Adam mengeluh perlahan. Apa yang berlaku sejak kebelakangan ini benar-benar membuatnya tertekan. Semuanya bermula sejak kehadiran ketiga-tiga orang gadis itu.
“Dam, tak balik lagi?” soal Ekram yang sedang berdiri di muka pintu.
“Kau balik lah dulu. Kejap lagi aku gerak,” balas Adam tanpa memandang rakannya itu. Ekram menggeleng perlahan sebelum melangkah masuk.
“Bella ada kat bawah. Saya terserempak dengan dia tadi. Katanya nak jumpa kau,” beritahunya dengan hati-hati. Adam mengeluh lagi. Ekram simpati melihat wajah tidak bermaya rakannya itu.
“Aku dah terlanjur beritahu kau kat sini. Sorry,” ucapnya dengan perasaan bersalah.
“Tak apa Ram. Aku pun memang nak jumpa dia. Kejap lagi aku turun,” balas Adam kini memandang Ekram dengan senyuman hambar. Ekram mengangguk perlahan.
“Kalau macam tu aku balik dulu,” katanya sebelum berlalu. Adam hanya memandang langkah lelaki itu berlalu tanpa berkata apa-apa. Tanpa sedar dia mengeluh lagi.
*****
Delisya melangkah perlahan ke beranda biliknya. Angin malam menyapa wajahnya. Dia memandang telefon bimbit di tangannya.
Nak call ke tak?
Dia mengeluh. Perasaan bersalah pada lelaki itu masih menebal. Malu dia mahu bertentang mata dengan Adam. Namun dia juga tidak mampu menolak bila hatinya mula meronta untuk memiliki lelaki itu. Perasaan yang pada mulanya hanya rekaan kini memakan diri. Dia mula rindukan Adam.
“Aku tak tahu apa hubungan korang berdua dengan Adam. Tapi satu aje aku nak beritahu. Aku nak Adam,” kata Bella dengan nada tegas.
“Adam tu bukan benda,” celah Chinta dengan sinis.
Delisya mengeluh lagi apabila teringat semula perbualannya dengan Bella dan Chinta pada malam itu. Jika kedua-dua gadis itu tidak mahu mengalah, dia juga tidak akan sesekali berputus asa. Apa pun yang akan terjadi dia tetap akan cari cara untuk menjadi isteri lelaki itu. Dia sudah tidak kisah apa yang akan berlaku.
*****
Bella menghidangkan makanan di hadapan lelaki itu. Adam hanya memandang tanpa berkata apa-apa.
“Saya tak tahu awak suka makan apa. Makanan depan awak ni antara makanan yang paling orang suka kat cafe saya ni. Saya jamin awak pun mesti suka,” beritahu Bella dengan senyuman lebar. Adam hanya mengangguk sambil mula mencapai sudu. Dia sememangnya tidak menolak apabila gadis itu mengajaknya makan kerana perutnya memang kosong sejak awal pagi lagi.
“Awak tak makan?” soalnya apabila melihat gadis itu hanya memandangnya tanpa menjamah makanan. Bella menggeleng dengan senyuman.
“Saya masih kenyang. Tengok awak makan pun saya dah kenyang,” balasnya separuh bergurau. Adam tersenyum hambar mendengar gurauan gadis itu.
“Adam, mak awak baik. Awak rasa saya boleh jadi menantu yang baik tak?” soal Bella kini dengan wajah serius. Hampir tersedak Adam dibuatnya. Bella pantas menghulurkan gelas yang berisi air kepada lelaki itu.
“Sorry,” ucapnya dengan perasaan bersalah. Adam menggeleng perlahan sambil menyambut gelas yang dihulurkan oleh gadis itu.
“Sebenarnya sejak malam tu, saya rasa tak tenang. Walaupun saya tahu yang saya cuma pergunakan awak, tapi saya benar-benar tak suka dengan kehadiran Chinta dan Elis. Apatah lagi bila tahu tujuan mereka nak kawan dengan awak. Saya nak awak jumpa papa saya. Please,” pinta Bella separuh merayu. Adam bersandar pada kerusi. Seleranya hilang serta merta. Bella agak berdebar melihat wajah serius lelaki itu.
“Bila awak nak saya datang?” soal Adam tanpa senyuman. Bella terkedu.
“Awak serius?” soalnya masih kurang percaya dengan apa yang didengarinya dari mulut lelaki itu.
“So, awak nak saya buat apa?” soal Adam lagi dengan kening berkerut.
“Okay, next week saya bawa awak jumpa papa,” balas Bella dengan senyuman lebar. Adam mengeluh dalam diam.
Adam, berani buat berani tanggung!
*****
“Kau nak apa lagi?!” soal Bella dengan nada keras. Geram dia melihat Khairul yang sedang berdiri tegak di hadapan rumahnya dengan muka tidak bersalah.
“Bella, awak tak boleh lari lagi daripada saya. Awak tu milik saya,” balas Khairul dengan kening berkerut. Bella tergelak besar.
“Kau ni tengah mimpi Khairul! Cukup lah kau fitnah aku sekali. Kau buat keluarga aku malu. Lelaki macam kau ni tak layak lah jadi suami seorang perempuan! Kau adalah musuh kaum hawa! Dasar kaki fitnah! Kau berambus dari rumah aku sekarang! Aku semakin lama semakin benci tengok muka kau yang tak guna tu!” kutuk Bella dengan nada keras. Khairul terkedu.
“Kau jangan berani pijak kawasan rumah aku lagi! Ingat tuhan sikit Khairul. Aku tak sangka sebab cinta, kau sanggup fitnah aku. Kau mungkin fikir tak ada lagi lelaki nak aku. Tapi kau silap,” sambung Bella sebelum berlalu pantas meninggalkan lelaki itu. Khairul hanya mampu memandang langkah gadis itu berlalu. Lidahnya kelu untuk menahan Bella.
*****
“So, macam mana?” soal Marwah sambil memandang tepat wajah sahabatnya itu.
“What?” soal Chinta kembali dengan kening berkerut.
“Adam dah setuju nak jadi suami kau. Kau pula dah jumpa bakal mak mentua. Nak tunggu apa lagi?” soal Marwah separuh bergurau. Chinta tergelak kecil.
“So, kau setuju lah aku kahwin dengan Adam?” soalnya kembali dengan senyuman lebar. Marwah mengeluh perlahan.
“Aku cuma risau dengan dua orang perempuan yang kau cerita tu? Kau kata mereka pun nak jadi girlfriend Adam,” balasnya dengan kening terangkat memandang Chinta.
“Aku tak kisah. Apa yang penting sekarang dendam aku dengan lelaki tak guna tu akan terbalas tak lama lagi,” balas Chinta dengan senyuman jahat. Wajah Nazri terbayang di matanya. Marwah menggeleng.
Suka hati kau lah Chinta.
*****
“Papa nak Elis kahwin dengan Adam?” soal Delisya agak terkejut dengan permintaan papanya itu. Datuk Taufiq mengangguk perlahan.
“Why? Kenapa tiba-tiba papa sokong Elis?” soal Delisya dengan kening berkerut. Dia masih ragu-ragu dengan permintaan papanya itu. Seingatnya Datuk Taufiq sangat cerewet orangnya. Kali ini mesti orang tua itu ada sebab lain sehingga mendorongnya untuk menyokong tindakannya.
“Elis dengar cakap papa. Papa tak sihat Elis. Papa tak mungkin ada kat sini untuk jaga Elis. Papa takut kalau papa dah tak ada, Samuel akan buat benda tak elok pada Elis. Adam lelaki baik. Papa…,”
“Wait. Apa maksud papa? Sakit? Sakit apa?” soal Delisya bertalu. Riak wajahnya jelas menunjukkan kebimbangan. Datuk Taufiq mengeluh.
“Papa,” panggil Delisya apabila Datuk Taufiq hanya mendiamkan diri.
“Papa jangan takutkan Elis,” sambungnya kini dengan perasaan sebak.
“Papa pun baru tahu sebulan yang lalu. Elis jangan lah risau. Papa masih ada banyak masa. Papa cuma risau nanti tiada siapa yang nak jaga Elis. Papa percaya Adam boleh jaga Elis lebih baik daripada Samuel,” balas Datuk Taufiq dengan senyuman hambar.
“Adam tahu?” soal Delisya dengan nada perlahan. Datuk Taufiq mengangguk.
“Papa tipu Elis. Papa ingat Elis percaya? Dulu masa papa nak kahwinkan Elis dengan Samuel, papa guna helah yang sama. Papa memang pentingkan diri sendiri!” sambung Delisya dengan nada keras sebelum bangun dari sofa lalu naik ke tingkat atas. Datuk Taufiq terkedu. Dia menyentuh dadanya yang terasa sakit.
Ya Allah, ampunkan lah dosa-dosaku. Lindungi lah anak kesayangan ku ya Allah.
*****
Khairul melangkah perlahan keluar ke beranda biliknya. Udara pagi benar-benar menyegarkannya. Perlahan keluhan berat dilepaskan.
“Kau ni tengah mimpi Khairul! Cukup lah kau fitnah aku sekali. Kau buat keluarga aku malu. Lelaki macam kau ni tak layak lah jadi suami seorang perempuan! Kau adalah musuh kaum hawa! Dasar kaki fitnah! Kau berambus dari rumah aku sekarang! Aku semakin lama semakin benci tengok muka kau yang tak guna tu!”
Khairul meraup wajahnya.
Apa dah jadi dengan aku? Kenapa aku buat Bella macam tu?
“Awak, saya dah merayu kat papa supaya terima awak jadi menantunya. Kalau awak buat hal lepas ni, siap awak.”
Kata-kata Bella masih terngiang-ngiang di telinganya. Itu adalah kata-kata selepas dia bertandang ke rumah Bella untuk menemui Datuk Ridhuan buat pertama kalinya. Pada mulanya memang Datuk Ridhuan tidak menyukainya. Namun apabila Bella memujuknya, akhirnya Datuk Ridhuan setuju dengan syarat dia harus menjaga Bella dengan baik. Khairul mengeluh lagi.
Betul kata Bella. Aku memang bukan lelaki yang baik.
*****
Berkerut kening Lara memandang rakannya itu.
“Apa maksud kau?” soalnya agak berdebar. Rasya tersenyum sinis.
“Kau buat tak tahu atau memang kau tak tahu?” soalnya dengan kening terangkat. Lara berdehem perlahan.
“Siapa beritahu kau?” soalnya dengan riak tidak bersalah. Rasya menggenggam erat penumbuknya.
“Bella. Kau kenal?” beritahunya separuh menyindir. Lara terkedu. Lidahnya kelu untuk membalas.
“Kau memang tak guna Lara! Sanggup kau buat kawan sendiri macam ni. Bella dah lama tau pasal kau dan lelaki tak guna tu! Dengan muka tak malu pula lelaki tu nak balik pada Bella!” marah Rasya dengan nada keras.
“Kau dan lelaki tu memang tak guna! Sanggup fitnah Bella dan malukan keluarganya! Dengar sini Lara, bermula pada hari ni kau tak payah datang jumpa aku dan Bella lagi. Kau tak layak jadi kawan Bella!” sambungnya memberi amaran. Lara menundukkan wajahnya. Air matanya menitis perlahan. Rasya tersenyum sinis.
“Baik kau berambus dari cafe ni sekarang. Aku tak nak Bella nampak muka tak malu kau tu kat sini pula,” katanya separuh menghalau. Lara mengesat air matanya.
“Ras…,”
“Berambus lah!” pintas Rasya sebelum berlalu pantas meninggalkan gadis itu. Lara menggigit bibirnya sebelum beredar perlahan keluar dari cafe.
*****
“Papa percaya lah pada Bella. Tak ada apa yang berlaku antara Bella dan Khai. Bella tak pernah buat perkara terkutuk tu sepanjang Bella bergelar tunang Khai. Bella masih ingat papa. Bella sayang papa. Mana mungkin Bella sanggup malukan papa,” kata Bella dengan perasaan sebak.
“Jadi Bella nak beritahu papa yang Khai dah fitnah Bella?” soal Datuk Ridhuan dengan kening berkerut. Bella mengangguk perlahan.
“Bella ingat papa akan percaya?” soal Datuk Ridhuan semula. Bella tunduk. Dia sudah tahu soalan itu akan keluar dari mulut papanya.
“Papa dah tua Bella. Bila-bila masa papa akan pergi. Tolong jangan buat papa macam ni,” pinta Datuk Ridhuan dengan perasaan sebak.
“Khai ada perempuan lain pa. Khai bercinta dengan kawan baik Bella sendiri. Sebab tu Bella nak putuskan pertunangan dengan Khai. Papa selalu tanya kenapa. Bella tak sanggup pa. Tunang Bella bercinta dengan kawan baik Bella sendiri,” beritahu Bella seiring dengan air matanya. Selama ini dia cuba merahsiakan perbuatan Khairul daripada pengetahuan semua orang. Namun dia sedar, dia tidak lah sekuat seperti apa yang dibayangkan olehnya. Dia perlukan sokongan daripada orang-orang yang masih sayangkan dirinya.
“Bella sayang Khai. Bella sayang kawan Bella. Memang susah nak buat keputusan. Khai memang baik pada Bella. Tapi semuanya tak ada makna bila Bella tahu siapa sebenarnya di hati Khai. Bella dah tawar hati pa. Hati Bella sakit,” sambungnya sambil mengesat air matanya.
“Papa nak jumpa keluarga Khairul. Berani budak tu nak malukan kita!” marah Datuk Ridhuan sambil bangun dari sofa.
“No, pa. Please. Biar Khai mengaku sendiri kesalahannya. Bella nak dengar sendiri dari mulut Khai,” halang Bella.
“Bella, lelaki tak guna tu dah malukan keluarga kita! Dah jatuhkan maruah Bella! Masih nak kasihan dengan budak tu?!” balas Datuk Ridhuan dengan wajah merah padam.
“Papa please,” pinta Bella separuh merayu. Datuk Ridhuan mendengus geram. Dia pantas berlalu keluar dari rumah. Bella tunduk memandang jari jemarinya.
*****
“Kau nak apa lagi?! Kau tak faham bahasa?! Aku dah kata aku tak nak tengok muka tak tahu malu kau tu lagi! Kau faham tak?!” marah Chinta sambil memandang tajam wajah Nazri yang masih setia tersenyum memandangnya.
“Ingat tak dulu kalau awak marah…,”
“Stop it Nazri!” pintas Chinta dengan nada keras.
“Chinta, Naz masih sayangkan Chinta. Naz mengaku salah. Naz redha kalau Chinta tak mampu maafkan Naz. Tapi tolong beri Naz peluang sekali lagi. Naz tak boleh hidup tanpa awak,” balas Nazri separuh merayu. Chinta menggeleng.
“Kalau betul kau sayang aku, kenapa dulu masa kahwin dengan perempuan tu kau tak ingat aku kat sini?! Kau tak ingat aku yang bodoh ni tengah tunggu kau! Nazri, bertahun aku sabar tunggu kau. Kau boleh tak sekali letakkan diri kau kat tempat aku? Apa perasaan aku bila kau kembali sebagai seorang suami kepada wanita lain? Sakit Nazri. Masa yang aku gunakan untuk tunggu kau semuanya sia-sia. Aku menyesal gunakan masa aku untuk lelaki tak tahu menghargai spesies macam kau ni!” kutuk Chinta. Dia berlalu pantas masuk ke dalam keretanya meninggalkan Nazri yang masih tegak berdiri memandangnya.
Kau tak layak memiliki cinta aku, Nazri! Pengecut!
Bisik hati kecil Chinta. Tanpa sedar air matanya menitis perlahan. Nazri melepaskan keluhan berat sambil memandang kereta Chinta yang dipandu laju melepasinya.
I’m sorry, Chinta.