Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKU TANPAMU
Bab 11


Delisya menarik kerusi di hadapan lelaki itu. Samuel hanya memandang wajah wanita itu dengan senyuman sinis.

“Nak apa?” soal Delisya tanpa senyuman.

“Kenapa? Saya tak boleh jumpa awak?” soal Samuel masih dengan senyumannya. Terangkat kening Delisya memandang lelaki itu.

“Saya dengar awak bawa lelaki jumpa papa. Kenapa? Dah haus sangat?”

Pang!

Samuel menyentuh pipi kirinya yang terasa perit.

“Kau ingat aku ni macam kau ke?! Lelaki tak sedar diri! Suka hati aku lah nak bawa jantan mana pun. Yang kau sakit hati sangat kenapa?!” soal Delisya dengan nada keras. Samuel bersandar pada kerusinya.

“Kau lupa? Kau tu masih dalam tempoh iddah,” katanya dengan renungan tajam. Delisya tergelak besar.

“Kau ni muka aje nampak bijak. Rupanya bodoh!” kutuknya.

“Mulut tu jaga sikit Elis,” Samuel memberi amaran. Wanita itu sudah pandai melawannya. Sangat berbeza di mana saat mula-mula dia mengenali Delisya.

“Aku dah lepas iddah lah! Kau jangan harap aku nak rujuk dengan kau semula. Lagi satu, aku akan ambil semula hak aku. Aku bukan Delisya yang dulu Samuel. Ingat tu!” kata Delisya sebelum bangun dari kerusinya lantas berlalu. Samuel hanya tersenyum sinis memandang langkah wanita itu.

Kau yang bodoh Elis. Kau ingat aku akan duduk diam?

                                  *****

What? Nak kahwin dengan kau? Gila betul mamat tu,” komen Marwah dengan kening berkerut. Chinta hanya mengangkat bahu.

“Dia ingat senang ke nak lupa apa yang dia dah buat kat kau? Aku tak setuju. Kalau kau terima mamat tu, aku nak keluar dari rumah ni,” sambung Marwah separuh mengugut. Chinta tergelak besar.

“Kau ni sampai ke situ pula. Kau ingat aku masih ada hati kat mamat tu? Come on, Wa,” balasnya sambil menggeleng perlahan.

“Mana lah aku tahu hati kau. Biasa mulut tu kata tak. Tapi hati kita tak tahu,” balas Marwah selamba.

“Kau jangan risau lah. Aku mati hidup semula pun tak akan kembali dengan Nazri. Aku tak nak luka lama berdarah semula. Sakit tak terperi,” kata Chinta dengan nada perlahan. Betapa bodohnya dia meletakkan sepenuh kepercayaan kepada lelaki itu.

So, kau masih nak teruskan niat kau tu?” soal Marwah. Jauh di sudut hatinya dia masih berharap gadis itu membatalkan niatnya itu. Chinta menarik nafas dalam. Wajah Adam terbayang di matanya. Ada rindu yang bertandang pada wajah tenang itu.

“Masih. Aku akan dapatkan Adam walauapapun yang akan terjadi,” balasnya dengan senyuman nakal. Marwah hanya menggeleng melihat telatah gadis itu.

“Suka hati kau lah,” katanya yang mula putus asa. Chinta hanya tergelak mendengar jawapan rakannya itu.

                                *****

Datuk Ridhuan meletakkan kotak baldu yang berwarna merah di hadapan lelaki itu. Khairul mengeluh perlahan.

“Uncle.”

“Uncle minta maaf Khai. Uncle tak mampu tolong Khai lagi. Ambil lah cincin ni semula. Uncle dah tak nak masuk campur dengan urusan kamu berdua. Malu? Memang uncle malu. Kad undangan dah pun diedarkan. Tapi majlis dah tertangguh beberapa bulan. Tak ada maknanya nak malu lagi,” kata Datuk Ridhuan sambil mengeluh.

“Saya sayangkan Bella. Bella tak boleh buat macam ni pada Khai. Apa salah Khai uncle? Tiba-tiba Bella nak putuskan pertunangan. Dulu Bella nak tangguhkan majlis, Khai masih boleh bertolak ansur. Tapi sekarang, Khai dah hilang sabar uncle. Khai tak akan lepaskan Bella. Siapa lagi nak Bella? Khai dah terlanjur dengannya,” beritahu Khairul sambil melarikan pandangannya dari orang tua itu. Berkerut kening Datuk Ridhuan memandang Khairul.

“Terlanjur? Kamu berdua sudah gila?!” marahnya dengan nada tinggi. Khairul tunduk dengan perasaan bersalah. Datuk Ridhuan pantas bangun dari kerusinya.

“Selagi uncle tak tanya Bella selagi tu uncle tak percaya,” katanya sebelum berlalu. Khairul meraup wajahnya.

Maafkan Khai, uncle.

                                  *****

Datin Syahida menggeleng perlahan melihat telatah gadis itu. Termenung sahaja sejak sampai di butiknya.

“Fikirkan Adam lah tu,” usiknya separuh meneka. Delisya hanya tersenyum hambar.

“Mana ada aunty. Semalam Elis jumpa Samuel,” beritahu Delisya.

“Kenapa nak jumpa lagi dengan lelaki tu?” soal Datin Syahida tidak puas hati.

“Dia kata nak bincang pasal syarikat. Tapi bila Elis sampai, dia tanya pula pasal lain. Elis tak tahu dia dengar dari mana yang Elis bawa Adam jumpa papa,” jawab Delisya sambil mengeluh perlahan.

“Jangan layan lagi lelaki tu Elis. Ingat apa dia buat pada Elis. Lelaki tu tak layak untuk perempuan sebaik Elis,” kata Datin Syahida separuh menasihati. Delisya hanya tersenyum hambar.

So, papa suka Adam tak?” soal Datin Syahida agak teruja.

“Papa suka. Elis cuma risau Adam. Dia memang boleh tolong Elis. Tapi dia tak nak kahwin dengan Elis,” balas Delisya dengan riak wajah yang jelas kecewa.

“Sebenarnya aunty tertanya-tanya juga. Bukan aunty tak setuju Elis pilih Adam. Cuma kalau Elis kahwin dengan Adam, macam mana Elis nak selamatkan semula syarikat papa? Lagi satu, bukan Adam tu doktor ke? Elis nak minta tolong Adam buat apa? Adam bukannya ada pengalaman dalam bidang ni,” soal Datin Syahida bertalu. Delisya terdiam seketika.

“Elis jangan salah faham. Aunty bukannya tak suka Adam,” ulang Datin Syahida lagi apabila melihat Delisya terdiam agak lama.

“Tak aunty. Sebenarnya…, idea timbul nak kahwin dengan Adam sebab Elis nak buat Samuel menyesal bila tinggalkan Elis. Syarikat cuma alasan kedua. Elis memang tahu Adam tak mampu tolong Elis. Tapi hati Elis degil. Elis sendiri tak faham aunty,” jawab Delisya dengan nada perlahan. Dia melarikan pandangannya daripada wanita itu. Matanya mula terasa pedih. Datin Syahida mengeluh.

“Aunty tak setuju Elis. Kasihan Adam. Dia lelaki baik. Aunty nasihatkan Elis supaya lupakan Samuel dan lepaskan Adam. Kalau betul Elis ada hati pada Adam, Elis teruskan niat tu. Tapi Jangan gunakan orang untuk kepentingan diri. Tu berdosa namanya,” nasihat Datin Syahida sambil menepuk lembut bahu gadis itu. Delisya mengangguk perlahan. Dalam diam dia setuju dengan wanita.

                                   *****

Adam berjalan lambat menghampiri gadis itu. Delisya tersenyum hambar menyambut kedatangan lelaki itu.

“Saya ganggu awak?” soalnya dengan perasaan bersalah.

“Tak,” jawab Adam ringkas dengan senyuman. Delisya terkesima seketika melihat senyuman lelaki itu. Ini kali kedua dia melihat senyuman ikhlas lelaki itu. Pertama kali dia melihat senyuman itu semasa lelaki itu merawatnya.

“Ini untuk awak,” kata Delisya sambil menghulurkan bungkusan yang berisi makanan kepada Adam.

“Awak tak payah susah-susah,” balas Adam teragak-agak menerima huluran tersebut.

“Boleh tak malam esok saya datang rumah awak?” soal Delisya separuh meminta. Terangkat kening Adam mendengar permintaan gadis itu.

“Saya nak ikut sekali, boleh?” celah satu suara. Adam dan Delisya serentak menoleh. Bella sedang tersenyum memandang kedua-duanya. Dia berjalan menghampiri.

“Awak tak sihat lagi?” tanya Adam apabila melihat wajah pucat gadis itu. Bella mengangguk perlahan.

“Awak masuk dulu,” kata Adam separuh mengarah. Bella mengangguk sebelum berlalu.

“Datang aje. Saya tunggu awak,” balas Adam dengan senyuman. Delisya terkedu mendengar jawapan lelaki itu.

“Esok kita jumpa,” sambung Adam sebelum berlalu meninggalkan gadis itu. Delisya hanya mengangguk sambil memerhatikan saja langkah lelaki itu berlalu.

Aku mimpi ke? Adam setuju!

                                 *****

“Siapa perempuan tadi?” tanya Bella sambil memandang tepat wajah Adam. Adam yang sedang menulis sesuatu pada bukunya hanya memandang sekilas ke arah gadis itu tanpa menjawab. Bella mengeluh perlahan.

“Perempuan kat Cafe hari tu siapa pula?” soalnya lagi tidak berpuas hati. Adam meletakkan pen di tangannya. Dia mula menumpukan perhatian pada gadis itu.

“Awak dah terlebih minum ubat tidur,” katanya dengan wajah serius. Bella tunduk memandang jemarinya.

“Saya tak dapat tidur,” balasnya dengan nada perlahan.

“Bella, dulu nyawa awak hampir melayang. Awak tak serik?” soal Adam dengan kening berkerut. Bella menggigit bibir.

“Awak tahu tak apa lelaki tu beritahu papa? Dia kata kami pernah terlanjur. Dia fitnah saya,” beritahunya dengan perasaan sebak. Masih teringat wajah bengis papanya saat bertanya soalan tersebut. Adam bersandar pada kerusinya.

“Papa nak Bella kahwin dengan lelaki tu. Papa kata dah tak ada orang lain nak Bella sebab Bella dah kotor,” sambung Bella kini seiring dengan air matanya. Dia sudah tidak malu menangis di hadapan lelaki itu.

“Saya nak tanya awak. Awak masih sayangkan dia?” soal Adam dengan tenang. Bella terdiam mendengar pertanyaan lelaki itu. Cuma tangannya yang bergerak mengesat air matanya.

“Bella, kalau awak masih sayangkan dia, apa kata awak maafkan dia?” sambung Adam separuh menasihati. Bella memandang wajah lelaki itu dengan kening berkerut.

“Awak bergurau?” soalnya. Adam menarik nafas panjang.

“Dia juga manusia seperti kita, Bella. Awak pun tahu. Kita akan sentiasa melakukan kesilapan. Dalam masa yang sama kita juga akan belajar dari kesilapan tu,” balasnya tenang. Bella menggeleng perlahan.

“Lelaki tu bukannya belajar daripada kesilapan. Buat-buat tak tahu adalah!” marahnya sambil meraup wajahnya.

“Sebab awak tak beritahu dia,” balas Adam dengan suara perlahan.

So, awak fikir saya yang salah dalam hal ni? Awak pun nak salahkan saya?” soal Bella dengan perasaan sebak.

“Awak tak faham apa yang saya maksudkan Bella,” balas Adam masih tenang. Bella berdiri dari kerusinya. Dia mula melangkah untuk berlalu.

“Kalau betul awak nak berpisah dengan mamat tu, awak kena beritahu mamat tu yang awak dah tahu pasal dia dan kawan baik awak tu. Awak jangan terlalu baik sangat Bella. Saya tak nak awak sakit dan datang sini lagi. Not anymore,” kata Adam dengan suara tegas. Bella berhenti melangkah. Dia berpaling memandang lelaki itu semula.

“Kalau awak tak nak saya selalu datang sini, awak kena tolong saya,” balasnya separuh mengugut. Berkerut kening Adam memandang gadis itu.

“Kahwin dengan saya, Adam,” sambung Bella dengan wajah serius. Adam terkedu. Bella berjalan menghampiri meja lelaki itu semula.

“Awak kena kahwin dengan saya supaya Khairul berhenti ganggu hidup saya,” katanya dengan nada tegas.

“Awak dah gila,” balas Adam tanpa sedar. Dia bingkas bangun dari kerusinya.

“Awak ingat masalah akan selesai bila saya dah kahwin dengan awak?” soalnya dengan riak wajah yang serius.

“Saya akan beritahu papa yang saya nak kahwin dengan awak,” balas Bella tanpa menghiraukan kata-kata Adam. Dia melangkah semula untuk berlalu. Adam menyentuh dahinya yang terasa berdenyut.

                                 *****

Marwah memandang rakannya yang sedari tadi asyik termenung.

“Tak keluar makan?” soalnya.

“Aku tak ada selera,” balas Chinta dengan senyuman hambar.

“Ni tak ada selera sebab siapa? Nazri atau Adam?” soal Marwah separuh mengusik.

“Jangan sebut nama tu boleh tak?” balas Chinta agak geram.

“Nazri or Adam?” soal Marwah semakin galak mengusik.

“Sedapnya mulut,” balas Chinta sambil menjeling rakannya itu. Marwah tergelak besar. Dia menghampiri gadis itu dan memeluk bahunya.

“Jom lah teman aku makan. Aku lapar,” ajaknya separuh merayu. Chinta mengeluh perlahan.

“Aku sepatutnya nak lawat Adam hari ni. Tapi aku tak nak terserempak dengan Nazri kat sana,” katanya. Marwah melepaskan pelukannya.

“Lah, rindu Adam rupanya,” usiknya lagi.

“Jangan nak merepek. Jom lah. Kata dah lapar sangat. Sempat lagi nak usik aku,” balas Chinta sambil mencapai beg tangannya. Marwah tergelak kecil.

“Apa salahnya. Kalau kau ikhlas, aku akan doa kau dan Adam tu jadi. Kalau kau tak nak Adam tu, bagi kat aku aje,” katanya separuh mengusik.

“Jangan nak mengada,” balas Chinta sambil menarik lengan rakannya untuk berlalu. Marwah hanya tersenyum melihat telatah rakannya itu.

                               *****

“Elis masih sayangkan Samuel?” soal Datuk Taufiq sambil memandang tepat wajah gadis itu.

“Kenapa papa tanya soalan tu?” soal Delisya semula tanpa menjawab. Datuk Taufiq mengeluh perlahan.

“Samuel ada datang jumpa papa,” beritahu Datuk Taufiq. Berkerut kening Delisya.

“Bila? Dia nak apa lagi?” soalnya bertalu.

“Dia minta papa tandatangan beberapa dokumen,” jawab Datuk Taufiq perlahan. Delisya mendengus geram.

“Dia ada tanya juga pasal Elis. Dia kata dia boleh terima Elis semula,” sambung Datuk Taufiq. Delisya menggeleng.

“Lelaki tu gila talak agaknya. Elis tak akan sesekali terima lelaki tu jadi suami Elis lagi. Tak akan pa,” balasnya dengan nada tegas. Datuk Taufiq hanya diam membisu mendengar kata-kata gadis itu. Rasa bersalah masih menebal dalam dirinya. Kalau bukan dia yang memaksa Delisya berkahwin dengan Samuel, pasti anaknya itu tidak melalui nasib seperti itu.

Maafkan papa, Elis.

                                *****

Ekram menarik kerusi di sebelah rakannya itu.

So?” soalnya dengan senyuman. Adam yang sedang menulis sesuatu pada buku catatannya menoleh memandang lelaki itu.

“Apa?” soalnya kurang faham.

“Macam biasa lah. Bella, Chinta dan…siapa…emm…arhh! Delisya,” balas Ekram masih dengan senyumannya. Adam mengeluh perlahan. Dia memandang semula buku yang ada di depannya.

“Bella ajak aku kahwin,” beritahunya dalam nada yang sangat perlahan hampir tidak kedengaran.

What?!” bulat mata Ekram memandang rakannya itu sebelum tergelak kecil. Berkerut kening Adam memandang lelaki itu.

“Aku tak buat lawak,” katanya agak geram melihat telatah rakannya itu.

Sorry, aku tak tahan,” balas Ekram sambil berdehem perlahan. Adam menggeleng.

“Kau sebenarnya beruntung Adam. Dalam dunia ni, kes macam ni satu dalam sejuta. Dalam drama aku tak pasti lah. Sebab aku bukannya suka tengok drama,” kata Ekram dengan senyuman.

“Untung apa maksud kau? Kepala aku ni macam nak pecah tau tak,” balas Adam sambil mendengus perlahan. Ekram menggaru kepalanya yang tidak gatal.

Aku salah cakap ek.

“Kenapa pula Bella nak kahwin dengan kau? Dulu kau beritahu aku yang dia baru putus tunang,” soalnya dengan kening berkerut.

“Aku pun tak faham. Semua orang nak kahwin dengan aku sebab nak selesaikan masalah. Mungkin mereka ingat bila kahwin dengan aku, masalah akan selesai. Aku boleh jadi gila hadap pesakit macam ni,” balas Adam sambil meraup wajahnya. Giliran Ekram pula mengeluh.

So, sekarang kau nak buat apa?” soalnya agak simpati melihat keadaan lelaki itu.

“Sekarang ni aku harap Chinta tak buat permintaan bodoh tu juga,” balas Adam tanpa memandang wajah Ekram.

“Kau kena selesaikan masalah ni baik-baik Dam. Aku akan bantu selagi aku mampu. Kau tahu kan yang aku merupakan penyokong nombor satu kau,” kata Ekram separuh bergurau. Adam mengeluh lagi.

Cakap memang lah senang.


Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.