya. Terbuka sahaja pintu lif dengan pantas Nazri berlari keluar. Ekram menarik nafas berat sebelum mendail nombor Adam. Baru sahaja tadi wajah rakannya itu tersenyum lebar dengan kehadiran Delisya. Serba salah dia mahu memberitahu lelaki itu.
“Kenapa?” kedengaran suara Adam di talian sebelah.
“Dam, kau jangan panik,” kata Ekram dengan perasaan berdebar.
“Kenapa? Ada masalah ke?” soal Adam lagi.
“Chinta kemalangan,” beritahu Ekram dengan wajah berkerut.
“Adam?” panggilnya. Dia mengeluh perlahan apabila melihat panggilannya sudah diputuskan. Ekram bergegas keluar menuju ke keretanya.
*****
Chinta membuka matanya perlahan. Dia dapat melihat Puan Hasna yang sedang duduk menggenggam erat jemari kirinya. Wajah wanita itu sudah basah dengan air mata. Dia memandang Delisya dan Bella yang duduk di sebelah kirinya.
“Chinta,” panggil Delisya dengan nada lembut. Chinta berdebar hebat saat tangannya kanannya menyentuh perut.
“Mama,” panggilnya dengan suara serak. Puan Hasna mengucup jemari wanita itu.
“Tak apa. Bukan rezeki kita,” pujuknya dengan senyuman cuba menenangkan wanita itu. Chinta menggeleng. Dia menangis teresak-esak. Hatinya retak seribu apatah lagi langsung tidak melihat wajah Adam.
“Sayang, tak apa. Yang penting Chinta selamat,” celah Bella cuba memujuk. Dia menggenggam erat jemari kanan wanita itu.
“I’m sorry, ma. I’m really sorry,” ucap Chinta berselang seli dengan tangisannya. Ekram menepuk lembut bahu Adam yang hanya memerhati dari jauh.
“Kau tak nak masuk?” soalnya. Adam menggeleng lemah. Dia berlalu pergi tanpa menemui Chinta terlebih dahulu. Ekram mengeluh berat. Dia mengikut langkah temannya itu. Risau juga dia jika tiba-tiba Adam tidak mampu mengawal perasaannya.
*****
Puan Hasna mendail nombor Adam. Tuan Izan hanya memandang telatah isterinya itu.
“Adam, kamu kat mana? Kenapa susah sangat nak angkat call? Kamu tahu Chinta dah keluar hospital? Sekarang Chinta ada kat sini. Mama tahu Adam masih bersedih dengan apa yang berlaku. Mama dan papa pun sedih juga. Adam ada tak fikir perasaan Chinta?” soal Puan Hasna bertalu. Adam terdiam mendengar soalan ibunya itu.
“Mama nak Adam balik rumah sekarang. Kasihan Chinta. Masa kat hospital pun Adam tak jumpa Chinta,” sambung Puan Hasna separuh mengarah.
“Ma, beri Adam masa,” balas Adam dengan nada perlahan. Puan Hasna mendengus geram.
“Masa apa yang Adam nak? Semua orang sedih sekarang ni. Bukan Adam seorang aje. Jangan pentingkan diri sendiri,” balasnya yang mula geram. Dia bukan tidak faham akan perasaan anaknya itu. Dia cuma tidak mahu Adam terlalu mengikut kata hati sehingga mengabaikan tanggungjawabnya sebagai suami Chinta.
“Maafkan Adam,” balas Adam sebelum menekan punat merah.
“Adam!” panggil Puan Hasna namun talian sudah diputuskan.
“Tengok lah anak abang ni. Buat perangai macam budak-budak,” rungut Puan Hasna tidak berpuas hati. Tuan Izan menarik nafas panjang.
*****
Delisya menggenggam erat jemari wanita itu. Chinta hanya tersenyum hambar.
“Jangan lah sedih. Insya Allah, ada rezeki lagi. Apa yang penting kau selamat. Naufal pun selamat. Percaya lah setiap apa yang berlaku pasti akan ada hikmahnya,” pujuk Delisya lembut.
“Abang sihat?” soal Chinta tanpa membalas kata-kata wanita itu.
“Semalam aku ada jumpa dia kat hospital. Abang okay. Cuma nak lihat dia senyum tu memang agak payah. Tak apa. Abang masih terkejut dengan apa yang berlaku. Kita beri abang masa,” jawab Delisya dengan senyuman. Chinta mengeluh.
“Aku tak tahu apa yang akan berlaku lepas ni. Aku cuma perlu bersedia aje kalau abang lepaskan aku,” katanya seperti orang putus asa.
“Jangan lah cakap macam tu. Tak baik fikir macam tu,” tegur Delisya dengan kening berkerut. Chinta tersenyum hambar.
“Aku sebenarnya malu nak jumpa abang. Aku sendiri tak dapat maafkan diri. Apatah lagi abang,” balasnya yang sedaya upaya menahan air matanya daripada mengalir lagi. Dia sudah penat. Delisya memeluk bahu wanita itu.
“Jangan fikir yang bukan-bukan. Kita tak minta pun ia berlaku. Jauh sekali nak jangka. Sekarang ni, Elis nak Chinta kena banyak bersabar,” katanya separuh menasihati.
“Hari ni aku nak balik rumah. Dah seminggu Elis. Abang langsung tak datang sini. Mama dah call tapi abang tak angkat. Aku pun tak berdaya nak call,” balas Chinta dengan nada sayu. Delisya mengeluh perlahan. Simpati dia melihat keadaan wanita itu. Namun apa dayanya untuk membantu. Hanya nasihat dan pujukan yang mampu diberikan.
“Banyak barang ke? Elis hantar Chinta,” katanya menawarkan diri.
“Terima kasih,” ucap Chinta dengan senyuman hambar. Delisya hanya mengangguk tersenyum sambil mengelus lembut bahu wanita itu.
*****
“Lara, abang minta maaf,” ucap Khairul dengan riak wajah bersalah. Lara berpaling memandang lelaki yang sedang cuba menahannya masuk ke dalam kereta.
“Ceraikan saya. Saya izinkan awak jumpa Kira. Saya tak akan pernah larang sebab awak tu papa kandung Kira,” katanya dengan nada tegas sebelum melangkah masuk ke dalam kereta. Khairul dengan pantas menahan pintu kereta wanita itu. Berkerut kening Lara memandang Khairul.
“Saya tak akan ceraikan awak. Lara, saya tahu saya ni jahat. Saya dah lukakan hati awak dan Kira. Tapi beri saya peluang sekali lagi. Please,” pinta Khairul separuh merayu. Lara tersenyum sinis.
“Peluang? Saya tak ada lagi peluang tu. Yes, saya mengaku dulu memang saya bersalah sebab paksa awak terima Bella biarpun tahu masa tu awak cuma sayangkan saya. Saya pentingkan perasaan sahabat saya daripada perasaan awak. Saya langsung tak sedar akan akibatnya nanti akan jadi macam ni. Saya tak salahkan awak sepenuhnya. Cuma nak beri awak peluang tu saya tak boleh tunaikan. Maafkan saya,” balas Lara sebelum menutup kasar pintu kereta. Hampir sahaja jari Khairul tersepit. Nasib baik lelaki itu sempat menarik tangannya. Khairul mengeluh berat. Dia meraup wajahnya.
“Mama,” panggil Kira yang duduk di kerusi bahagian penumpang. Lara menoleh memandang Kira yang baru sahaja terjaga dari lenanya itu. Dia tersenyum manis.
“Papa mana?” soal Kira.
“Papa ada kerja sayang. Nanti kalau dah siap, papa call Kira ya. Kira tidur dulu. Sampai rumah nanti mama akan kejut Kira,” balas Lara separuh mengarah. Kira menurut tanpa banyak soal. Lara mengeluh perlahan.
*****
Adam memandang lama gambar perkahwinannya dengan Chinta. Dia mengeluh berat.
“Dam,” tegur Ekram yang baru melangkah masuk ke dalam bilik pejabatnya. Adam hanya memandang sekilas ke arah rakannya itu.
“Kau pergi lah bercuti. Jumpa Chinta dulu. Selesaikan masalah kau dengan baik,” nasihat Ekram yang simpati melihat keadaan lelaki itu yang jelas nampak serabut.
“Aku dah buat keputusan,” balas Adam dengan nada perlahan.
“Keputusan apa?” soal Ekram agak berdebar.
“Adam, kau jangan jadi bodoh. Aku tak tahu keputusan apa yang kau nak buat. Tapi sekarang aku nak kau berfikir secara waras. Jangan ikutkan perasaan,” sambungnya separuh menasihati.
“Aku masih waras Ram,” balas Adam. Ekram menggelengkan kepalanya.
“Aku rasa tak. Kau kena jumpa Chinta untuk tenangkan hati kau tu. Selagi kau mengelak nak jumpa dia, selagi tu kau tak waras,” katanya dengan nada tegas.
“Aku akan ceraikan dia,” balas Adam kini memandang wajah sahabatnya. Ekram terkedu.
“Kau gila?!” soalnya kurang percaya dengan perkataan yang keluar dari mulut lelaki itu. Adam bangkit dari kerusinya. Kunci kereta di atas meja dicapai lalu melangkah berlalu keluar dari bilik meninggalkan Ekram yang masih terkejut.
“Adam!” panggil Ekram sambil mengikut langkah lelaki itu.