“Kau tak ada kerja?” marah Delisya apabila melihat Samuel sedang duduk di atas sofa miliknya. Dia terus menuju ke arah mejanya tanpa menghiraukan lelaki itu.
“Sejak dah ada pengganti, kau langsung tak nak pandang aku ek,” komen Samuel sambil merenung wanita itu dari jauh. Delisya tersenyum sinis.
“Memang pun!” balasnya dengan nada keras. Samuel tersenyum. Dia bangun dari sofa.
“Elis, kalau kau nak syarikat ni, jangan sesekali terima orang lain selain aku. Aku tak suka,” katanya separuh mengugut. Delisya menggeleng perlahan.
“Aku tahu kau memang tak pernah puas kalau syarikat ni tak jadi milik kau sepenuhnya. Kau ingat aku takut dengan ugutan kau tu? Samuel, aku dah kata aku buka Delisya yang dulu lagi. Kau boleh ugut aku, tapi aku tak akan lepaskan kedua-duanya. Adam dan syarikat ni! Faham?! Keluar sekarang!” arahnya separuh menjerit. Samuel tersenyum sinis sebelum bergerak keluar dari bilik pejabat wanita itu.
Tak apa. Kau jual mahal Elis. Kau ingat kau cantik sangat?
Delisya menepuk mejanya dengan kuat.
Gila! Kau memang licik Samuel!
*****
“Aku nak kahwin,” kata Bella dengan suara perlahan. Rasya yang sedang menghadap laptopnya mula memandang Bella yang sedang duduk di hadapannya.
“Kau cakap apa tadi?” soalnya masih ragu-ragu dengan apa yang didengarinya daripada mulut gadis itu.
“Aku nak kahwin,” ulang Bella semula tanpa memandang wajah Rasya. Berkerut kening Rasya.
“Dengan siapa? Lelaki tak guna tu? ” soalnya yang mula tidak senang hati.
“Aku nak kahwin dengan Adam,” balas Bella kini mula memandang gadis itu.
“What? Kau serius?” soal Rasya lagi dengan riak wajah yang jelas terkejut. Bella mengangguk sambil tersenyum nipis.
“Kau dah fikir masak? Kau baru aje kenal dengan lelaki tu. Macam mana kau boleh pula nak kahwin dengan dia? Aku tak pernah lihat pun kau keluar berdua dengan Adam,” kata Rasya sambil menggelengkan kepalanya. Masih tidak percaya dengan kata-kata gadis itu.
“Aku suka Adam. Salah ke?” soal Bella tenang.
“Minah ni. Aku tahu kau buat keputusan ni sebab Khai. Kau nak lelaki tu tengok kau masih boleh hidup bahagia. Betul tak? Jangan buat keputusan terburu-buru Bella,” balas Rasya separuh menasihati.
“Tak lah. Aku dah fikir masak. Minggu depan aku nak bawa Adam jumpa papa. Papa nak aku kahwin dengan Khai sebab lelaki tu kata kami dah pernah terlanjur. Aku tak nak kahwin dengan lelaki tak guna tu,” balas Bella dengan nada agak tegas.
“What?!” sekali lagi Rasya terkejut mendengar kata-kata gadis itu.
“Lelaki tu memang gila!” sambungnya dengan riak wajah tidak puas hati.
“So, kau dah tahu sebab aku nak kahwin Adam. Aku nak kau sokong aku dalam hal ni,” balas Bella dengan senyuman hambar. Rasya mengeluh perlahan.
“Tapi ni tak betul Bella,” katanya yang kurang setuju dengan tindakan gadis itu. Bella hanya tersenyum mendengar kata-kata rakannya itu.
Memang tak betul. Tapi aku tetap akan teruskan rancangan ni. Bukan sebab Khai semata-mata. Sebab aku tak nak kehilangan lelaki sebaik Adam.
*****
Adam mengeluh perlahan. Keluhannya menarik perhatian Chinta yang duduk di depannya.
“Saya ganggu awak?” soal Chinta dengan perasaan bersalah. Adam menggeleng.
“Awak ada masalah?” soal Chinta lagi. Hatinya tidak senang melihat wajah muram lelaki itu.
“I’m okay,” balas Adam tanpa memandang wajah Chinta.
“Chinta,” panggil satu suara. Chinta dan Adam serentak menoleh. Berkerut kening Chinta melihat lelaki yang sedang berjalan menghampiri mereka. Adam meneruskan suapannya tanpa mempedulikan kehadiran Nazri.
“Kenapa tak beritahu nak datang sini? Sayang tak sihat?” soalnya sambil mengambil tempat di sisi gadis itu. Chinta bingkas bangun dari kerusinya. Dia beralih tempat di sebelah Adam.
“Suka hati aku lah. Tak payah nak sibuk sangat,” balas Chinta dengan sinis. Nazri memandang Adam yang masih tenang menikmati makan tengah harinya.
“Chinta, we need to talk,” katanya dengan nada rendah. Chinta tergelak kecil.
“For what? Kau tak move on lagi? Dengar sini Nazri, saya dah ada Adam sekarang. Lelaki yang lebih baik dari kau!” balasnya dengan nada keras. Geram dia melihat riak selamba lelaki itu. Nazri pula tergelak kecil.
“Jangan nak tipu saya, Chinta. Saya tahu…,”
“Jangan ganggu dia lagi. Dia bakal isteri saya,” pintas Adam dengan nada tegas kini memandang Nazri. Chinta terkedu mendengar kata-kata lelaki itu. Nazri tersenyum sinis.
“Kau ingat aku akan percaya? Selagi Chinta tak jadi milik kau, selagi tu aku tak akan putus asa untuk dapatkan Chinta semula!” balasnya dengan nada keras. Dia bingkas bangun dari kerusi lantas berlalu.
“Kau memang gila Nazri!” marah Chinta. Adam pantas menahan apabila melihat gadis itu seperti ingin bangun dari kerusinya.
“Nampak tak? Rakan sekerja awak tu memang gila!” kata Chinta sambil mendengus geram.
“Rakan kerja saya dan bekas kekasih awak,” balas Adam selamba.
“Awak sengaja nak sakitkan hati saya,” kata Chinta dengan kening berkerut. Adam tersenyum.
“Awak kata dia gila. Tapi awak masih simpan dia dalam hati. Kenapa?” soalnya kini memandang tepat wajah gadis itu.
“Awak silap Adam,” balas Chinta tanpa senyuman.
“Saya tak silap. Awak tu yang suka menipu diri sendiri,” kata Adam dengan nada mendatar.
“What?” soal Chinta. Dia tidak percaya dengan kata-kata yang baru keluar dari mulut lelaki itu.
“Kalau awak benar-benar dah tak ada sekelumit pun perasaan pada Nazri, awak tak akan bertindak sejauh ni Chinta. Sanggup menipu sebab nak balas dendam,” balas Adam separuh menyindir. Chinta menarik nafas dalam cuba menenangkan dirinya.
“Awak sengaja buat saya marah. Kalau saya merajuk, awak pandai pujuk?” soalnya dengan kening berkerut. Adam menggeleng perlahan. Lain yang dia rancang lain pula yang jadi. Sikap Chinta memang sukar dijangka. Baru sahaja sebentar tadi gadis itu kelihatan benar-benar marah. Kini bertukar pula dengan sikap manjanya.
“Awak sendiri tahu apa yang Nazri dah buat. Saya dah ceritakan semuanya pada awak. Saya tak kisah awak fikir apa. Memang betul apa yang awak kata dulu. Permintaan saya memang dah melampau. Hanya orang sebaik awak yang sudi bantu selesaikan masalah saya. Saya minta maaf kalau awak tak selesa,” balas Chinta dengan perasaan bersalah. Adam hanya diam membisu mendengar kata-kata gadis itu.
“Bila nak bawa saya jumpa mak awak?” soal Chinta dengan senyuman nakal.
“Buat apa?” soal Adam kembali seiring dengan debaran di dadanya. Chinta tergelak kecil.
“Lah tadi awak beritahu Nazri yang saya ni bakal isteri awak. So, saya cadang nak jumpa bakal mak mentua saya malam ni. Boleh tak?” soal Chinta separuh meminta.
“Saya cuma to…,”
“Boleh lahh…,” pintas Chinta dengan riak wajah penuh mengharap. Adam mengeluh perlahan.
*****
Bella tersenyum manis membalas pandangan lelaki itu. Riak wajah Adam jelas menunjukkan yang dia terkejut dengan kehadirannya.
“Adam, masuk lah. Bella tu dah lama tunggu Adam,” beritahu Puan Hasna dengan senyuman lebar.
“Maaf tak beritahu awak yang saya datang melawat,” ucap Bella yang mula berdebar melihat wajah serius lelaki itu.
“Saya nak cakap dengan awak,” kata Adam sambil mula melangkah keluar menuju ke halaman rumah. Bella bangun perlahan.
“Bella jangan risau. Aunty ada,” kata Puan Hasna dengan senyuman. Walaupun dia tidak tahu apa yang berlaku, namun dia sangat yakin ada sesuatu antara Adam dan Bella. Adam berpaling memandang gadis itu.
“Awak buat apa kat sini? Dah malam ni. Apa kata orang nanti bila tahu awak datang rumah saya,” katanya sambil memandang sekeliling. Bella tergelak kecil.
“Awak ni gelabah lah. Kita bukannya berdua tapi bertiga. Mama pun ada kat dalam sedang perhati kita,” balasnya dengan senyuman manis. Adam terkedu.
Mama?
“Assalamualaikum.” Belum sempat Adam membalas kata-kata Bella. Terdengar pula loceng pagar utama berbunyi seiring dengan ucapan salam. Adam mengeluh perlahan.
*****
Chinta memandang Bella dan Delisya silih berganti. Kemudian dia beralih pula memandang Adam yang sedang menyentuh dahinya dengan mata terpejam. Puan Hasna berdehem perlahan.
“Semua jangan balik dulu. Makan malam kat sini. Mama ada masak lebih sikit malam ni. Tak sangka ramai pula tetamu malam ni,” katanya sambil memandang sekilas ke arah Adam.
“Tak apa aunt…,”
“Panggil mama,” pintas Puan Hasna dengan senyuman manis. Delisya tersenyum mengangguk.
“Maaf kalau dah susahkan mama,” ucapnya dengan nada perlahan. Sayu hatinya menyebut perkataan yang sudah lama tidak disebutnya itu.
“Tak adalah susah mana. Mama lagi suka kalau hari-hari dapat tetamu yang lawa-lawa macam ni,” balas Puan Hasna dengan ikhlas.
“Kamu berbual dulu. Mama nak masuk dalam,” katanya sambil bangun dari kerusi. Ketiga-tiga gadis itu hanya mengangguk sambil memerhatikan sahaja langkah Puan Hasna.
“Saya Bella.” Bella bersuara apabila suasana agak sunyi seketika.
“Chinta,” balas Chinta dengan senyuman hambar.
“Elis,” beritahu Delisya pula. Adam masih membisu. Tangannya masih menyentuh dahi.
“Kalau tak silap awak yang kat cafe dulu. Betul tak?” soal Chinta separuh meneka. Dia masih ingat dengan jelas wajah gadis yang begitu berani mahu mengambil Adam daripadanya.
Wait. Apasal aku over sangat ni.
Bella tergelak kecil sambil mengangguk mengiyakan telahan Chinta.
“Maaf lah pasal hari tu. Saya tak berniat nak sakitkan hati awak. Saya terdesak sebenarnya,” balasnya dengan senyuman hambar.
“Apa maksud awak?” celah Delisya dengan kening berkerut. Chinta turut berdebar menanti ayat yang keluar daripada mulut gadis itu. Tiba-tiba Adam bangun dari kerusinya lantas berlalu masuk ke dalam rumah tanpa sepatah kata. Bella mengeluh perlahan.
“Adam lelaki baik. Awak beruntung Chinta,” katanya dengan senyuman pahit. Chinta menggeleng perlahan.
“Kalau tu jadi kenyataan, saya mungkin wanita yang paling bahagia dalam dunia ni. Sayangnya ia cuma rekaan semata-mata,” balasnya dengan senyuman hambar.
“Wait, saya tak faham. Apa sebenarnya yang sedang berlaku sekarang ni? Korang berdua ni siapa? Apa hubungan dengan Adam?” soal Delisya dengan kening berkerut.
“Awak pula?” soal Bella tanpa menjawab.
“Saya…,” Delisya terdiam tidak meneruskan kata-katanya.
“Kawan Adam?” teka Chinta yang mula hilang sabar menanti ayat seterusnya keluar daripada mulut gadis itu. Delisya mengangguk perlahan. Bibirnya terasa berat untuk memberitahu perkara yang sebenar. Chinta mengeluh.
“Kawan macam mana tu?” soal Bella pula tidak berpuas hati.
“Jemput masuk semua. Makanan mama dah hidangkan,” ajak Puan Hasna yang sedang berdiri tidak jauh dari mereka.
“Okay mama,” balas Chinta sambil bingkas bangun dari kerusinya. Delisya dan Bella mengikut langkah gadis itu dengan langkah perlahan. Masing-masing masih dengan persoalan yang masih belum terjawab.
*****
Delisya melangkah masuk ke dalam biliknya dengan langkah perlahan. Pintu bilik ditutup rapat. Dia bersandar pada pintu bilik sambil melepaskan keluhan berat.
Bella? Chinta?
“Apa aku dah buat?” bisik Delisya pada dirinya sendiri.
“Maafkan aku, Adam,” ucapnya dengan nada perlahan hampir tidak kedengaran. Delisya mengeluh lagi. Telefonnya yang bergetar menunjukkan ada panggilan yang masuk langsung tidak diendahkannya. Dia masih terkejut dengan apa yang didengarinya daripada Bella dan Chinta. Sukar untuk dia percaya. Rupanya bukan dia seorang saja yang mempergunakan Adam.
Kasihan Adam.
Delisya melangkah perlahan menghampiri meja soleknya. Dia mengeluarkan telefon bimbit dari dalam beg tangannya.
Adam?
Delisya pantas menekan punat hijau.
“Adam, maaf saya tak…,”
“Dah sampai rumah?” pintas Adam. Delisya terkedu.
“Dah sampai rumah ke belum?” tanya Adam semula.
“Dah sampai. Kenapa?” soal Delisya semula agak gelabah.
“Okay. Selamat malam,” ucap Adam sebelum menekan punat merah.
What? Tu aje?
Terkebil-kebil Delisya memandang telefonnya.
Susahnya nak faham awak, Adam.
*****
Bulat mata Farah memandang teman baiknya itu.
“Kau biar betul Ram?” soalnya kurang percaya dengan apa yang baru saja diceritakan oleh lelaki itu.
“Ada kau nampak muka aku ni tengah buat lawak?” soal Ekram separuh bergurau.
“Hissh! Aku tanya ni. Betul tiga wanita sekaligus?” soalnya dengan kening berkerut.
“Betul lah takkan aku nak tipu pula. Ini bukan cerita sensasi tau. Ni masalah besar sebenarnya. Kita kena tolong Adam,” balas Ekram mula serius. Farah tergelak kecil.
“Aku dah tak ingat sangat wajah dua orang gadis tu. Tapi yang seorang tu memang aku kenal sangat sebab hospital ni dah kira rumah keduanya,” katanya masih kurang percaya.
“Aku kasihan tengok keadaan Adam sekarang ni. Sejak kehadiran ketiga-tiga gadis itu, aku rasa dia dah tak macam dulu lagi,” keluh Ekram.
“Adam memang lah tak macam dulu lagi. Tengok aje dari gaya. Dia dah berubah Ram. Dia dah boleh terima orang lain selain daripada kita. Kau tak ingat dulu dia macam mana? Susah sangat nak terima orang lain,” balas Farah dengan senyuman.
“Kau jangan lah risau. Masalah Adam tu boleh aje selesai. Kita tak payah campur tangan,” sambungnya lagi.
“Macam mana?” soal Ekram dengan kening berkerut.
“Kahwin aje lah,” jawab Farah ringkas.
“Kau gila? Nak ke mereka bermadu? Tak masuk akal,” balas Ekram sambil tergelak kecil.
“Aku sanggup aje kalau lelaki tu Adam,” jawab Farah selamba.
“Kalau aku? Kau tak nak?” usik Ekram.
“Jangan harap,” balas Farah sebelum tergelak kecil. Ekram tersenyum memandang rakan baiknya itu. Dia tahu gadis itu pernah menyimpan perasaan pada Adam suatu ketika dulu. Adam tahu perasaan gadis itu. Namun lelaki itu sendiri memberitahunya yang dia dan gadis itu cukup sekadar teman biasa. Dia tidak pernah memberitahu Farah mengenai apa yang diberitahu oleh Adam. Namun dia yakin Farah sendiri boleh membaca tingkah laku Adam yang jelas menganggapnya hanya sebagai kawan.
*****
“Maksudnya?” soal Tuan Izan dengan kening berkerut memandang isterinya.
“Bella, Chinta dan Elis tu sayang Adam. Semuanya nak dengan anak bujang kita tu,” beritahu Puan Hasna dengan senyuman lebar. Tuan Izan terdiam sejenak.
Aku salah dengar ke?
“Abang,” panggil Puan Hasna apabila melihat suaminya itu terdiam agak lama.
“Betul ke?” soal Tuan Izan semula masih tidak percaya. Puan Hasna mengangguk pantas.
“Abang tak ingat hari tu? Adam bukan main diam macam orang bisu aje malam tu. Tapi yang tiga orang tu bukan main lagi sindir menyindir antara satu sama lain. Saya tahu lah bang. Saya pun perempuan juga,” katanya dengan nada bersungguh. Tuan Izan tergelak kecil.
“Awak ni kalau pasal nak cari calon untuk Adam bukan main lagi ek. Jadi awak nak yang mana satu? Takkan semua sekaligus,” balas Tuan Izan sambil tergelak kecil.
“Tak salah. Adam tu mampu aje,” balas Puan Hasna tenang. Bulat mata Tuan Izan memandang isterinya itu.
“Jangan bergurau As,” katanya agak serius.
“Saya tak bergurau. Apa salahnya kalau Adam kahwin semua sekaligus. Lagipun Adam tu mampu zahir dan batin,” balas Puan Hasna turut serius.
“Awak suka lah. Tapi yang tiga orang tu nak ke? Perempuan ni pantang kalau cakap pasal madu. Awak suka?” balas Tuan Izan separuh mengusik.
“Haih, kenapa? Abang ada hati nak tambah lagi?” soal Puan Hasna pula sengaja membesarkan matanya memandang suaminya. Tuan Izan tergelak besar.
“Tengok awak sendiri pun tak suka. Apalagi mereka yang masih muda. Awak jangan fikir yang bukan-bukan. Kita tak tahu lagi perasaan Adam. Mungkin dia anggap mereka tu cuma pesakit. Kita tak tahu,” balas Tuan Izan separuh menasihati isterinya. Puan Hasna melepaskan keluhan perlahan. Dalam diam dia turut bersetuju dengan kata-kata suaminya itu. Namun jika sudah ditakdirkan ketiga-tiga gadis itu menjadi menantunya. Dia tidak ada masalah.
*****
Farah memerhatikan sahaja Adam yang sedang menulis sesuatu pada buku catatannya.
“Nak cakap apa?” tanya Adam. Dia memang sedar dengan telatah rakannya itu.
“Kau sihat? Muka kau agak pucat,” balas Farah separuh menyoal. Adam menarik nafas perlahan.
“Aku okay,” jawabnya.
“Ekram ada beritahu aku. Dam, aku dan Ekram sentiasa ada. Kau boleh cari kami bila-bila masa. Kalau kau tak mampu jangan nak harungi seorang diri. Apa gunanya kawan kalau tak membantu,” kata Farah.
“Terima kasih Farah. Kau jangan risau. Aku okay,” balas Adam kini dengan senyuman.
“Jom pergi cafe. Aku lapar,” ajaknya sambil melangkah. Farah mengangguk.
“Boleh aku tanya?” soalnya sambil berjalan seiring dengan Adam.
“Tanya lah. Tak pernah pun sebelum ni kau minta benar kalau nak tanya sesuatu,” balas Adam. Farah tergelak kecil.
“Kali ni soalan aku lain sikit. Aku takut kau tak selesa nanti,” katanya. Adam terdiam mendengar kata-kata gadis itu.
“Kau serius ke dengan salah seorang daripada mereka?” tanya Farah.
“Farah, aku tak nak cakap pasal ni kat sini. Aku penat. Kalau kau nak tanya soalan, pastikan tak ada kaitan dengan ni,” balas Adam dengan nada tegas.
“Okay, faham. Maaf,” ucap Farah dengan perasaan bersalah. Jelas isu tersebut sangat sensitif pada lelaki itu. Adam hanya tersenyum hambar.