Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKU TANPAMU
Bab 24


“Maafkan mama,” ucap Puan Hasna dengan perasaan bersalah. Bella menggenggam erat telefon bimbitnya.

“Bella tak marah mama. Lepas ni Bella nak jumpa Adam. Biar Bella sendiri dengar dari mulut Adam supaya puas hati Bella,” balasnya dengan perasaan sebak. Puan Hasna mengangguk faham.

“Bella bincang lah dengan Adam. Apa pun keputusan Adam dan Bella, mama tak akan masuk campur lagi,” katanya perlahan.

“Mama sihat?” tanya Bella cuba mengubah topik. Dia ingin berehat sekejap dari memikirkan apa yang berlaku.

“Ya sayang. Mama kat sini sihat aje. Maaf lah mama dah ganggu Bella awal pagi ni. Elis beritahu mama yang Bella nak jumpa dia,” beritahu Puan Hasna. Bella mengeluh perlahan.

“Ya mama. Kejap lagi nak jumpa Elis. Mama jangan risau. Bella tak akan apa-apakan Elis,” jawab Bella seperti mengerti kebimbangan wanita itu. Puan Hasna menarik nafas lega.

“Terima kasih sebab memahami mama,” ucapnya terharu. Dia memang agak rapat dengan gadis itu berbanding dengan yang lain kerana panggilan Bella kepadanya yang terdengar lebih mesra dan dekat.

“Tak sabar nak jumpa mama,” balas Bella dengan senyuman. Puan Hasna mengukir senyuman lebar. Dalam diam dia juga sebenarnya tidak sabar bertemu dengan gadis itu dan Chinta yang sudah setahun tidak ditemuinya.

                                  *****

Delisya merenung wajahnya pada cermin meja solek. Dia menarik nafas dalam. Terlalu banyak perkara yang berlaku sejak akhir-akhir ini. Dia tidak menyangka yang dia akan bertindak sejauh ini. Hanya kerana seorang lelaki yang bernama Adam, dia tanpa paksaan melakukan perkara yang tidak pernah terlintas di fikirannya. Teringat semula perbualannya dengan papanya malam tadi.

“Elis, ni merupakan kali terakhir papa nak tanya soalan ni. Papa bukan tak suka Adam. Papa suka. Malah papa dah anggap Adam tu macam anak papa sendiri. Cuma papa risaukan Elis. Elis dah bersedia nak berkongsi kasih?” soal Datuk Taufiq yang sedang memandangnya dengan wajah serius.

“Kenapa papa tanya soalan tu? Adam dah pilih Elis. Papa jangan risau. Tak ada siapa yang akan berkongsi kasih,” balasnya dengan senyuman. Datuk Taufiq mengeluh perlahan.

“Papa juga lelaki Elis. Papa boleh nampak apa yang Elis tak nampak pada Adam. Papa cuma nak Elis fikirkan semula keputusan tu,” kata Datuk Taufiq. Delisya menarik nafas panjang.

“Papa, dari awal lagi Elis dah bersedia nak bermadu dengan mereka berdua. Kalau lah Adam berhasrat nak jadikan mereka isteri, Elis tak kisah. Papa jangan lah risau sangat. Doakan Elis bahagia aje,” balasnya dengan senyuman.

Delisya menarik nafas panjang.

Ya, aku dah bersedia nak jadi isteri Adam. Aku juga dah sedia nak berkongsi kasih dengan Bella dan Chinta.

                                   *****

Adam merenung lama skrin telefonnya. Dia serba salah untuk menekan nombor milik gadis itu. Perlahan keluhan dilepaskan.

“Mengeluh nampak,” tegur Ekram sebelum mengambil tempat di hadapan lelaki itu.

“Mana ada,” dalih Adam sambil berdehem perlahan.

“Macam lah aku tak nampak. Kenapa? Kau jangan cakap tak jadi kahwin pula,” soal Ekram separuh meneka.

“Kau ni agak-agak lah,” balas Adam dengan kening berkerut.

“Jangan lah marah. Aku gurau aje. Dah tu kenapa mengeluh? Minggu depan kau dah nak pinang Elis tau,” Ekram mengingatkan.

“Tak semestinya masalah aku ada kaitan dengan tu,” nafi Adam.

“Selama aku kenal kau, masalah kau selalu aje ada kaitan dengan masa depan kau. Maksud aku dengan bakal isteri kau,” balas Ekram separuh mengusik. Adam diam tidak menafikan.

“Aku nak tanya kau,” soalnya agak ragu-ragu.

“Takut pula aku. Kau tu jenis yang tak suka tanya soalan,” balas Ekram dengan kening terangkat.

“Aku…,” Adam terdiam sejenak. Serba salah mahu meneruskan.

“Apa?” soal Ekram tidak sabar.

“Tak ada apa lah. Aku masuk dulu,” balas Adam sambil bangun dari kerusi lantas berlalu. Terkedu Ekram dengan tingkah laku rakannya itu.

Apa dah jadi?

                                   *****

“Saya dah dengar dari mulut semua orang. Sekarang ni saya nak dengar dari mulut awak sendiri,” kata Bella sambil memandang tajam lelaki itu. Adam hanya membalas tenang pandangan gadis itu.

“Bila sampai?” tanyanya lembut. Bella tersenyum sinis.

“Dulu saya nekad nak lupakan awak. Tapi hati saya degil. Tetap nak awak!” balasnya geram. Setahun yang lalu dia nekad mahu melupakan lelaki itu. Namun oleh kerana harapan yang diberikan oleh Puan Hasna maka dia juga mula berharap untuk memiliki lelaki itu.

“Kalau awak tak sayang saya, kenapa masa saya jalan hari tu awak datang?” soal Bella apabila Adam hanya mendiamkan diri. Kalau Ekram tidak memberitahu Rasya mengenai kehadiran lelaki itu setahun yang lalu, sampai selamanya dia tidak akan tahu perasaan lelaki itu.

“Saya memang sayangkan awak,” balas Adam dengan tenang. Terkedu Bella dengan ucapan lelaki itu. Perkataan yang memang tidak diduganya keluar dari mulut Adam.

“Kalau awak ada di tempat saya, awak akan buat apa?” soal Adam dengan pandangan sayu memandang gadis itu. Dia tidak menyangka yang selepas setahun mengumpul kekuatan, sekelip mata sahaja dia mula terasa lemah. Bella terdiam mendengar soalan lelaki itu. Perasaan bersalah mula menghantui diri.

“Saya…,” Bella berhenti sejenak. Dia buntu mahu meneruskan ayat. Adam mengeluh perlahan.

“Cakap memang senang. Tapi nak buat tu susah,” katanya sambil memandang gadis itu yang sedang tunduk memandang jemarinya.

“Saya tak nak sakitkan hati sesiapa,” sambungnya dalam penuh makna.

“Awak tak sakitkan hati sesiapa pun. Kami dah setuju dan sepakat. Kami sayangkan awak. Saya dengan muka tak malu datang jumpa awak hari ni sebab nak awak tahu tu. Dalam hal ni, awak tak bersalah. Awak ada isteri ramai bukan sebab awak gatal. Kalau tu dah kes lain,” balas Bella dengan harapan hati lelaki itu terbuka sedikit untuk menerimanya. Adam mengeluh lagi.

“Awak memang degil macam ni ke?” soalnya dengan wajah yang agak serius. Bella tersenyum kecil.

“Memang pun. Sejak dari dulu lagi saya akan pastikan apa yang saya nak, saya akan dapat. Termasuk hati awak yang keras tu,” balasnya separuh menyindir. Adam tersenyum. Dalam diam Bella menarik nafas lega.

Nampaknya kau ada harapan lagi Bell.

                                 *****

“So?” soal Marwah dengan kening berkerut memandang sahabatnya.

“What?” soal Chinta pula. Dia pura-pura tidak faham dengan maksud soalan gadis itu. Marwah menggelengkan kepalanya.

“Kau nak balik Sabah?” soalnya lagi. Chinta mengeluh perlahan.

“Kau tak serik ke Chin? Sampai bila kau nak tunggu orang tu? Nak jadi bodoh lagi?” soal Marwah bertalu. Geram dia dengan sikap gadis itu yang baginya terlalu setia. Setia tidak bertempat.

“Kali ni aku akan pastikan yang penantian aku tak sia-sia,” balas Chinta dengan nada tegas.

“Kau ni memang degil,” komen Marwah dengan riak tidak berpuas hati. Chinta tergelak kecil. Dia memaut lengan gadis yang duduk di sebelahnya itu.

“Aku tau kau marah macam ni sebab sayangkan aku. Aku janji aku akan berhenti bila Adam dah kahwin nanti. Sekarang ni peluang aku masih ada sebab Adam tak kahwin lagi dengan Elis,” balas Chinta dengan senyuman hambar.

“Aku dah hilang kata-kata,” kata Marwah yang jelas putus asa dengan sikap gadis itu.

“Kau kena sokong aku. Kau aje yang aku ada tau,” pinta Chinta separuh merayu.

“Ishh, dia ni,” balas Marwah sambil menghadiahkan jelingan tajam pada gadis itu. Chinta hanya tergelak besar.

                                 *****

“Sejak dari awal lagi, saya dah kata yang saya tak kisah berkongsi kasih. Saya tahu yang saya tak boleh pentingkan diri sebab saya takut kehilangan Adam. Hidup saya tak lengkap tanpa Adam,” kata Bella dengan tegas sambil memandang tepat wajah gadis itu.

“So, sekarang ni awak nak salahkan saya?” soal Delisya dengan kening terangkat. Dia jelas dapat merasakan kemarahan gadis itu.

“Bukan tu maksud saya. Saya nak awak tahu yang saya sayangkan Adam sama seperti awak sayangkan Adam,” balas Bella dengan wajah serius. Delisya menarik nafas dalam.

“Dulu masa Chin kata pasal nak bermadu, memang saya fikir dua kali juga. Kita semua perempuan. Berkongsi kasih ni bukan sesuatu yang mudah untuk kita. Tapi bila tengok Bella dan Chinta yang ikhlas dan bersungguh buat saya nekad nak jadi isteri Adam. Dalam hal ni, kita tak boleh buat keputusan sesuka hati. Adam lah yang akan buat keputusan untuk kita. Apa pun keputusan Adam selepas ni, saya harap tak keruhkan hubungan kita bertiga. Saya sayangkan awak dan Chinta,” kata Delisya dengan senyuman hambar.

“Maaf lah kalau saya dah buat awak kecil hati. Saya tertekan bila dengar keputusan Adam. Tempoh setahun tu lama Elis,” balas Bella sambil mengeluh perlahan. Delisya mengangguk faham.

“Awak kata dah jumpa Adam. Adam kata apa?” tanyanya ingin tahu.

“Adam suka main tarik tali. Sekarang ni saya cuma berharap Adam tak kecewakan saya,” jawab Bella perlahan. Dia tidak akan meletakkan harapan yang tinggi kerana takut kecewa lagi. Delisya mengangguk lagi. Dia hilang kata-kata untuk membalas. Perasaan bersalah masih belum hilang lagi. Jika dia mengulas lebih lanjut pasti ada hati yang terguris nanti. Dia cuba mengelak semampu yang boleh.

                                   *****

“Hai,” sapa Adam dengan senyuman manis. Terkedu Chinta melihat senyuman lelaki itu.

“Awak salah orang ke?” soalnya separuh memerli. Adam menggaru kepalanya yang tidak gatal.

“Saya ganggu awak?” soalnya pula serba salah. Chinta tersenyum hambar.

“Tak lah. Saya cuma terkejut sebab awak tiba-tiba datang rumah saya ni. Selalunya saya yang lawat awak,” balasnya.

“Nampak sangat saya ni jahat kan?” soal Adam dengan perasaan bersalah.

“Tahu pun. Saya dengar awak selalu datang lawat rumah Bella dan Elis. Kenapa tak datang rumah saya?” soal Chinta sengaja ingin membuat Adam rasa serba salah.

Padan muka. Sekali sekali kena kan dia best juga.

Chinta menahan tawanya.

“Sebab mak dan ayah awak kat Sabah. Takkan lah saya nak masuk rumah anak dara pula,” balas Adam dengan senyuman. Chinta tergelak kecil.

“Nasib baik alasan tu munasabah. So, awak datang ni sebab nak lamar saya ke?” soalnya separuh mengusik.

“Awak nak terima saya?” soal Adam semula dengan tenang. Chinta pula yang terkejut mendengar soalan lelaki itu.

“Saya akan cuba jadi suami yang terbaik untuk awak. Tapi awak kena lah tolong saya untuk jadi suami idaman awak,” sambung Adam masih tenang membalas pandangan terkejut gadis itu.

“Maksud awak…,” soal Chinta dengan perasaan berdebar.

“Saya dah fikir semula. Baik buruknya saya dah pertimbangkan. Cuma saya perlukan sokongan daripada awak, Bella dan Elis,” balas Adam dengan senyuman. Perlahan senyuman terukir di bibir Chinta. Dia tidak tahu harus menunjukkan reaksi apa. Sudah tentu dia gembira namun mengapa tiba-tiba ada perasaan takut pula?

“Awak tak jawab soalan saya lagi,” kata Adam apabila melihat gadis itu membisu agak lama.

“Siapa yang tak nak jadi isteri awak, Adam,” balas Chinta dengan senyuman lebar. Adam turut tersenyum sambil menarik nafas lega.

Alhamdulillah.


Previous: Bab 23
Next: Bab 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.