Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKU TANPAMU
Bab 4


“Papa kahwinkan kamu dengan Samuel sebab nak kembangkan syarikat papa. Tengok apa Elis dah buat? Samuel tu bukan setakat bijak berniaga. Ada rupa dan baik hati. Apa lagi yang Elis nak?” soal Datuk Taufiq dengan nada marah. Delisya mendengus perlahan. Dia menjeling Samuel yang duduk tenang di atas sofa tidak jauh darinya.

“Dia sendiri yang ceraikan Elis. Bukannya Elis yang minta cerai,” jawabnya selamba.

Terangkat kening Samuel memandang wanita itu.

“Sebab kamu ugut Samuel! Apa nak jadi dengan kamu ni Elis? Kalau mama kamu masih ada, dia pasti kecewa dengan sikap kamu,” balas Datuk Taufiq dengan perasaan sebak sebelum berlalu naik ke tingkat atas. Dia sangat kecewa dengan sikap anak perempuannya itu.

“Kau memang pelakon yang hebat Samuel. Kau jangan harap aku akan rujuk dengan kau semula! Mati hidup kembali pun aku tak nak lah dengan jantan tak guna macam kau!” kutuk Delisya dengan nada keras. Samuel tersenyum sinis.

“Hei perempuan! Kau ingat aku kahwin dengan kau sebab cinta? Perempuan hodoh macam kau ni tak berlaki lah kalau aku tak ada kat dunia ni. Lagi satu, kau jangan mimpi aku akan rujuk dengan kau semula. Kalau kau nak tahu, hari paling bahagia aku adalah hari dimana aku ceraikan kau. Sekarang ni aku bebas dan syarikat papa kau pun akan jadi milik aku,” balasnya sambil tergelak kecil. Delisya menggigit bibir geram.

“Ahh! Aku hampir lupa. Kau dengar ek, kau tu bukan isteri aku lagi. So, kau jangan pandai-pandai nak serang girlfriend aku. Nasib baik aku tak ada tau malam tu. Kalau tak, kau dah jadi mayat!” kata Samuel dengan nada keras sebelum bangun lantas beredar keluar dari banglo mewah milik Datuk Taufiq. Delisya melemparkan bantal sofa yang dipegangnya ke lantai lalu memijaknya dengan sekuat hati.

“Jantan tak guna!” kutuknya sambil memijak-mijak bantal sofa tersebut. Penat dengan tindakannya, Delisya duduk semula di atas sofa.

Kau tunggu Sam. Kau ingat aku Delisya yang dulu? Kau jangan harap kau boleh senyum lebar lepas ni!

Bisik hatinya penuh dendam.

                                  *****

“Hai,” ucap Chinta kepada doktor yang sedang berdiri di hadapan kaunter. Dia masih ingat yang doktor di hadapannya itu ada datang minggu lepas di sekolahnya. Namun dia sudah lupa siapa nama doktor tersebut.

“Hai,” balas Ekram.

“Awak kenal doktor Adam?” soal Chinta dengan senyuman manis. Agak lama Ekram memandang gadis itu sebelum tersenyum.

“Chinta?” soalnya separuh meneka. Chinta mengangguk pantas.

“Macam mana awak kenal saya?” soalnya ingin tahu.

“Minggu lepas kan saya ada datang kat sekolah awak,” jawab Ekram sambil tergelak kecil. Chinta ikut tergelak.

“Sorry. Sebenarnya saya memang ada nampak awak hari tu. Cuma tak ingat nama awak,” katanya agak rasa bersalah.

“Saya Ekram. Tadi tanya pasal doktor Adam kan?” soal Ekram semula. Chinta mengangguk lagi.

“Adam tak ada hari ni. Dia cuti,” beritahu Ekram.

“Oh ya ke,” balas Chinta agak kecewa.

“Boleh saya dapatkan nombor Adam?” soalnya kembali separuh meminta. Ekram terdiam sejenak memikirkan permintaan gadis itu. Melihat riak wajah gadis itu yang penuh mengharap tidak pula sampai hatinya untuk menolak.

“Boleh,” balasnya dengan senyuman. Chinta tersenyum lebar.

Yes!

                                   *****

Bella merenung satu persatu fotonya bersama Khairul. Dia mengeluh perlahan.

Sampai hati kau Khai. Sampai hati kau tipu aku. Kenapa? Kenapa mesti Lara?

Bella meraup wajahnya perlahan.

Lara. Kenapa korang buat aku macam ni?

Bella mengesat air matanya.

Telefon bimbitnya berdering.

My love? Pergi mampus!

Bella membiarkan deringan tersebut. Hampir setiap jam telefonnya berdering tanpa henti namun dia langsung tidak mahu menjawabnya. Hatinya hancur luluh apabila terbayang semula bagaimana lelaki itu memeluk erat Lara Arissa yang juga sahabat yang paling rapat dengannya.

Aku tahu. Aku, dia dan Lara kawan. Tapi dengan aku yang bergelar tunangannya pun dia tak peluk macam tu. Tak pelik ke kalau dengan kawan sendiri berpelukan mesra macam tu? Tempat awam pula tu!

Bella menarik nafas dalam cuba menenangkan dirinya.

Kawan tak guna! Sanggup korang tikam aku dari belakang. Depan bukan main lagi. Entah-entah kat belakang aku dah tidur sekatil!

Bella mengenggam penumbuknya.

Kalau lah membunuh tu bukan satu kesalahan. Dah lama aku kerat dua orang manusia penipu tu! Dasar tak guna!

“Bella,” ketukan di pintu bilik agak mengganggunya.

“Ya papa,” balasnya sambil berdiri menuju ke pintu biliknya. Dia membuka pintu.

“Kenapa tak angkat telefon tu? Khai ada kat bawah,” beritahu Datuk Ridhuan sambil menyentuh dahi gadis itu.

“I’m okay,” balas Bella dengan senyuman.

“Alhamdullillah. Turun lah. Khai kata Bella langsung tak angkat telefon tu bila dia call,” kata Datuk Ridhuan dengan kening berkerut.

“Kejap lagi Bella turun,” balas Bella sambil menutup kembali pintu biliknya. Datuk Ridhuan hanya menggeleng sebelum turun semula ke tingkat bawah. Bella yang sedang bersandar di pintu biliknya tersenyum sinis.

Kau nak jumpa sangat kan? Kau tunggu aku.

Bisik hatinya sambil berlalu mengambil kardigannya.

                                  *****

“Bella tak sihat lagi? Khai call banyak kali tapi Bella tak angkat. Sejak kebelakangan ni susah sangat nak dengar suara Bella. Khai ajak jumpa pun tak nak. Kalau Bella rasa tak si…”

“Sakit telinga ni dengar awak membebel. Saya sihat walafiat lagi bukannya dah nak mati,” pintas Bella dengan nada keras. Khairul terkedu. Sejak gadis itu kemalangan dia dapat merasai perubahan yang ketara pada diri Bella. Bella bukan sahaja memintanya untuk menangguhkan tarikh perkahwinan mereka. Malah gadis itu turut mengelak untuk bertemu dengannya.

“Khai ada buat salah ke?” soalnya perlahan dengan nada sayu.

“Awak rasa?” soal Bella tajam memandang lelaki itu. Khairul berdebar. Bella menarik nafas dalam.

Bella sabar. Belum tiba masanya.

“Balik lah Khai. Saya akan call awak bila saya dah okay. Emosi saya tak berapa baik sejak kemalangan. Saya harap awak faham,” sambungnya sebelum mengorak langkah masuk semula ke dalam rumah. Dia kalau boleh hendak hadiahkan lelaki itu sebiji penumbuknya. Namun dia sedar itu hanya akan melukakan fizikal Khairul dan bukannya hati lelaki itu.

Kau tunggu Khai!

Bisik Bella penuh dendam.

Khairul mengeluh perlahan sebelum turut berlalu ke keretanya.

                                   *****

“Kau ingat tak dengan cikgu lawa dekat sekolah yang kita lawat baru-baru ni? Alah cikgu yang rambut sanggul tinggi tu. Aku ada nampak kau borak dengan dia juga hari tu. Masa kau cuti, cikgu tu datang sini nak jumpa kau. Tapi kau cuti pula. So, dia just minta nombor kau,” beritahu Ekram sambil menikmati nasi goreng ikan masinnya. Adam tidak jadi mengangkat sudunya apabila mendengar kata-kata sahabatnya itu.

“Cikgu Chinta ke?” soalnya agak berdebar. Ekram memandang lelaki itu sekilas.

“Aku lupa pula namanya. Kau kenal ke dengan cikgu tu?” soalnya mula teruja. Dia meletakkan sudu sambil memandang tepat ke arah lelaki itu. Adam membetulkan cermin matanya sambil cuba tersenyum.

“Aku…, tak kenal,” jawabnya dengan suara tersekat. Ekram tergelak kecil.

“Aku bukan baru kenal kau. Siapa cikgu lawa tu? Kau jangan kata cikgu tu antara watak yang kau ceritakan kat aku,” tanyanya separuh meneka. Adam mengangguk perlahan.

Oh my,” balas Ekram dengan suara yang agak kuat kerana terkejut.

“Adam,” panggil satu suara. Adam dan Ekram serentak menoleh. Farah tersenyum berjalan menghampiri mereka.

“Ada orang nak jumpa kau. Aku suruh dia tunggu kat bilik kau. Sorry,” beritahu Farah sambil tersengih. Dia mengambil tempat di sebelah Ekram.

“Siapa?” tanya Ekram ingin tahu. Farah mengangkat bahu sambil mencapai sudu dan merasa makanan lelaki itu.

“Eh minah ni. Pergi lah order,” bulat mata Ekram memandang gadis itu. Farah tersengih.

“Sedap,” katanya sambil memandang Adam yang masih duduk di kerusinya tanpa berkata apa-apa.

“Dam, kau dengar ke tak ni?” soalnya sambil menepuk meja.

“De…dengar. Aku…,pergi sekarang,” jawab Adam agak gelabah. Dia bangun dan terus berlalu. Farah menarik pinggan Adam yang masih tidak terusik nasinya.

“Siapa yang nak jumpa Adam? Perempuan ke lelaki?” soal Ekram bertalu.

“Perempuan,” jawab Farah ringkas.

“Aku rasa dah tiba masanya Adam fikirkan masa depannya. Dia perlu teruskan hidup dan terima hakikat,” sambung Farah perlahan. Ekram mengangguk setuju dengan gadis itu.

                                  *****

Bella memandang langit yang gelap. Dia mengeluh perlahan. Inikah balasan yang dia terima selepas susah senang bersama Khairul? Luka hatinya tidak lah sedalam mana jika perempuan yang menjadi pasangan Khairul itu bukan Lara. Lara? Lara itu kawan baiknya. Mengapa harus perempuan itu? Bella tunduk meraup wajahnya. Air matanya menitis perlahan. Hatinya benar-benar sakit dengan perbuatan kedua-dua orang yang dia sangat percaya itu. Kepalanya seperti baru sahaja dihempas dengan batu. Selama ini rupanya dia tertipu dengan lakonan Khairul dan Lara. Mengapa dia tidak pernah sedar? Sepatutnya dia mula rasa sangsi apabila Lara ditimpa masalah, Khairul adalah orang yang paling resah melebihi dirinya. Dia masih ingat apabila kereta Lara rosak, Khairul sanggup menjadi pemandu tidak berbayar Lara. Khairul sanggup menunggu Lara hingga lewat malam jika gadis itu ada kerja luar. Bella menggeleng perlahan. Dia memang bodoh. Kerana terlalu percayakan Khairul akhirnya dia kehilangan lelaki itu pada rakan baiknya sendiri.

“Aku janji Khai. Kau akan rasa apa yang aku rasa sekarang ni. Tak adil jika aku aje yang rasa sakit. Kau dan Lara tunggu apa aku akan buat,” kata Bella penuh dendam. Dia tidak akan biarkan kedua-dua manusia itu hidup bahagia.


Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.