Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKU TANPAMU
Bab 33


Chinta hanya memandang Adam yang sedang menyediakan sarapan pagi untuknya.

“Saya masih boleh bergerak,” katanya perlahan. Adam hanya tersenyum mendengar kata-kata isterinya itu.

“Tak apa, hari ni abang memang nak masak untuk isteri abang,” balasnya sambil mengucup dahi wanita itu. Chinta hanya tersenyum hambar. Adam menarik kerusi di sebelah wanita itu.

“Maafkan abang. Abang tahu sayang masih terasa dengan sikap abang,” ucapnya dengan perasaan bersalah. Walaupun Chinta telah memaafkan dirinya, namun tingkah laku wanita itu masih agak kekok melayannya. Chinta hanya tersenyum nipis.

“Abang tak kerja hari ni?” soalnya sambil mencapai sudu.

“Abang cuti. Nak habiskan masa dengan sayang,” jawab Adam dengan senyuman.

“Tapi hari ni abang sepatutnya balik rumah Bella,” Chinta mengingatkan.

“Sorry, abang lupa. Tak apa, malam ni abang pergi sana. Hari ni sayang nak pergi mana-mana tak?” soal Adam dengan riak wajah yang teruja. Chinta menggelengkan kepalanya.

“Saya nak rehat kat rumah,” balasnya dengan senyuman hambar. Adam mengangguk lambat. Walaupun agak kecewa dengan jawapan isterinya itu namun dia akur.

“Abang, lepas ni kalau Chinta buat abang sakit hati lagi, abang nak buat apa?” soal Chinta sambil memandang wajah suaminya itu dengan tenang. Adam terkedu sejenak.

“Abang akan tinggalkan Chinta?” soal Chinta semula.

“Sayang…,”

“Maafkan Chinta,” ucap Chinta pula. Dia mula rasa bersalah kerana bertanya soalan tersebut.

“Walauapapun akan terjadi, abang tak akan pernah tinggalkan isteri abang,” balas Adam dengan nada tegas. Chinta tersenyum mendengar kata-kata suaminya itu. Dia lega namun masih ada sedikit kerisauan. Chinta risau memikirkan hari mendatang yang masih tidak pasti.

                                 *****

“Adam tahu ke kau kat sini?” soal Marwah sambil menarik kerusi di hadapan temannya itu. Chinta hanya mengangguk tanpa memandang wajah gadis itu. Dia leka memandang langit gelap yang dihiasi jutaan bintang.

“Adam tu sayang sangat kat kau. Tapi jujur aku tak suka cara dia merajuk dengan kau. Susah sangat nak bawa bincang,” komen Marwah jujur. Chinta diam tidak membalas.

“Aku risaukan kau. Kau tu mengandung. Lepas ni kalau Adam buat hal lagi, kau tentu tertekan,” sambung Marwah lagi.

“Kau jangan risau. Adam tak akan buat perangai lagi. Lagipun aku yang salah. Sepatutnya aku tak jumpa Naz hari tu. Aku dah janji pada Adam. Tapi aku sendiri bodoh tak nak ikut,” jawab Chinta dengan nada perlahan. Marwah menggelengkan kepalanya.

“Sebut pasal Nazri. Aku ada jumpa dia baru-baru ni. Aku tak tahu lah. Susah sangat aku nak terima lelaki tu semula. Macam mana kau boleh terima dia dengan mudah?” soalnya dengan kening berkerut.

“Dia manusia biasa, Wa. Aku boleh maafkan dia. Tapi tak bermaksud aku boleh terima dia seperti dulu. Kau jangan benci sangat kat Naz tu. Nanti tak pasal kau kahwin dengan dia,” balas Chinta separuh bergurau.

“Yarkk! Tak ingin aku,” kata Marwah sambil membuat aksi seperti hendak muntah. Chinta tergelak kecil.

“Kau ni jahat lah,” kutuknya.

“Tahu tak apa,” jawab Marwah sambil ikut tergelak. Dalam diam dia lega melihat Chinta yang sudah mula tersenyum semula. Dia doakan selepas ini sahabatnya itu tidak menempuh lagi mimpi ngeri tersebut.

                                 *****

“Siapa yang beri?” soal Datuk Ridhuan apabila melihat sejambak bunga yang berada di tangan Bella. Bella diam tidak menjawab.

“Adam dah balik dari Langkawi?” soal Datuk Ridhuan lagi. Setahunya Adam ada lawatan di Langkawi selama seminggu. Melihat wanita itu membisu, Datuk Ridhuan menarik kad yang terselit di celah bunga ros berwarna merah garang itu. Setelah membaca isi kandungan kad tersebut, Datuk Ridhuan menarik jambangan bunga tersebut lalu melemparkannya ke atas lantai.

“Khairul?!” soalnya dengan nada keras.

“Papa kena dengar dulu cakap Bella. Khai…,”

“Kenapa Bella masih nak lelaki tu? Adam tu dah cukup baik untuk Bella,” pintas Datuk Ridhuan dengan riak wajah yang jelas kecewa.

“Papa jangan salah faham. Bella tak pernah terfikir nak kembali pada Khai. Khai tu memang buat perangai sejak akhir-akhir ni. Dia selalu kacau Bella,” beritahu Bella dengan kening berkerut.

“Kacau Bella? Kenapa nak kacau isteri orang pula? Sejak bila? Adam tahu tak?” soal Datuk Ridhuan bertalu. Bella menggeleng lambat. Datuk Ridhuan mendengus geram. Dia mencapai kunci kereta yang berada di atas meja kecil bersebelahan dengan sofa.

“Papa nak pergi mana?” soal Bella.

“Papa nak jumpa sendiri dengan Khairul,” katanya.

“Papa, kali ni biar Bella selesaikan sendiri masalah ni dengan Khai. Bella bercadang nak bawa Adam jumpa Khai. Bella tak nak Adam salah faham,” larang Bella.

“Kamu yakin?” soal Datuk Ridhuan agak ragu-ragu. Bella mengangguk yakin.

“Bella bukan saja nak jaga hati Adam. Khai tu dah ada anak. Khai ada isteri. Bella tak nak disebabkan perangai gila Khai, anak dan isterinya tu kehilangan orang tersayang,” balasnya perlahan. Datuk Ridhuan mengeluh. Dia menepuk lembut bahu anaknya itu.

                                 *****

Adam mendail nombor Chinta. Lama menunggu akhirnya panggilannya bersambut.

“Dah tidur?” soalnya dengan senyuman. Terubat rindunya mendengar suara wanita itu.

“Tengah baca buku. Abang tak tidur lagi?” soal Chinta.

“Tak dapat tidur. Risaukan isteri abang kat sana,” balas Adam dengan senyuman.

“Tak payah lah abang risau. Saya boleh jaga diri,” balas Chinta ikut tersenyum.

“Sayang masih marahkan abang?” soal Adam dengan nada perlahan. Chinta terdiam mendengar soalan lelaki itu.

“Sayang…,” panggil Adam lembut.

“Tak marah, cuma rindu,” balas Chinta. Adam tersenyum lebar.

“Tak sabar abang nak balik esok,” katanya dengan nada riang. Chinta tergelak kecil.

“Mengadah. Abang jangan lupa pula, esok malam kena pergi rumah Elis,” balasnya separuh mengingatkan.

“Abang ingat lah. Isteri-isteri abang ni selalu ingatkan abang. Abang masih muda tau,” kata Adam separuh bergurau. Chinta tergelak besar.

“Abang kena bersyukur dapat isteri yang baik hati,” balas Chinta sebelum tergelak semula. Adam tersenyum mendengar kata-kata isterinya itu.

“Abang tidur lah. Esok nak bangun awal. Selamat malam,” ucap Chinta.

“Awal lagi ni. Sayang nak larikan diri daripada abang lah tu. Nasib baik jauh,” balas Adam dengan senyuman nakal.

“Selamat malam,” ucap Chinta sambil tergelak kecil.

“Selamat malam, sayang,” balas Adam dengan senyuman.

                                   *****

“Chinta mengandung?” soal Datin Syahida dengan riak wajah yang terkejut. Delisya tergelak kecil.

“Kenapa aunty terkejut sangat ni?” soalnya masih dengan senyuman.

“Tak lah. Aunty tumpang gembira. Elis pula bila? Takkan masih nak merancang?” soal Datin Syahida dengan kening berkerut.

“Belum ada rezeki aunty. Nampaknya rezeki Chinta datang dulu,” jawab Delisya dengan senyuman.

“Tak apa. Aunty doakan lepas ni giliran Elis pula,” balas Datin Syahida.

“Oh ya, semalam Samuel ada datang butik aunty. Dia datang tanya khabar. Aunty tengok dia dah berubah. Kelihatan lebih baik dari sebelum ni,” beritahunya dengan senyuman. Delisya hanya tersenyum mendengar kata-kata wanita itu.

“Aunty nasihatkan dia supaya mulakan hidup baru,” sambung Datin Syahida lagi.

“Elis pun doakan yang terbaik untuk dia,” balas Delisya dengan senyuman.

“Aunty tahu bukan mudah untuk Elis maafkan Samuel. Kalau aunty di tempat Elis, nak pandang semula wajah Samuel pun aunty tak sanggup. Tapi Elis kuat dan baik hati,” kata Datin Syahida sambil menyentuh lembut bahu wanita itu.

“Memang tak mudah aunty. Tapi Elis belajar untuk memaafkan,” balas Delisya. Memang saat melihat perbuatan terkutuk Samuel semasa mereka masih bergelar suami isteri membuat dia hampir lupa diri. Mahu sahaja dia membunuh Samuel pada masa itu. Namun nasib baik kesabaran yang hanya tinggal sedikit mampu mengawal akal fikirannya. Dia akur jodohnya dengan Samuel hanya setakat itu.

                                   *****

Bella hanya memandang wajahnya pada pantulan cermin meja solek. Kelihatan Adam baru keluar dari bilik air. Dia tersenyum memandang isterinya itu.

“Tak tidur lagi?” soal Adam sambil mengucup ubun kepala wanita itu.

“Bella nak cakap sikit dengan abang,” balas Bella dengan senyuman hambar. Adam yang sedang memakai baju berpaling semula memandang wanita itu.

“Pasal apa?” soalnya kini menarik kerusi di hadapan isterinya itu.

“Bella nak ajak abang jumpa Khairul,” balas Bella dengan perasaan berdebar. Riak wajah Adam jelas berubah saat mendengar nama lelaki itu.

“Khairul?” soalnya inginkan kepastian. Bella mengangguk perlahan.

“Kenapa? Ada yang abang tak tahu?” soal Adam kini dengan wajah tenang.

“Khai…,” Bella mengeluh perlahan. Adam menarik jemari wanita itu.

“Sayang,” panggilnya lembut.

“Sejak akhir-akhir ni Khai selalu call Bella. Dia ajak keluar,” beritahu Bella sambil menundukkan kepala. Dia takut melihat reaksi suaminya itu. Adam terdiam sejenak.

“Sejak bila?” soalnya dengan nada mendatar.

“Dua minggu yang lalu,” jawab Bella masih tunduk. Adam menarik nafas panjang.

“Sayang, pandang abang,” katanya separuh mengarah. Bella mengangkat wajahnya membalas pandangan lelaki itu.

“Bella minta maaf. Bella memang nak beritahu abang. Tapi Bella tak dapat cari masa yang sesuai. Lagipun masa tu abang masih ada masalah dengan Chinta. Bella tak nak tambah kerisauan abang,” balas Bella.

“Tak apa. Lain kali Bella kena beritahu abang. Ingat, masalah Bella sudah semestinya jadi masalah abang. Biar abang sendiri jumpa Khai. Abang tak izinkan isteri abang jumpa lelaki tu lagi,” kata Adam dalam nada tegas. Bella mengangguk perlahan.

“Abang minta maaf,” sambung Adam.

“Bukan salah abang,” balas Bella dengan kening berkerut. Adam tersenyum hambar.

“Abang tak peka dengan keadaan isteri abang. Mesti Bella risau abang salah faham,” katanya separuh meneka. Bella mengangguk pantas.

“Bella takut kalau abang tiba-tiba tinggalkan Bella,” balasnya jujur. Adam tersenyum sambil menarik wanita itu ke dalam pelukannya.

“Tak sayang. Kecuali Allah nak ambil abang semula,” balasnya. Bella tersenyum sambil menarik nafas lega.

                                   *****

“Elis, papa dengar Chinta dah mengandung?” soal Datuk Taufiq sambil memandang tepat ke arah Delisya yang duduk di hadapannya.

“Betul papa,” balas Delisya dengan senyuman.

“Elis okay?” soal Datuk Taufiq agak risau. Walaupun Delisya tidak banyak bercakap mengenai zuriat namun dia faham perasaan wanita itu. Siapa yang tidak mahu ada zuriat sendiri.

“I’m okay. Elis tak ada rezeki lagi. Lambat lagi papa nak dapat cucu,” balas Delisya separuh bergurau. Dia hanya manusia biasa. Tidak dinafikan perasaan irinya apabila tahu Chinta mengandung anak Adam. Namun siapa dia hendak melawan takdir Allah.

“Tak apa. Papa okay. Belum ada rezeki Elis. Insya Allah, rezeki akan tetap ada,” kata Datuk Taufiq separuh memujuk. Delisya mengangguk tersenyum.

“Mak mentua kamu dah tahu?” soal Datuk Taufiq lagi.

“Mereka dah tahu. Mama gembira sangat,” jawab Delisya perlahan.

“Macam mana butik Elis kat Melaka?” tanya Datuk Taufiq lagi sengaja mengubah topik apabila perasan riak wajah Delisya yang mula berubah.

“Setakat ni tak ada masalah. Elis harap tahun depan dapat buka outlet baru,” jawab Delisya dengan senyuman lebar. Datuk Taufiq mengangguk. Dia agak lega melihat semula senyuman pada wajah anaknya itu. Memang dia tidak nafikan kebolehan anaknya itu dalam dunia perniagaan. Kalau sebelum ini dia agak ragu-ragu sehingga membuat keputusan terburu-buru untuk menyatukan wanita itu dengan Samuel, kini dia mula yakin yang Delisya boleh pergi jauh dengan kerjayanya.

                                 *****

Chinta mencapai telefon bimbitnya yang berdering. Terpampang nama Nazri pada skrin telefonnya. Dadanya berdebar. Apatah lagi pandangannya bertembung dengan Adam yang sedang duduk di birai katil.

“Siapa?” soal Adam sambil mula menutup buku di tangannya. Chinta menekan punat merah.

“Tak penting,” balas Chinta sambil tersenyum.

“Come here, sayang,” panggil Adam lembut. Chinta bangun dari kerusi. Langkahnya terhenti apabila telefonnya berdering semula. Dia melihat nama pemanggil. Chinta memandang Adam yang masih memandangnya.

“Sekejap,” katanya sebelum menekan punat hijau. Dia melangkah perlahan keluar ke beranda.

“Maaf ganggu. Naufal tiba-tiba buat hal nak cakap dengan awak,” kata Nazri dengan perasaan bersalah. Chinta menarik nafas panjang.

“Okay tapi tak boleh lama,” balasnya.

“Sorry Chin,” ucap Nazri lagi. Dia menghulurkan telefon bimbitnya pada Naufal yang sedang mengesat air matanya.

“Mama.” Kedengaran suara serak Naufal.

“Kenapa ni?” soal Chinta dengan kening berkerut.

“Boleh tak esok Naufal jumpa mama? Nak jumpa mama dan mama Bella sekali. Please,” pinta Naufal separuh merayu. Chinta tersenyum lebar.

“Boleh sayang. Kenapa menangis? Kalau Naufal nangis, mama tak nak jumpa Naufal,” balasnya separuh mengusik.

“Okay, Naufal janji tak nangis lagi. Papa tu tak nak bawa Naufal keluar. Asyik sibuk aje,” rungut Naufal tanpa mempedulikan Nazri yang sedang duduk di sisinya. Chinta tergelak kecil.

“Tak apa, esok mama bawa Naufal keluar. Naufal pergi tidur. Dah lewat ni. Selamat malam sayang,” ucap Chinta.

“Selamat malam mama,” ucap Naufal sebelum menghulurkan telefon tersebut kepada Nazri semula.

“Sampai hati kutuk papa,” rungut Nazri. Naufal hanya tergelak sambil memeluknya.

“Sorry, Chin. Thank you,” ucap Nazri.

“Tak apa. Nampaknya awak kena cepat cari pengganti Naz. Kasihan Naufal,” balas Chinta separuh menasihati. Nazri hanya tergelak kecil.

“Good night,” ucapnya sebelum menekan punat merah. Chinta mengeluh perlahan.

“Nazri?” soal Adam separuh berbisik di telinganya. Chinta kaku sejenak. Perlahan dia berpaling memandang suaminya. Dia agak lega apabila melihat wajah tenang Adam. Chinta mengangguk. Adam tersenyum sambil menarik wanita itu dalam pelukannya. Chinta agak resah apabila lelaki itu hanya diam tanpa bertanya lagi.

“Jom masuk. Sejuk kat luar ni,” ajak Adam sambil menarik lembut lengan isterinya itu. Chinta mengikut dengan perasaan tidak sedap hati.


Previous: Bab 32
Next: Bab 34

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.