Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKU TANPAMU
Bab 27


Adam menghampiri Chinta yang sedang leka memandang laptopnya. Lama wajah polos isterinya itu direnung.

“Tak rindu abang ke?” soalnya sambil meletakkan dagunya pada bahu wanita itu. Chinta tersenyum lebar.

“Mesti lah rindu,” balasnya sambil membuka cermin matanya. Pandangannya beralih memandang wajah suami tercinta.

“Sorry, tak sedar abang dah balik. Dah makan?” soalnya dengan perasaan bersalah. Adam menggeleng perlahan.

“Saya tak sempat masak lagi. Ingatkan abang makan malam kat rumah Elis,” kata Chinta sambil bangun perlahan.

“Nak ke mana?” soal Adam.

“Nak masak. Abang kata tak makan lagi,” jawab Chinta dengan kening berkerut. Adam turut bangun sambil menyentuh lembut kedua belah bahu isterinya itu.

“Abang gurau aje. Abang dah makan tadi,” katanya sambil tersengih.

“Dia ni,” berkerut kening Chinta memandang suaminya itu.

“Awak tu yang tak makan lagi. Kenapa? Tunggu abang? Atau sibuk sangat sampai tak sempat makan? Sayang, boleh tak jangan lewat kan waktu makan? Macam mana kalau sayang jatuh sakit?” tegur Adam yang jelas risau. Chinta menggaru kepalanya yang tidak gatal.

Aku pula yang kena.

“Jom. Biar abang masak untuk sayang,” ajak Adam sambil menarik lembut lengan isterinya itu.

“Maaf lah kalau Chin buat abang risau,” ucap Chinta perlahan.

“Memang abang risau. Kalau boleh nak pasang cctv kat dapur tu. Biar abang tau sayang tu dah makan ke belum,” gurau Adam. Chinta hanya tergelak kecil.

“Melampau,” balasnya sambil memeluk erat lengan suaminya itu. Kedua-duanya berjalan seiringan untuk turun ke tingkat bawah.

                              *****

“Elis sihat?” tanya Puan Hasna. Delisya tersenyum sambil menyentuh jemari wanita itu.

“Sihat ma. Mama dan papa sihat? Maaf lah dah lama Elis tak datang jenguk mama,” ucap Delisya dengan perasaan bersalah.

“Tak apa. Mama faham Elis sibuk,” balas Puan Hasna dengan senyuman.

“Tak ada berita lagi?” soalnya pula dengan riak wajah yang teruja. Delisya tergelak kecil.

“Belum ada rezeki ma,” balasnya.

“Nampaknya tahun depan lah mama dapat cucu ni. Semua menantu mama tak ada berita gembira lagi untuk mama,” katanya sambil mengeluh perlahan. Dia sengaja menunjukkan riak wajah kecewanya.

“Amboi Na. Kecewa nampak,” usik Tuan Izan yang baru saja menarik kerusi yang berada di hadapan mereka. Puan Hasna hanya menjeling memandang suaminya itu. Delisya pantas memeluk bahu wanita itu.

“Elis janji tahun ni mama akan dapat cucu. Insya Allah,” balasnya separuh memujuk.

“Janji,” kata Puan Hasna dengan riak wajah yang kembali teruja mendengar kata-kata menantunya itu. Delisya mengangguk yakin. Tuan Izan hanya tersenyum memandang telatah kedua-duanya.

“Ayah kamu sihat?” tanyanya.

“Papa sihat. Dia kirim salam,” balas Delisya dengan senyuman.

“Waalaikumsalam. Papa ingat nak jumpa papa kamu hujung minggu ni. Nak bawa pergi memancing,” rancang Tuan Izan.

“Tengok tu Elis. Sebab tu mama nak cucu. Asyik kena tinggal seorang kat rumah ni,” celah Puan Hasna dengan kening berkerut. Delisya tergelak kecil.

“Mama kamu tu saja nak gunakan papa sebagai alasan,” usik Tuan Izan.

“Mana ada,” nafi Puan Hasna sebelum ikut tergelak.

“Rezeki Allah tu Na. Kalau belum tiba masanya, kita kena bersabar,” nasihat Tuan Izan.

“Yelah. Na aje yang tak sabar nak cucu. Elis jangan ambil hati ya,” balas Puan Hasna sambil menepuk lembut lengan wanita itu.

“Elis langsung tak ambil hati pun. Elis faham ma. Elis sendiri pun tak sabar nak jadi ibu. Insya Allah, mama doakan supaya impian kita tercapai tahun ni,” balas Delisya separuh meminta. Puan Hasna mengangguk dengan senyuman. Tuan Izan menarik nafas lega.

                                *****

“Hari tu Khai ada datang Cafe dengan Lara dan anak mereka,” beritahu Rasya tanpa memandang sahabatnya itu. Matanya masih tertumpu pada kertas di tangannya.

“Biar lah mereka datang. Ada juga pelanggan kat Cafe ni,” balas Bella selamba. Rasya mengalihkan pandangannya ke arah Bella yang sedang duduk di hadapannya.

“Kau tak kisah?” soalnya dalam penuh makna.

“Maksud kau?” tanya Bella kembali. Rasya menarik nafas perlahan.

“Kau tak kisah tengok betapa bahagianya Khai dan si Lara tu?” soalnya lagi kini tidak bertapis lagi. Bella tergelak kecil.

“Ada ku kisah?” guraunya.

“Dia ni. Perangai tak pernah berubah. Ingat, dah jadi isteri orang ni kena matang sikit cik Bella oii,” balas Rasya dengan riak wajah tidak puas hati.

“Takut lah dengan bos baru ni,” usik Bella dengan senyuman nakal.

“Eii, minah ni. Malas aku nak layan,” balas Rasya mula berputus asa melayan karenah Bella.

“Aku dah maafkan mereka Ras. Buat apa aku nak berdendam. Aku dah ada Adam. Aku bahagia dengan hidup aku sekarang. Sebenarnya aku bersyukur sangat bila Khai buat perangai. Kalau tak, tentu aku tak jumpa Adam,” kata Bella dengan senyuman.

“Kau jangan suruh aku ikut retak kau pula. Aku masih tak boleh pandang Si Lara tu. Sekali orang tu buat silap, aku memang susah nak percaya lagi,” balas Rasya sambil memandang semula kertas di tangannya. Bella hanya tersenyum hambar mendengar kata-kata gadis itu. Dia kenal Rasya dan Lara sejak kecil lagi. Walaupun riak wajah Rasya agak kelihatan garang namun dia tahu sahabatnya itu sudah lama memaafkan Lara. Cuma untuk kembali seperti dulu itu bukan sesuatu yang mudah untuk mereka.

“Kau dan Adam macam mana?” soal Rasya pula ingin tahu. Senyuman lebar terukir semula pada bibir Bella.

“Tak tahu nak cakap macam mana. Perasaan tu sukar nak digambarkan. Rasa bahagia sangat. Kau kahwin lah supaya kau tahu sendiri apa yang aku maksudkan,” jawab Bella separuh mengusik.

“Asyik nak suruh aku kahwin. Cafe ni siapa nak jaga?” soal Rasya dengan kening terangkat memandang sahabatnya itu. Bella tergelak besar.

“Aku cari lah pekerja baru. Kau jangan risau lah,” jawabnya. Alasan gadis itu baginya langsung tidak masuk akal.

Sengaja nak cari alasan lah tu tak nak kahwin.

“Ras, aku tanya sikit boleh?” soalnya perlahan setelah mereka terdiam seketika.

“Aku tak akan jawab kalau aku tak suka soalan tu,” balas Rasya selamba.

“Amboi. Tak jadi lah nak tanya,” kata Bella dengan kening berkerut.

“Aku tahu. Kau nak tanya pasal arwah tunang aku kan?” soal Rasya separuh meneka. Dia meletakkan kertas di tangannya sambil memandang Bella semula.

“Kau kena mulakan hidup baru Ras. Kau berhak untuk bahagia,” balas Bella kini dengan riak wajah yang serius. Rasya tersenyum.

“Aku dah lama mulakan hidup baru. Cuma kau aje yang tak perasan,” balasnya separuh menyindir.

“Selagi kau tak kahwin selagi tu aku tak percaya,” kata Bella dengan nada agak tegas. Rasya tergelak besar.

“Kau ni asyik suruh aku kahwin aje. Aku nak kahwin dengan siapa? Kau ada calon?” soalnya. Bella ikut tergelak.

“Kau nak jadi madu aku ke?” tanyanya separuh bergurau.

“Tak nak aku!” balas Rasya dengan nada tegas. Bella tergelak besar. Rasya hanya menggeleng perlahan memandang telatah sahabatnya itu.

Perangai tak pernah berubah.

                                *****

“Aku dengar si Nazri tu dah bercerai,” beritahu Ekram sambil memandang tepat wajah Adam.

“Bila?” soal Adam dengan riak wajah yang agak terkejut. Memang dia tidak tahu dengan cerita tersebut.

“Aku dengar daripada persatuan bawang kat hospital ni,” balas Ekram sambil tergelak kecil.

“Sebab apa dia bercerai?” soal Adam lagi dengan riak wajah yang jelas bimbang.

“Tu aku tak tahu. Yang aku tahu isteri dia itu rupanya model. Bodoh betul Nazri itu. Isteri dah cantik nak lepas macam tu aje. Aku ada dengar juga yang mereka tu dah ada anak seorang,” jawab Ekram.

“Aku beritahu kau ni bukannya nak takutkan kau. Cuma aku nak kau hati-hati aje,” sambung Ekram lagi. Adam mengeluh perlahan.

“So, bila aku akan dapat berita gembira?” soal Ekram dengan senyuman.

“Maksud?” soal Adam kurang faham dengan soalan lelaki itu.

“Permata. Bila?” soal Ekram kembali sambil tersengih.

“Tak ada rezeki lagi,” balas Adam dengan senyuman.

“Tu lah kau asyik sibuk aje. Pergi lah bercuti dengan isteri-isteri kau tu. Mana tahu ada rezeki lepas ni,” cadang Ekram. Adam terdiam mendengar saranan rakannya itu.

Bercuti?

                              *****

“Kat mana?” soal Bella agak terkejut mendengar cadangan suaminya itu.

“Tak pasti lagi. So, Bella setuju?” soal Adam dengan senyuman. Bella mengangguk pantas.

“Mesti lah. Lagipun kita tak honeymoon lagi. Abang nak bawa Chin dan Elis sekali?” soalnya ingin tahu. Adam terdiam sejenak mendengar soalan isterinya itu.

“Bella tak kisah kalau abang nak bawa mereka sekali. Lagipun dah lama kita semua tak keluar bersama,” kata Bella dengan senyuman.

“Nanti abang beritahu mereka,” balas Adam sambil mengelus lembut rambut hitam milik isterinya. Bella mengangguk tersenyum.

“Abang, Bella nak tanya boleh?” soalnya dengan perasaan agak berdebar. Adam mengangguk perlahan.

“Abang sayang Bella tak?” soal Bella dengan riak wajah agak serius. Adam terdiam membalas pandangan wanita itu.

“Kenapa tanya soalan macam tu?” soalnya kembali tanpa menjawab.

“Saja nak dengar abang ucap perkataan tu. Yelah, asyik Bella aje ucap perkataan tu. Abang tak pernah balas pun,” kata Bella separuh merungut. Adam ingin tergelak namun cuba ditahannya.

“Ucap apa?” usiknya. Berkerut kening Bella memandang suaminya itu.

“I love you,” ucapnya. Adam tergelak kecil. Dia menarik isterinya itu dalam pelukan.

“Abang pun sayang Bella juga,” ucapnya separuh berbisik di telinga isterinya. Bella menggigit bibir. Dalam diam dia mengeluh perlahan.

Susahnya suami aku nak ucap perkataan tu.

                                 *****

Chinta mengeluh perlahan. Angin malam menyapa lembut wajahnya. Teringat semula perbualannya dengan Nazri petang tadi.

“Dia ada orang lain Chin. Dia beritahu saya yang dia dah beberapa kali terlanjur dengan orang tu. Awak dapat bayangkan tak perasaan saya masa tu?” beritahu Nazri sambil tunduk mengesat air matanya. Chinta tidak jadi mahu memarahi lelaki itu. Dia kenal Nazri. Nampak sangat lelaki itu masih sayangkan bekas isterinya itu.

“Macam mana dengan anak awak?” soalnya perlahan.

“Naufal dengan mama,” jawab Nazri masih tunduk.

“Bekas isteri awak tak jaga?” soal Chinta dengan kening berkerut. Nazri menggeleng perlahan.

“Kau kena bersabar Naz. Ni dugaan Allah untuk kau,” nasihat Chinta seiring dengan keluhannya.

“Terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk Naz hari ni. Awak tahu kan saya tak ada kawan lain. Saya cuma ada awak dan Wa. Tapi Wa sekarang langsung tak nak cakap dengan saya. Saya tak salahkan dia. Memang sejak dari awal lagi saya yang bersalah,” kata Nazri sambil membalas pandangan Chinta.

“Lain kali, saya tak nak jumpa awak lagi. Saya dah ada suami Naz. Saya tak nak Adam pula yang salah faham. Tu awak kena faham,” balas Chinta dengan nada agak tegas. Nazri mengangguk perlahan.

Lamunan Chinta terhenti apabila terasa pinggangnya dipeluk erat dari arah belakang. Dia berpaling menoleh. Adam tersenyum sambil mengucup lembut dahi isterinya. Tangannya menarik tubuh isterinya itu ke dalam pelukan lalu memeluknya erat.

“Rindu,” bisiknya di telinga wanita itu. Chinta tersenyum sambil membalas pelukan suaminya itu.

“I miss you too,” ucapnya. Adam melepaskan pelukannya.

“Sayang, I love you,” ucapnya sambil menyentuh lembut wajah isterinya. Chinta tersipu malu.

“Me too,” ucapnya sambil memandang ke arah lain. Malu dia bertentang mata dengan lelaki itu. Adam tersenyum nakal. Dia mengucup hidung mancung milik isterinya itu.

“Kata sayang tapi tak nak pandang muka abang,” balasnya separuh mengusik. Chinta memandang semula wajah putih milik Adam. Dia sangat bersyukur apabila impiannya untuk menjadi isteri kepada lelaki itu tercapai. Walaupun terpaksa berkongsi kasih, dia redha. Semuanya disebabkan hatinya telah dimiliki oleh lelaki itu.

“I love you, abang. Abang janji jangan sesekali tinggalkan Chinta,” ucapnya perlahan dengan perasaan sebak. Jauh di sudut hatinya dia sebenarnya takut.

“Tak mungkin selagi abang masih bernafas,” balas Adam sambil memeluk wanita itu semula. Chinta tersenyum hambar membalas pelukan suaminya itu.


Previous: Bab 26
Next: Bab 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.